Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, rakyat perlu menginsafi dan mengambil iktibar dengan keamanan di samping menghargai nikmat serta kesejahte­raan yang dikecapi.
“Beta menyeru agar seluruh rakyat menjiwai konsep perpaduan sebenar yang tidak dibataskan warna kulit atau agama, tetapi melalui hubungan yang baik, ikhlas serta bertoleransi sesama insan.
“Perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara atau isu sememangnya akan sentiasa ada. Namun, apa yang lebih penting ialah perbezaan tersebut perlu diraikan secara positif.
“Sudah tentu di sebalik jurang perbezaan tersebut, wujud ruang perbincangan yang akan membawa kepada sikap tolak ansur dalam menanganinya secara rasional dan berhikmah,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah demikian dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan baginda ke-67 di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti dekat sini hari ini.
Yang turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz serta kerabat diraja.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin antara yang turut sama pada istiadat berkenaan.
Seramai 812 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena hari keputeraan ba­ginda tahun ini.
Pada istiadat tersebut, baginda turut menzahirkan rasa dukacita dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Baginda yakin kerajaan negeri akan sentiasa memastikan jentera dan kemudahan logistik yang lengkap dalam keadaan siap siaga di samping memperkemas prosedur kerja untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana.
Tuanku Muhriz juga turut berkeyakinan usaha kerajaan dalam membangun dan memajukan ne­geri akan mengutamakan serta memperkukuh prinsip urus tadbir yang baik serta efisien.
Titah baginda, sebarang pertimbangan kepada sesuatu keputusan dasar yang dibuat akan berpaksikan kepada keadilan tanpa meminggirkan kepentingan rakyat.
Baginda turut mengingatkan semua penerima agar sentiasa menjaga tingkah laku kerana masyarakat sentiasa memerhatikan mereka.

-utusan online