Friday, December 25, 2009

Cara Finland Menghargai Guru

KITA sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru. Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.
Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.
Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru - sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

Oleh MOHD. MAHZAN AWANG

Nasib guru pasca siswazah di sekolah rendah

SAYA mewakili guru sekolah rendah yang telah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat 'Sarjana' (Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan) dan ada juga antara kami yang telah menamatkan PhD mereka.

Di sini, saya ingin menyatakan bahawa 'kami' adalah antara guru yang sanggup menyahut seruan kerajaan iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdullah dan Menteri Pendidikan, Datuk Najib Tun Razak ketika mereka menjawat jawatan tersebut pada Mei 1998.

Masalahnya di sini ialah, adakah kementerian sedar bahawa sudah ramai guru siswazah di sekolah rendah? Di manakah gagasan kementerian yang ingin mewujudkan 50 peratus guru sekolah rendah memiliki ijazah dipantau oleh pihak kementerian?

Saya ingin menyatakan ketidakpuasan hati kami terhadap artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada Rabu 9 Disember 2009 yang menyatakan bahawa kementerian ingin mewujudkan jawatan baru.

Dalam artikel itu juga disebut kementerian bercadang untuk melantik guru kanan disiplin gred DG44 di sekolah menengah dan DGA32 di sekolah rendah.

Saya merasakan kementerian masih 'tidur' dan tidak sedar bahawa kini sudah ramai guru DG41 di sekolah rendah dan begitu juga guru yang memiliki ijazah Sarjana (Master) di sekolah rendah.

Mengapa jawatan seperti ini tidak diberikan kepada DG41 di sekolah rendah?

Mengapa masih diagung-agungkan lagi guru DGA32 di sekolah rendah? Jika begitulah sikap kementerian kita, maka sia-sia sahajalah pengorbanan guru sekolah rendah yang sanggup bertungkus-lumus belajar dengan separuh gaji, meninggalkan keluarga yang disayangi, terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Malahan ada antara kami yang sanggup mengeluarkan wang simpanan untuk membayar wang pengajian di UPSI.

Ada juga yang terpaksa meminjam wang daripada Bank Rakyat untuk kegunaan pengajian seperti mengisi minyak kereta berulang-alik dari rumah ke UPSI, menyiapkan tesis dan segala keperluan yang dikehendaki oleh UPSI.

Bayangkanlah, dengan gaji yang separuh, ditolak pula potongan pinjaman perumahan kerajaan dan sebagainya, ada antara kami, yang gaji bersih RM100 sebulan, ada RM50 sebulan malahan ada juga yang hanya tinggal RM20 sahaja sebulan.

Bayangkanlah bagaimana dengan wang yang sebanyak itu boleh menampung pembiayaan pengajian kami di UPSI? Namun, oleh kerana kami mempunyai kecekalan hati yang tinggi, akhirnya kami berjaya juga menamatkan pengajian kami di UPSI. Kami tidak faham dan adakah pihak kementerian 'buta' tidak melihat nasib guru DG41 yang dibiarkan tanpa diberikan sebarang imbuhan di atas kerajinan mereka menyambung pelajaran?

Mereka yang memiliki ijazah ini lebih sesuai untuk menjawat sebarang jawatan kerana mereka telah belajar 'pengurusan' sewaktu di Institut Aminuddin Baki dan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mereka seperti inilah lebih faham tentang pengurusan berbanding guru DGA32 yang hanya 'duduk diam' seperti menunggu buah jatuh dari langit lebih bernasib baik daripada kami yang memiliki segulung ijazah, ijazah Sarjana malahan ada yang sudah tamat PhD tiada apa yang kami peroleh?

Adilkah? Adilkah? Adilkah? Golongan DGA29 dan DGA32 lebih bernasib baik di sekolah rendah! Bukan setakat itu sahaja. Kebanyakan mereka ini 'malas' menyambung pengajian kerana menurut pendapat mereka segulung ijazah itu tidak akan memberi sebarang makna kepada guru di sekolah rendah selagi dasar pelantikan jawatan Guru Besar tidak berubah.

Kebanyakan mereka lebih 'rajin' menjalankan perniagaan direct selling atau menjalankan perniagaan MLM. Mereka mempunyai banyak masa kerana tidak perlu menyiapkan tesis yang memakan masa bertahun-tahun.

Jika benar negara kita hendak memartabatkan profesion perguruan, bukan dengan cara menaikkan tingkat guru tak berijazah dari DGA29 kepada DGA32 dan entah apa-apa lagi. Ia tetap guru tak ada ijazah! Pemikiran mereka tetap sama! Sudah tiba masanya negara memartabatkan profesion perguruan dengan mengambil guru berijazah untuk menjawat jawatan guru kanan disiplin, warden asrama, guru penolong kanan dan guru besar di sekolah rendah.

Kami di sini merayu kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sekarang dan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencetuskan idea sehingga wujudnya Kursus Kepengetuaan (NPQH) supaya dapat 'membela' nasib kami kerana kami mempunyai ilmu pengetahuan yang mampu menghadapi cabaran sebagai seorang guru besar kerana pendidikan bercorak keilmuan yang luas dan kompleks memerlukan kekuatan serta kesanggupan minda untuk membawa perubahan!

Saya merayu tolonglah kami. Kami sudah tidak tahu hendak buat apa lagi dan kami telah menunggu begitu lama.

CIKGU JU

Rawang, Selangor

Wednesday, December 23, 2009

Hidup mati akhbar di Malaysia, di dunia

SALAM dari Hyderabad, India. Kota raya Mutiara yang asal namanya cukup bersejarah. Bandar raya yang dihuni lebih empat juta orang ini diasaskan oleh Sultan Muhammad Quli Qutb Shah kira-kira 500 tahun lalu.
Nama Hyderabad dikatakan muncul hasil perkahwinan sultan itu dengan seorang gadis tempatan. Selepas gadis itu memeluk Islam dia menukar nama kepada Hyder Mahal dan oleh itulah nama bandar raya ini dikenali sebagai Hyderabad. Tapi satu lagi teori popular (lihat wikipedia.org) mengatakan nama bandar raya ini diambil sempena nama menantu Nabi Muhammad SAW, Ali Ibn Abi Talib, yang juga dikenali sebagai Hyder.
Sejak semalam saya berada di bandar raya ini bersama-sama para editor seluruh dunia sempena Kongres Akhbar Dunia Ke-62 dan Forum Editor-Editor Dunia Ke-16. Ia diadakan bagi membincangkan hala tuju media, terutamanya masa depan akhbar yang kini semakin 'ditinggalkan' sedikit demi sedikit oleh pembaca.
Akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia pun mengalami nasib yang sama. Akhbar-akhbar perdana Melayu mulai tidak mendapat perhatian pembaca. Akhbar-akhbar Cina di Malaysia masih mendapat jumlah pembaca yang banyak. Akhbar Inggeris yang dimiliki oleh orang Cina juga turut terus meningkat, ditambah dengan sokongan iklan yang cukup hebat. Akhbar Inggeris di bawah pengaruh orang Melayu juga mengalami nasib seperti akhbar-akhbar perdana Melayu yang lain.
Dengan jumlah penduduk Malaysia kira-kira 27 juta orang, saya pernah melontar teka-teki kepada sekumpulan doktor dalam satu kursus media yang diberikan tidak lama dulu. Saya bertanya berapa agaknya edaran sehari setiap akhbar-akhbar di Malaysia? Saya juga bertanya berapa agaknya edaran akhbar Utusan Malaysia sehari? Secara yakin mereka meneka: ''kira-kira 1.5 juta naskhah'' ada yang menjawab ''2 juta naskhah'' dan paling sedikit ialah ''sekitar 600,000 naskhah''.
Ternyata tiada siapa tahu berapa sebenarnya edaran akhbar-akhbar nasional yang dijual di Malaysia setiap hari. Namun hakikatnya, jumlah akhbar-akhbar perdana Melayu semakin menurun. Malu saya mahu mendedahkannya. Tapi angkanya ialah di bawah 200,000 naskhah dan angkanya semakin menurun. (Kiraan ke atas jangkauan pembaca akhbar itu dilakukan secara mendarab senaskhah akhbar kepada empat atau lima pembaca, misalnya 300,000 naskhah x 5 pembaca).
Di masa akhbar perdana Cina meningkat dan stabil, orang Melayu ramai-ramai bertukar membaca akhbar bacaan ringan tabloid berbahasa Melayu yang semakin meningkat. Adakah mereka tidak lagi berminat membaca akhbar arus perdana atau berkualiti? Persoalan besarnya apakah kandungan berita akhbar perdana kita sudah tidak menarik minat?
Saya tidak dapat lari daripada menamakan Melayu dan bukan Melayu dalam hal ini kerana dalam konteks Malaysia ia adalah realiti. Pengkaji media juga mengambil kira faktor ini dalam kajian mereka. Kita tidak boleh lari daripada membincangkan soal ini. Kita bukan lagi 1Malaysia, kita baru mahu menjadi 1Malaysia. Masyarakat kita masih lagi berasaskan kelompok-kelompok. Pihak-pihak tertentu, termasuk para pengiklan atau orang yang menentukan akhbar mana akan diberi iklan atau tidak, tidak suka kita membincangkan soal ini. Orang yang bercakap begitu sebenarnya mereka daripada golongan orang yang telah pun berjaya. Mereka tidak disaingi oleh sesiapa.
Iklan-iklan tidak mahu masuk ke dalam kantung akhbar Melayu, tapi sebaliknya masuk ke kantung lain. Alasan mereka ialah akhbar kita bersifat perkauman, walaupun kita hanya bercakap soal untuk meningkat dan memperbaiki hidup orang Melayu. Sebaliknya akhbar-akhbar berbahasa lain tidak dilihat rasis jika mereka juga berat sebelah dalam laporan mereka.
Persoalannya sekarang apakah kita atau Utusan Malaysia, misalnya yang berusia lebih 70 tahun ini tidak boleh lagi bercakap soal asas ini lagi dalam usaha mendapatkan semula iklan? Beberapa kerajaan negeri pembangkang juga tidak membenarkan akhbar ini (Utusan Malaysia, khususnya) daripada membuat liputan mereka atas tuduhan yang macam-macam? Dan yang peliknya, para pengiklan (serta agensi mereka) pun ikut serta bersetuju?
Tapi itulah hakikatnya. Dalam konteks Malaysia ia turut dipengaruhi oleh faktor di atas. Namun media dunia dan media di negara-negara maju lain dipengaruhi oleh faktor asas ekonomi makro dan mikro. Jumlah edaran mulai jatuh kerana kekangan hidup yang memperlihatkan pembeli dan pengiklan mengalihkan perhatian kepada keperluan utama yang lain, dan pembaca mula mendapatkan sumber berita dari punca percuma melalui televisyen atau Internet.
Banyak sumber berita lain yang boleh diperoleh secara mudah dan percuma. Ini juga antara faktor edaran akhbar jatuh. iPhone dan Blackberry adalah medium yang boleh menggantikan kertas akhbar. Pembaca boleh membaca melalui telefon tangan masing-masing atau menerusi komputer bimbit.
Dijangkakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan kepesatan teknologi IT seperti sekarang, akhbar kertas akan diambil alih oleh medium-medium itu, walaupun ada di antara peserta panel di sini yang agak spektikal dengan teori itu.
Pada masa itu kertas cetak akan menjadi terlalu mahal daripada alat-alat elektronik tersebut. Pada masa itu kelajuan Internet bukan lagi menjadi isu. Dan sudah tentulah apabila tibanya masa itu kelak, berita yang kita baca melalui Internet akan perlu dibayar, seperti kita membeli akhbar sekarang (malah sekarang pun sepatutnya berita dalam talian seperti utusan.com.my perlu dibayar untuk mengeksesnya).
Akhbar pada masa itu tetap ada, tapi dalam bentuk yang lain, yang lebih interaktif - di mana Facebook dan Twitter serta rangkaian media sosial lain boleh berinteraksi terus dengan berita yang disiarkan.
Di negara-negara Barat media sosial atau kewartawanan rakyat telahpun dimulakan dalam skil yang besar bagi mendekatkan pembaca setia dengan akhbar tersebut. Berdasarkan pendekatan ini pembaca akan juga menjadi 'wartawan' dengan menghantar berita atau gambar dari kawasan masing-masing. Di negara kita, ia agak perlahan, tapi ini semua akan ditentukan oleh para editor media bagi memastikan mereka terus terapung dalam industri ini. Siapa lambat, dia akan tenggelam dan hilang dalam persaingan sengit. Oleh kerana pasaran di Malaysia kecil, persaingannya cukup sengit.
Media Malaysia harus mencari peluang daripada kecelikan IT di kalangan rakyatnya dan kadar pemilikan alatan IT yang tinggi untuk memulakan revolusi itu. Iklan digital melalui Internet akan mengambil alih iklan cetak dalam tempoh empat ke lima tahun lagi, kata CEO Persatuan Akhbar-akhbar Dunia dan Penerbit Berita (WAN-INFA), Timorty Balding.
Itulah antara yang diperbincangkan dalam forum di sini. Pelbagai cara dan kaedah dibincangkan untuk memastikan pembaca terus membeli akhbar. Secara purata semua akhbar global mengalami kejatuhan dari segi edaran kecuali China, Jepun dan India yang memperlihatkan tabiat membaca mereka amat tinggi.
Walaupun pendapat pakar dan peneraju gedung-gedung media dunia itu berbeza antara satu sama lain, tapi kebimbangan terhadap cabaran mendatang industri persuratkhabaran, tetap wujud.
Namun semua pihak bersetuju bahawa kejayaan sesebuah akhbar baik melalui cetak atau Internet bergantung kepada isi kandungannya. Hari ini di forum ini kita akan membincangkan bagaimana isi kandungan berita yang berkualiti boleh ditukar menjadi 'punca wang dan keuntungan' untuk syarikat akhbar. Salam sejahtera.

Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti

SEBELUM saya pergi jauh bagi menganalisis apa yang akan berlaku esok, mari kita renungi petikan ini.

"Orang Melayu sekarang tidak lagi boleh mempertahankan diri mereka sendiri; jika mereka bertemu dan bercakap (untuk mempertahankan diri mereka), mereka akan dicop sebagai rasis." - Dr. Mahathir Mohamad (Ahad, 22 Mac 2009)

Ulasan lanjut daripada petikan itu ialah ucapan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara yang mengingatkan orang Melayu agar sedar bahawa keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai rasis. British pun tidak panggil kita rasis. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di Semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum lain yang berhak membuat apa-apa perjanjian. Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea - negeri orang Korea, negeri China - negeri orang Cina, negeri India - negeri orang India. Tetapi negeri Melayu - bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu.
Kata Tun Mahathir lagi: Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja. Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.
Itu adalah hakikat. Apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir itu adalah hakikat yang sedang berlaku sekarang. Penulis sendiri (dan akhbar keramat Utusan Melayu ini sendiri) sedang mengalami situasi itu. Kami dituduh 'secara blanket' sebagai rasis, walaupun niat kami sebaliknya.
Keadaan sekarang samalah seperti di Barat apabila Yahudi secara sistematik mencipta satu protokol bahawa sesiapa yang bercakap mengenai soal Yahudi, bangsa mereka, mengenai holocaust atau berkias mengenainya - akan dicap sebagai anti-semitik atau anti-Yahudi.
Tidak pasti pula, siapa di negara kita ini yang merangka 'protokol yang seumpama itu'. Apabila kita bercakap mengenai diri kita sendiri - orang Melayu atau mengenai bangsa lain atau berkias mengenainya atau cuit mengenai mereka, walaupun ia adalah fakta, maka - itu adalah rasis, perkauman.
Maka, orang Melayu yang bercakap mengenainya akan diasak secukup-cukupnya oleh pihak-pihak tertentu - malah sehingga akan disaman. Seorang rakan blogger terkenal pernah diasak 'separuh mati' oleh kumpulan apa disifatkannya sebagai cyber-troopers apabila dia cuba mempertahankan sebuah institusi Melayu.
Mengapa jadi begitu? Apakah kerana ada kumpulan oportunis sudah melihat orang Melayu yang satu ketika dulu kebal, kini sudah layu? Benarkah orang Melayu sekarang sudah gagal bersatu dan sudah mulai berpecah? Apakah orang Melayu sudah terkeliru dengan asal usul mereka sendiri, sehinggakan membuka ruang dan peluang kepada kumpulan itu untuk mengadu-domba (memporak-peranda) mereka?
Secara kasar, orang Melayu sekarang sudah terdiri daripada beberapa pecahan golongan. Mereka yang dulunya majoriti, sudah menjadi minoriti. Cuba lihat senario ini:
Golongan Melayu Liberal. Mereka ini sudah hilang ''semangat dan roh'' (the spirit and soul) orang Melayu. Orang Melayu aliran itu sudah pudar ciri-ciri kemelayuan yang ditanam oleh datuk nenek mereka. Mereka tidak peduli siapa yang menerajui pemerintahan, asalkan ia sama rata. Golongan terpelajar hasil kelahiran DEB ini makin bercambah. Mereka ini menganggap bukan DEB itu yang menjayakan diri mereka - menghantar mereka belajar ke luar negara, tapi sifat merit yang ada pada diri mereka sendiri. Mereka ini ada yang berada dalam kerajaan, golongan pelajar di universiti, tokoh-tokoh korporat, profesional dan berada di mana-mana sahaja.
Golongan Melayu Ulama (yang menolak semangat ke-Bangsa-an). Mereka menolak UMNO. Kata mereka UMNO itu tidak berlandaskan Islam, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Pas aliran Nik Aziz. Aliran antiassabiyah Nik Aziz memang jelas dari dulu lagi, iaitu jika UMNO mahu bersatu dengan Pas, UMNO perlu ikut cara Pas. UMNO perlu nyahkan semangat kebangsaannya. Bagi Nik Aziz kebangsaan UMNO adalah mengenai Melayu dan ia bukan Islam. Aliran Nik Aziz hanya membenarkan Islam semata-mata, tidak termasuk Melayu. Bagaimanapun, mutakhir ini, aliran Nik Aziz nampaknya bertentangan pula dengan aliran Hadi. Hadi dikatakan mahu bekerjasama dengan UMNO demi Melayu. Nik Aziz memberi amaran dia ialah nakhoda dan Hadi perlu dengar cakapnya. Golongan aliran ini semakin banyak, dan ia terdiri daripada golongan muda.
Golongan Melayu PKR (yang menolak UMNO kerana ia menolak master mereka Anwar Ibrahim). Asalnya orang Melayu PKR adalah bekas orang UMNO. Kita tidak pasti sampai bila Melayu PKR ini akan terus wujud, tapi melalui perincian, golongan Melayu ini tidak akan kekal lama. Namun, lama tak lama, itu tidak penting - tapi yang penting ialah sejauh mana ia boleh memecahbelahkan lagi orang Melayu. Aliran mereka ialah kesamarataan - sama dengan golongan liberal. Sudah tentu konsep sama rata mereka berbeza dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN sejak lebih 50 tahun lalu. PKR bukan parti asas Melayu seperti UMNO atau Pas, ia adalah parti pelbagai kaum. Namun ramai orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar) terkeliru menganggap PKR sebagai parti Melayu seperti UMNO dan Pas. Hakikatnya, di peringkat payung pakatan pembangkang, PKR dikuasai oleh bukan Melayu. Orang bukan Melayu melihat parti ini sebagai parti alternatif kepada mereka yang menolak MCA, MIC mahupun DAP.
Golongan Melayu DAP. Adalah segelintir. Tapi sejarah dan rekod menunjukkan mereka tidak boleh ke mana-mana.
Golongan Melayu Atas Pagar. Golongan ini cukup-cukup terkeliru. Kerana kekeliruan yang mereka hadapi - mereka tidak peduli. Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada bangsa mereka, asalnya mereka boleh hidup seperti biasa. Golongan yang bersifat individualistik ini bagaimanapun amat bijak memerhati, tanpa banyak bercakap. Perkataan yang sering penulis dengar daripada golongan jenis ini ialah: ''Aku Sudah Muak''. Golongan ini boleh mengambil langkah berkecuali, tidak peduli atau pun memihak kepada pembangkang secara protes. Perlu diingat, dalam sesuatu pilihan raya, golongan ini adalah penentu kepada kemenangan. Bagaimanapun golongan ini boleh memasuki ke mana-mana aliran di atas jika tidak dirawati penyakit keliru mereka.
Golongan Melayu UMNO. Golongan ini sekarang bukan seperti datuk nenek mereka yang berjuang pada awal, pertengahan sejak penubuhannya 63 tahun lalu. Golongan pejuang UMNO dulu adalah aktivis yang jati diri mereka cukup hebat. Mereka tidak mewah, mereka tidak gelojoh, mereka tidak tamak, tidak seperti generasi UMNO sekarang. Namun perkhidmatan mereka kepada UMNO, masyarakat, orang Melayu di kampung-kampung cukup berkesan. Orang Melayu, Cina dan India pada masa itu dapat disatukan - satu suara, satu hati. Semangat dan roh Melayu Islam terserlah di mana-mana. Hari ini (pada hari perhimpunan UMNO ke-59 ini) sikap negatif UMNO banyak diperkatakan. Kebanyakannya ialah berkisar kepada isu yang tidak mahu didengari oleh aktivis terdahulu.
Rumusannya, Melayu berpecah kepada enam kumpulan. Sama ada teori ini boleh diterima, terserahlah.
Jika itulah teorinya, UMNO bukan lagi sebuah pertubuhan yang boleh mendabik dada mengatakan ia adalah institusi siasah Melayu yang ulung. Jika dulu ya, sekarang masa dan keadaan telah mengubahnya.
Mengapa jadi begitu? Persoalan besar yang perlu dijawab UMNO sekarang ialah: Apakah UMNO masih lagi relevan? Apakah UMNO masih lagi menjadi tempat untuk bertaut? Apakah UMNO boleh diharapkan? Apakah UMNO adalah pejuang bangsa? Apakah UMNO untuk agama, bangsa dan negara?
Siapa pemimpin UMNO sekarang? Apakah mereka boleh membeli dan dibeli? Apakah kualiti mereka? Sukakah orang Melayu kepada mereka? Adakah golongan 'muak' tadi boleh menerima mereka semua? Akan berubahkah mereka? Jika ya, siapakah penyelamat UMNO?
Yang pasti semua kritik mengenai UMNO ialah menjurus kepada pembersihan dan pembaharuan UMNO. Mereka mahukan para pemimpin yang ikhlas. Ikhlas kepada perjuangan dan ikhlas untuk memimpin masa depan bangsa. Kritikan terhadapnya sepatutnya diterima secara positif dan parti itu sepatutnya berusaha untuk berubah.
Melihatkan kepada senario politik sekarang, sebenarnya UMNO masih menjadi harapan orang Melayu. Walaupun orang Melayu telah berpecah, tapi di dalam hati kecil mereka masih ada yang menaruh harapan kepada UMNO.
Kita percaya, satu kumpulan dalam Pas atau golongan di atas pagar, misalnya - masih mengharapkan UMNO melakukan sesuatu ekoran kekhuatiran yang sedang dilihat di hadapan mereka. Mereka amat bimbang kerana kumpulan yang mencabar Melayu dan raja-raja Melayu semakin melebar.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hanya UMNO (mungkin juga Pas) dan orang Melayu yang bersatu padu sahaja yang boleh menjajarkan semula perjalanan yang berliku ini. Kedudukan UMNO dan keutuhannya juga menjadi perhatian negara-negara luar yang sedang memerhati dengan rapat perkembangannya. Perlu disebut, ada juga di antara negara lain yang mahu melihat UMNO berkubur.
Najib Tun Razak yang menerajui UMNO harus memastikan hala tuju parti dan barisan kepimpinannya diterima semula oleh rakyat jelata. Mereka tidak mahu melihat lagi berlakunya perpecahan, perebutan kuasa, gila jawatan dan gila pangkat. Mereka tidak mahu lagi melihat sikap gelojoh, tamak di kalangan para pemimpinnya. UMNO harus membersihkan semula imejnya. Dalam dunia siber sekarang orang boleh melihat gerak-geri mereka dengan mudah dan pantas. Sucikan semula organisasi keramat Melayu ini.
Tanggungjawab Najib bukan ringan. Dengan pecahan golongan Melayu yang semakin melebar, beliau harus mempunyai tekad untuk menyatupadukan semua bangsa itu - dalam apa cara sekalipun. Jika Tun Mahathir pun pernah mengaku dia gagal - kita tunggu ujian ke atas Najib seterusnya.
Yang pasti UMNO harus dikembalilah kepada rakyat, kepada perjuangan asalnya - kepada agama, bangsa dan negara. Selamat memilih calon-calon penerus UMNO yang benar-benar bersih, cekap dan amanah. Selamat bersidang.

Alkisah India di India dan India di Malaysia

BERADA di kota raya tua India, Hyderabad selama seminggu minggu lalu amat memberi kesedaran kepada diri ini. Setiap inci persegi tanah di kota-kotanya dihuni oleh ratusan insan. Setiap kilometer persegi dihuni oleh ratusan ribu insan dan setiap bandar raya di negara keramat itu dihuni oleh jutaan manusia. Dan India ialah tanah bagi 1.2 bilion umat manusia. Angkanya bertambah setiap saat.
Berada di India bererti kita berada dalam satu realiti kemanusiaan yang sebenar. India ialah tanah bagi manusia ramai. Jurang hidupnya adalah antara langit dan bumi. Yang papa terlalu papa, yang kaya terlalu kaya. Yang kaya, tidak pandang ke bawah, yang bawah tetap di bawah.
Kasta, darjat atau keturunan masih diamalkan secara tebal di seluruh India. Ia semacam satu agama. Kasta atas tidak boleh bersatu kasta rendah.
Jalan rayanya haru-biru. Suasananya hiruk-pikuk. Bas, lori, kereta, basikal, teksi roda tiga, kereta lembu, kuda bersimpang siur. Bunyi hon adalah wajib. Pegang sahaja stereng, bunyi hon dulu. Di belakang bas dan lori tertulis `tolong hon’. Tiada siapa marah jika dia dihon. Hon ialah nyawa.
Semasa dalam perjalanan menghadiri makan malam perpisahan di Istana Chowmohalla (dibina pada 1780 oleh Nawab Nizam Ali Khan, Asaf Jah II),
pemandu bas yang membawa kami tiba-tiba turun lari meninggalkan bas yang dibawanya. Hilang dalam lautan manusia dan kenderaan. Kami terpinga-pinga. Dua lelaki preman masing-masing memegang submesingan jenis sterling yang mengawal keselamatan kami dalam bas berkata ``jangan bimbang’’. Pemandu tadi sebenarnya turun untuk meleraikan kenderaan-kenderaan yang sudah berpintal di atas jalan raya. Dia bertindak menjadi polis trafik.
Sambil dia menyelesaikan kekusutan itu, saya melihat di seberang sana seorang penumpang turun dari teksi roda tiga yang dinaikinya menolak kenderaan itu yang mati di atas jalan raya. Tiada rasa marah pun di muka penumpang itu yang menolong menolak teksinya yang rosak.
Tiada siapa peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka. Polis trafik pun menjalankan apa yang terdaya, tanpa memperlihatkan sedikit pun kekerutan di dahinya. Trafik lalu lintas tetap berjalan lancar, walaupun dalam suasana kekecohan.
Sebelah malam, di tepi-tepi jalan insan-insan tidur merata-rata. Ada yang telah nyenyak membungkus tubuh dengan kain selimut daripada kedinginan kota itu. Yang belum tidur, duduk mencangkung sambil memandang ke satu tujuan yang tidak diketahui.
Hampir dua jam bergelut kami tiba di istana bereka bentuk masjid itu. Di sepanjang dinding tembok istana tertulis tulisan dalam bahasa Inggeris ``Ini tempat suci jangan kencing’’. Kencing berdiri sambil si anunya memancut ke dinding adalah pemandangan umum yang biasa. Mungkin kerana terlalu ramai manusia, tandas bukan lagi pilihan. Awas, setiap pagi berhati-hati berjalan di kaki-kaki lima kerana terlalu banyak jerangkap samar dari isi perut manusia berlonggok di sana-sini. Suasana serupa juga juga khabarnya boleh dilihat di bandar raya lain termasuk di Mumbai.
Sampainya di istana itu, kami dibawa masuk ke dalamnya. Satu suasana antara langit dengan bumi. Kawasan istana lama itu diwarnai dengan lampu-lampu berwarni yang menyenangkan perasaan. Bagaikan berada dalam kisah Hikayat 1001. Tarian-tarian Bollywood dari era 50-an hingga kini dipersembahkan kepada kami. Selesai persembahan kami dijamu dengan juadah Hyderabad tersohor di dunia, nasi beriyani.
Kami makan beriyani kambing dan ayam, tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Ia terlalu sedap tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana restoran Malaysia, waima Hameediah di Campbell Street, Pulau Pinang mahupun Mahbob di Bangsar.
Di luar tembok sana, suasananya adalah terlalu kontras. India yang penuh warna-warni. India yang penuh dengan drama. Di dada-dada akhbarnya konflik di mana-mana. Di Parlimennya pun haru-biru seperti di atas jalan rayanya juga. Televisyen memaparkan bagaimana seorang speaker dewannya tidak diendahkan oleh ahli-ahli Parlimen yang memboikot sesi soal-jawab. Akhbar Deccan Chronicle dalam karikatur muka satunya (macam Senyum Kambing) keesokan harinya mencuit: Mengapa mereka tidak mahu buat sesi soal-jawab dalam kantin saja, kan di situ tempatnya ahli Parlimen selalu melepak?
India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh.
Namun, kita di Malaysia pun ada orang India. Kecohnya pun lebih kurang sama. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada ahli-ahli profesional, peguam dan kini menjadi ahli politik. Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising. Mereka menguasai Majlis Peguam dan kini mereka sudah ramai di Parlimen, bukan mewakili MIC, tapi mewakili DAP dan PKR.
Kerana mereka lantang dan suka buat haru-biru, suara mereka sering kedengaran. Salah seorangnya ialah N. Kulasegaran yang kini memegang jawatan Naib Pengerusi DAP Perak. Beliau lantang mempersoalkan hak-hak orang Melayu.
Katanya, beliau tidak faham mengapa setelah bertahun lamanya masih ada kelompok manusia percaya kepada warna kulit atau penampilan yang lebih tinggi daripada satu kaum lain.
Kita tidak pasti apakah beliau ikhlas dengan kenyataannya itu. Dia tahukah apa yang dia cakap? Tapi yang pasti kenyataannya itu cukup sensitif dan akan membuat kumpulan lain marah. Tapi seperti biasa orang Melayu marahnya tidak lama. Tak apalah. Orang Melayu tidak seperti orang India, walaupun ada juga Melayu yang darah keturunan Keling (DKK), tapi darah Melayu yang lembut banyak menguasai mereka.
Jika di India, mungkin kita akan sentiasa dikawal oleh pengawal bermesingan. Kulasegaran perlu mengambil cuti. Pergilah melawat ke India, dan hayatilah erti kehidupan di sana, hayatilah erti kasta dan darjat, miskin dan kaya, seperti yang saya alami minggu lalu.
Seburuk-buruk Malaysia, inilah tanah tumpah darah kita.

Oleh Zaini Hassan
(yang berada di kota raya Hyderabad, India dari 29 November-4 Disember menghadiri Forum Editor-Editor Sedunia)

Sunday, December 13, 2009

Petronas Dagangan bantu keluarga mangsa



ANGGOTA bomba berusaha untuk memadamkan api setelah sebuah lori tangki minyak merempuh sebuah rumah di Jelebu semalam.

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) akan menghulurkan bantuan kepada keluarga dua beradik yang terbunuh apabila sebuah lori tangki minyak terbabas dan merempuh rumah mereka di Bt 17 Kg Ulu Klawang, Jelebu hari ini.

Syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut dan sedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa.

"Petronas Dagangan melahirkan rasa kesal dan takziah di atas kejadian itu. Kami bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat pengendali lori yang terlibat dalam kemalangan itu.

Tambahnya, pihak berkuasa bersama wakil dari Petronas Dagangan serta pihak ketiga yang mengendalikan pengangkutan bagi produk syarikat itu sudah berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sepatutnya.


BEGINILAH keadaan rumah dan lori tangki yang hangus sama sekali di Bt 17 Kampung Ulu Klawang, Jelebu.

Struktur semula selekoh lokasi tragedi - Rais

JELEBU 12 Dis. - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengesyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri supaya menstruktur semula laluan selekoh berbahaya yang mengorbankan tiga nyawa dalam tragedi memilukan di BT 17 Kampung Ulu Klawang, di sini pagi ini.

Katanya, laluan yang berselekoh itu perlu diluruskan dan sempadan jalan terbabit juga mesti dikaji supaya tidak lagi membahayakan kepada pengguna jalan raya.

"Kita akan mengesyorkan kepada JKR supaya lenggok jalan ini serta sempadan jalan terbabit dikaji dari segi keselamatan pada masa akan datang," kata beliau.

Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian ditemui pemberita di rumah Mariani Cembeng, 45, yang hangus dan mengorbankan dua anaknya serta pemandu lori tangki minyak dalam kejadian pada pukul 8.39 pagi ini.

Rais juga memberitahu, jika dilihat pada keadaan jalan raya di lokasi kejadian, ia sepatutnya dipandu perlahan.

"Bagaimanapun, mungkin pemandu lori itu telah memandu dengan laju sehingga terbabas dan mengakibatkan rempuhan yang kuat," ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah JKR negeri, Ir. Roslan Mohd. Taha ketika dihubungi berkata, laluan itu selamat dari aspek kejuruteraan teknikal dan mengikut spesifikasi ditetapkan oleh jabatan tersebut.


'2 anak kesayangan saya sudah tiada'


MARIANI Chembeng (tengah) yang tidak dapat menahan kesedihan berikutan kematian dua anaknya ditenteramkan oleh anggota keluarganya di Bt 17 Kampung Ulu Klawang, Jelebu, semalam.

JELEBU 12 Dis. - "Hati saya berdebar apabila melihat jentera bomba, ambulans dan polis menuju ke rumah saya.

"Ketika itu saya hanya teringatkan dua anak, Anisah dan Hafiz dalam rumah itu," kata ibu kepada dua beradik yang rentung, Mariani Cembeng, 45, di sini hari ini.

Beliau berkata, debaran hatinya berasas apabila dimaklumkan oleh pasukan penyelamat yang kedua-dua anaknya itu masih terperangkap di dalam rumah.

"Hati saya remuk sambil melihat rumah yang sedang marak dijilat api akibat dirempuh lori penuh muatan minyak petrol," katanya dalam nada sebak dan tersekat-sekat.

Menurutnya, dia pulang ke rumahnya dengan ditemani seorang rakannya kerana tidak dapat memandu apabila dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Katanya, kedua-dua anaknya itu memang rapat dan sering mengambil berat antara satu sama lain.

"Saya tidak mampu nak nyatakan apa-apa lagi. Dua anak kesayangan saya sudah tiada lagi... Namun saya reda dengan ketentuan Allah ini," katanya.

Suami Mariani meninggal dunia dua tahun lalu, manakala dua lagi anaknya iaitu Mohd. Firdaus Hanapiah, 24, bekerja di ibu negara dan Mohd. Amirul, 19, menuntut di sebuah politeknik dekat Port Dickson.

Anisah yang terbunuh merupakan pelajar di Sekolah Agama Kuala Klawang sementara adiknya, Mohd. Hafiz di Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang.

Dalam pada itu, seorang saksi, Azuman Abu Bakar, 34, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh ibunya.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak sehingga mencecah pucuk pokok kelapa. Waktu itu juga kedengaran beberapa letupan kuat," katanya.

Difahamkan, beberapa saksi yang sempat melihat kejadian itu memberitahu, pemandu lori tersebut, Samsulkahar Bahudin, cuba bangun beberapa kali walaupun sebahagian badannya dari pusat ke bawah sedang terbakar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin yang berada di tempat kejadian berkata, pihaknya akan segera membantu membina rumah baru keluarga itu.

Turut hadir melawat keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen Jelebu yang juga Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan.

Sementara itu, jenazah Anisah dan Mohd. Hafiz telah dituntut oleh keluarga selepas bedah siasat di Hospital Jelebu, Kuala Klawang.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Kariah Amar Penghulu, Kuala Klawang dekat sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Rambai Baris di sini.

Dalam pada itu jenazah Samsulkahar dijangka dituntut keluarga esok untuk dikebumikan di Melaka.

Saturday, December 12, 2009

Dua beradik rentung lori tangki rempuh rumah


ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku selepas sebuah lori tangki minyak merempuh sebuah rumah di Bt 17 Kampung Ulu Klawang, Jelebu, semalam.

JELEBU: Tiga orang, termasuk dua beradik berusia 7 dan 14 tahun rentung dalam tragedi ngeri apabila sebuah lori tangki minyak meletup setelah terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Ulu Klawang hari ini.

Kemalangan pada 9 pagi itu berlaku ketika lori tangki yang dipandu oleh Shamsulkahar Bahudin, 36, yang dalam perjalanan dari Port Dickson untuk menghantar bekalan minyak di Kuala Klawang, menghadapi masalah brek di kilometer 13 ketika sedang menuruni Jalan Seremban-Kuala Klawang, di Bukit Tangga.

Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Setapa Yusoff, berkata semasa melalui satu selekoh di Kilometer 18, lori tangki itu merempuh sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang diletak di tepi jalan sebelum terbabas ke bawah dan merempuh sebuah rumah kampung yang didiami oleh seorang balu dan dua anaknya.


Lori itu terbalik lalu terbakar tetapi Shamsulkahar, yang berasal dari Melaka, sempat keluar dari kenderaan itu namun dia menghembuskan nafas terakhir di tepi rumah itu dengan kesan terbakar di bahagian pinggang ke bawah.

Sementara itu, Mohd Hafiz Hanapiah, 7 dan kakaknya, Anisah, 14, yang dipercayai sedang tidur semasa kejadian, tercampak akibat rempuhan kuat ke dinding bilik mereka.

Mayat Shamsulkahar ditemui pada 10 pagi manakala mayat Mohd Hafiz dan Anisah pula ditemui dalam keadaan rentung di bawah timbunan batu kira-kira 20 minit kemudian.

Ketua Balai Bomba Jelebu, Adzhar Che Onn, berkata akibat kemalangan itu, lori terbabit meletup dua hingga tiga kali dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa satu jam setengah untuk memadamkan api.

Adzhar berkata, ini adalah kemalangan kedua membabitkan rumah sama kerana kira-kira lima bulan lalu, sebuah lori membawa kepingan getah terbabas lalu merempuh bahagian dapur rumah itu tetapi tiada sesiapa yang cedera.

Rumah milik Mariani Cembeng, 45, itu runtuh sepenuhnya tetapi menurut penduduk kampung, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana menghadiri kursus keusahawan di bandar Kuala Klawang.

Suami Mariani meninggal dunia dua tahun lalu.

Dua lagi anaknya yang sudah dewasa tidak tinggal di situ - seorang bekerja di Kuala Lumpur dan seorang lagi menuntut di sebuah politeknik dekat Port Dickson.

Selepas kejadian, seorang lelaki berusia awal 20-an dipercayai salah seorang abang kepada adik beradik yang meninggal itu dilihat mengamuk dan terpaksa ditenteramkan oleh penduduk kampung serta rakannya yang lain.

Seorang jiran kepada keluarga malang itu, Azuman Abu Bakar, 35, memberitahu pemberita, dia sedang tidur di rumah apabila terdengar jeritan ibunya.

"Rumah Maria terbakar, rumah Maria terbakar," katanya sambil menambah api yang menjulang setinggi pokok kelapa dan beberapa letupan menyebabkan orang kampung tidak dapat menghampiri rumah itu. - Bernama

MALANG TANPA BAU

Kuala Klawang, Jelebu 12.12.2009

Dua anak Puan Mariani Chembeng rentung kerana rumahnya di Batu 18 Kampung Ulu Klawang terbakar akibat rempuhan lori tangki minyak dalam perjalanan dari Seremban ke pekan Kuala Klawang.Peristiwa ini berlaku jam 8.3o pagi. Puan Mariani Chembeng yang juga adalah ketua pergerakan Wanita UMNO Cawangan Amar Penghulu sedang mengikuti kursus keusahawan anjuran Biro Ekonomi Bahagian Jelebu di Kuala Klawang semasa trajedi ini berlaku.
Kedua anaknya Mohd Hafiz Hanafiah 7 tahun dan kakaknya berusia14 tahun telah rentung.Pemandu lori ,Shamsulkahar Bahudin juga telah meninggal dunia .



Pasukan Bomba bertungkus lumus bertindak menyelamatkan anak-anak Puan Mariani.


Ketua Polis Daerah,DSP Setapa Yusof dan anggota PDRM serta orang ramai termasuk pemimpin masyarakat telah hadir untuk membantu tetapi semua sudah musnah begitu pantas.



Kesan tinggalan yang ada,rumah Puan Mariani Chembeng sudah menjadi arang.



Ini jalan yang berliku dan agak sempit. Masyarakat tempatan dan pemandu-pemandu kenderaan berhenti untuk melihat keadaan trajedi ini.




Semua sudah musnah termasuk lori minyak tersebut.












Tuan Pegawai Daerah Jelebu,Tuan Hj Zulkifli Baharan bertanya sesuatu kepada En Nordin Kitam, Pengerusi JKKK Kg Ulu Klawang.




Pihak Bomba masih berusaha memadam api.


Kereta Puan Maria Chembeng turut musnah yang diletak di anjung rumahnya.








Pada 11.4.2009 yang lalu Rumah Pn Mariani Chembeng ini telah dirempuh lori membawa getah buku juga dalam perjalanan ke Kuala Klawang. Beliau dan keluarganya terselamat. Namun seorang penunggang motosikal setelah bergesel dengan lori tersebut lalu ,terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.




Keadaan Rumah Puan Maria Chembeng dalam trajedi di rempuh lori getah.



Yang Berhormat Dato Rais Yatim ,Menteri Penerangan ,Kebudayaan dan Komunikasi ,Ahli Parlimen Jelebu merangkap Ketua UMNO Bahagian Jelebu telah turun melihat peristiwa malang yang menimpa Puan Mariani Chembeng ini.Turut hadir YB Tuan Siow Chen Pin Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan & Kerajaan Tempatan /Adun Chennah,YB Dato Zainal Ahmad Adun Lui dan ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jelebu.
YB Dato Rais Yatim telah memaklumkan bantuan kepada kemalangan dan kesedihan yang menimpa kepada Puan Maria Chembeng akan diusahakan secepat mungkin.
Dan YB Dato Rais juga meminta pihak JKR membuat kajian terhadap jalanraya yang berliku ini akan dapat luruskan bagi mengelakkan kemalangan berlaku lagi .Peristiwa malang ini merupa kali kedua berlaku terhadap rumah Puan Mariani dari arah dan lokasi yang sama.

Monday, December 7, 2009

Karnival Usahawan Peringkat Negeri Sembilan



KUALA KLAWANG

Karnival Usahawan peringkat Negeri Sembilan telah berjaya di adakan pada 5 hingga 6 Disember, 2009 bertempat di Dewan Maljlis Daerah Jelebu,Kuala Klawang, Jelebu. Majlis perasmian disempurnakan Yang Berhormat Dato Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Malaysia pada 05 Disemaber, 2009 jam 10.30 pagi. Karnival tersebut mendapat kerjasama Biro Ekonomi UMNO Bahagian Jelebu.
Turut hadir YB Datuk Yunus Rahmat, Pengerusi Jawatakuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri, Negeri Sembilan ,Ybg Dato Ibrahim ,Pegawai Pembangunan Kemajuan Negeri (PKNS) Negeri Sembilan dan Pegawai Daerah Jelebu .



OBJEKTIF PROGRAM:

* Memberi pendedahan kepada masyarakat usahawan akan peranan MITI adan agensi melalui seminar, bengkel dan pameran * Menjadi plaltform bagi menyampaikan maklumat mengenai kemudahan dan peluang yang disediakan oleh MITI dan agensi kepada bakal usahawan dan masyarkat umum * Mengwujudkan jaringan perniagaan kepada usahawan sedia ada dan untuk mengukuhkan rantaian perniagaan mereka * Sebagai saluran kepada kepada persatuan,pertubuhan dan konsortium yang berasaskan keusahawanan untuk menjelaskan aktiviti mereka kepada masyarakat.
Pameran Karnival Usahawan, Klinik Usahawan dan Business Matching dan Demo serta Promosi Produk Usahawan juga diadakan di booth yang telah disediakan.



Masyarakat telah berpeluang mengikuti Seminar 1 ' Keusahawanan mengikut Disiplin dan Integriti Islam ' pada sebelah petang pada 05 Disember,2009. Pada 06 Disember,2009 'Usahawan /masyarakat dapat mengikuti : Seminar 2 'Jejak Usahawan Berjaya, Seminar 3 Tembusi Keberhasilan Peluang-Peluang Perniagaan, dan Seminar 4 : Kemudahan Insentif Perniagaan.



Seramai hampir 50 Pemamer telah sama-sama mengambil bahagian menjayakan promosi produk-produk yang diusahakan mereka yang terdiri dari Koperasi Syarikat dari Negeri Sembilan dan Daerah Jelebu sendiri.
Karnival ini amat baik dan merupakan kali pertama pihak MITI menganjurkan program saperti ini diNegeri Sembilan.

Di samping itu pihak Biro Ekonomi UMNO Bahagian Jelebu dengan kerjasama pihak MITI menganjurkan kursus latihan usahawan dalam bidang membuat kek dan pastri, Urutan Tradisional, Jahitan manik dan Gubahan bunga bertempat di Hotel Sri Klawang mulai 06 Disember, 2009 hingga 12 Disember,2009.



Sambutan amat menggalakkan dari Cawangan-Cawangan namun oleh kerana tempat terhad saperti yang ditetapkan urusetia iaitu 30 bagi setiap unit tersebut.Tenaga pengajar, terdiri dari pakar dalam bidang masing-masing adalah disediakan pihak Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sendiri. Kursus ini adalah pecuma dan tempat penginapan di Hotel Seri Klawang.

Adalah menjadi harapan kerajaan agar lebih ramai usahawan akan lahir di Daerah Jelebu ini khasnya melibatkan diri dalam bidang pembangunan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan masing-masing.
Kami rakyat dalam Parlimen Jelebu merangkumi DUN Klawang,DUNChennah,DUN Pertang dan
DUN Lui merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Hj Amran Hj Sameon ,Pengarah Seksyen Fasilitasi Perdangan dan Teknologi MITI telah membawa program pembangunan Usahawan "Hands On " di Daerah Jelebu ini.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...