Monday, April 26, 2010

BN rampas kembali Hulu Selangor


P. KAMALANATHAN (tengah) diapit oleh Najib dan Muhyiddin serta pemimpin lain selepas diumumkan pemenang di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan, Kuala Kubu Baru semalam.

HULU SELANGOR - Barisan Nasional (BN) merampas kembali Parlimen Hulu Selangor apabila calon parti itu, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil semalam dengan majoriti 1,725 undi.

Jumlah itu hampir sembilan kali ganda lebih besar daripada majoriti 198 undi yang diperoleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala pencabarnya, Zaid yang merupakan bekas menteri memperoleh 23,272 undi.


SATU daripada gelagat petugas jentera yang cuba meraih undi daripada seorang pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Kamaruddin, Kuala Kubu Baru semalam.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Norhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.15 malam semalam di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Baru di sini.

Saturday, April 24, 2010

Reaksi terhadap Model Ekonomi Baru

MODEL Ekonomi Baru (MEB) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mendapat reaksi yang rencam dan pelbagai daripada akhbar-akhbar Cina. Berikut disiarkan beberapa petikan terjemahan akhbar Cina itu yang mengupas mengenai MEB dari pelbagai sudut.
Seorang penulis, Lee Rang menerusi akhbar China Press terbitan 4 April 2010 mengupas mengenai isu itu di bawah artikel bertajuk 'Merobohkan lebih susah daripada membina semula'. Menurut Lee Rang, perkara pokok jika mahu membina MEB adalah perlu dihapuskan sistem lama yang menjurus kepada polisi menghapuskan golongan cerdik pandai. Perjalanan Dasar Ekonomi Baru (DEB) memperlihatkan bahawa rakyat kita terlalu senang dan kaya-raya. Pegawai kerajaan, menteri, ahli politik dan ahli perniagaan seperti tiga dalam satu.
Mereka bergantung kepada kuasa politik untuk meraih keuntungan dan ada yang sanggup menggadaikan kuasa mereka. Selepas 30 tahun pelaksanaan DEB, orang-orang yang membudayakan menjual dan menggadai kuasa ini sudah seperti sel-sel kanser yang merebak dalam masyarakat.
Jika mahu diberi satu harapan baru kepada negara, maka barah-barah ini perlu dibuang. Tetapi barah-barah ini juga merupakan pendukung kuasa politik negara kita.
''Selama beberapa tahun ini, polisi DEB telah mencelarukan antara pegawai kerajaan, ahli politik dan ahli perniagaan. Kerana kepentingan masing-masing, lebih-lebih lagi model ekonomi yang mengutamakan hak- hak orang Melayu, mereka cuba mengaut segala sumber yang sedia ada.
"Di negara kita, sudah tidak ada tempat untuk orang-orang yang cerdik pandai tinggal. Negara kita tidak dapat maju kerana pelabur asing lari. Jika kita mahu mengubah keadaan ini, jika kita tidak benar-benar menghapuskan polisi yang ada dan jika kita hanya mahu mengubah pemikiran sahaja, bukankah ia hanya satu impian semata-mata?" tulis Lee Rang.
Akhbar Sin Chew Jit Poh terbitan 31 Mac 2010 pula menyiarkan artikel yang ditulis oleh Lim See Guan bertajuk 'Kita perlu ada inspirasi'. Menurut beliau, fasa pertama MEB yang mempunyai tiga matlamat dan lapan perubahan strategik turut mendedahkan kelemahan negara. Ia termasuk lebih 80 peratus pekerja negara kita hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala lebih 40 peratus pekerja Malaysia berada di bawah golongan berpendapatan rendah.
Rakyat di negara kita sudah semestinya menggunakan aspirasi untuk merobohkan dinding yang menjadi tahanan diri sendiri. Merobohkan dinding rasis, menyahut cabaran di dunia bebas yang terbentang luas, indah dan menyegarkan jiwa. Ramai juga yang takut untuk berinspirasi dan takut bertindak. Selamanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan tidak mahu melepaskan tangan mereka.
Persidangan Perkasa baru-baru ini, menunjukkan wajah sebenar mereka yang takut kepada perubahan. Jika kita asyik berkisar mengenai 'angka ekonomi kaum', lambat- laun kita akan kembali kepada model ekonomi lama yang mengharapkan subsidi daripada kerajaan.
Jika satu hari nanti sumber kekayaan negara mengecil dan kita asyik bergolak mengira harta orang Melayu, Cina dan India, ia tidak membawa sebarang makna. Perbalahan ini sudah hampir puluhan tahun, tidakkah ia membosankan?
Ramai yang takut kepada dunia bebas di luar sana kerana kehilangan inspirasi. Kita asyik mencari pelbagai alasan untuk mengetepikan kebebasan. Kita mahu mengongkong diri sendiri dalam tembok itu.
Najib perlu menghapuskan orang-orang yang berfikiran kalut ini dan kembalikan mereka kepada dunia inspirasi mereka.
Akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 2 April 2010 pula menyiarkan artikel yang ditulis oleh Wong Chee bertajuk 'DEB sememangnya seronok didengari'. Menurut penulis ini, selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak menggunakan kuasa pemerintahan beliau melancarkan dasar DEB. Dasar ini sedaya upaya membantu sepenuhnya kaum bumiputera dengan meningkatkan kedudukan ekonomi dan pendidikan.
Konsep dan slogan ketika itu banyak yang tahyul dan luar biasa. Seperti mahukan pembangunan ditangani dengan adil dan liberal untuk mencapai matlamat. Kerana itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan MEB fasa satu, jika dibandingkan dengan DEB, ia lebih menaikkan semangat orang ramai. Agenda berpendapatan tinggi bagi orang kebanyakan yang selamanya berpendapatan rendah, ibarat dibawa ke syurga dunia jika berjaya dicapai.
Sebenarnya sejak kegawatan ekonomi 1997/1998, kebanyakan gaji pekerja langsung tidak berubah. Kenaikan gaji tahunan pula tidak melebih RM100. Pendapatan sebegini tidak mampu mengatasi keadaan inflasi ditambah kenaikan harga barang ketika ini.
Di samping itu, kenaikan harga petrol juga membawa maksud sama seperti pendapatan kita dikurangkan.
''Pada penerimaan secara terbuka, dalam menikmati kemampuan mengumpul kekayaan sama ada kita telah berjasa atau sebaliknya, tiada seorang pun yang terlepas daripada apa yang disarankan oleh Perdana Menteri menerusi MEB. Menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum apabila didengari seperti lagu yang merdu dan menusuk jiwa," tulis Wong Chee.

Sunday, April 18, 2010

Kopitiam vs mamak

Restoran kopitiam kini makin popular dan mendapat sambutan orang ramai. Kemunculannya begitu ketara sehingga dalam satu deretan rumah kedai, terdapat tiga restoran seperti itu.
Kalau dulu kopitiam hanya dikunjungi ramai pelanggan kaum Cina kini ia menjadi tarikan semua kaum termasuk orang muda. Kopitiam sekarang tidak lagi kelihatan seperti kedai kopi yang selekeh. Fizikal premis dan hiasan dalaman jauh lebih selesa serta kelihatan moden.
Menunya juga sudah pelbagai, bukan lagi setakat kopi, roti bakar dan telur separuh masak. Nasi lemak rendang masakan Melayu, mee rebus malah teh tarik menjadi antara sajian popular.
Penjenamaan semula kopitiam ternyata membawa kejayaan ketika usaha penjenamaan banyak produk dan perkhidmatan lain tidak membuahkan hasil. Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha berlumba-lumba menyertai perniagaan tersebut. Nama-nama seperti Old Town White Coffee, Georgetown White Coffee, One Asia Station, Bangi Kopitiam, Kluang Station, Pak Hailam, Uncle Lim's, Ipoh Kopitiam dan berbelas-belas jenama lagi sudah tidak asing.
Memang banyak yang boleh diperkatakan tentang fenomena kopitiam termasuk isu-isu dan gosip yang berkaitan. Antaranya terdapat kopitiam terkenal dimiliki oleh tokoh parti pembangkang tertentu. Menurut maklumat, perniagaan kopitiam berkenaan hanya untuk pengusaha Cina dan francaisnya tidak dibuka kepada pengusaha Melayu, India dan Sikh. Sampai begitu sekali pertimbangan rasis yang diambil.
Selain itu, timbul isu banyak kopitiam tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berdasarkan laman web halal Jakim, hanya dua kopitiam iaitu Pak Halim Kopitiam dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai logo halal Jakim sementara kebanyakan kopitiam lain menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf. Lebih mengejutkan siasatan Jakim mendapati ada pengusaha kopitiam mencampurkan arak dalam masakan dan ada juga yang menjual arak. Awang juga kurang senang dengan sebahagian kopitiam yang hanya menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam menu mereka. Bahasa Kebangsaan diabaikan sama sekali sedangkan pelanggan terdiri daripada semua kaum. Ingatlah, Malaysia bukan Hong Kong atau Taiwan.
Sebenarnya banyak persoalan berlegar berkaitan kopitiam termasuk apakah popularitinya akan bertahan lama? Ramai yang yakin terhadap masa depannya dan tidak kurang yang melihat fenomena kopitiam bersifat sementara.
Yang pasti, restoran-restoran mamak yang menerima tamparan dengan kemunculan banyak kopitiam, tidak mahu mengalah begitu sahaja. Banyak restoran mamak dipermodenkan kepada taraf bistro lengkap dengan WiFi dan pelbagai tarikan lagi.
Pada Awang, elok berlaku persaingan yang sihat dan biarlah masyarakat mempunyai banyak pilihan. Sama ada kopitiam akan menguasai pasaran atau restoran mamak akan lebih dominan, kita tunggu. Tetapi Awang ada kecenderungan sendiri. Kalau berada di kopitiam terutama jenama yang bersifat rasis dan tiada sijil halal Jakim, Awang sekadar minum. Berada di restoran mamak pula, ia lebih daripada itu.

Sunday, April 11, 2010

Hoben Jang Hoben disambut seperti wira

SEREMBAN — Skuad Bolasepak Negeri Sembilan yang menjuarai Piala FA malam tadi selepas menewaskan aspukan Kedah 5-4, disambut seperti wira oleh para penyokong dan anggota keluarga pasukan itu.

Skuad yang digelar Hoben Jang Hoben itu yang pulang dengan menaiki bas ditunggu oleh kira-kira 50 penyokong berpakaian serba kuning di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di Rahang hari ini.

Ketua Skuad Bolasepak Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya sewaktu ditemui Bernama melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan kejayaan pasukan itu.

Katanya, selepas kejayaan merangkul Piala F-A ini, skuadnya akan menumpukan perhatian bagi mengukuhkan kedudukan negeri itu di dalam Liga Super serta saingan Piala Malaysia.

Para pemain dijangka berkongsi imbuhan RM400,000 melalui kejayaan mereka semalam selepas berjaya mengondol RM50,000 apabila memasuki separuh akhir.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menjanjikan RM150,000 apabila skuad itu menjejakkan kaki ke peringkat akhir dan tambahan RM200,000, jika pasukan itu membawa pulang Piala FA. - Bernama

Macam nak pecah kepala: Wan Jamak


WAN Jamak riang bersama kapten, Rezal Zambry sambil memperaga pingat juara Piala FA, malam tadi.

Ahmad tak salahkan Helmi

JURULATIH Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui dia patah semangat seketika selepas melihat sepakan penalti pertama Mohd Zaquan Abd Radzak dan selepas itu M Asyraf Al Jafri gagal menggegar gawang Kedah ketika sepakan penalti penentuan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Permainan 120 minit yang terikat pada kedudukan 1-1 itu memaksa sepakan penalti menjadi penentu untuk pasukan bergelar juara dan Kedah mempunyai kelebihan sebaik sepakan Zaquan diselamatkan penjaga gol Helmi Eliza Elias.

“Kalau anda duduk di tempat saya, anda akan merasakan seperti saya yang nak pecah kepala. Selepas Zaquan gagal, saya merasakan Negeri Sembilan akan tewas.

“Selepas itu Asyraf pula gagal tetapi nasib baik Helmi Eliza turut gagal menyempurnakan sepakan untuk membolehkan kami meraih kemenangan,” katanya sejurus tamat saingan final itu.

Meskipun menganggap Negeri Sembilan tidak memiliki kelebihan dari segi pengalaman berbanding Kedah yang sudah empat kali menjuarai trofi berprestij itu, Wan Jamak menyifatkan keserasian pasukannya kini terserlah selepas enam tahun dibentuk.

“Pasukan ini sudah enam tahun bersama, Kedah pula sudah dua tahun bersama-sama Mohd Azraai Khor Abdullah (bekas pengendali). Setiap pasukan memerlukan kerjasama untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff menyifatkan peluang yang terhidang buat Kedah untuk merangkul Piala FA keempatnya, disia-siakan selepas penjaga gol, Helmi Eliza gagal dalam sepakannya selepas penalti M Asyraf Al Japri turut melambung tinggi di atas palang.

Ahmad mengakui Helmi Eliza memang berada dalam senarai pemain yang sepatutnya mengambil sepakan penalti dan bekas penjaga gol kebangsaan tidak dibuai keghairahan untuk menjadi wira.

“Memang Helmi Eliza berada dalam urutan untuk mengambil penalti selepas itu. Kalau sudah memasuki penentuan penalti, ia lebih bergantung kepada nasib. Saya tidak menyalahkannya.

“Kalau melihat pada separuh masa pertama, kami menguasai perlawanan. Saya tidak boleh kata apa-apa, ini bukan rezeki kami,” kata bekas pengendali Pahang yang mahu anak buahnya segera melupakan kekalahan ini dan menumpukan kepada kempen Liga Super selepas ini

Piala FA menuju Seremban

N Sembilan.... 1 Kedah.... 1
(NS menang penentuan penalti 5-4)

SANI Anuar Kamsani muncul wira apabila menyelamatkan penalti Mat Sabre Abu untuk memberikan gelaran Piala FA kedua buat Negeri Sembilan selepas 2003 menerusi kejayaan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti, mengecewakan Kedah pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Ia adalah kali keenam pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan mengulangi final tahun lalu yang menyaksikan Selangor bergelar juara 4-1 selepas kedudukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Selepas terikat 1-1 dalam permainan 90 minit, masa tambahan 30 minit gagal memisahkan kedua-dua pasukan selepas jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-27 disamakan M Shaffik Rahman pada minit ke-38.

Sebaik sepak mula oleh pengadil R Krishnan, Negeri Sembilan bermula garang dengan V Thirumurugan dikerah menyelamatkan pasukannya di garisan gol, namun Kedah mula menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu yang dikawal Sani Anuar.

Tanpa penyerang, Azlan Ismail yang menjalani penggantungan, Kedah meletakkan tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar di tampuk serangan bergandingan dengan rakan dalam skuad kebangsaan, Faizal Abu Bakar.
Langkah itu jelas membuahkan hasil apabila gerakan anak buah Ahmad Yusoff terarah kepada Baddrol dan kegagalan Negeri Sembilan merantainya membawa padah pada minit ke-27 membolehkan Baddrol menyudahkan gerakan satu dua dengan Syafiq Jamal dengan lambungan tenang menerjah jaring ketika Sani Anuar sudah keluar daripada posisinya.

Begitupun, pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila barisan Wan Jamak Wan Hassan hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang muda, M Shaffik Rahman bertindak solo melepasi kawalan pertahanan dan menolak pantas melepasi penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias yang gagal menepis kemas.

Kedah terus mengancam pada babak kedua dengan pemain veteran, Shukor Adan menyelamatkan percubaan deras Faizal yang menuju tepat ke gawang dengan menanduk keluar ketika perlawanan memasuki detik sejam.

Selang tiga minit, S Kunanlan pula gagal memanfaatkan hantaran tepat Zaquan Adha Abd Radzak apabila teragak-agak merembat sebelum diterkam Helmi Eliza.

Shukor membuktikan dirinya turut mampu menyumbang di bahagian serangan apabila mendada lambungan pemain gantian M Asyraf Al Jafri tetapi rembatannya tepat ke dakapan Helmi Eliza pada minit ke-74 untuk memaksa permainan dilanjutkan 30 minit lagi

Milik Negeri Sembilan


NEGERI Sembilan muncul juara Piala FA 2010 selepas menewaskan Kedah 5-4 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Begitupun, kemenangan tersebut diraih menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani tampil sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan terakhir pemain Kedah, Mohd. Sabre Mat Abu untuk membolehkan pasukannya menjuarai Piala FA buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2003.

Ternyata semangat tidak berputus asa yang dipamerkan pemain-pemain Negeri Sembilan sepanjang perlawanan tersebut berbaloi walaupun pada suatu ketika ketinggalan 0-1 namun berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan.

Dengan kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mudah menyerap segala tekanan untuk mengekang serangan yang dilakukan oleh Kedah.

Bagaimanapun, Kedah yang dibarisi rata-rata pemain muda membuka tirai jaringan menerusi Badrol Bakhtiar yang melambung cantik bola hasil gerakan satu dua dengan Mohd. Fadly Baharum sekali gus menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan yang dikawal oleh Sani Anuar pada minit ke-27.

Negeri Sembilan yang tersentak dengan gol pendahuluan Kedah kembali memperkemaskan jentera serangan mereka dan gerakan solo Mohd. Shaffik Rahman berjaya menghadiahkan gol penyamaan buat pasukannya pada minit ke-39 untuk mengikat keputusan seri 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Ketumpulan bahagian serangan Negeri Sembilan yang diterajui Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak agak ketara dan beberapa peluang untuk menambah jaringan dipersia-siakan.

Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan tampil lebih agresif tetapi tetap gagal untuk menggegar gawang.

Kedudukan seri 1-1 kekal sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Begitupun, aksi pada masa tambahan ternyata penuh mendebarkan dengan percubaan-percubaan berbahaya yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Namun, kekentalan barisan pertahanan baik Negeri Sembilan mahupun Kedah berjaya mengekang segala asakan dan menyaksikan jentera serangan kedua-dua pasukan masih gagal untuk memperoleh gol kemenangan.

Pada penentuan sepakan penalti, Negeri Sembilan lebih bernasib baik kerana berjaya menyempurnakannya sebaik mungkin sekali gus tampil sebagai juara Piala FA edisi ke-21 ini.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...