Syukur, Datuk Seri Najib Tun Razak faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan kaumnya sendiri ketika memimpin negara dalam tempoh mencabar ini.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya tidak berhajat menghapuskan polisi afirmatif sebaliknya akan menyemak pelaksanaannya secara adil dan telus berdasarkan kepada merit dan keperluan.
Bumiputera sebagai penduduk majoriti negara ini pasti berasa lega dengan jaminan itu.
Sebagai pemimpin utama negara adalah kesilapan besar jika Najib gagal memahami keperluan semua kaum di negara ini terutama orang Melayu dan Bumiputera.
Pun begitu MEB perlu mengambil iktibar kelemahan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Hanya ada 10 tahun sahaja tempoh MEB untuk melonjakkan ekonomi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.
Kita tidak ada masa untuk dibuang bagi melayan tohmahan dan kritikan kurang membina tatkala pelbagai cabaran harus diharungi untuk kita maju ke hadapan.
Jangan ulangi faktor-faktor yang menyebabkan DEB gagal. Sikap negatif yang merosakkan matlamat DEB harus menjadi panduan jika kita mahu MEB berjaya capai matlamatnya.
Tidak sesuai rasanya rakyat diajak menghentam MEB sedangkan ia baru diperingkat rangka, malah rakyat diseru bersama-sama untuk memberikan buah fikiran.
Dalam temu ramah dengan Bernama kelmarin, Najib menjawab apa yang telah menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat.
Dalam konteks meneruskan dasar afirmatif dalam membantu kaum Bumiputera, janganlah kaum-kaum lain berasa keperluan mereka pula diketepikan.
Sejak 53 tahun negara kita merdeka, belum ada dasar yang membantu Bumiputera menyebabkan kaum lain kerugian.
Kita yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, jika ada kaum yang berasa dipinggirkan daripada arus pembangunan, ia sebenarnya tidak akan berlaku.
Melalui Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan terbaharu Model Ekonomi Baru, semua menjurus untuk kesejahteraan hidup rakyat dan kemajuan negara.
Sebab itu, jika ada pihak bimbang kononnya MEB mungkin menghakis kepentingan kaum Bumiputera, ia juga ternyata tidak benar. Untuk menjayakan MEB, Najib menekankan aspek ekonomi yang lebih mesra pasaran, di samping kebajikan bukan Melayu dan bukan Bumiputera juga dipelihara.
Dalam MEB, kerajaan akan menyusun strategi memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat secara menyeluruh melibatkan semua peringkat.
MEB yang dilancarkan pada 30 Mac lalu kebetulan jatuh selang beberapa hari menjelang setahun Najib sebagai Perdana Menteri ini memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.
Jadi, dalam tempoh setahun ini beliau telah mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan negara.
Adalah penting dasar-dasar dan pembaharuan yang diperkenalkan Najib disenangi oleh pelbagai golongan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
No comments:
Post a Comment