Monday, January 9, 2012

Memulihara manuskrip purba


SAINTIS, pakar literasi dan pekerja-pekerja yang mahir mengendalikan buku-buku tradisional atau lama disatukan dalam mendapat hasil yang terbaik di sini.

MANUSKRIP-MANUSKRIP purba 'dilayan' umpama menjaga pesakit-pesakit di hospital lima bintang di Institut Buku Patologi yang terletak di Itali. Institut itu merupakan lokasi paling tersohor dalam menyimpan dan mengumpul khazanah dan tinggalan manuskrip yang kadangkala tidak dapat dibeli dengan wang.

Katakan apa sahaja, daripada segulung skrol yang dinamakan Dead Sea Scrolls hinggalah senaskhah al-Quran yang dikatakan tertua di dunia tersimpan rapi di institut itu.

"Lihat betapa lelaki miskin ini merana," kata Ketua Jabatan Kimia, institut itu, Marina Bicchierie ketika dia sedang asyik menguji tahap pengoksidaan sebuah projek terbaharunya.

Pada masa yang sama, Bicchierie juga khusyuk meneliti carta analisis saintifik sepucuk surat terakhir hasil tulisan Aldo Moro. Moro ialah bekas Perdana Menteri Itali yang diculik dan dibunuh oleh parti sayap kiri dan juga militan di Itali, Red Brigades pada tahun 1978.

Sebenarnya, Institut Buku Patalogi yang didirikan di tengah-tengah pusat bandar Rom itu telah ditubuhkan sejak tahun 1938 lagi. Penubuhannya bermatlamatkan untuk memelihara dan mengekalkan bahan-bahan arkib di seluruh pelosok dunia. Makmal pusat itu terletak di sebuah lokasi strategik iaitu di sebalik sebuah taman yang berdinding.

"Institusi ini merupakan sebuah pusat yang paling berdisiplin di dunia," kata Bicchierie.

Sebagai pusat penyimpanan material-material purba, ruangnya dipenuhi dengan buku-buku yang 'dicemari' dengan pelbagai penyakit.

Khazanah bernilai

Salah satu daripada simpanan yang begitu bernilai ialah sebuah buku berlubang yang saiznya sebesar penumbuk. Buku itu beritahu Bicchierie, telah dimakan oleh anai-anai.

Namun, terdapat andaian dan teka-teki lain di sebalik 'paras rupa' buku itu. Antara pendapat yang dikemukakan oleh sesetengah pihak ialah lubang itu terjadi disebabkan oleh tembakan peluru yang disasarkan pada Zaman Pertempuran Monte Carlo yang meletus ketika kehangatan Perang Dunia kedua.

Mengulas lanjut mengenai Institut Buku Patologi yang menjadi kebanggaan Rome itu kata Bicchierie, ia telah menjadi pusat sehenti paling utama dalam mendapatkan rujukan buku dan bahan arkib yang dikembali dan dipulihkan semula di Itali.

Kakitangan institut itu sentiasa sibuk dan tidak menang tangan. Terkini, mereka sedang menjalankan kaji selidik dan pemulihan terhadap manuskrip al-Quran yang dijumpai di Sanaa, Yemen.

Serpihan-serpihan naskhah suci itu harus disatukan secara berhati-hati. Hasil kajian awal mendapati, al-Quran itu adalah tinggalan manusia sekitar abad kelapan lalu.

Daripada banyak penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar institusi itu, mereka menemui satu penemuan yang pelik.

Cerita Ketua Jabatan Biologi institut itu, Flavia Pinzari, pakar-pakar di sana dikatakan berminat untuk mendermakan darah mereka setelah hasil eksperimen mereka mendapati sebotol dakwat dengan darah manusia telah digunakan ke atas skrol yang dikenali sebagai Dead Sea Scrolls.

Kaedah itu disifatkan sebagai satu idea yang bernas lagi berkesan kerana ia berjaya membantu menstabilkan warna ke atas skrol berkenaan.

"Namun, masalah utama yang saya dapati ialah apabila material itu terdedah dengan air, haba, debu dan serangga," kata Pinzari.

Projek itu dikatakan memakan masa yang agak lama untuk diselesaikan. Ia akan menjadi lebih teruk jika terdapat campur tangan daripada pihak tertentu.

Kumpulan pakar

"Susulan kejadian banjir di Tuscany baru-baru ini, institusi kami telah dipanggil oleh pihak berkuasa tempatan untuk membantu mereka menyelamatkan bahan-bahan arkib yang telah rosak akibat banjir.

"Kita telah mohon kepada mereka membekukan setiap material supaya ia dapat mengelak dakwat daripada terus cair dan mengelak pembiakan mikroorganisma. Dengan cara itu, kita akan mengewap buku-buku daripada terus musnah akibat air," jelas Pinzari.

Sesungguhnya, Institut Buku Patologi itu sangat berwibawa. Mereka yang berkhidmat di sini bukan orang sebarangan. Sebaliknya, menyatukan ramai saintis, pakar-pakar kesusasteraan serta pekerja-pekerja mahir yang mempunyai kemahiran unggul dalam mengendalikan buku-buku tradisional atau lama.

Buku-buku jenis itu bukan mudah untuk dipulihkan. Setiap daripada pakar mempunyai kepakaran mengikat buku daripada terus dimamah usia.

Kumpulan pakar itu juga menggunakan mikroskop x-ray dalam setiap kerja-kerja mereka. Namun, pada masa yang sama mereka masih konvensional apabila masih mengguna pakai peralatan seperti penyepit, mesin pencetakan lama dan jentera khas yang dapat mengesan kertas atau manuskrip palsu

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...