Monday, October 31, 2011

Sharbinee minta maaf



Pemain Terengganu kecewa setelah kecundang 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA TERENGGANU - "Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Terengganu terutama penyokong pasukan. Saya akui kesilapan yang saya lakukan. Saya minta maaf kerana gagal bawa balik trofi kali ini."

Demikian luahan penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee ekoran kekalahan 1-2 pasukannya kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sharbinee mengakui kesilapannya membolehkan Negeri Sembilan menjaringkan gol penyamaan menerusi S.Kunanlan (minit ke-81) setelah Terengganu mendahului hasil jaringan Mohd. Ashaari Samsudin (minit ke-59), sebelum Hairuddin Omar meledak gol kemenangan skuad Rusa pada minit ke-86.

Menurut Sharbinee, dia sangat kecewa dengan kesilapannya memberikan gol mudah pada Negeri Sembilan.

"Nak buat macam mana, saya dah lakukan sedaya upaya tapi ia tetap berlaku. Saya sifatkan ini satu lagi pengalaman pahit saya. Saya anggap ini satu pengajaran buat saya untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang," ujarnya.

Mohd. Sharbinee dan pemain Terengganu tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Bekas penjaga gol kebangsaan berusia 25 tahun itu tidak menyalahkan keadaan permukaan padang sebagai punca dia melakukan kesilapan sehingga terlepas bola dari genggamannya.

"Ia memang kecuaian saya sendiri tapi ini semua dah lumrah dalam permainan. Saya kena terima (cemuhan orang), sudah lumrah kalau kita buat silap kita dikeji dan kalau beraksi baik dan cemerlang, kita dipuji," katanya.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti juga tidak menyalahkan Sharbinee sepenuhnya atas kekalahan pasukannya.

Katanya, para pemain Terengganu agak kurang fokus sehingga memberi peluang kepada Negeri Sembilan menyamakan kedudukan seterusnya mencipta jaringan kemenangan menerusi penyerang berpengalaman, Hairuddin Omar.

"Ketiadaan pemain pertahanan, Mazlizam Mohamad yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala, turut menyukarkan kami," katanya.




'Jangan benci saya'



Pemain Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia di sekeliling stadium selepas memenangi perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Gembira dalam sedih. Itu perasaan penyerang Negeri Sembilan, Hairuddin Omar atau Hai-O ketika memberikan kemenangan 2-1 kepada pasukannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Ini kerana dia gembira memberikan kemenangan buat pasukan yang diwakilinya ketika ini, namun dalam masa yang sama memahami kekecewaan penyokong negeri kelahirannya, Terengganu.

Ekoran itu, dia meminta penyokong skuad Penyu tidak membencinya kerana menjadi penyebab kekalahan Terengganu hasil jaringannya pada minit ke-86.

"Saya mohon maaf kepada semua penyokong Terengganu pada perlawanan hari ini (kelmarin) dan saya harap sangat agar mereka tidak membenci saya.

"Negeri Sembilan adalah majikan yang membayar gaji saya serta Terengganu adalah negeri asal saya. Saya terpaksa memberikan yang terbaik buat majikan saya untuk mendapatkan kemenangan ini," kata Hairuddin.

Sementara itu ditanya mengenai kontraknya bersama Negeri Sembilan akan tamat bulan depan, Hairuddin berkata dia masih belum pasti berhubung masa depannya.

"Tahun depan saya akan terus bermain cuma saya masih belum tahu hala tuju saya selepas kontrak tamat.

"Sama ada kekal atau berpindah, itu semua saya akan fikirkan selepas ini," jelasnya.

Kunanlan tak sangka gol

SHAH ALAM - Niat S. Kunanlan cuma mahu melakukan hantaran silang kepada Hairuddin Omar, tetapi tanpa dijangka ia memberikan gol penyamaan Negeri Sembilan, yang menjadi detik kebangkitan mereka bergelar juara Piala Malaysia buat kali ketiga, kelmarin.

Dia mengakui bola sepakannya sepatutnya tidak menerjah gawang Terengganu jika tidak kerana kesilapan penjaga gol, Sharbinee Allawee.

"Sepatutnya bola sepakan saya mudah ditangkap penjaga gol namun keadaan padang yang licin mungkin membuatkan dia (Sharbinee) gagal menangkap bola tersebut.

"Saya langsung tidak jangka hantaran saya menghasilkan gol. Saya gembira kerana jaringan itu menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan untuk bangkit.

"Lebih menggembirakan ia menjadi detik kebangkitan kami menang ke atas Terengganu," katanya.

Terengganu mendahului aksi final di Stadium Shah Alam kelmarin hasil jaringan Asaari Samsudin pada minit ke-59 sebelum gol penyamaan Kunanlan pada ke-81 mengubah rentak perlawanan.

Bola lambung daripada Kunanlan gagal dibaca oleh Sharbinee yang kelihatan terkeluar sedikit daripada posisi, sebelum bola bergolek masuk ke dalam gol tanpa sempat ditampan keluar oleh penjaga gol berusia 24 tahun itu.

Kunanlan tetap menghormati kemampuan Sharbinee yang dianggap antara penjaga gol terbaik negara.

"Apa yang terjadi pada perlawanan hari ini, mungkin nasibnya kurang baik. Dia tetap antara penjaga gol terbaik negara, Saya tahu kemampuannya kerana pernah sama-sama dalam skuad kebangsaan," katanya.

Trofi diarak seluruh negeri

SEREMBAN - Kejayaan skuad Hoben Jang Hoben membawa pulang trofi Piala Malaysia ke Negeri Sembilan buat kali ketiga kelmarin, akan diraikan secara besar-besaran di seluruh negeri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna dan mahu seluruh rakyat meraikan dan menyaksikan trofi tersebut dengan lebih dekat.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, PBNS merancang untuk mengarak trofi berprestij sukan bola sepak negara di setiap daerah negeri ini.

"Kejayaan ini satu kebanggaan buat Negeri Sembilan. Saya mahu seluruh rakyat dapat menyaksikan piala tersebut dari dekat, selain bertemu dan beramah mesra dengan pemain yang telah berjuang berhabis-habisan untuk membawa pulang piala ini.

"Sambutan berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat dan kita akan pastikan ia disusun dengan dengan rapi,'' katanya pada majlis meraikan kepulangan pasukan Negeri Sembilan di Wisma PBNS, semalam.

Hampir 1,000 peminat Hoben Jang Hoben berkumpul di Wisma PBNS menyambut kepulangan skuad Negeri Sembilan yang menang 2-1 pada final Piala Malaysia ke atas Terengganu kelmarin.

Mohamad turut memberitahu, PBNS sedang berbincang berhubung habuan atau ganjaran yang akan diberikan kepada pemain di atas kejayaan membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Mohamad kerana memberi kepercayaan kepadanya memimpin skuad Rusa.

"Tanpa sokongan dan kepercayaan beliau, sudah tentu pasukan ini tidak dapat pergi jauh dan mendakap Piala Malaysia," katanya.

3 kunci Jang



MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pegawai dan pemain Negeri Sembilan meraikan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2011 di Seremban, semalam.

MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pegawai dan pemain Negeri Sembilan meraikan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2011 di Seremban, semalam.
Skuad Hobin bijak serap tekanan untuk pastikan trofi milik NS

TIGA individu - jurulatih Azraai Khor Abdullah, kapten Shukor Adan dan penyerang Hairuddin Omar menjadi kunci kejayaan skuad Hobin Jang Hobin menjulang Piala Malaysia selepas menewaskanTerengganu 2-1, kelmarin.
Azraai yang berpengalaman memacu kegemilangan Kedah muncul juara trebel 2007 dan 2008, bijak mengatur strategi kebangkitan selepas ketinggalan kepada jaringan awal Terengganu.

Shukor tetap dengan kerajinan dan suara lantang ketika menggerak jentera tengah sambil sesekali mengintai peluang jaringan hingga menyuntik motivasi enggan menyerah di kalangan rakan sepasukan.

Hairuddin pula yang sentiasa dibayangi kekangan kapten Terengganu, Marzuki Yusof, bijak mencari ruang terbuka untuk melibas cantik gol kemenangan NS.

NS berhak juara

TIRAI saingan Liga Malaysia 2011 berlabuh malam kelmarin dengan Negeri Sembilan membuktikan status jagoan ’kalah mati’ apabila muncul juara Piala Malaysia edisi ke-85 selepas menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Shah Alam.
Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri tampil dalam lima daripada 12 pentas final Piala Malaysia era milenium iaitu pada 2000, 2006, 2009, 2010 dan 2011 dengan memenangi dua daripadanya (2009 dan 2011). Satu lagi kejuaraan diraih pada 1948.

Tiga individu di sebalik kejayaan Negeri Sembilan turut melakar sejarah peribadi iaitu jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah yang meraih kejuaraan ketiga pada final keempat; kaptennya, Shukor Adan yang menjulang trofi keempat pada final ketujuh; serta penyerangnya, Hairuddin Omar yang menang semua empat final serta meledak gol pada tiga aksi final terakhirnya.

“Alhamdulillah, pemain dapat beraksi mengikut percaturan dan strategi yang dirancang. Kejuaraan ini juga secara peribadi membuktikan saya mampu membawa pasukan menjuarai Piala Malaysia tanpa pemain import,” kata Azraai yang membimbing Kedah menjuarai treble 2007 dan 2008.

Hairuddin, 32, pula berkata, sikap tidak berputus asa dan tak sanggup membayangkan perasaan andai tewas di final itu, membuatkan dia terus berusaha memburu gol kemenangan.

“Dari awal permainan, kami memiliki banyak peluang tetapi Terengganu lebih dulu mendapat gol. Kami tetap yakin dan tak jemu mencuba hingga minit terakhir,” kata pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Dengan Hairuddin masih belum membuat keputusan untuk menyambung kontrak musim depan, Azraai pantas berkata: “Makin tua kelapa, makin banyak santannya. Hairuddin masih antara penyerang terbaik. Kami sudah kemuka tawaran, terpulang kepadanya. Kami profesional, tapi harap dia akan kekal.”

Saingan musim 2012 dengan kehadiran semula pemain import bakal bermula dengan aksi Piala Sumbangsih, Kelantan bertemu Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 7 Januari, diikuti aksi sulung Liga Super pada 10 Januari.


Pengajaran berguna Peteh

PEMAIN Terengganu yang terlepas peluang bergelar juara berganda musim ini selepas menjuarai Piala FA dan pencapaian baik naib juara Liga Super, harus mengambil pengajaran daripada kekalahan pada pentas final Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

“Memang jentera serangan kami kurang menjadi pada babak pertama dan kami lambat panas.

“Tetapi kami akan belajar daripada kesilapan ini,” kata penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat.

Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim pula menyifatkan gol penyamaan Negeri Sembilan yang dijaringkan S Kunanlan daripada gerakan yang tidak berbahaya, terus menjejaskan tumpuan anak buahnya.

“Gol penyamaan membunuh segala-galanya. Kami tak patut hilang tumpuan kerana boleh mengheret perlawanan ke masa tambahan. Tapi akibat leka dan alpa, kami melepaskan gol kedua.”

Pada aksi kelmarin, Ashari Samsudin meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-58 tetapi kecuaian penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli menangkap kemas sepakan Kunanlan membenarkan Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

Negeri Sembilan memperoleh gol kemenangan menerusi sepakan libas Hairuddin Omar, lima minit sebelum tamat.

SENARAI JUARA LIGA MALAYSIA 2011


Piala Malaysia: Negeri Sembilan
Piala FA: Terengganu
Liga Super: Kelantan
Liga Perdana: PKNS
Liga FAM: NS Betaria
Piala Sumbangsih: Kelantan
Piala Presiden: Kelantan

Usah salahkan sesiapa


pemain Negeri Sembilan (jersi kuning) meraikan jaringan Hairuddin Omar sebaliknya pemain Terengganu ternyata amat kecewa apabila akhirnya kalah 1-2 pada perlawanan akhir Piala Malaysia, kelmarin. -

KUALA LUMPUR - Tiada siapa yang harus dipersalahkan secara individu sebagai punca kekalahan 1-2 Terengganu kepada Negeri Sembilan dalam saingan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Itu pendirian pemain tengah skuad Penyu, Joseph Kalang Tie sambil menegaskan kekalahan kelmarin sewajarnya dijadikan pengajaran.

Dia menggangap keputusan yang mengecewakan itu disebabkan kesilapan sepasukan.

Joseph mengakui pasukannya leka sebaik sahaja mendapat gol pertama sehingga membolehkan pemain lawan menyamakan kedudukan.

"Kami tahu peminat marah dan kecewa. Selepas ini kami mahu memandang ke hadapan kerana kekalahan mengajar kita untuk bangkit semula.

"Bagi saya tiada siapa yang harus dipersalahkan kerana kami bermain sebagai satu pasukan dan ini adalah kesilapan pasukan," kata pemain kelahiran Miri, Serawak itu.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kelmarin, penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli gagal mengekalkan kelebihan satu gol pasukannya, apabila gagal menangkap dengan kemas gol penyamaan Negeri Sembilan pada minit ke-81 hasil hantaran lintang S. Kunalan.

Gol kemenangan Negeri Sembilan hadir melalui rembatan penyerang Hairuddin Omar pada minit ke-86.

Dalam pada itu, Joseph, 24, mahu semua pasukan supaya menerima hakikat daripada keputusan yang diperolehi mereka pada perlawanan kelmarin.

"Bola itu bulat. Apa-apa boleh jadi kadang kala ada masa gembira dan sedih, kita wajar menerima hakikat apa yang berlaku malam ini (kelmarin)," kata Joseph.

Sunday, October 30, 2011

Ganjaran daya tarikan

SABAN tahun apabila kembalinya semula bahang final Piala Malaysia, antara perkara yang menjadi perbualan tentu sekali soal ganjaran terutama kepada pasukan yang berjaya menjulang piala berprestij itu.

Ya, isu ganjaran tidak boleh diketepikan dan seolah-olah menjadi budaya, baik kepada pasukan yang melangkah keluar stadium dengan kemenangan mahupun kepada pasukan yang kecundang.


Ia bermakna, Piala Malaysia bukan sekadar menawarkan piala yang sudah dijulang sejak 1921 itu, malah sebelum aksi final bermula, barisan pemain kedua-dua pasukan yang melangkah ke pentas final sudah boleh mengukir senyuman memikirkan akan ganjaran lumayan yang bakal diterima.

Perkara sama tidak terkecuali bakal diraih oleh Negeri Sembilan dan Terengganu yang bermati-matian beraksi pada pentas final malam tadi dengan kedua-dua kerajaan negeri sudah memberi isyarat bakal memberi ganjaran yang masih dirahsiakan.


“Sudah pasti ganjaran akan diberikan kepada skuad Negeri Sembilan apabila mereka menjulang Piala Malaysia.


“Sebelum ini kita memberi ganjaran kepada pemain apabila mereka layak ke peringkat suku akhir dan separuh akhir, malah melangkah ke peringkat akhir juga mereka menerima ganjaran,” demikian janji Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat berkata: “Saya yakin dan percaya kerajaan negeri akan melihat tentang soal ini (ganjaran).” Jika mengimbas kepada sejarah, tahun lalu, Kelantan yang menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan pada pentas final, menerima sumbangan sebanyak RM200,000 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri untuk diagihkan kepada semua pegawai dan pemain Kelantan.


Manakala Negeri Sembilan yang menjulang piala berprestij itu pada tahun 2009 sekali gus menamatkan penantian selama 61 tahun, turut mendapat ganjaran berjumlah RM200,000.

Bukan itu saja, malah skuad bola sepak Negeri Sembilan yang memenangi Piala Malaysia pada tahun itu turut mendapat penghargaan apabila mereka dikurniakan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-62, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Bekas jurulatih Negeri Sembilan ketika itu, Wan Jamak Wan Hassan menerima pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) manakala 16 pemain skuad itu masing-masing menerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK).


Sementara pada 2008, kerajaan Kedah mengumumkan ganjaran tanah seluas dua hektar di Pokok Sena kepada pemain skuad Kedah yang muncul juara tiga piala dalam semusim untuk dua musim berturut-turut iaitu pada 2006/2007 dan 2007/2008. Kedah muncul juara Piala Malaysia pada kedua-dua musim itu.


Jelas sejarah lalu sudah membuktikan betapa Piala Malaysia bakal menjanjikan sesuatu yang istimewa baik kepada pemain mahupun pengurusan pasukan.


Tinggal lagi adakah ganjaran lumayan itu cukup berbaloi dengan aksi yang dipamerkan pada pentas final sekali gus memuaskan hati peminat fanatik mereka? Perkara itu yang sepatutnya menjadi keutamaan selain hanya memikirkan soal ganjaran.


Ulat tiket ambil kesempatan

SHAH ALAM - 'Tiket harga subsidi' yang diberikan oleh kedua-dua persatuan bola sepak negeri yang mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia semalam, diambil peluang oleh ulat tiket hasil dengan jualan pasaran gelap.

Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar venue perlawanan akhir di antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam sebelum perlawanan semalam, mengesan aktiviti ulat tiket yang menawarkan tiket berharga antara RM40 dan RM50 sekeping.

Sedangkan harga subsidi yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PNBS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) masing-masing memberikan potongan harga tiket ekoran daripada harga tiket sebenar RM50.

Ulat tiket yang mencari pembeli di sekitar stadium semalam, bijak bersembunyi diri daripada dikesan pihak berkuasa.

Mereka didapati memegang lebih dari tiga keping tiket setiap seorang dan permintaan yang tinggi di kalangan penyokong dilihat memberansangkan terdapat penjualan seumpama itu.

Sokong dari luar bantah harga tiket



berlaku kekecohan ketika anggota polis cuba menyuraikan perhimpunan sekumpulan penyokong yang berhimpun di luar Stadium Shah Alam semalam, kerana membantah kenaikan harga tiket final Piala Malaysia.

SHAH ALAM - Hampir 1,000 penyokong hanya menyokong dari luar stadium ketika final Piala Malaysia di antara Terengganu dan Negeri Sembilan semalam, sebagai membantah kenaikan harga tiket.

Kumpulan penyokong yang dikenali Ultras Malaya berhimpun di hadapan venue perlawanan akhir sambil menyanyikan lagu yang membidas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kumpulan penyokong tersebut berikrar tidak memasuki stadium sehingga perlawanan berakhir, sebagai membantah harga tiket perlawanan akhir yang dinaikkan kepada RM50.

Jurucakap kumpulan tersebut, Borhan Yuniden berkata, perhimpunan tersebut bukan kerana mahu memulaukan Piala Malaysia.

Sebaliknya ia menunjukkan rasa tidak puas hati berhubung kenaikan harga tiket yang diumumkan pada saat akhir.

"Kami berhimpun di sini sehingga pintu stadium dibuka (tamat perlawanan) dan kami tidak akan membayar untuk mendapatkan tiket," katanya.

Kumpulan yang berhimpun sejak pukul 6 petang itu turut merentangkan sepanduk dan bendera kedua-dua negeri.

Berlaku sedikit ketegangan setengah jam selepas kumpulan penyokong tersebut berkumpul ekoran kehadiran anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengarahkan penyokong bersurai serta merampas sepanduk.

Namun keadaan kembali tenang selepas rundingan kedua-dua pihak dan kumpulan tersebut kembali berhimpun.

Tuah Hai-O untuk NS



Pemain Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Malaysia setelah mengalahkan Terengganu 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Piala Malaysia akhirnya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila kebangkitan pada 10 minit terakhir oleh anak-anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah berjaya membenam Terengganu 2-1 dalam pentas akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Di hadapan 70,000 penonton, penyerang veteran, Hairuddin Omar atau 'Hai-O' membuktikan dia membawa tuah kepada Negeri Sembilan apabila jaringannya pada minit ke-86 memastikan Terengganu pulang hampa, walaupun skuad Penyu berkelebihan satu gol menerusi Mohd Ashaari Samsudin (minit ke-59).

Jaringan kemenangan Negeri Sembilan berpunca melalui hantaran silang Shukor Adan dari sebelah kanan yang bertukar hantaran dengan Shahurain Abu Samah, Hairuddin melepaskan sepakan sepakan gunting yang cantik tepat ke penjuru kanan gawang tanpa dapat dijangkau oleh Sharbinee.

Sebelum itu, N. Sembilan menyamakan kedudukan hasil jaringan S.Kunalan (minit ke-81).

Bertambah manis, pemain yang berasal dari Setiu, Terengganu itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.

Ini merupakan gol ketiga berturut-turut buat pemain berusia 32 tahun dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia.

Ia juga merupakan kejayaan kali ketiga peribadinya menjulang trofi itu, selepas juga bergelar juara ketika bersama Kelantan musim lalu dan Negeri Sembilan pada 2009.

Kejayaan semalam juga merupakan kali ketiga buat Negeri Sembilan bergelar juara Piala Malaysia.

Sebelum ini mereka memenanginya pada tahun 1948 dan dua musim lalu iaitu pada 2009.

Sementara itu, Hairuddin berkata, walaupun Negeri Sembilan ketinggalan satu gol, pemain tetap tidak berputus asa dalam memburu gol.

Menurutnya, sejak awal perlawanan lagi Negeri Sembilan sebenarnya memiliki banyak peluang gol namun agak malang ia gagal menemui penyudah.

"Ketika kedudukan terikat 1-1, saya tengok jam masih ada 15 minit lagi perlawanan.

"Jadi saya rasa saya perlu buat sesuatu untuk pasukan.

" Lalu saya tekad jika ada peluang gol selepas ini, saya tidak akan mempersia-siakan.

"Akhirnya peluang gol yang saya harapkan menjelma pada minit ke-86 dan saya gembira kerana berjaya menyempurnakannya, sekali gus menjadi gol kemenangan perlawanan akhir musim ini," katanya.

Menyedari ramai yang kecewa dengan jaringan kemenangannya, Hairuddin turut memohon maaf kepada semua penyokong Terengganu yang menyaksikan perlawanan semalam juga yang berada di Terengganu.

Ini kerana jaringannya semalam mengecewakan negeri kelahirannya untuk bergelar juara.

"Saya meminta maaf kepada mereka (penyokong Terengganu). Saya faham mereka tentu kecewa dengan kekalahan ini. Saya juga harap mereka tidak membenci saya," katanya.

"Saya harap penyokong Terengganu, faham saya adalah pemain Negeri Sembilan dan komited dengan pasukan yang saya wakili," katanya.

Magis Hai-O


Hairuddin meraikan gol jaringannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam.

Jaringan kemenangan di final beri NS kejuaraan kali ketiga

JARINGAN emas Hairuddin Omar membuktikan ia sudah cukup untuk membantu Negeri Sembilan menundukkan Terengganu 2-1 di pentas final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi, sekali gus memastikan kejuaraan Piala Malaysia 2011 milik skuad Hobin Jang Hobin.

Selepas S Kunanlan memadam kelebihan awal Terengganu menerusi gol pembukaan Ashaari Shamsudin, Hai-O tampil menyambut hantaran lintang kapten Shukor Adan dengan sepakan libas menarik untuk menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Alawee pada minit ke-85.
Selain dipilih selaku Pemain Terbaik Final, penyerang 32 tahun itu turut memenangi anugerah Kasut Emas apabila jaringan di final itu memberikannya gol peribadi kelapan dalam saingan tertua bola sepak negara.

MILIK JANG!




NEGERI SEMBILAN kembali ditabalkan selaku juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan skuad Hoben Jang Hoben kembali menjulang piala berprestij itu.

Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.

Bagi Terengganu pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.

Kekalahan itu juga sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira 35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.

Pemain sayap, Mohd. Ashaari Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-59.

Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan.

Hasilnya, pemain sayap lincah, S. Kunanlan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas rembatannya dari sebelah kanan pintu gol Terengganu gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alllawee.

Hairuddin mengesahkan kemenangan Negeri Sembilan apabila meledak gol berselang lima minit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang kapten, Shukor Adan.

Ia dianggap detik cukup istimewa bagi Hairuddin, 32, kerana dia turut menjaringkan gol dalam dua edisi final sebelum ini.

Pada edisi 2009, Hairuddin yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan dari kelab T-Team, berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan menarik, sekali gus mengecewakan Kelantan 3-1 di pentas final.

Ketika menyarung jersi Kelantan musim lalu pula, Hairuddin menjadi watak pemusnah bagi Negeri Sembilan apabila tandukannya berjaya menyamakan kedudukan buat The Red Warriors sebelum jaguh Pantai Timur itu menang 2-1.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...