19 Jun 2013
KUALA LUMPUR - Sebilangan
daripada rakyat terbanyak negara masih tidak berpuas hati dengan keputusan
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan terus mahu mengadakan bantahan.
Beberapa
siri demonstrasi dan perhimpunan diadakan sejak 8 Mei, dengan ucapan berbaur
fitnah, tohmahan, maki hamun dan hasutan semakin galak dilakukan oleh mereka
yang berkepentingan, lantas memanipulasi sentimen dan emosi orang ramai
seolah-olah inilah cara politik baharu di Malaysia.
Persidangan
Dewan Rakyat bagi penggal pertama selepas PRU13 sudahpun ditetapkan bermula 24
Jun ini seakan-akan 'tidak bermakna' bagi anggota pakatan DAP-PKR-Pas meskipun
mereka kini mempunyai 89 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Persoalannya,
dalam tempoh tujuh tahun lagi ke arah negara maju pada 2020, adakah corak
berpolitik pakatan pembangkang ini boleh dinamakan politik matang?
Mengupas
persoalan itu, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) berkata untuk Malaysia menjadi negara maju menuntut anjakan
paradigma rakyat menjadi lebih matang dengan setiap pihak mengamalkan cara
berpolitik berimbang dan penuh kesederhanaan.
Beliau
berkata perbuatan seperti perhimpunan serta demonstrasi jalanan sebagai satu
proses bangkangan dalam negara, merupakan ekspresi politik yang mampu
mempengaruhi rakyat dan pada masa sama mendatangkan kerugian kepada negara
dalam aspek ekonomi, sosial dan pembangunan.
"Politik
yang matang adalah politik yang mengamalkan kesederhanaan dan berimbang
berbanding politik ekstrem yang akan memusnahkan negara. Ini yang rakyat perlu
faham," katanya.
Pensyarah
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata kestabilan politik sahaja
tidak mencukupi seandainya tidak disertai kematangan berpolitik.
Katanya
ahli politik dan rakyat perlu faham bahawa negara bukan sahaja berdepan dengan
cabaran dalam negara tetapi juga ancaman dari luar serta anasir asing yang
bertujuan mewujudkan suasana tidak aman.
Samsul
Adabi berkata kematangan berpolitik juga boleh membawa maksud bahawa masyarakat
berpengetahuan tinggi dan mengerti tindak-tanduk serta boleh membuat analisis
mudah perbuatan mana-mana pihak sama ada ia bagus atau buruk untuk negara.
Mengulas
lanjut, beliau berkata Amerika Syarikat, Britain dan Jepun adalah contoh negara
yang berjaya mengamalkan politik matang manakala Malaysia semakin bergerak ke
hadapan menuju demokrasi yang progresif.
Keputusan
PRU13 yang menyaksikan pertambahan kerusi yang dimenangi pakatan DAP-PKR-Pas
dengan bilangan pengundi yang keluar mengundi mencecah 84.8 peratus turut
mencerminkan rakyat mengamalkan demokrasi untuk melakukan perubahan melalui
undi.
Namun
mampukah pakatan pembangkang memainkan peranan mereka untuk mengawasi dan
menegur kepada kerajaan atau hanya terus berpolitik dan memanipulasi sentimen
dan emosi rakyat?
"Bangkangan
perlulah dilakukan secara berhemah. Sekiranya bangkangan yang dilakukan
melampau... maka kerajaan perlulah bertindak tegas kerana ia akan memberi
ancaman dalam soal keselamatan," katanya.
Sejauh
mana pula unsur kebencian, fitnah, demonstrasi, maki hamun dalam berpolitik
masa kini mampu menjamin perpaduan di kalangan kaum terus utuh di masa hadapan?
Mengamalkan
elemen sedemikian, menurut Samsul Adabi hanya akan 'membunuh' rasa hormat
sesama kaum di negara ini, bahkan akan mengheret negara ke arah kemunduran.
Aktivis
sosial Khairil Hafizd Khairuddin, 31, berpendapat politik yang diamalkan di
negara ini adalah separuh matang memandangkan tindakan sesetengah pihak yang
lebih mengikut emosi sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya
kekurangan ilmu politik menjadi punca ada di kalangan rakyat mudah terpengaruh
dan sanggup berdemonstrasi dan berhimpun tanpa memahami kesan perbuatan itu.
"Adalah
tidak matang untuk mana-mana pihak menyuarakan rasa tidak berpuas hati menerusi
demonstrasi atau perhimpunan atau apa jua bentuk kerana apalah gunanya Parlimen
dibentuk jika permasalahan rakyat gagal disuarakan di sana, dan kenapa perlu
memilih jalan raya?
"Pada
saya ini semua bertujuan memburukkan imej kerajaan dan negara selain mahu
menjayakan agenda pihak tertentu termasuk pihak asing," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment