Tuesday, November 29, 2011

Lelaki lebih terdedah pada diabetes jenis 2


LELAKI lebih terdedah dengan diabetes peringkat 2 kerana faktor biologi dan pemakanan.

SEORANG pengkaji dari Universiti Glasgow, Scotland, Profesor Naveed Sattar berkata lelaki lebih terdedah kepada penyakit diabetes jenis 2 berbanding wanita disebabkan faktor biologi dan pemakanan.

Kenyataannya itu berdasarkan kajian terhadap 51,290 lelaki dan 43,137 wanita di Scotland dengan mengambil kira berat badan, faktor kegemukan serta indeks jisim badan (BMI) mereka.

Kata Sattar dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Diabetologia itu, kebanyakan lemak lelaki tersimpan di dalam organ seperti limpa dan buah pinggang manakala wanita di pinggul dan muka.

Diabetes jenis 2 terjadi disebabkan terlalu banyak gula dalam badan hingga merosakkan buah pinggang dan organ lain.

Katanya lagi, penyakit itu dapat dicegah dengan mengurangkan berat badan berlebihan, makan makanan yang sihat dan seimbang selain selalu bersenam.

Kurang gula dalam darah disebabkan keturunan

PROFESOR Stephen O Rahilly dari Universiti Cambridge, Britain, percaya penyakit kurang gula dalam darah disebabkan faktor keturunan.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan kajiannya ke atas 1,000 orang bayi yang berpotensi mendapat penyakit itu kelak.

Katanya, ini disebabkan terdapat mutasi dalam gen bayi berkenaan sekali gus mendorong kepada penyakit itu. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Science.

Namun, Rahilly memberitahu, kecenderungan individu menghidap penyakit itu berkurangan sekiranya dia mengambil ubat yang sesuai selain menjalani rawatan pemulihan berkala.

Suhu panas rosakkan ubat

APABILA pulang dari klinik atau farmasi, pasti pada bungkusan ubat yang dibeli itu tertera aturan penyimpanan iaitu perlu disimpan di tempat yang kering dan sejuk.

Peringatan tersebut mempunyai sebab. Ini kerana ubat-ubatan mudah rosak jika dibiar terdedah kepada suhu yang terlalu panas.

Dalam satu kajian oleh sekumpulan pakar dari Perkhidmatan Maklumat Ubat-ubatan, Universiti Butler, Indiana, Amerika Syarikat, mendapati suhu udara melebihi 30 darjah Celcius boleh merosakkan bahan aktif di dalam ubat.

Ahli farmasi yang turut serta dalam kajian ini, Dr. Amy Peak, memberitahu, beberapa ubat-ubatan yang tidak tahan pada udara panas ialah insulin, hormon tiroid, ubat berkaitan dengan aerosol dan inhaler.

Walaupun ada pengeluar ubat yang mendakwa produk mereka boleh bertahan dalam suhu lebih 30 darjah Celcius, tetapi seeloknya ia disimpan di dalam kotak yang jauh daripada suhu panas.

Apabila anda membawa ubat-ubatan ketika bercuti atau mengembara, simpanlah ubat di dalam kabin, bukannya di ruang penyimpanan kargo. Jangan sekali-kali meninggalkan ubat di dalam kereta yang diparkir di kawasan lapang kerana kepanasan dalam kereta boleh mencecah sehingga 71 darjah Celcius.

EKSTRA: Lelaki dan perempuan menggunakan kaedah berbeza untuk menangani tekanan dan mengekspresi emosi. Lelaki pada umumnya sering berdepan gangguan perilaku, penyalahgunaan atau antisosial sedangkan wanita pula lebih kerap mendapat sindrom cemas atau berdepan kemurungan apabila tertekan.

Ubat bertukar racun



PENGGUNA perlu merujuk kepada pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan

DEWASA ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.

Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.

Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini.

Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.

Ujian

BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki).

Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.

Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat digunakan.

“Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar.

“Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,” katanya.

Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna.

“Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak.

“Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.



JANGAN berhenti mengambil ubat-ubatan moden walaupun serasi dengan ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan

Pakar

Katanya lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan moden walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif.

“Ini kerana ubat-ubatan tersebut dapat membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada melarat.

“Ubat moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit mula menunjukkan kesan positif,” katanya.

Ujarnya lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya antara ubat-ubatan.

“Ubat tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam badan sama seperti ubatan moden.

“Jika saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya pada individu itu selain mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan buah pinggang,” katanya.

Razak menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada adalah faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional.

“Sentiasa rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika ragu-ragu, beli ubat tersebut di farmasi berdaftar,” katanya.

Seorang pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Aida Azlina Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil ubat-ubatan tradisional.

“Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan ubat tersebut.

“Ini kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut keperluan boleh bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk TCM supaya bertanya kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya.

“Mungkin ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Teliti dahulu kandungannya serta rujuklah pakar.

“Selain itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden kerana kebanyakan ubat sebegini telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum diluluskan,” katanya.

Diabetes sebabkan mati mengejut


BERAT badan berlebihan menjadi punca utama masalah diabetes di Malaysia.

KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert, 58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan ramai orang.

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, pada tahun 2009.

Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.

Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.

Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.

Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.

“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.

Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar yang berpunca daripada diabetes.


AMALAN pengambilan makanan seimbang boleh mencegah penyakit diabetes.

Obesiti

“Statistik itu hampir sama jika dibandingkan dengan pesakit di Malaysia.

“Justeru anda seharusnya mengambil langkah yang penting bagi mengelakkan kedua-dua penyakit yang boleh meragut nyawa itu,” katanya ketika membentangkan hasil kaji selidik pesakit diabetes PPUKM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam kaji selidik tersebut, pihaknya mendapati majoriti penghidap penyakit itu terdiri daripada mereka yang mengalami obesiti.

Perkara itu dibuktikan apabila 62 peratus responden dalam kajian tersebut adalah terdiri mereka yang mengalami obesiti ketika pertama kali didiagnosis dengan diabetes.

“Pesakit yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan mempunyai risiko yang besar dalam menyebabkan komplikasi penyakit diabetes.

“Justeru perkara utama yang perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit jantung dan angin ahmar serta penyakit bahaya lain yang disebabkan oleh penyakit diabetes adalah dengan mengawal berat badan,” katanya lagi.

Kebimbangan terhadap penularan penyakit tersebut perlu diambil kira kerana kira-kira seorang daripada tujuh rakyat Malaysia merupakan penghidap diabetes.





GANGREN atau kematian sel sering dikaitkan dengan kesan penyakit diabetes.

Tambah Nor Amin, kaedah utama untuk menjauhkan diri daripada masalah diabetes adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Bukan sahaja dengan mengawal makanan yang diambil bahkan bersenam sebagai kaedah pencegahan.

“Jika kita mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat sekarang, ini bermakna statistik obesiti dan penyakit diabetes di negara ini akan menurun dalam tempoh 20 tahun lagi.

“Memang payah untuk mengurangkan berat badan dan mengawal diabetes. Tetapi dengan kaunseling yang betul dan intervensi gaya hidup, hal ini boleh diatasi,” katanya.

Jelas Nor Azman lagi, ibu bapa seharusnya peka terhadap masalah obesiti dalam kalangan anak-anak kerana masalah obesiti di peringkat umur tersebut sukar dikawal kerana faktor perkembangan sel.

Berbeza pula seseorang yang mengalami kegemukan pada usia dewasa kerana ia kurang melibatkan penghasilan sel lemak baharu.

“Kegemukan pada usia kanak-kanak melibatkan penghasilan sel. Justeru adalah begitu sukar untuk mengurangkan berat badan mereka.

“Berbeza pula bagi golongan dewasa kerana kegemukan berlaku akibat pembesaran saiz sel tersebut dan lebih mudah untuk menurunkan berat badan,” tutur Nor Azmi.

Mercu, simbol kebanggaan rakyat



SETIAP kali memandang kompleks Istana Negara baharu yang tersergam indah di kawasan bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur, seorang lelaki tersenyum bangga.

Senyuman itu besar kepuasannya. Bagi Pengarah Projek Istana Negara, Md. Nizam Md. Sheriff, walaupun masih baru dalam dunia pembinaan, dia berjaya membuktikan kemampuan menyiapkan projek bernilai dianggarkan hampir RM800 juta itu mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Hasilnya cukup menakjubkan. Anak tempatan itu berjaya berdiri sebaris kontraktor terkenal dunia dengan mengubah landskap asal hutan berbukit kawasan seluas 39.52 hektar menjadi sebuah kompleks yang mengangkat mercu dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan negara ini.

Lelaki berusia 41 tahun itu menjadi antara nadi penting bagi projek tersebut sehingga pembinaan istana berjaya direalisasikan dalam tempoh kurang empat tahun.

Md. Nizam boleh berbangga kerana dulunya, beliau hanya seorang pegawai sebuah bank yang lebih arif mengenai selok-belok kewangan.

“Sebelum ini saya banyak menguruskan dokumentasi kontraktor-kontraktor yang mahu membuat pinjaman. Dari situ saya belajar banyak perkara sebelum menceburi bidang ini kira-kira 11 tahun lalu.

“Projek pertama saya ialah membuat longkang di sebuah kawasan di Bangi yang menelan kos hanya sekitar RM18,000. Itu telah menjadi pembakar semangat untuk maju dalam bidang ini,” katanya yang berpengalaman melaksanakan projek perumahan dan pelbagai infrastruktur di sekitar ibu negara sebelum ini.

Bukan mudah


KEDUDUKANNYA di kawasan bukit berhampiran Jalan Duta menyerlahkan imej Istana Negara sebagai simbol kedaulatan negara

Pengarah Projek Maya Maju (M) Sdn. Bhd. itu berkata, dia tidak menyangka rezekinya semakin melimpah-ruah dalam bidang itu termasuk tawaran projek pembinaan Istana Negara baharu pada tahun 2007.

Anak kelahiran Kampung Semeling, Merbuk, Kedah itu berkata, pembinaan sebuah kompleks berskala besar seperti itu tidaklah semudah yang disangkakan.

“Jika membina sekolah atau bangunan pencakar langit sekalipun, ia masih mempunyai penanda aras, namun keadaan adalah sebaliknya bagi Istana Negara.

“Apa yang pasti, ia kelihatan luar biasa dan istimewa berbanding bangunan-bangunan lain, sesuai dengan kedudukannya sebagai tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang menjadi lambang kedaulatan sistem beraja di negara ini,” jelas bapa kepada empat cahaya mata itu.

Cabaran seterusnya, kata Md. Nizam, ialah ketika kerja-kerja pembinaan dimulakan pada pada tahun 2008.

“Berdasarkan kajian tanah, secara kebetulan tapak kompleks ini mempunyai banyak batuan keras semula jadi yang saiz dan beratnya dianggarkan mencecah jutaan tan metrik.

“Disebabkan itu, kami terpaksa bekerja siang dan malam memindahkan dan meletupkan batuan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Pada masa yang sama, kami juga berdepan dengan tekanan menyelesaikan aduan penduduk sekitar yang mendakwa terganggu ekoran kerja-kerja yang dilaksanakan,” ujarnya.



MD. NIZAM (kanan) bersama Pengurus Projek Istana Negara, Abdul Razak Md. Yunus menunjukkan model Istana Negara baharu yang telah siap sepenuhnya September lalu.

Jelas Md. Nizam, fasa seterusnya merangkumi pemasangan cerucuk, struktur, binaan, reka bentuk bangunan dan kemasan hiasan dalaman.

Sepanjang tempoh itu, jelasnya, tapak projek itu sering dikunjungi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diberi tanggungjawab oleh Majlis Raja-Raja untuk memantau projek berkenaan.

“Baginda sanggup mengetepikan protokol untuk melawat tapak projek dan banyak memberi idea daripada mula sehingga akhir perlaksanaannya,” katanya.

Dedikasi selama tiga tahun lapan bulan itu membuahkan hasil apabila kompleks itu siap sepenuhnya pada September lalu dan bakal digunakan dalam upacara rasmi pertamanya Disember nanti.

Arkitek berkaliber

Direka oleh arkitek terkenal, Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. yang pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Istana Darul Ehsan sebelum ini, Istana Negara direka dengan gabungan seni bina tradisional Melayu, Islam dan Eropah.

Ia dibahagikan kepada beberapa ruang utama seperti Lobi Utama, Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan.

Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta.

Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda, selain bilik tetamu diraja.

Seni halus


ISTANA Negara baharu di Jalan Duta mempunyai lokasi yang lebih luas dan dikelilingi kehijauan hutan semula jadi di sekelilingnya.

Md. Nizam memberitahu, setiap bilik dan dewan memaparkan ukiran, lukisan abstrak dan corak bercirikan tradisional Melayu dan Islam.

“Antaranya, penggunaan tulisan khat dan ukiran ayat-ayat suci al-Quran bagi menghiasi ruang singgahsana dan bahagian mihrab surau.

“Proses seni halus ini dilakukan dengan teliti menggunakan tangan melibatkan beberapa pengukir dan penulis khat terkenal di negara ini khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.

Pembinaan istana itu juga melibatkan penggunaan teknologi moden dan terkini seperti bilik kawalan berkomputer untuk mengawal sistem elektrikal dan mekanikal.

Bahagian bumbung misalnya, dilapisi lapisan konkrit untuk mengelak berlakunya sebarang kebocoran di samping penggunaan keluli tahan karat dan antikulat seperti Clean Colorbond untuk memastikan ketahanannya

Antara kemudahan yang turut disediakan di kompleks ini ialah lif, eskalator, tapak pendaratan helikopter, rumah kediaman kakitangan istana dan polis dan tempat meletak kenderaan bawah tanah.

Elemen kehijauan turut ditekankan dengan melalui hiasan landskap di hadapan istana di samping pengekalan hutan-hutan semula jadi di sekelilingnya memberikan suasana redup di samping bertindak sebagai zon penampan bagi tujuan keselamatan.

“Kompleks ini amat istimewa kerana selepas 54 tahun merdeka, inilah kali pertama kerajaan mendirikan Istana Negara bersandarkan kreativiti dan kepakaran anak-anak tempatan.

“Peluang ini mungkin hanya muncul sekali seumur hidup. Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarahnya,” ujarnya mengakhiri perbualan.



Thursday, November 10, 2011

Kenapa Umat Islam Sembah Ka'abah?

Satu hari di majlis hi-tea Inter Faith Gathering di sebuah restoran mamak……

Missionary : Mengapa orang Islam, dia sembah kotak hitam ?
...
Pendakwah : Salah tu bro. Umat Islam sembah ALLAH bukan kotak hitam.

Missionary : Bukankah orang Islam sembah menghadap ke Kaabah, satu kotak berwarna hitam ? Apakah ALLAH itu dalam Kaabah ?

Belum sempat pendakwah menjawab …. Handphone N95 missionary berbunyi ….. Missonary menjawab panggilan telefonnya …. Pendakwah sabar menanti ….. Setelah Missionary selesai menjawab panggilan di N95-nya, dia merenung kepada Pendakwah …. Pendakwah tersenyum ….

Missionary : Mengapa tersenyum ? Bila awak hendak jawab soalan saya ?

Pendakwah : Erm … perlukah saya menjawab soalan awak ?

Missionary : Awak tak ada jawapan ?

Pendakwah : Bukan itu maksud saya. Tadi saya
cuba gunakan teori yang awak gunakan untuk membuat soalan yang awak ajukan kepada saya. Saya dapati awak kurang siuman.

Missionary : Mengapa awak caka begitu ?

Pendakwah : Tadi saya lihat awak bercakap seorang diri, ketawa dan tersenyum seorang diri. Dan awak mencium handphone tu sambil cakap “I love you mom” …

Missionary : Saya bukan cakap seorang diri. Saya bercakap dengan emak saya. Dia yang telefon saya tadi.

Pendakwah : Mana ada emak awak. Saya tak nampak pun emak awak.

Missionary : Emak saya di
Penang. Dia telefon saya, saya jawab gunakan telefon. Apa masalahnya ? (Nada suara Missionary semakin tinggi dan marah). Takkan itu pun awak tak boleh hendak fikir ?

Pendakwah : Boleh saya tengok handphone awak ?

Missionary menghulurkan N95nya kepada Pendakwah. Pendakwah mengambil N95 tersebut….. Pendakwah membelek-belek N95 tersebut …. Pendakwah menggooncang-goncang N95 tersebut sambil mengetuk-ngetuk N95 tersebut ke muka meja … Lantas …. Pendakwah menghempaskan sekuat hati N95 tersebut ke lantai ….. bersepaiiiiiiiiii …..

Merah padam muka Missionary menahan marah.

Pendakwah merenung muka Missionary sambil tersenyum ….

Pendakwah : Mana emak awak ? Saya tengok tak da pun. Saya pecahkan handphone ni pun tak da emak awak dalam handphone.

Missionary : MENGAPA AWAK NI BODOH SANGAT ? Teknologi komunikasi sudah maju. Kita boleh berhubung jarak jauh menggunakan talian telefon dan teknologi wireless. Awak tak guna otakkah ?

Pendakwah : Alhamdulillah (sambil tersenyum) …. Begitu juga halnya dengan ALLAH. Umat Islam menyembah menghadap Kaabah, bukan bermakna umat Islam menyembah Kaabah. Tetapi umat Islam menyembah atas arahan ALLAH. ALLAH mengarahkan umat Islam untuk sembahyang, kena menghadap Kaabah. Ini juga bukan bermakna ALLAH itu ada dalam Kaabah.

Begitu juga dengan awak dan telefon. Emak awak menelefon awak menggunakan handphone Nokia N95, ini bukan bermakna emak awak ada dalam N95 tu. Tetapi Syarikat telekomunikasi menetapkan peraturan, kalau hendak cakap dengan emak melalui telefon kena dail nombor awak, barulah talian akan bersambung antara awak dan emak awak, dan awak boleh berbual melalui N95 walaupun emak awak tiada dalam handphone tu.

Kemudian Pendakwah bangkit dari kerusinya, mengeluarkan wallet, dan menghulurkan RM 1500 kepada Missionary … Nah ini duit untuk awak beli N95 yang baru …. Pendakwah terus meninggalkan Missionary yang masih kelihatan confuse …. Mungkin dia bingung. Bingung kerana Islam mempunyai jawapan kepada segala persoalan berbanding agamanya ……

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...