RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru
mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga
Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh
permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat
dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.
Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu
permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang
lebar.
Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan
salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat
salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan
perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.
Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran
bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang
wajib dijunjung walau di mana mereka berada.
Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli
keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah
(Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan
dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap
al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)
Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai
tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang
bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli
keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa'i, Ahmad dan al-Hakim).
Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda,
maksudnya: "Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu
Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan
Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih
sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian
melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini". (Dikeluarkan oleh
al-Haytami dalam Majma' al Zawaid)
Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita
bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit
dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Salafussoleh dan Ahli Bait
Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan
hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan
memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan
semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan
terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata:
"Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka
menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan
kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: "Demi Allah! Keislaman kamu pada
hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu
bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada
pengislaman al-Khattab". (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).
Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang
mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: "Beginilah kami diperintahkan
agar menghormati ahli keluarga Nabi kami".
Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn
Hasan ibn Hasan berkata: "Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz
dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai
sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu
itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu
rumahku".
Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait
Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa
meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah
diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.
Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang
mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik,
penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah
SAW.
Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli
Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar
umat Islam memberikan wala' (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim
ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini
menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara
kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.
Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan
berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn
Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau
dipenjarakan selama beberapa tahun.
Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di
kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.
Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: "Sekiranya
mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah,
maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah".
Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan:
"Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan
di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya
kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat,
maka tidak sempurnalah solatnya".
Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi' bahawa:
Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau
tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah,
melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud:
"Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada
Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah
(catatan amalan) di tangan kananku".
Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah
Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat
Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli
keluarga Nabi SAW.
Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan
kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan
mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita
kepada beberapa perkara:
Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan
memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih
yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait
dan para sahabat baginda.
Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan
jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana
amalan kaum Rafidhah yang tercela.
Ahli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta
mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka.
Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum.
Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung
kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.
Ahli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang
disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka
untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.
Ahli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah
maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan
dosa sebagaimana manusia yang lain.
Ahli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat
yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud
melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa
sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada
mereka.
Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh,
hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi
SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.
Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya'
al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang
membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga
Nabi SAW
Oleh PANEL
PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
No comments:
Post a Comment