MASALAH gejala sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Jenayah itu seperti sumpahan apabila tabiat kejam tidak berperikemanusiaan ini semakin popular dalam kalangan remaja.
Atau adakah institusi kekeluargaan kini sudah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?
Selain usaha menerapkan nilai agama dalam masyarakat khususnya institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi.
Bagi tindakan penguatkuasaan syariah, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah.
Namun tindakan pencegahan menjadi perkara penting kerana membabitkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.
Bagaimanapun, masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA). Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin ‘menjaga tepi kain orang’.
Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman itu bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.
Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman mengikut Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan.
Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut dalam kalangan masyarakat terhadap hukuman dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman ditetapkan oleh undang-undang Islam.
Bagi aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah dalam firman yang bermaksud: “Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 38)
Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes-kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain.
Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan sebagai pemulihan bagi pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan.
Akta/Enakmen/Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri terdapat peruntukan bertujuan membanteras kegiatan jenayah pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan kesalahan khalwat kerana jika diteliti khalwat adalah faktor utama membawa kepada perzinaan yang akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi.
Maka di sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sangat dituntut oleh Islam.
Ibu bapa atau penjaga juga perlu memainkan peranan mendidik anak dengan didikan agama bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.
No comments:
Post a Comment