Friday, January 30, 2015

Mentaliti Cina dan Melayu...

Mentaliti hebat orang Cina
ZAINI HASSAN (zainibinhassan@gmail.com)  |  19 November 2014 1:48 AM
SEORANG gadis awal 20-an lepasan sebuah universiti memberitahu saya dia dijemput menghadiri satu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur awal minggu ini. Tajuk majlis itu cukup menarik iaitu Top 40 Under 40 2014.
Ia mengisahkan mengenai kejayaan anak-anak muda di atas usia 40 dan bawah umur 40 tahun yang berjaya dalam bidang masing-ma­sing.
Kejayaan itu berdasarkan pencapaian mereka menjadi jutawan (atau mencatat jualan atau pendapatan sekurang - kurangnya RM1,000, 000 dan sudah tentu lebih) dan cukup-cukup cemerlang dalam keusahawanan.
Anak gadis itu, berdarah Melayu juga bercita-cita ke arah itu. Tapi seperti biasa anak Melayu sentiasa teraba-raba.
Dia menyaksikan satu majlis yang suasana baginya cukup asing sekali. Katanya secara seloroh. Saya seperti bukan berada di Malaysia. Tapi terus terang dia berkata majlis itu cukup memberikan inspirasi kepadanya.
Kata gadis itu lagi, ia menyuntik semangatnya bagaimana orang Cina cukup berjaya menyokong anak-anak bangsa mereka bakal menjadi barisan baharu bilionair Malaysia kelak. Mungkin di zaman generasi anak gadis Melayu itu 10 tahun akan datang, wajah-wajah itu jugalah yang akan mewarnai bilionair negara.
Kejayaan 10 anak muda itu dipaparkan dalam sebuah majalah bertajuk Top 40 Under 40 2014: A Retrospective yang diedarkan pada malam itu.
Editornya atas tajuk The Sky’s The Limit berkata: Bagaimana seseorang mengukur kejayaan? Adakah melalui besarnya gaji? Anugerah yang diterima? Atau jumlah likes di Facebook? Namun cukup meme­ranjatkan, kebanyakan mereka yang kita sangka berdasarkan faktor itu tidak pernah menganggap mereka sebagai berjaya.
Kata editor itu Brian Chong lagi: Mungkin mereka terlalu merendah diri untuk mengaku. Atau mungkin, seperti saya, mereka faham kehidupan sentiasa bergerak dan sentiasa ada peluang yang baik untuk dikecapi. Lapan finalis kami tahun ini Prestige Top 40 Under 40 cukup memahami hanya kerana mereka berjaya di usia yang muda, tidak bermakna mereka boleh berpuas hati dan selesa.
Berikut adalah lapan finalis itu:
Bryan Loo. Produk: Chatime Malaysia. Di usianya 24 tahun, Loo graduan bioteknologi yang berasal dari Perlis terhimpit dalam kerja­yanya di sebuah firma.
Namun darah perniagaan yang mengalir dalam dirinya menyebabkan dia berhenti kerja dan mahu terbabit dalam bidang makanan dan minuman (F&B). Dia ke Taiwan dan melihat perniagaan minuman teh berjenama Chatime berkembang pesat di negara itu - 25,000 kedai seluruh Taiwan.
Loo terus menghubungi ibu pejabat Chatime di Taiwan dan bercakap dengan CEO dan pemilik Henry Wang. “Saya menerangkan kepadanya walaupun saya baharu berkecimpung dalam perniagaan, saya sanggup berusaha sedaya upaya untuk membawa jenama itu ke seluruh Malaysia. Jika jenama itu jatuh ke tangan syarikat F&B besar mereka hanya akan menjadikan ia sebagai salah satu portfolio dan jenama itu akan hilang semangat dan rohnya,” kata Loo.
Agak mengejutkan CEO itu kemudian terbang menemuinya da­lam tempoh 24 jam kemudian. Kedai pertama Loo dibuka di Pavillion Kuala Lumpur pada 2010. Enam bulan kemudian yang kedua. Dalam setahun ia berkembang kepada 40 buah dan kini 130 buah seluruh negara.
Dalam usianya kini 29 tahun, Loo mula mengembangkan portfolio perniagaannya dalam bidang F&B yang lain.
Kedua. Chan Kee Siak. Produk: Exabytes. Diasaskan secara berseorangan oleh Chan pada 2001 dan empat tahun kemudian menjadi pembekal dan penyalur web hosting terbesar di Malaysia, kedudukan yang masih dipegangnya sehingga hari ini.
Dalam usia muda dia sudah mempunyai 100 kakitangan di ibu pejabatnya di Pulau Pinang, dua cawangan di KL dan terbaharu mengambil alih syarikat hosting Singapura, Usonyx.
Ketiga. David Lai, 28. Lulusan kejuruteraan awam ini berkecimpung dalam bidang silap mata dan telah membuat pertunjukan hebat di Porto Marina, Mesir. Semasa itu dia terpaksa melupakan majlis konvokesyennya.
Pertunjukan itu amat berjaya dan dia dijemput membuat persembahan lebih besar di Mesir diberi nama Abracadabra. “Saya terpaksa menipu usia saya kerana tiada siapa akan membenarkan pelajar universiti ber­usia 22 tahun mengadakan pertunjukan bertaraf 7 angka.”
Keempat. Ken Lim, 43. Produk: Kecantikan dan kedai premium Diptyque, Annick Goutal, Caudalie, Laura Mercier, Dr. Brandt, Dr. Sebagh dan lain-lain jenama terkemuka.
Kelima. Kenny Goh, 35. Produk: CEO dan pengasas teknologi mudah alih Macrokiosk sebuah syarikat bernilai jutaan ringgit.
Keenam. Lee Khoon Hooi, 43. Produk: Pereka fesyen. Berkelulusan Malaysian Institute of Arts pada 1993 dan berasal dari Taiping. Pernah menjadi pembantu pereka fesyen untuk Voir, Playboy dan Isetan. Kini mempunyai butik di Starhill Gallery.
Ketujuh. Mac Ching Lynn. Produk: Pemilik Nando’s Malaysia. Kini mempunyai 59 rangkaian restoran seluruh Malaysia dan sembilan di Singapura. Wanita ini memulakan perniagaan itu atas bantuan kewangan bapanya semasa berusia 25 tahun pada 1998.
Kelapan. Timothy Tia. Produk: Nuffnang, web master. Semasa berusia 30 tahun Timothy telah memiliki dan menjalankan syarikat dengan perolehan RM30 juta di pejabatnya di Malaysia, Singapura, China, Thailand, Filipina, Australia dan UK. Kini Nuffnang dihuni kira - kira 280,000 bloggers di Malaysia dan sejuta bloggers seluruh dunia, menjana kira-kira 13 juta page views setiap hari.
Itulah lapan orang finalis Top 40 Under 40 2014 yang telah digerakkan oleh majalah itu untuk mencari usahawan-usahawan muda, selama 10 tahun lalu.
Ia satu saringan yang cukup baik untuk memberi inspirasi kepada usahawan muda muncul sebagai kapten industri dan perniagaan ma­sa depan. Syabas kita ucapkan kepada finalis berkenaan!
Saya berharap ia juga akan memberi inspirasi kepada anak-anak muda Melayu, yang seorang pun tiada dalam senarai itu. Malang sekali walaupun pelbagai insentif diberi kerajaan, tiada seorang pun muka daripada spesies dan DNA Melayu yang layak?
Saya juga berharap ada antara taikun-taikun Melayu - seperti Azman Hashim, Syed Mokhtar al-Bukhary, Mustapha Kamal dan lain-lain yang sanggup tampil menjadi mentor usahawan muda kita? Atau tidak perlulah mentor-mentee jika tidak nanti ada pula yang berkata “sampai bila kita perlu disuap dan ditongkat?”
Mentaliti orang Melayu #1
BARU-BARU ini saya ke Kota Bharu sejak sekian lama tak ke sana. Saya pernah dihantar bertugas di KB kira-kira 20 tahun lalu. Kelantan ialah negeri yang 24/7 atau 24 jam 7 hari bercakap pasal politik tak habis-habis.
Semasa daftar masuk ke sebuah hotel di tengah-tengah bandar, ke­dengaran celoteh orang bercakap melalui corong pembesar suara yang diletakkan di bandar itu. Satu ketika pelbagai pengumuman diutarakan. Dan sampai satu ketika ceramah agama disiarkan.
Semasa mengemas pakaian da­ripada beg, saya pun dengar ce­ramah itu. Ia berkisar mengenai pe­mimpin yang zalim. Saya dengar lagi. Ia mengenai kisah kerajaan yang zalim dan ahli-ahli Kabinetnya yang zalim. Ustaz itu menyulam dengan nas-nas nabi dan ayat al-Quran bagi menguatkan hujahnya. Ia semacam ditujukan kepada kerajaan Malaysia?
Istilah zalim ini saya dengar sejak 20 tahun lebih dahulu sehinggalah ke hari ini. Tiada kemajuan langsung di segi pemikiran ceramah itu. Kasihan orang Melayuku yang siang malam dipaksa mendengar ceramah-ce­ra­mah seumpama itu. Ia satu basuhan minda yang cukup berkesan. Semasa orang lain sudah ke hadapan kita masih ke belakang 20 tahun.
Teringat saya di zaman komunis Korea Utara sekarang atau di China dan di zaman komunis USSR dahulu. Corong pembesar suara diletakkan ke seluruh pelosok dan dimainkan lagu-lagu patriotik dan ucapan berapi pemimpin mereka. Ia adalah pro­ses indoktrinasi minda di zaman itu.Kecuali Korea Utara, China dan Rusia kini sudah membuka tembok besi masing-masing kepada dunia luar.
Jadi saya amat bersetuju dengan kenyataan Nik Aziz Nik Mat dalam akhbar Sinar apabila dia mengaku kejayaan terbesarnya menjadi MB selama 22 tahun ialah “berjaya mengubah minda” rakyat Kelantan.
Mentaliti Melayu #2
SUDAH menjadi satu trend kini Melayu sudah tak mahu mengaku Melayu. Mereka ka­ta aku orang Islam, bukan orang Melayu. Aku bukan menjadi Islam kalau aku Melayu. Salah satu bio milik seorang ­spesies Melayu yang saya baca dalam satu twitter mengaku dia bukan Melayu. Se­sung­guhnya kita sudah keliru atau dikelirukan oleh orang politik ber­topengkan parti Islam.
Kerana mahukan kelainan dalam berpolitik mereka sanggup pisahkan Melayu dan Islam.
Demo ambik Melayu dan Islam. Ambo ambik Islam sahaja. Yang anihnya diri sendiri pun sudah tak mahu mengaku Melayu.
Doktrin itu kemudian menjadi ikutan orang Melayu lain. Habis tu kita ini apa ya, dari planet Marikh?
Surat daripada waris al-Mashoor
TERIMA Kasih kerana menulis tentang “Madrasah al-Mashoor” (yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 5 November 2014). Ia disarankan ditulis oleh Encik Pyan Habib.
Saya, Syed Salim Osman Almashoor adalah seorang waris “Madrasah Al-Mashoor” tersebut. Alamat Madrasah tersebut ialah, 67, Leboh Acheh. Pulau Pinang.
Bapa saya dan saya telah terlibat untuk baiki rumah tersebut sejak 1996 lagi.
Malangnya, tujuan hendak baikinya tidak dapat dikota.
Datuk Zakiah Hanum (bekas Pengarah Arkib Negara) telah cuba baiki rumah tersebut. Beliau sempat “naik taraf” Rumah P. Ramlee di Pulau Pinang dan Rumah Dr. Mahathir di Alor Setar.
Malangnya pada tahun 1997, Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi yang amat teruk. Maka membaki rumah tersebut ditunda.
Pada tahun 2009, Jabatan Warisan Negara telah keluarkan satu tender untuk baiki rumah tersebut. Malangnya pada 3 Ogos 2010, Jabatan Warisan Negara telah batalkan tender tersebut.
Setelah rayuan dibuat, Jabatan Warisan Negara telah keluarkan surat bertarikh 15 Julai 2013, untuk kami cari wang daripada sumber yang lain untuk baiki rumah tersebut.
Dewasa ini “Think City” (satu Pejabat Kerajaan di Pulau Pinang) sedang usaha untuk cari jalan untuk baiki rumah tersebut.
Untuk Makluman, pada 7 November 2014, seorang Hamba Allah telah membayar cukai pintu yang terbengkalai sebanyak RM 9,028.60.
Dengan adanya Cuit oleh Zaini Hassan maka seorang Hamba Allah telah membayar cukai tersebut. Dengan adanya kerjasama daripada “Think City”, diharap rumah tersebut dapat dibaiki pada tahun hadapan. Insya Allah.
Terima Kasih - Syed Salim Osman Almashoor.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...