Januari 28, 2016
KUALA LUMPUR: Berikut adalah teks penuh ucapan khas Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Pengubahsuaian Bajet 2016 hari ini.
Hal 1: Mukadimah
1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nastain. Selawat dan salam kepada
junjungan besar, Nabi Muhammad Sollal-Lah-hu-a’laihi-wa-sallam.
2. Saya mulakan dengan memetik tafsir oleh para ulamak merujuk firman
Allahu-Taala dalam surah Al-Insyirah bahawa, pada setiap kesulitan dan dugaan
yang kita hadapi, pasti beriring dengannya kesenangan atau kebahagiaan yang
berhikmah.
3. Maka hendaknya, begitulah keyakinan yang wajib ada dalam diri kita
masing-masing dan semestinya yang diletakkan terhadap keadaan pentadbiran dan
pengurusan Kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
4. Disebut orang sejak dahulukala, sekali air bah,... sekali pantai berubah.
Kendati itu, tengahari ini, 28 haribulan Januari 2016, bertepatan 18 haribulan
Rabiul Akhir 1437 Hijrah, satu lagi perutusan penting hendak saya sampaikan,
kerana tampaknya Bajet 2016 turut tertakluk kepada perubahan yang berlaku di
persekitaran ekonomi global.
5. Apa yang saya ingin perkata dan kongsikan hari ini, lebih bersifat
penerangan, perbandingan, penjelasan dan langkah-langkah menangani
situasi-situasi yang negara telah dan sedang lalui dalam pelbagai babak sejak
hampir 2 dekad yang lalu.
6. Lantaran, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana, pada tengahari Khamis,
yang mulia ini, hadirnya di dewan PICC ini, saudara dan saudari di kalangan
pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan
orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.
7. Semuanya hadir ke majlis perutusan khas ini, bagi tujuan mendengar dan
memahami tindakan Kerajaan, mengubahsuai dan menstruktur beberapa
perencanaan ekonomi khususnya berhubung dengan Bajet 2016.
Saudara-saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
8. Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan ini, akan tetap
teguh berpaksikan kepada dua tunjang. Pertamanya, bagi mempastikan
pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga
serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.
9. Makanya, selaras dengan konsep Rakyat Didahulukan, langkah-langkah yang akan
saya umumkan sebentar lagi, merupakan rumusan setelah mengambil kira pendapat
dan pandangan secara menyeluruh.
10. Ini turut dilengkapkan lagi melalui sesi – sesi perundingan dengan
pelbagai economic stakeholders, termasuklah juga syarikat-syarikat GLC,
ahli-ahli ekonomi serta pakar-pakar industri.
11. Bahkan, Kerajaan juga telah mendapatkan idea-idea bernas daripada
pihak-pihak NGO, yang mewakili para pengguna, ahli-ahli perniagaan tersohor
serta pengarah-pengarah perbankan runcit dari pelbagai peringkat.
12. Ternyata sebahagian besar daripada mereka, hadir bersama kita pada
tengahari ini. Terima kasih saya ucapkan di atas semua input dan dokongan
anda,...terima kasih,... terima kasih.
Indeed,... we are all doing this together for our nation.
Hal 2: Perbandingan Senario Ekonomi Negara Sejak 1997/98
Saudara-saudari sekalian,
13. Terlebih dahulu, mari kita himbau senario keadaan ekonomi negara ketika
krisis kewangan Asia sekitar tahun 1997 hingga 98.
14. Pada tahun 1997 hingga 98, negara telah mengalami apa yang disebut
sebagai kegawatan ekonomi. Hinggakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara
Kasar atau KDNK, direkodkan pada negatif 7.4 peratus.
15. Ketika itu, janganlah kita lupa bahawa,... antara kesan besar kegawatan
ekonomi yang berlaku tersebut, telah menatijahkan pemberhentian pekerja secara
mendadak, inflasi meningkat, rizab antarabangsa pula menyusut kepada 59 bilion
ringgit, hatta indeks pasaran saham KLSE jatuh menjunam sehingga mencecah paras
260.
16. Begitu banyak, syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar, sampaikan
segolongan anak-anak kita waktu itu antaranya lepasan SPM dan juga pasca
sarjana muda, ramai yang hancur luluh hasrat dan impian mereka, untuk
menyambung pengajian ke luar negara terbantut, disebabkan Kerajaan masa itu
tidak mampu memberi pembiayaan.
Saudara dan saudari serta rakyat Malaysia sekalian,
17. Jadinya, atas situasi yang melanda itu, Kerajaan yang memimpin pada tempoh
itu, telah mengambil langkah-langkah drastik termasuklah pelaksanaan kawalan
modal atau capital control dan tambatan matawang pada 3.8 ringgit berbanding 1
dolar Amerika.
18. Institusi perbankan telah dirasionalisasi, hutang syarikat swasta
distruktur semula melalui penubuhan Danaharta dan Danamodal. Kerajaan ketika
itu juga, telah melaksanakan pakej rangsangan bernilai 7 bilion ringgit untuk
memulihkan kembali ekonomi domestik.
Saudara dan Saudari sekalian,
19. Seterusnya, negara sekali lagi menghadapi kegawatan ekonomi pada senario
2008 hingga 2009. Ia akibat subprime crisis di Amerika yang memberi impak
kepada ekonomi global, serta kenaikan mendadak harga minyak dunia, sehingga
mencecah 130 dolar Amerika setong, berbanding purata 70 dolar Amerika setong
pada tahun sebelumnya, yakni 2007.
20. Eksport negara pula menyusut lebih 15 peratus. Kesannya, sentimen pengguna
dan keyakinan perniagaan turut terjejas.
21. Ketika itu, saudara dan saudari, saya baru sahaja dilantik sebagai Menteri
Kewangan dan tanpa berlengah lagi, mengambil langkah segera dengan
membentangkan pakej rangsangan ekonomi pertama yang bernilai 7 bilion ringgit
pada November 2008.
22. Beberapa bulan selepas itu, diikuti pula dengan pakej rangsangan kedua
bernilai 60 bilion ringgit pada Mac 2009, untuk terus merangsang aktiviti
ekonomi domestik. Pakej rangsangan kedua ini juga, melibatkan kerjasama dan
inisiatif daripada pihak Kerajaan dan swasta.
23. Tidak cukup sekadar pakej-pakej itu, selanjutnya, selepas sahaja saya
mengambil tampuk kepimpinan negara, pelbagai prakarsa telah Kerajaan rencana
dan laksanakan, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN
sehingga kini.
24. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, demi
memacu Malaysia menjadi Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2020.
25. Hasil mahsulnya, daripada sekian banyak inisiatif dan program transformasi,
Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi negara terus ampuh dengan purata KDNK
5.6 peratus, mengurangkan defisit fiskal Kerajaan daripada 6.7 peratus kepada
3.2 peratus, serta kadar inflasi yang terkawal.
26. Manakala, kita juga bersyukur, kerana kemiskinan tegar telah hampir
disifarkan. Selain itu, sejumlah 1.8 juta peluang pekerjaan telah berjaya
diwujudkan, serta memperkenalkan inisiatif dan program rakyat 1 Malaysia
seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia,
juga program perumahan mampu milik.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
27. Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup,... langit pula
tidak selalunya cerah. Menjengah senario ekonomi negara pada tahun lepas, yakni
2015, Malaysia diuji lagi dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga dan
berada di luar kawalan kita.
28. Harga minyak telah jatuh daripada 100 dolar Amerika, kepada 48 dolar
Amerika setong. Sejak itu, harga minyak terus turun, hinggakan Bajet 2015 perlu
diubahsuaikan.
29. Apa yang berlaku pada tahun lepas, hasil negara daripada sumber berasaskan
minyak, telah jatuh hampir 14 bilion ringgit. Maka, pada 20 haribulan
Januari 2015, bagi pihak Kerajaan, saya telah membentangkan pengubahsuaian ke
atas Bajet 2015, dengan merasionalisasi perbelanjaan serta menyemak semula
sasaran defisit fiskal kepada KDNK, daripada 3 peratus kepada 3.2 peratus.
30. Ingin saya nyatakan bahawa, pengubahsuaian Bajet 2015 tersebut, turut
disokong oleh inisiatif seperti rasionalisasi subsidi minyak yang telah
dilaksanakan terdahulu, walaupun ianya merupakan keputusan yang tidak popular.
31. Syukur kepada Allah, kesemua langkah ini telah berjaya mengurangkan kesan
akibat daripada kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.
32. Bahkan, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s, Standard &
Poor’s dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi dan kedudukan kewangan kita,
dengan mengekalkan penarafan yang baik.
33. Dengan semua ini, saya yakin ekonomi akan mencatat pertumbuhan 5 peratus
dan defisit fiskal kepada KDNK pada 3.2 peratus, seperti yang disasarkan pada
2015. Insya-Allah, laporan sebenar akan diumumkan pada bulan hadapan.
Hal 3: Senario Ekonomi Terkini
Saudara dan saudari sekalian,
34. Bagi tahun 2016 pula, ekonomi global dijangka lebih mencabar. Data semasa
oleh IMF menunjukkan pertumbuhan ekonomi global akan lebih perlahan, iaitu
daripada 3.6 peratus kepada 3.4 peratus.
35. Manakala, perdagangan dunia juga dijangka menyusut, daripada 4.1 peratus
kepada 3.4 peratus. Ini adalah kerana kebanyakan ekonomi negara seperti Afrika
Selatan, Amerika Syarikat, Brazil dan China juga dijangka berkembang
dengan lebih perlahan.
36. Trend ini membuktikan, we are not alone in facing the global economic
challenges. Negara-negara lain juga turut menerima kesan keadaan ekonomi
sekarang yang tidak menentu.
37. Harga minyak mentah dunia pula, terus merudum pada paras 30 dolar Amerika
setong. Setakat semalam, harga minyak mentah Dated Brent telah berkurang kepada
31 dolar Amerika setong, iaitu penurunan 35 peratus berbanding andaian 48 dolar
Amerika, semasa pembentangan Bajet 2016.
38. Perkara ini ternyata akan memberi kesan signifikan kepada hasil negara.
Malah, negara-negara pengeluar minyak turut terjejas ekonomi mereka.
39. Di samping itu, kadar tukaran dolar Amerika terus mengukuh berbanding
matawang lain. Antara matawang tersebut adalah, Real Brazil, negatif 23.2
peratus, Renminbi China, negatif 5.7 peratus, Dolar Kanada, negatif 11.3
peratus, Ruble Rusia, negatif 29.3 peratus dan Dolar Singapura, negatif 5.6
peratus.
40. Sementara itu, nilai Ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika
sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada 3.77 ringgit pada Jun 2015, kepada 4.25
ringgit setakat 27 Januari 2016.
41. Hakikatnya ringgit kini di rendah nilai daripada yang sewajarnya, seraya
tidak mencerminkan asas-asas ekonomi negara. Oleh itu, ringgit dijangka akan
lebih menggambarkan kekuatan sebenar asas ekonomi apabila keadaan pasaran
kewangan global kembali stabil kelak.
Hal 4: Langkah-Langkah Baru dan Terkini
Saudara dan Saudari serta Rakyat Malaysia yang dikasihi,
42. Kesemua perkembangan yang telah saya nyatakan itu, telah mengakibatkan
ekonomi global menjadi tidak menentu, dan tempiasnya ke atas ekonomi domestik
turut memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
43. Menyedari hakikat ini, demi menggalas amanah sebagai Ketua Kerajaan yang
bertanggungjawab, bersama Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri,
pada hari ini, kita mengambil tindakan proaktif untuk membuat pengumuman bagi
melaksanakan langkah-langkah pengubahsuaian terhadap Bajet 2016.
44. Sesungguhnya, inisiatif ini adalah amat penting untuk mempastikan
pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan yang lebih utama, melindungi kebajikan
rakyat. Saya pasti, bersama-sama, kita akan berjaya mengharungi sekali lagi
cabaran ekonomi ini.
We have done it before,... Insya-Allah,... we can do it again.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
45. Seperti mana situasi tahun lalu, sekali lagi saya mahu tegaskan bahawa,...
dengan izin Allah jua,... negara ini tidak dan bukannya berada dalam kegawatan
ekonomi, mahupun technical recession.
46. Malah, dengan berkat usaha dan doa kita bersama, mudah-mudahan pertumbuhan
ekonomi domestik akan terus kekal kukuh, dan berdaya tahan, serta mampu
menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
47. Selain meneruskan dengan langkah-langkah yang dirumuskan pada pembentangan
Bajet 2016 yang lalu, sukacita saya umumkan pula 11 langkah penstrukturan dan
pengubahsuaian, demi mempastikan ekonomi dan kewangan negara, kekal
berada pada jajaran yang betul.
48. Langkah pertama: Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman
KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Walaubagaimanapun,
caruman majikan dikekalkan. Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan
penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.
49. Langkah kedua: Kerajaan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak 2 ribu
ringgit, kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke
bawah, untuk tahun taksiran 2015.
Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak 350 juta
ringgit, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga
475 ringgit. Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar
cukai.
50. Langkah ketiga: Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat,
Kerajaan akan melaksanakan antaranya, perkara-perkara berikut:
Satu: Kerajaan akan meliberalisasikan kawalan kuota import atau AP, bagi lapan
produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi mempastikan bekalan yang
konsisten.
Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan
kambing. Pada masa yang sama, syarat pematuhan kualiti dan keselamatan barangan
import akan terus diutamakan.
Dua: FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet
yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan
buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan 5 hingga 20 peratus lebih rendah
dari harga pasaran.
Buat permulaan, ia akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada bulan Mac hadapan,
dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di pusat bandar lain seluruh negara pada
tahun ini juga.
Tiga: Dalam mempastikan rakyat menikmati harga barangan yang
berpatutan, saya telah mengarahkan KPDNKK untuk mengenalpasti lebih
banyak kedai-kedai jualan harga berpatutan seperti, hypermarket asing dan
tempatan. Jadinya, jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640
buah, kepada seribu kedai kesemuanya pada tahun ini.
Empat: Dalam waktu yang sama, saya mahukan KPDNKK untuk mempertingkatkan
penguatkuasaan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga-peniaga
yang tidak beretika, serta mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang
berlipat ganda atau profiteering.
Lima: Untuk terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan
pengeluaran padi, Kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak 50 ringgit bagi
setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi. Pada
masa yang sama, Kerajaan akan menambah baik pelaksanaan pemutuan sebenar padi
melalui sistem penggredan standard; dan
Enam: Kerajaan amat prihatin, kepada golongan rakyat yang terkesan akibat
kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar. Makanya, program
MyBeras diperkenalkan, di mana setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar,
akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan. Ini merupakan satu
langkah, sehingga Disember 2016, untuk mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
51. Langkah keempat: Berkuat kuasa serta merta ke atas projek perumahan baharu,
Kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu
ringgit, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.
Kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi
rumah yang ditawarkan oleh JPN, PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta
sektor swasta. Lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program ini.
Selain itu, bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga 35 ribu ringgit,
sukacita saya mengumumkan, Kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank
Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4
peratus, dengan dana berjumlah 400 juta ringgit. Inisiatif ini akan memanfaatkan
sejumlah lebih daripada 10 ribu pemilik rumah.
52. Langkah kelima: Selaras dengan apa yang saya umumkan pada Bajet 2016,
sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF yang berjumlah 200 juta ringgit, akan
disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja menerusi
inisiatif reskill dan upskill, termasuklah pekerja yang telah diberhentikan.
53. Langkah keenam: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil,
perkara -perkara berikut akan dilaksanakan:
Satu: Kerajaan akan menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap para
pengelak cukai atau tax evaders.
Dua: Kerajaan bersetuju memberi pertimbangan khas dengan melonggarkan pengenaan
penalti kepada pembayar cukai, bagi menggalakkan pembayar cukai tampil
melaporkan pendapatan tahun ke belakang. Tunggakan cukai tersebut perlu
dilangsaikan sebelum 31 Disember 2016.
Tiga: Untuk Pulau Bebas Cukai, bagi terus mengurangkan ketirisan yang
mengakibatkan kehilangan hasil hampir 1 bilion ringgit, Kerajaan akan
menstruktur semula saluran jualan rokok dan minuman keras, terhad kepada
Kedai-kedai Bebas Cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.
Empat: Pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai akan
diperketatkan di pulau-pulau ini.
Namun, langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan
ini, tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai
ini.
Lima: Kerajaan akan mengoptimumkan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi
melalui pengagihan semula dan proses bidaan, yang akan dilaksanakan dalam masa
terdekat; dan
Enam: Bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, Kerajaan akan membangunkan
beberapa kawasan strategik milik Kerajaan, dengan melaksanakan proses bidaan.
Saudara dan Saudari sekalian,
54. Langkah ketujuh: Kerajaan akan terus memperkemaskan sistem pengurusan
pekerja asing, di mana kadar levi hanya akan diklusterkan kepada 2 kategori
sahaja. Ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.
Selain itu, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan
Penempatan Semula PATI atau Rehiring Programme, untuk memberi peluang kepada
PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah.
Pelaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta
membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan
pemantauan keselamatan.
55. Langkah kelapan: Kerajaan akan lebih berhemah dalam perbelanjaan
terutamanya bekalan dan perkhidmatan, meneruskan usaha merasionalisasi
pemberian geran kepada Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan
GLC, serta merasionalisasi dan menyusun semula entiti merangkumi Company
Limited By Guarantee dan badan berkanun.
56. Langkah kesembilan: Bagi perbelanjaan pembangunan pula, fokus akan
diberikan kepada projek dan program yang mendahulukan kepentingan rakyat, serta
mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.
Projek fizikal yang diutamakan adalah seperti pembinaan rumah mampu milik,
hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan.
Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan
dijadual semula. Langkah ini, dijangka melibatkan pengurangan komitmen
aliran tunai sehingga 5 bilion ringgit serta tidak menjejaskan ekonomi dan
rakyat.
57. Langkah kesepuluh: Institusi kewangan pembangunan atau DFI dan dana modal
teroka atau VC milik Kerajaan, akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak 6
bilion ringgit, dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS dan syarikat permulaan
atau startup companies; dan
58. Langkah kesebelas: Saya menyarankan pihak GLC, agar melaksanakan inisiatif
bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja,
secara berperingkat. Malah, sektor swasta turut disaran melaksanakan perkara
yang sama. Perkara ini akan dipantau oleh EPU.
Saudara dan saudari sekalian,
59. Kini, sektor pelancongan akan diberi lebih tumpuan, kerana peningkatan
kedatangan pelancong boleh merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutamanya
dalam keadaan ekonomi sekarang. Promosi pelancongan domestik akan diperhebatkan
melalui penganjuran penjualan pakej percutian domestik bersepadu.
60. Selain itu juga, Kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelancong asing
dengan mempercepatkan pelaksanaan eVisa kepada beberapa negara yang
dikenalpasti.
61. Sebagai langkah tambahan, sukacita saya umumkan, bahawa pelancong
dari China tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia atau Visa Free,
bermula 1 Mac sehingga 31 Disember 2016, tertakluk kepada syarat-syarat yang
tertentu, bagi tempoh lawatan tidak melebihi 15 hari.
Saudara dan saudari sekalian,
62. Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi
kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan 7 hingga 9 bilion
ringgit, berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak 48 dolar
Amerika setong, Kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang betul
untuk negara dan rakyat.
63. Misalannya, Program Pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus
dilaksanakan. Di sini juga saya tegaskan, bahawa Kerajaan akan mengekalkan
kadar GST seperti sedia ada.
64. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan
mengutamakan program dan projek yang berimpak tinggi berpasakkan falsafah
people economy.
65. Ini, tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan
tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan atau delivery mechanism.
Malah, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk
lantikan secara kontrak.
Bahkan, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan satu Kenaikan Gaji Tahunan
kepada para penjawat awam pada tanggal 1 Julai 2016, seperti yang telah
dijanjikan dalam Bajet.
66. Kesemua langkah berhemat yang dibentangkan sebentar tadi, dijangka dapat
menjimatkan sehingga 9 bilion ringgit perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Saudari dan saudari sekalian,
67. Meski apapun yang berlaku, Kerajaan tetap memberi jaminan dan komited
terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak kita. Dengan ini, Kerajaan
bersetuju, untuk meneruskan empat program tajaan JPA bagi tahun 2016 seperti
berikut:
Pertama, Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM,
untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.
Kedua, Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman
dan Perancis.
Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar, untuk mengikuti
pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam, dan Institusi
Pengajian Tinggi Swasta di dalam negara; dan
Keempat, Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa
untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam
Negara.
68. Seterusnya, peruntukan pembiayaan PTPTN sebanyak 5 bilion ringgit akan
terus disalurkan kepada para mahasiswa.
69. Selanjutnya, bagi mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan,
Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik
IPTA akan diteruskan.
70. Untuk pengetahuan ramai, pada masa ini sahaja, seramai 25 ribu pelajar
telah mengikuti pengajian di bawah program-progam ini. Makanya, sebagai
tambahan, saya mahu menyatakan bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan
tambahan seramai 15 ribu pelajar baru untuk program MyMaster, 5
ribu pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan
diberi tawaran. Kesemua program ini akan diberi peruntukan tambahan sebanyak
300 juta ringgit.
Saudara dan saudari sekalian,
71. Seterusnya, saya ingin menyatakan bahawa:
Pertama: Dengan mengambil kira senario ekonomi semasa, Kerajaan telah membuat
keputusan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2016, kepada 4 hingga
4.5 peratus dan andaian purata harga minyak mentah Brent pula pada 30 hingga 35
dolar Amerika setong;
Kedua: Kerajaan tetap komited mengekalkan langkah konsolidasi fiskal bagi
tahun 2016, iaitu untuk mencapai sasaran 3.1 peratus kepada KDNK;
Ketiga: Kadar hutang negara akan terus berkurangan dan tidak melebihi
paras berhemat 55 peratus kepada KDNK;
Keempat: Kerajaan tidak akan mengenakan kawalan modal dan tambatan ringgit;
Kelima: Dasar monetari yang
akomodatif dan kadar faedah dikekalkan pada paras yang menyokong kegiatan
ekonomi dalam negeri; dan
Keenam: Mempastikan sistem kewangan negara mempunyai kecairan yang mencukupi.
Terbaru, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan penurunan Nisbah Keperluan
Rizab Berkanun atau Statutory Reserve Requirement, daripada 4 peratus kepada
3.5 peratus.
72. Jelasnya, Kerajaan tidak akan berganjak daripada dasar-dasar fiskal dan
monetari, demi keutuhan ekonomi negara.
73. Selain itu, Kerajaan juga bimbang dengan kos gaya hidup rakyat yang tidak
bersesuaian dan melebihi kemampuan mereka. Sehubungan ini, Agensi Kaunseling
dan Pengurusan Kredit di bawah Bank Negara Malaysia, akan memberi bantuan
kepada peminjam yang mengalami kesukaran dalam menguruskan obligasi hutang,
melalui penyusunan semula pinjaman sedia ada. Berita baiknya, kesemua
perkhidmatan ini diberikan secara percuma.
Saudara dan saudari sekalian,
74. Sebagai tambahan, bagi PKS dan syarikat korporat berdaya maju yang mengalami
tekanan kewangan disebabkan oleh persekitaran semasa, Kerajaan turut
menyediakan mekanisme perundingan, melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan
Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat.
75. Dari segi pelaburan pula, saya ingin menekankan bahawa, Kerajaan akan terus
komited untuk mencapai sasaran pelaburan swasta berjumlah 215 bilion ringgit
tahun ini.
76. Contohnya, pelaksanaan projek utama seperti MRT dan LRT, Lebuhraya
Pan-Borneo, Malaysian Vision Valley, Cyber City Center, RAPID Pengerang dan
High-Speed Rail akan diteruskan.
77. Untuk meningkatkan strategic linkages di antara bandar dan luar bandar,
Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan sepuluh lagi UTC di Labuan, Sungai
Petani, Miri, Sibu, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, Keningau, Seremban dan
Kangar.
78. Manakala, empat RTC baharu dijangka siap dibina di Jawi, Pulau Pinang,
Rembau, Negeri Sembilan, Sungai Rambai, Melaka dan Betong, Sarawak pada tahun
ini, Insya-Allah.
79. Seterusnya, bagi menembusi pasaran antarabangsa, MATRADE dan SME Corp akan
memperhebatkan program mid-tier dan Go Export. Selain itu, untuk meningkatkan
kemudahan jaminan kredit bagi tujuan perdagangan, Exim Bank akan menambah dana
pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit.
80. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka,
Kerajaan akan meluaskan pasaran eksport. Kita harus meneroka pasaran baru
melalui penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan bebas, seperti ASEAN
Economic Community atau AEC, dan Trans-Pacific Partnership Agreement, atau TPPA
serta Regional Comprehensive Economic Partnership pada masa akan datang.
Saudara dan saudari sekalian,
81. Berkait isu TPPA ini yang Alhamdulillah telah diluluskan oleh Dewan Rakyat
lewat petang semalam, tidak timbul sama sekali tuduhan oleh sesetengah pihak,
kononnya kita berkompromi tentang soal kedaulatan negara, apatah lagi bersifat
apologetic dalam mempertahankan agenda Bumiputera, ketika berunding dengan
anggota-anggota TPPA.
82. Malah, ketahuilah bahawa hasil kesungguhan dan ketegasan Kerajaan dalam
proses perundingan, akhirnya, anggota-anggota TPPA telah menerima dan
mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di
peringkat global.
83. Ertinya, agenda Bumiputera bukan lagi sekadar menjadi agenda nasional, sebaliknya
kini agenda Bumiputera sudah diangkat dan diiktiraf di persada dunia.
Hal 5: Penutup
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
84. Sesebuah negara maju bukan sahaja kerana dasar-dasar yang betul dan baik,
tetapi juga kerana sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat.
85. Kita semua mempunyai peranan masing-masing, tidak kira samaada pihak
swasta, Kerajaan, NGO, Belia atau Wanita. Tidak kira CEO, Pengarah, Pegawai
Pelaksana, buruh ataupun seorang peniaga kedai.
86. Secara keseluruhannya, dapat saya gariskan lima perkara as the key salient
points:
Pertama: Langkah pengubahsuaian yang saya umumkan tadi merupakan langkah
proaktif, telus dan realistik seiring dengan cabaran ekonomi semasa;
Kedua: Ekonomi negara masih utuh, tumbuh dan berkembang serta berdaya
tahan dipacu oleh aktiviti ekonomi domestik;
Ketiga: Kesejahteraan rakyat akan terus didahulukan dan penyampaian
perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas;
Keempat: Kerajaan komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal; dan
Kelima: Pengubahsuaian bajet ini bertunjangkan kepada prinsip shared
responsibility oleh segenap lapisan masyarakat.
Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
87. Secara kesimpulannya, perutusan penstrukturan dan pengubahsuaian ini, sama
juga seperti perutusan tahun lepas, bukanlah satu bajet yang baharu. Ia masih
di dalam ruang lingkup inisiatif serta peruntukan yang telah diluluskan oleh
Parlimen bagi Bajet 2016.
88. Apa yang jelas, kita faham bahawa, perihal-perihal bersangkut ekonomi dan
fiskal negara, bukanlah perkara-perkara yang mudah dihadam, mahupun difahami
oleh semua peringkat.
89. Bahkan, ia tidak sekadar terletak kepada tanggungjawab dan amanah di
peringkat tertinggi pentadbiran negara.
90. Meminjam kata-kata orang tasawuf, dalam hidup dan kehidupan dan dalam
negara serta berkerajaan, setiap orang perlu memainkan peranan, saling ganding
berganding, berat sama dipikul, ringan pula sama dijinjing, pandanglah yang
Satu kepada yang ramai, pandanglah yang ramai kepada yang Satu, itulah dia
sumber kekuatan.
91. Lantas, sesudah ini, saya berharap tiap lapisan memainkan peranan
masing-masing bagi menerangkan letak duduk keadaan ekonomi dan ikhtiar- ikhtiar
yang tidak kunjung putus diambil oleh Kerajaan yang mentadbir, bagi terus
memperteguhkan keadaan ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat, agar
dampaknya tidak begitu terkesan dan terbeban di bahu mereka.
92. Maksud saya, semua golongan dari pentadbiran Kerajaan hinggalah kepada
cendekiawan yang mahir ilmu pengetahuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut
akan ehwal yang berlaku supaya semua pihak dari se-atas hingga
se-bawah-bawahnya, membawa kepada perbualan di gerai gerai mamak dan teh tarik,
mengetahui seboleh mungkin perihal cabaran serta tantangan yang negara hadapi
kini.
93. Dengan itu, moga-moganya, anak cucu kita kelak, akan memberi rasa hormat
atas setiap kebaikan yang kita capai demi kelangsungan Malaysia yang sebenarnya
bukanlah hak kita, namun adalah hak warisan generasi akan datang.
94. Jelasnya, kita berpegang kepada madah orang-orang tua, berdiam dirilah
daripada berkata yang bukan-bukan, namun bersuaralah kepada perkara yang
berguna. Usah ditanya apakah bakti negara kepada kita, sebaliknya, tanyalah
apakah sumbangan kita kepada nusa dan bangsa.
Saudara dan Saudari,
95. Pucuk pangkalnya, perlu difaham baik-baik, bahawa apa yang sedang dihadapi,
bukanlah kerana kegagalan Kerajaan merancang, tetapi kemelut ekonomi global
yang terus terusan melanda, sememangnya, berada di luar kawalan tangan tangan
kita.
96. Sesungguhnya, setiap keputusan yang kita lakukan hari ini, adalah yang
terbaik untuk rakyat dan pastinya akan terakam dalam sejarah. Bahawa, Malaysia
bukan sebuah negara yang gagal, seperti yang didakwa dan dituduh-tuduhkan, jauh
sekali menjadi bankrap. Nauzubillah...
97. Bahkan,... realitinya kita masih berada dalam keadaan yang stabil dengan
pertumbuhan yang kukuh, sekaligus mampu bertahan lagi kekal terus berdaya
saing. Insya-Allah.
98. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah yang maha berkuasa, semoga akan
terungkai segala masalah, beroleh berkat dan selamat, serta sentosalah
Malaysia, zahir dan batin.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.