Friday, May 14, 2010

Terima Kasih Cikgu

GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini.

Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.

Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir.

Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru.

Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.

Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.

Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara.

Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa.'

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.

Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan.

Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.

''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar.

''Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.

''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.

Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.

''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat.

''Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.

Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.

''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.

Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini.

Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.

''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara.

''Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.

Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.

Wednesday, May 12, 2010

Apakah tanda utama di mana sebuah negara boleh dianggap sudah menjadi negara maju?

Adakah apabila negara itu mencapai tahap negara berpendapatan tinggi? Atau negara yang mempunyai bangunan-bangunan pencakar langit? Atau negara yang mempunyai lebuh raya berselirat di seluruh wilayahnya? Atau negara yang mempunyai universiti hebat?

Bagi penulis ini, tanda utama sesebuah negara sudah mencapai tahap maju ialah kemampuannya untuk menyediakan pengangkutan awam kepada rakyatnya. Khususnya bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Pengangkutan awam yang cekap mesti dapat dilihat di bandar-bandar besar negara-negara maju, paling utama di ibu kota. Usaha menyediakan pengangkutan awam yang cekap, murah dan selamat merupakan cabaran besar kepada mana-mana negara. Ia menguji bukan saja kemampuan ekonomi, perancangan sesebuah negara tetapi lebih penting lagi ialah keprihatinan terhadap golongan sederhana dan rendah yang terpaksa berulang alik menggunakan kenderaan awam.

Apabila disebut pengangkutan awam, tentunya ia merujuk kepada keretapi transit laju ringan (LRT), bas dan teksi. Malangnya bagi mengatur sistem rangkaian pengangkutan awam di bandar-bandar memerlukan keupayaan menyelesaikan pelbagai masalah serta isu yang berkait serta berangkai-rangkai melibatkan pelbagai pihak berkuasa dalam sesebuah negara.

Orang biasa dan kebanyakan khususnya mereka yang menjadi pengguna pengangkutan awam dengan berlatarkan pendapatan sederhana dan rendah bukan saja tidak mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi mereka sendiri tidak memiliki kuasa. Bagaimanapun , apa yang mereka boleh lakukan hanya mengeluh dan menyumpah-nyumpah pihak berkuasa apabila mereka terpaksa sampai ke tempat kerja lewat dengan berasak-asak berada dalam komuter kerana gerabak yang tidak cukup. terpaksa bangun awal pagi dan balik lewat kerana pengangkutan awam yang tidak cekap ini.

Sedangkan mereka yang mempunyai kuasa dan mempunyai tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah pengangkutan awam baik secara keseluruhan atau sebahagiannya adalah terdiri daripada mereka yang tidak menggunakan pengangkutan awam.

Dipertanggungjawabkan

Tentunya mereka yang mempunyai kuasa melalui jawatan-jawatan yang dipertanggungjawabkan baik berupa politik mahupun perkhidmatan awam di samping birokrat dan teknokrat adalah golongan yang berpendapatan sederhana tinggi, kalau tidak pun tinggi. Dengan pelajaran yang tinggi lebih-lebih lagi mempunyai pendedahan kepada sistem pengangkutan awam di negara-negara maju tentunya mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Tetapi tentunya golongan ini mempunyai kenderaan sendiri, malah memiliki pemandu sendiri, dan tidak akan berasakan kesusahan yang ditanggung oleh orang ramai yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam.

Sememangnya kini di negara ini, banyak warga asing yang menggunakan pengangkutan awam. Apatah lagi golongan seperti mereka yang tidak akan mengadu atau mengenakan desakan supaya sistem pengangkutan awam di negara ini diperbaiki. Tetapi suara warganegara Malaysia sendiri yang mendesak supaya langkah segera baik berupa jangka pendak dan jangka panjang terhadap pengangkutan awam juga tidak kuat kedengaran.

Tidak terdapat badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhususnkan perjuangan mereka untuk memperbaiki pengangkutan awam. Persatuan-persatuan pengguna di negara ini mempunyai pelbagai agenda dan dalam keadaan ini, isu pengangkutan awam pasti tenggelam.

Tetapi ada sebuah NGO yang khusus memperjuangkan pembaikan pengangkutan awam di Malaysia. Bernama Transit Malaysia, yang tujuannya adalah untuk memberi suara kepada pengguna pengangkutan awam. Bagaimanapun, ia belum menjadi kumpulan pendesak yang berkesan.

Bukanlah tidak ada kemajuan sejak 10 dan 20 tahun lalu dalam hal pengangkutan awam. Daripada usaha memperkenalkan bas mini, yang muncul dalam pelbagai bentuk, kemudian disusun semula sistem bas di Lembah Klang dengan pelbagai cara. Antaranya penggunaan laluan bas khsusunya mereka. Begitu juga dengan usaha memperkenalkan Komuter dan LRT. Banyak kemajuan tetapi bukan saja tidak cukup, pengguna pengangkutan awam masih tidak dapat menikmati perkhidmatan secara cekap dan berkesan.

Mengapa aktivisme bagi memperjuangkan penggunaan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan tidak sampai pada tahap yang dapat merobah terus suasana perjalanan di negara ini?

Para pengguna pengangkutan awam umumnya akan sampai ke satu peringkat kehidupan di mana mereka akan menukar cara hidup kepada menggunakan pengangkutan persendirian. Apabila sudah menggunakan kereta, maka lambat laun mereka akan lupa tentang kesengsaraan yang dilalui oleh orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam.

Sedangkan golongan pengguna pengangkutan awam adalah daripada kalangan majoriti. Tetapi yang menentukan nasib mereka dalam kehidupan selesaan untuk pergi ulang alik bekerja berada pada tangan golongan minoriti yang tidak menggunakan pengangkutan awam.

Sedangkan kesenangan dan kekayaan yang dinikmati serta dimiliki oleh golongan minoriti ini adalah amanah untuk turut membela dan menyeratakan kemakmuran negara pada golongan majoriti yang sememangnya berpendapatan sederhana dan rendah.

Justeru, mereka yang memandu kereta-kereta indah di lebuh-lebuh raya negara yang terbentang panjang mesti tidak saja menrungut mengenai kesesakan lalu lintas yang menyukarkan mereka untuk tempat kerja, tetapi pada waktu sama turut membantu menyelesaikan masalah pengangkutan awam lebih-lebih lagi jika ia memiliki kuasa dan pengaruh dalam bidang itu.

Oleh ZIN MAHMUD

Monday, May 3, 2010

MEB perlu ambil iktibar kelemahan pelaksanaan DEB

Syukur, Datuk Seri Najib Tun Razak faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan kaumnya sendiri ketika memimpin negara dalam tempoh mencabar ini.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya tidak berhajat menghapuskan polisi afirmatif sebaliknya akan menyemak pelaksanaannya secara adil dan telus berdasarkan kepada merit dan keperluan.

Bumiputera sebagai penduduk majoriti negara ini pasti berasa lega dengan jaminan itu.

Sebagai pemimpin utama negara adalah kesilapan besar jika Najib gagal memahami keperluan semua kaum di negara ini terutama orang Melayu dan Bumiputera.

Pun begitu MEB perlu mengambil iktibar kelemahan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Hanya ada 10 tahun sahaja tempoh MEB untuk melonjakkan ekonomi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Kita tidak ada masa untuk dibuang bagi melayan tohmahan dan kritikan kurang membina tatkala pelbagai cabaran harus diharungi untuk kita maju ke hadapan.

Jangan ulangi faktor-faktor yang menyebabkan DEB gagal. Sikap negatif yang merosakkan matlamat DEB harus menjadi panduan jika kita mahu MEB berjaya capai matlamatnya.

Tidak sesuai rasanya rakyat diajak menghentam MEB sedangkan ia baru diperingkat rangka, malah rakyat diseru bersama-sama untuk memberikan buah fikiran.

Dalam temu ramah dengan Bernama kelmarin, Najib menjawab apa yang telah menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat.

Dalam konteks meneruskan dasar afirmatif dalam membantu kaum Bumiputera, janganlah kaum-kaum lain berasa keperluan mereka pula diketepikan.

Sejak 53 tahun negara kita merdeka, belum ada dasar yang membantu Bumiputera menyebabkan kaum lain kerugian.

Kita yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, jika ada kaum yang berasa dipinggirkan daripada arus pembangunan, ia sebenarnya tidak akan berlaku.

Melalui Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan terbaharu Model Ekonomi Baru, semua menjurus untuk kesejahteraan hidup rakyat dan kemajuan negara.

Sebab itu, jika ada pihak bimbang kononnya MEB mungkin menghakis kepentingan kaum Bumiputera, ia juga ternyata tidak benar. Untuk menjayakan MEB, Najib menekankan aspek ekonomi yang lebih mesra pasaran, di samping kebajikan bukan Melayu dan bukan Bumiputera juga dipelihara.

Dalam MEB, kerajaan akan menyusun strategi memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat secara menyeluruh melibatkan semua peringkat.

MEB yang dilancarkan pada 30 Mac lalu kebetulan jatuh selang beberapa hari menjelang setahun Najib sebagai Perdana Menteri ini memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Jadi, dalam tempoh setahun ini beliau telah mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan negara.

Adalah penting dasar-dasar dan pembaharuan yang diperkenalkan Najib disenangi oleh pelbagai golongan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...