PELAJAR generasi kini dilihat lebih moden, menjadikan cabaran yang perlu dihadapi mereka yang bergelar guru juga lebih ‘moden’, rumit dan pelbagai.
Sedang guru-guru di sekolah biasa ‘berkerut dahi’ mencari kaedah terbaik berdepan kerenah pelajar nakal atau bermasalah dalam pelajaran, bagaimana pula keadaan guru-guru di sekolah pemulihan akhlak?
Walau disapa sebagai ‘cikgu’ oleh pelajar, cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul mereka tentunya lebih berat berbanding pendidik di sekolah biasa.
Sempena Hari Guru 2011 esok, Mingguan mStar berkongsi cerita dan pengalaman bersama pendidik di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Sambut Hari Guru
Pengetua Sekolah Tunas Bakti (STB), Ismail Arul Raj Amirudin berkata, sambutan Hari Guru termasuk dalam takwim STB walau mereka yang dihantar ke sekolah itu bermasalah dan pernah terlibat dengan jenayah.
“Kalau di sekolah biasa pelajar akan meraikan guru, tapi di sini lain sikit sebab guru dan kanak-kanak akan saling meraikan. Selain terima hadiah, kita pun akan beri hadiah kepada mereka supaya mereka juga rasa dihargai,” katanya kepada Mingguan mStar.
Menurut Ismail, di STB setiap kakitangan berperanan sebagai guru walau tidak terlibat secara langsung dalam mendidik pelajar (dipanggil kanak-kanak).
“Kami ibarat satu keluarga. Kami mendidik, mengasuh, mengawal emosi dan membentuk kanak-kanak dalam proses pemulihan supaya menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara. Dalam masa yang sama kami perlu menjadi ‘role model’ kepada kanak-kanak, sama seperti tugas ibu bapa,” katanya.
Jika tahun lepas acara memotong kek diadakan sempena sambutan Hari Guru, tahun ini Hari Guru akan berlangsung melalui majlis makan malam pada 31 Mei ini.
Dalam pada itu Ismail tidak menafikan terdapat juga golongan yang ‘terlupa’ akan jasa dan pengorbanan guru-guru di sekolah jenis ini.
Namun, itu tidak menjadi masalah besar kerana beliau percaya semua tenaga pengajar mendidik dengan ikhlas.
Terima hadiah
Norhuda Salim, 27, merupakan satu-satunya guru wanita yang terlibat secara langsung dalam mendidik 103 kanak-kanak di STB yang kesemuanya lelaki.
Sepanjang tiga tahun mengajar kanak-kanak membuat perabot dan kraftangan, beliau pernah menerima kad ucapan dan cenderahati daripada kanak-kanak di STB.
“Biasanya dapat kad dan kraftangan yang mereka buat sendiri. Walau kraftangan itu bukan kejutan sebab saya nampak mereka buat dalam kelas saya, tapi saya tetap menghargainya,” katanya.
Berbicara tentang tugasnya, Norhuda berkata dia perlu mengetahui cara untuk mengenali dan mendekati anak didiknya.
“Seronok ajar mereka, tapi cabaran tetap ada terutama bila mereka buta huruf dan tak mahu belajar.
“Setakat ini mereka terkawal dan saya belum pernah saya diapa-apakan. Setakat kena kacau dan pandang-pandang tu biasalah,” jelasnya.
Norhuda berkata, walau perlu mengajar mereka yang pernah terlibat dengan kes-kes seperti rogol, pecah rumah, samun dan curi motosikal, namun sistem pendidikan dan pemulihan memberi kesan positif kepada mereka.
“Mereka menghormati guru, kalau ada masalah mereka akan bercerita. Kadang-kadang saya simpati dengan mereka sebab saya tahu latar belakang masing-masing. Masing-masing ada punca terjebak dalam jenayah,” katanya.
Namun, Norhuda tidak akan melupakan pengalamannya apabila 13 kanak-kanak cuba melarikan diri ketika bulan pertama dia di STB.
“Hari pertama saya kerja di sini, seorang kanak-kanak di kelas saya cedera tangan kerana terkena mesin. Itu juga pengalaman buat saya,” katanya.
Tak menyesal ditukar ke sekolah juvenil
Tiada apa yang diharapkan Ibrahim Ahmad, 51, daripada anak didiknya melainkan mereka berubah dan menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara.
Ibrahim yang telah 21 tahun berkhidmat di STB berkata, dia tidak pernah menyesal dihantar berkhidmat ke situ walaupun sebelum itu pernah mengajar di sekolah biasa.
“Saya tak pernah terfikir pun nak mengajar di sekolah ini. Mula-mula rasa takut juga tapi lama-lama baru saya tahu mereka ini tak seperti yang disangka.
“Sebenarnya mereka ini nakal dan punca mereka dihantar ke sini sebab pengaruh kawan,” katanya.
Pendekatan yang digunakan Ibrahim dalam mengajar pula bergantung kepada masa dan situasi.
“Ada masa saya tegas, garang dan lembut. Ada masa kena pujuk dan bermain psikologi. Yang penting mereka perlu dididik dan kami di sini perlu tunjuk tauladan baik kepada mereka,” katanya.
Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Ibrahim apabila anak didiknya berjaya dipulihkan sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment