Friday, June 22, 2012

Jangan takutkan anak dengan hantu


HANTU dan puaka merupakan sebahagian daripada watak-watak yang selalu hadir di sekeliling kita. Ia diceritakan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Ini menjadikan seolah-olah hantu dan puaka itu seolah-olah selalu mengekori manusia.
Sungguhpun watak hantu telah ditafsirkan dengan pelbagai cara dan diceritakan daripada satu individu kepada individu yang lain, namun sangat jarang yang pernah melihatnya sendiri.
Banyak daripada watak hantu yang seram dan mengerikan itu bersumberkan daripada cerita orang lain.
Bagaimanapun, kerana ia menjadi cerita yang dipercayai, watak hantu telah menjadi sebahagian daripada perbualan masyarakat.
Disebabkan cerita hantu mampu menarik minat, mutakhir ini lambakan filem seram telah menguasai industri perfileman kita.
Walaupun filem hanyalah sekadar sebuah medium untuk berhibur, ia boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak.
Anak-anak percaya bahawa hantu atau watak seram itu benar-benar wujud di sekeliling mereka.
Dalam masyarakat Melayu khususnya, hantu telah menjadi sebahagian daripada simbol yang digunakan untuk menakutkan anak-anak yang sering menangis pada tengah malam atau mengawal kenakalan mereka.
Adakah itu cara yang betul dalam mendidik anak-anak? Hakikatnya, mendidik anak untuk takutkan hantu telah menanam konsep baharu ke dalam diri mereka. Ia telah membuatkan mereka percaya bahawa hantu itu sememangnya watak yang menakutkan dan boleh menyebabkan manusia ditimpa musibah.

Menanam kepercayaan awal

Malang sekali, kerana konsep hantu tersebut tidak dapat dibuktikan, ketakutan anak-anak itu terbawa-bawa sehingga mereka dewasa.
Mereka akan takut melalui kawasan kubur kerana kononnya ia menjadi tempat tinggal hantu atau enggan berada di tempat gelap walaupun di dalam bilik kerana kononnya ada hantu.
Sebenarnya, mendidik anak dengan konsep hantu terutamanya ketika anak-anak masih kecil hanya menjadikan mereka manusia yang penakut kepada sesuatu yang diragui kewujudannya.
Walaupun ia mungkin bukanlah pendekatan yang sesuai, tetapi menakutkan anak-anak dengan perkara yang boleh dibuktikan mungkin lebih baik daripada menakutkan mereka dengan cerita hantu.
Misalnya, kalau anak menangis, kita menakutkan mereka dengan harimau atau gajah. Apabila mereka dewasa, mereka akan tahu bahawa harimau atau gajah hanya berada di hutan atau setidak-tidaknya di zoo.
Sebaliknya, kalau kita menakutkan mereka dengan hantu dan ia tidak boleh dibuktikan, mereka akan menggambarkan hantu itu akan berada di mana-mana sahaja.
Hantu boleh berada di dalam bilik air atau pada malam hari. Hantu juga boleh muncul ketika kita tinggal berseorangan.
Sehubungan itu, ibu bapa harus berhati-hati apabila mendidik anak-anak mereka. Jangan mengambil jalan singkat untuk menghentikan anak-anak menangis, sedangkan perbuatan seumpama itu hanya merosakkan keyakinan diri mereka pada masa hadapan.
Apa yang terjadi, biasanya mereka yang menceritakan ternampak hantu itu adalah mereka yang takut kepada makhluk tersebut.
Adakalanya, hantu yang diceritakan itu bukanlah hantu yang sebenarnya, sebaliknya hanyalah imej lain yang pada sangkaan mereka ialah hantu.
Konsepsi mengenai hantu telah menyebabkan wujudnya nujuman penyempurnaan kendiri dalam diri seseorang.
Kita meramal dahulu dan membenarkan kemudian. Apabila ada plastik putih yang terbang pada waktu malam, mereka yang sudah sedia menanam kepercayaan konsep hantu ini segera membuat kesimpulan bahawa itu ialah hantu.
Sesekali, apabila terdengar ada bunyi asing pada tengah malam, mereka menyatakan bahawa mereka sedang diusik hantu.
Kepercayaan awal itulah yang menyebabkan kesimpulan mengenai hantu itu dibuat tanpa berfikir panjang.
Walaupun dalam Islam kita memang disuruh mempercayai kewujudan jin dan syaitan, tetapi tentulah ia bukan seperti yang digambarkan dalam cerita masyarakat kita.
Kepercayaan dan ketakutan yang keterlaluan masyarakat kita terhadap hantu telah mencetuskan watak hantu dengan pelbagai nama dan sifatnya.
Hakikatnya, daripada banyak cerita seram yang kita dengar itu jarang ada antara kita yang pernah menyaksikannya sendiri.

Transformasi pentadbiran tuntut kerjasama semua penjawat awam


2012/06/21
DATUK Seri Dr Ali Hamsa yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa Ahad ini sudah pasti menarik perhatian seluruh kakitangan perkhidmatan awam. Beliau yang akan menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak Sabtu ini sudah menyatakan azamnya untuk menggunakan pendekatan turun padang mendekati anggota perkhidmatan awam, sekali gus mengeratkan hubungan, di samping mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. Bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri itu juga dijangka meneruskan usaha meningkatkan keupayaan pelaksanaan dasar, projek dan sistem penyampaian kepada rakyat, selaras perkembangan semasa yang menuntut setiap pelaksanaan dasar dijayakan dengan sempurna. Pengalaman luas beliau sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sudah pasti dapat dimanfaatkan dalam sektor awam yang mempunyai 1.4 juta kakitangan. Sebagai jentera utama pelaksana dasar kerajaan, khidmat jabatan kerajaan dan kakitangan amat diharapkan bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pelantikan beliau juga diharap mampu memantapkan jentera pentadbiran, di samping penambahbaikan program yang dilaksanakan di bawah pentadbiran KSN sebelum ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Kakitangan awam memerlukan pemimpin dinamik dan sering turun padang bagi memahami masalah, sekali gus menyelesaikan segala halangan yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat. Hampir 28 juta rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar sektor awam terus berperanan menjayakan program transformasi yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dr Ali yang mempunyai pengalaman berkomunikasi dengan sektor swasta sebelum ini membolehkan pentadbiran awam menerima pakai dan mengkaji budaya kerja sektor korporat di jabatan dan agensi kerajaan. Penambahbaikan khidmat sektor awam perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan negara berjaya mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Jika sebelum ini, beberapa rungutan dan kes terpencil membabitkan kelemahan pelaksanaan dasar, kehadiran tokoh berwibawa seperti Dr Ali tentunya akan membawa imej baru lebih positif. CUEPACS dalam reaksi segera turut menyokong pelantikan Dr Ali dengan harapan dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam, sekali gus menjayakan program transformasi nasional. Kerjasama pelbagai pihak di samping gandingan profesional dan pekerja sokongan jabatan kerajaan akan membentuk sistem pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan. Akhirnya negara akan menikmati transformasi pentadbiran yang lebih dinamik. Tentunya Dr Ali tidak bersendirian untuk memajukan sektor awam.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...