SEKALIPUN terpaksa menghadiri mesyuarat penting
atau memandu untuk jarak yang jauh, menahan kencing bukanlah satu tindakan yang
bijak. Air kencing yang ditahan itu hakikatnya kotoran beracun yang
perlu dikeluarkan daripada badan.
Menurut Pakar Urologi, Kesihatan Lelaki dan Pembedahan Robotik,
Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr. Sahabudin Raja Mohamed, menahan diri
daripada membuang air kecil akan memberi kesan negatif kepada kesihatan. Namun,
perkara itu mempunyai kesan yang berbeza mengikut jantina dan usia.
Kanak-kanak yang menahan kencing terlalu lama boleh menyebabkan
masalah besar. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, ia boleh meningkatkan
kejadian jangkitan saluran kencing. Dalam kes yang lebih buruk, ia akan
mengakibatkan inkontinens iaitu masalah hilang kawalan untuk menahan kencing,”
kata Sahabudin.
Masalah itu menyebabkan penghidap tidak mampu menahan kencing
daripada terkeluar sendiri terutamanya ketika batuk, bersin atau meneran.
Seseorang juga sukar untuk menahan kencing sehingga dia boleh terkencing di
mana-mana sahaja sebelum sempat pergi ke tandas.
Antara tanda-tanda seseorang itu mendapat masalah inkontinens
adalah sering berasa tidak puas ketika membuang air kecil atau aliran air
kencing yang lemah. Masalah itu boleh terjadi kepada mereka yang mengalami
kerosakan ginjal, uretra yang tersumbat ataupun kerosakan saraf akibat
diabetes.
Dalam pada itu, Sahabudin menjelaskan,
membuang air kecil sebanyak di antara lima hingga enam kali sehari merupakan
situasi yang normal. Namun, mereka yang membuang air kecil melebihi lapan kali
sehari menunjukkan keadaan yang sebaliknya.
“Kencing kurang daripada lapan kali sehari merupakan keadaan
yang normal. Urin mereka akan berwarna jernih seperti air paip,” ujarnya
Pundi kencing yang berfungsi secara normal ditunjukkan apabila
seseorang membuang air kecil dalam tempoh tiga hingga empat jam sekali iaitu
tidak lebih lapan kali sehari. Mereka yang normal akan membuang air kecil hanya
sekali pada waktu malam.
Jelas Sahabudin lagi, mengurangkan minum air masak bagi
mengelakkan seseorang itu kerap ke tandas adalah satu tindakan yang salah.
Mereka tidak seharusnya mengurangkan pengambilan air kerana bahan tersebut
penting kepada tubuh bagi mengelakkan dehidrasi.
“Jangan mengurangkan kuantiti air yang diminum. Sebaliknya
pergilah berjumpa dengan doktor untuk mengatasi masalah itu. Jika terdapat
jangkitan, pesakit perlu dirawat terutamanya mereka yang mengalami pundi
kencing terlalu aktif,” katanya lagi.
Antara tanda kencing terlalu aktif adalah sukar menahan kencing,
kencing tidak puas, pergi ke tandas melebihi 10 kali sehari dan berlaku
kebocoran jika menahannya. Masalah ini boleh terjadi lebih kerap dalam kalangan
wanita muda. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan membuang air lebih
daripada 10 kali sehari serta tidak dapat menahan kencing.
Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu
adalah senaman otot untuk mengawal kencing, latihan pundi kencing dan
penggunaan ubatan. Jelas Sahabudin, masalah tersebut sering berlaku akibat
kesibukan kerja yang mengundang masalah malas ke tandas selain ketiadaan
kemudahan tandas yang bersih.
Sementara itu, melakukan aktiviti seperti memandu sambil menahan
air kencing boleh mengundang bahaya. Perbuatan menahan kencing didapati
mempunyai kesan yang sama dengan keracunan alkohol atau tidak tidur selama 24
jam secara berterusan.
“Apabila manusia sampai kepada titik kesakitan, mereka tidak
mampu berfikir dan membuat keputusan lagi. Ia sama seperti mabuk,” kata
profesor neurologi di Universiti Brown di Providence, Pulau Rhode, Amerika
Syarikat (AS), Peter Snyder.
Kajian Synder bersama kumpulan penyelidiknya itu memenangi
kategori perubatan anugerah Ig Nobel anjuran majalah Annals of Improbable
Research (AIR) di AS baru-baru ini. Ig Nobel memberikan anugerah untuk pelbagai
kajian yang dianggap melucukan tetapi kemudian membuatkan orang mula berfikir.
No comments:
Post a Comment