Wednesday, April 25, 2012

Kewajipan Mencintai Keluarga Nabi Saw


RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.

Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.

Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.

Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.

Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)

Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa'i, Ahmad dan al-Hakim).

Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini". (Dikeluarkan oleh al-Haytami dalam Majma' al Zawaid)

Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Salafussoleh dan Ahli Bait

Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata: "Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: "Demi Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab". (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).

Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: "Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi kami".

Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: "Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu rumahku".

Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait

Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah SAW.

Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala' (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.

Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.

Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: "Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah".

Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan: "Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya".

Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi' bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud: "Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku".

Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.

Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:

Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.

Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.

Ahli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.

Ahli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.

Ahli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.

Ahli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada mereka.

Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.

Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya' al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga Nabi SAW
 Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Sunday, April 15, 2012

Asal-usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Asal Usul Bangsa Melayu
Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.
Keturunannya orang Melayu di Malaysia
Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.
Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.


Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.
Perkembangan Bahasa Melayu
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.
Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.
Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)
Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.
Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
  • ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''
Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...