Thursday, March 12, 2015

Selamatkan banglo Syed Sheikh Al-Hadi

12 Mac 2015
PULAU PINANG 11 Mac – Persatuan Pelancongan dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat) menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menyelamatkan banglo milik tokoh Islam terkenal di negeri ini, Syed Sheikh Al-Hadi di Jelutong yang kini menjadi rumah ibadat bukan Islam.
Presidennya, Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiran Mustafa berkata, Jabatan Warisan Negara boleh memulakan langkah itu berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Akta Bangunan dan Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Katanya, jika perkara itu dibiarkan, akan menjadi kerugian besar kepada sejarah peradaban Melayu dan Islam di negeri ini kerana rumah banglo lama seni bina Me­layu klasik itu merupakan sebahagian daripada sejarah penting negeri ini.
“Sebelum ini Rumah Teh Bunga yang berkait rapat dengan Jawi Peranakan di Jalan Hutton berjaya dibaik pulih selepas diperjuangkan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) berdasarkan akta itu dan kami yakin sekiranya ada kesungguhan, sudah pasti satu lagi warisan sejarah Melayu tidak hilang ditelan arus kemodenan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PAWMPP), Tan Sri Mohd. Yussof Abdul Latiff mendedahkan, usahanya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menyelamatkan rumah itu menemui jalan buntu selepas pemiliknya enggan bekerjasama.
Ketika tinjauan Utusan Malaysia di rumah berkenaan pada November lalu, penja­ganya iaitu dua wanita warga emas memaklumkan tempat ber­kenaan telah dijadikan tokong sejak tahun 1950-an.
Mengulas lanjut, Syed Kamalrul Sufian berkata, berdasarkan kajian pihaknya, Syed Sheikh Al-Hadi terpaksa memajak rumah itu kepada ceti pada tahun 1930-an disebabkan kemelesetan ekonomi ketika itu.
Katanya, pada 1942, rumah itu dilelong dan dibeli seorang lelaki bernama Khoo Kim Kee tetapi timbul masalah kerana bangunan itu dimiliki oleh orang Melayu.
“Hanya pada tahun 1952, pembelinya mendapat hak milik untuk menguasai rumah berkenaan dan ketika dijual berharga RM5,000,” katanya.
Sumber –utusan online

Friday, February 13, 2015

Allahyarham Nik Abdul Aziz selamat dikebumikan

13 Februari 2015 12:47 PM
KOTA BHARU 13 Feb. - Jenazah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini kira-kira pukul 10.55 pagi ini.
Jenazah bekas Menteri Besar itu disemadikan bersebelahan pusara ayahandanya, Allahyarham Nik Mat Raja Banjar yang meninggal dunia pada tahun 1975.
Yang turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan barisan kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang.
Terdahulu Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tok Guru bersebelahan rumahnya di Pulau Melaka sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi puluhan ribu rakyat negeri ini.
Malam tadi negara kehilangan seorang tokoh politik dan ulama yang berpengaruh apabila Nik Abdul Aziz meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka di sini kira-kira pukul 9.40 malam.
Bekas Menteri Besar yang disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu itu telah dibawa pulang ke rumahnya sejam sebelum itu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 20 Januari lalu. - UTUSAN ONLINE

Jenazah Nik Aziz ditempatkan di Masjid Tok Guru

13 Februari 2015 9:51 AM
KOTA BHARU 13 Feb. - Jenazah Allahyarham Datuk Abdul Aziz Nik Mat akan ditempatkan di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka di sebelah rumahnya di sini untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan pada pukul 10 pagi ini.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan masuk ke kediamannya mula sesak sejak awal pagi ini dan ribuan orang memenuhi pekarangan rumahnya.
Yang turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan barisan kepemimpinan Pas dari seluruh negara.
Sementara itu, Ahmad dalam ucapan ringkasnya memohon kepada semua yang hadir supaya mematuhi segala arahan yang dikeluarkan bagi memastikan majlis pengebumian berjalan dengan lancar.
“Jenazah Allahyarham akan hanya diusung oleh anak-anaknya, saya mohon kepada semua supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan.
“Kita kehilangan seorang murabbi, ini adalah kehilangan besar kepada semua,” katanya. - UTUSAN ONLINE

PM, TPM ucap takziah 
pemergian Nik Aziz

13 Februari 2015 1:49 AM
KUALA LUMPUR 12 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah di atas pemergian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam ini.
Perdana Menteri yang menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menghentikan seketika ucapan perasmiannya selepas dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tentang perkara itu.
“Saya dimaklumkan oleh Tengku Adnan bahawa Tuan Guru Nik Aziz baru sahaja meninggal dunia.
“Oleh itu, marilah kita sama-sama membaca al-Fatihah dan memanjatkan doa kepada roh Allahyarham semoga disemadikan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Perdana Menteri turut membuat coretan di akaun Twitter miliknya: “Innalillahiwainnailaihirajiun. Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah,”.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah di atas pemergian Nik Abdul Aziz.
“Saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz. Moga roh beliau ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang soleh.” katanya melalui akaun Twitter.

Nik Aziz meninggal dunia




Negara kehilangan seorang tokoh politik, ulama berpengaruh
KOTA BHARU 12 Feb. - Negara kehilangan seorang tokoh politik dan ulama yang berpengaruh apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka di sini kira-kira pukul 9.40 malam ini.
Bekas Menteri Besar yang disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu itu telah dibawa pulang ke rumahnya sejam sebelum itu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 20 Januari lalu.
Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh berkata, seluruh ahli keluarga berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.
“Ayahanda meninggal dunia di sisi seluruh kaum keluarga pada pukul 9.40 malam. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan arwah ayahanda,” katanya dalam sidang akhbar ringkas di pekarangan rumahnya di sini malam ini.
Sementara itu, dalam laman sosial Facebooknya, Nik Mohamad Abduh mengumumkan solat jenazah ayahnya akan diadakan pada pukul 10 pagi esok di Masjid Tok Guru berhampiran rumahnya di Pulau Melaka di sini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin datang menziarahi jenazah ayahnya supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Semoga perjalanan tuan puan dari jauh dan dekat diberkati oleh Allah. Harap patuhi segala arahan bagi mengekalkan keselesaan buat semua dan perjalanan ayahanda menuju Tuhannya,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa pemimpin utama Pas negeri ini seperti Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut berada di rumah Allahyarham.
Malah ribuan orang telah memenuhi pekarangan rumah tersebut dan jalan untuk masuk ke Pulau Melaka sesak.
Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke ICU HUSM dan berada dalam keadaan separa kritikal namun keadannya dikatakan agak stabil pada minggu lalu.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru telah mengikuti rawatan kemoterapi untuk mengubati kanser tersebut sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Beliau yang melepaskan jawatan Menteri Besar pada 6 Mei 2013 turut mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapinya dalam temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada awal tahun lalu.
Nik Abdul Aziz yang mula menjadi wakil rakyat selepas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang dikenali Pengkalan Chepa) pada tahun 1967 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 1986 sehingga sekarang.
Sepanjang pentadbirannya sebagai Menteri Besar selama 23 tahun sejak 1990, beliau memperkenalkan sistem pentadbiran Islam malah telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hukum hudud untuk dilaksanakan di ne­geri ini.

AZRAN FITRI RAHIM, ZAIN ZIN dan MOHD. HAFIZ ABDUL MUTALIB  |  13 Februari 2015

Friday, January 30, 2015

KENYATAAN RASMI KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM), DATUK OTHMAN MUSTAPHA BERKENAAN PENGUMUMAN STATUS PESAWAT MH370

  • 1. Saya mengambil kesempatan bersama seluruh rakyat Malaysia berkongsi kesedihan di atas tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang telah diisytiharkan kemalangan dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut dianggap telah terkorban seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) petang tadi.

    2. Ekoran daripada pengumuman tersebut Kerajaan telah mengesahkan bahwa semua penumpang dan anak kapal telah dianggap meninggal dunia, saya ingin menjelaskan beberapa perkara mengenai kedudukan hukum dan berkaitan dengan tragedi MH370 sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 25 Mac 2014 yang lalu telah mengambil beberapa ketetapan bahawa Solat Jenazah Ghaib tidak perlu dilaksanakan. Sebaliknya semua umat Islam adalah diseru supaya mengadakan tahlil dan doa kepada semua penumpang dan anak kapal MH 370.

    3. Sehubungan dengan itu, Masjid Negara akan mengadakan Tahlil khas sebaik sahaja selesai Solat Jumaat esok, 30 Januari 2015. Manakala, Masjid-masjid di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Putra, Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta seluruh masjid di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga akan mengadakan Majlis Tahlil khas sejurus selepas Solat Jumaat.

    4. Dalam masa yang sama, seluruh masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia adalah dipohon kerjasama untuk mengambil inisiatif yang sama.

    5. Mengenai hal-hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, ianya hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.

    Sekian dimaklumkan.

    “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

    ‘Saya Yang Menurut Perintah’

    DATUK OTHMAN MUSTAPHA
    29 Januari 2015

Antara intipati pengumuman DCA:

* Malaysia isytihar semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat MAS MH370 dianggap telah kehilangan nyawa. Perisytiharan itu membolehkan keluarga mangsa mendapatkan bantuan yang mereka perlukan terutama dalam proses pampasan.

* Malaysia, Australia dan China akan teruskan operasi mencari pesawat yang kini memasuki fasa pencarian laut dalam di Lautan Hindi.

* Kehilangan pesawat MH370 diumumkan sebagai satu kemalangan.

* Malaysia memberi jaminan pencarian pesawat MH370 kekal sebagai keutamaan.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...