Saturday, May 21, 2011
Peniaga Beragama Buddhis Yang Cenderung Menderma Untuk Masjid & Surau
KULIM: Walaupun merupakan seorang penganut agama Buddha, seorang pemilik pasar raya mini, Tan Jai Wei, 46, menjalankan perniagaan yang cenderung ke arah Islam dan banyak bersedekah untuk aktiviti-aktiviti Islam.
Semuanya bermula selepas dia menganjurkan Karnival Sayur-Sayuran untuk membantu tabung mengutip derma pembinaan sebuah masjid di sini enam tahun lalu.
"Saya dilahirkan sabagai seorang penganut Buddha. Sejak saya bermimpikan satu suara ghaib pada malam selepas saya anjurkan Karnival Sayur-Sayuran yang saya adakan khusus untuk memulakan tabung derma membina masjid di Taman Kenari, saya berasa amat tenang dan mula mencintai Islam," kata Tan ketika ditemui Bernama di pasar mininya di Taman Kenari di sini.
Tan, pemilik Pasar Mini Wang Shang itu, membuat pengakuan bahawa pada zahirnya dia seorang Cina dan memeluk agama Buddha tapi pada batinnya dia adalah Islam dan banyak mengamalkan cara hidup Islam termasuk dalam menguruskan perniagaan pasar mininya.
Bermula sebagai seorang pemborong sayur, selama 15 tahun perniagaannya agak kurang stabil, tetapi sejak 2006 dia bertekad untuk mendermakan sebahagian keuntungan yang diperolehinya melalui jualan beras untuk aktiviti masjid dan surau.
Tan berkata, kehidupannya juga sudah berubah apabila dia tidak lagi minum arak, main nombor ekor dan tidak lagi makan makanan yang dilarang oleh Islam.
Sejak 2006 dan selepas menaik taraf perniagaannya dengan mengutamakan penjualan beras secara borong dan runcit, selain lebih mengutamakan kerja amal berhubung dengan Islam, perniagaannya kini semakin maju.
Seperkara yang lebih membanggakan dirinya sejak perubahan itu, Tan kini berjaya menjadi pengedar utama beras paket berjenama 'Kampung Ku' sejak 15 Mei lalu dan diberi kepercayaan oleh sebuah kilang beras di daerah Yan untuk urusan pengedaran komoditi tersebut ke seluruh negara.
Pada paket plastik beras ada tercatat tulisan 20 sen daripada harga beras itu akan didermakan kepada masjid dan surau.
Tan berkahwin dengan Hong Nga Ho, 46, dan mempunyai dua orang anak Tan Tai Wei, 16, belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Chio Min di sini dan Tan Wei Hwa, 11, pelajar tahun empat di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent St Anne di sini.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim Syeikh Radzi abdul Mutalib berkata Tan mempunyai pertalian erat dengan pihaknya dan mengakui dia adalah seorang yang berminat dengan ajaran Islam dan sedang mempelajari selok-belok tentang Islam.
Syeikh Radzi berkata Tan juga seringkali memberi sumbangan berupa barangan dan wang ringgit terutama hasil jualan beras kepada masjid, surau dan masyarakat Islam di daerah Kulim.
Pengalaman guru-guru di Sekolah Tunas Bakti
PELAJAR generasi kini dilihat lebih moden, menjadikan cabaran yang perlu dihadapi mereka yang bergelar guru juga lebih ‘moden’, rumit dan pelbagai.
Sedang guru-guru di sekolah biasa ‘berkerut dahi’ mencari kaedah terbaik berdepan kerenah pelajar nakal atau bermasalah dalam pelajaran, bagaimana pula keadaan guru-guru di sekolah pemulihan akhlak?
Walau disapa sebagai ‘cikgu’ oleh pelajar, cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul mereka tentunya lebih berat berbanding pendidik di sekolah biasa.
Sempena Hari Guru 2011 esok, Mingguan mStar berkongsi cerita dan pengalaman bersama pendidik di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Sambut Hari Guru
Pengetua Sekolah Tunas Bakti (STB), Ismail Arul Raj Amirudin berkata, sambutan Hari Guru termasuk dalam takwim STB walau mereka yang dihantar ke sekolah itu bermasalah dan pernah terlibat dengan jenayah.
“Kalau di sekolah biasa pelajar akan meraikan guru, tapi di sini lain sikit sebab guru dan kanak-kanak akan saling meraikan. Selain terima hadiah, kita pun akan beri hadiah kepada mereka supaya mereka juga rasa dihargai,” katanya kepada Mingguan mStar.
Menurut Ismail, di STB setiap kakitangan berperanan sebagai guru walau tidak terlibat secara langsung dalam mendidik pelajar (dipanggil kanak-kanak).
“Kami ibarat satu keluarga. Kami mendidik, mengasuh, mengawal emosi dan membentuk kanak-kanak dalam proses pemulihan supaya menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara. Dalam masa yang sama kami perlu menjadi ‘role model’ kepada kanak-kanak, sama seperti tugas ibu bapa,” katanya.
Jika tahun lepas acara memotong kek diadakan sempena sambutan Hari Guru, tahun ini Hari Guru akan berlangsung melalui majlis makan malam pada 31 Mei ini.
Dalam pada itu Ismail tidak menafikan terdapat juga golongan yang ‘terlupa’ akan jasa dan pengorbanan guru-guru di sekolah jenis ini.
Namun, itu tidak menjadi masalah besar kerana beliau percaya semua tenaga pengajar mendidik dengan ikhlas.
Terima hadiah
Norhuda Salim, 27, merupakan satu-satunya guru wanita yang terlibat secara langsung dalam mendidik 103 kanak-kanak di STB yang kesemuanya lelaki.
Sepanjang tiga tahun mengajar kanak-kanak membuat perabot dan kraftangan, beliau pernah menerima kad ucapan dan cenderahati daripada kanak-kanak di STB.
“Biasanya dapat kad dan kraftangan yang mereka buat sendiri. Walau kraftangan itu bukan kejutan sebab saya nampak mereka buat dalam kelas saya, tapi saya tetap menghargainya,” katanya.
Berbicara tentang tugasnya, Norhuda berkata dia perlu mengetahui cara untuk mengenali dan mendekati anak didiknya.
“Seronok ajar mereka, tapi cabaran tetap ada terutama bila mereka buta huruf dan tak mahu belajar.
“Setakat ini mereka terkawal dan saya belum pernah saya diapa-apakan. Setakat kena kacau dan pandang-pandang tu biasalah,” jelasnya.
Norhuda berkata, walau perlu mengajar mereka yang pernah terlibat dengan kes-kes seperti rogol, pecah rumah, samun dan curi motosikal, namun sistem pendidikan dan pemulihan memberi kesan positif kepada mereka.
“Mereka menghormati guru, kalau ada masalah mereka akan bercerita. Kadang-kadang saya simpati dengan mereka sebab saya tahu latar belakang masing-masing. Masing-masing ada punca terjebak dalam jenayah,” katanya.
Namun, Norhuda tidak akan melupakan pengalamannya apabila 13 kanak-kanak cuba melarikan diri ketika bulan pertama dia di STB.
“Hari pertama saya kerja di sini, seorang kanak-kanak di kelas saya cedera tangan kerana terkena mesin. Itu juga pengalaman buat saya,” katanya.
Tak menyesal ditukar ke sekolah juvenil
Tiada apa yang diharapkan Ibrahim Ahmad, 51, daripada anak didiknya melainkan mereka berubah dan menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara.
Ibrahim yang telah 21 tahun berkhidmat di STB berkata, dia tidak pernah menyesal dihantar berkhidmat ke situ walaupun sebelum itu pernah mengajar di sekolah biasa.
“Saya tak pernah terfikir pun nak mengajar di sekolah ini. Mula-mula rasa takut juga tapi lama-lama baru saya tahu mereka ini tak seperti yang disangka.
“Sebenarnya mereka ini nakal dan punca mereka dihantar ke sini sebab pengaruh kawan,” katanya.
Pendekatan yang digunakan Ibrahim dalam mengajar pula bergantung kepada masa dan situasi.
“Ada masa saya tegas, garang dan lembut. Ada masa kena pujuk dan bermain psikologi. Yang penting mereka perlu dididik dan kami di sini perlu tunjuk tauladan baik kepada mereka,” katanya.
Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Ibrahim apabila anak didiknya berjaya dipulihkan sepenuhnya.
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M
“Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...
-
Keberanian Leftenan Adnan Saidi dan rakan yang bertempur bermati-matian adalah episod yang kekal dalam lipatan sejarah tanah air. “Biar...
-
PELAJAR generasi kini dilihat lebih moden, menjadikan cabaran yang perlu dihadapi mereka yang bergelar guru juga lebih ‘moden’, rumit dan...
-
PERLEMBAGAAN PENTADBIRAN ADAT LUAK JELEBU Alam Beraja Luak Berpenghulu Lingkungan Bertua Anak buah Berbuapak Orang Semenda Bertempat Semenda...