Teknologi hari ini mempercepatkan urusan kita. Manusia yang hanya mampu berjalan 8 hingga 10 kilometer sejam, kini boleh meluncur selaju 267 kilometer sejam dengan menaiki Buggati Veyron Super Sport, kereta terpantas di dunia.
Kita yang pada asalnya menggunakan mesin taip, kini menggunakan komputer yang lebih laju. Tidak perlu lagi memutar kertas tiga helai memasuki penggelek bersama karbannya untuk membuat salinan atau tidak perlu lagi memadam menggunakan Tipp-ex. Dengan komputer, beratus-ratus halaman boleh ditaip dan disimpan. Berpuluh-puluh halaman juga boleh disalin sahaja dengan mesin cetaknya. Kesilapan ejaan juga boleh disemak dengan spelling checker. Semua itu semakin pantas dilakukan.
Dahulu, kita mengirim surat seminggu lebih awal kepada ayah di desa supaya menanti di perhentian bas untuk mengambil kita. Kini, kita boleh sahaja menghubungi ayah dengan telefon kira-kira sejam sebelum bas sampai ke kampung.
Pantasnya teknologi pada hari ini membolehkan kita tahu apa yang berlaku di kerak bumi Lautan Pasifik pada saat ini. Kemudahan internet melalui laman web membolehkan kita tahu apa yang terjadi seantero dunia. Dengan berkomunikasi melalui Twitter, Facebook, Skype, blog dan laman web, komunikasi kita berlangsung secara real-time.
Kecepatan teknologi ini juga mengubah daya dan cara berfikir kita. Ia menjadikan kita, manusia yang sentiasa mahu cepat berbanding dengan manusia dahulu. Kita cepat bosan kalau menanti orang di depan mesin ATM tercangak-cangak mencari butang untuk urusannya. Padahal, tidak lama dahulu kita tidak kisah berbaris panjang untuk mengeluarkan wang dengan buku bank.
Jika dahulu kita boleh menonton satu saluran TV dari Negaraku hingga ke Negaraku, kini kita boleh menukar saluran pada setiap saat. Pantang ada iklan, atau babak yang meleret sedikit, jejari kita cepat sahaja menukar saluran. Akhirnya, kita campak sahaja alat kawalan jauh ke sofa kerana kita bosan. Bosan kerana tidak tahu apa yang sebenarnya kita mahu tontoni.
Ya. Kecepatan menjadikan kita semakin pantas berfikir dan bertindak. Kecepatan juga, bila menjadi perilaku diri, boleh membuat kita tidak sabar. Kerana ingin pantas dalam segala yang kita lakukan, kita menjadi manusia gopoh.
Anak di tadika yang lambat sedikit menguasai A-B-C boleh menjadikan kita panik. Seolah-olah anak itu lembam. Bagi anak-anak yang sudah di sekolah menengah pula, kegagalan mereka untuk memperoleh semua ‘A’ dalam peperiksaan sudah menjadikan kita resah gelisah. Padahal, ada di antara kita dahulu yang melonjak sakan bila memperoleh satu ‘A’ dalam peperiksaan.
Kejayaan itu diukur bukan setakat memperoleh apa yang disasarkan. Sebaliknya, kejayaan itu kini ditafsir sebagai kebolehan mencapai sesuatu dengan cepat. Kerana itu, kenaikan pangkat yang cepat adalah baik. Bertukar tempat kerja untuk memperoleh kenaikan gaji yang cepat adalah baik.
Perniagaan yang mencapai perkembangan peratus tiga angka adalah yang terbaik. Perniagaan yang berkembang ke peratus dua angka, malah satu angka dianggap kurang berjaya. Keuntungan perniagaan mahu dilihat pada tahun yang pertama. Pelbagai usaha dilakukan agar perniagaan itu untung segera. Modal mahu besar, tenaga manusia yang diambil bukannya untuk satu pasukan, malah sebagai sebuah angkatan. Transaksi dan pilihan perniagaan pun jenis yang berjuta-juta.
Kecepatan menjadikan kita rakus dan tamak. Tidak cukup dengan apa yang ada, malah nafsu mula inginkan apa yang tiada. Ia berlawanan dengan fitrah manusia, yang mengambil masa berbulan-bulan dari meniarap kepada merangkak dan akhirnya berdiri dan berlari. Ia bertentangan dengan kejadian siang dan malam yang beransur-ansur berubah.
Dalam berkejar dan berebut dalam kehidupan, kita tidak punyai masa untuk menikmati titisan embun yang gugur dari hujung daun ke bumi. Kita tidak sempat mendongak ke langit melihat awan yang berarak perlahan. Malah kita tidak dapat merasa lagi air yang diteguk memasuki halkum hingga mengalir perlahan ke perut.
Kita mengenepikan bidalan, ‘biar lambat asal selamat’ dan menggubahnya menjadi ‘biar cepat asal selamat’. Jika kita berhujah, lambat itu tidak semestinya selamat, akuilah, cepat itu juga tidak semestinya selamat. Justeru, apakah kecepatan itu menjamin kejayaan?
No comments:
Post a Comment