Wednesday, September 11, 2013

Laman sosial bukan medan bercakaran

Internet menjadi keperluan yang tidak dapat dielakkan oleh setiap manusia. Ia dianggap suatu yang memudahkan serta mempercepatkan urusan kehidupan. 

Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan MyFace memudahkan proses bermaklumat dan berkomunikasi sesama insan. Di antara kebaikan utama penggunaan lama sosial ialah bagi mempercepatkan penyaluran maklumat mahupun berita semasa.
 
Sesiapa yang mempunyai akaun laman sosial mampu mengetahui sesuatu berita dengan lebih cepat berbanding penduduk yang tidak mengaktifkan laman sosial mereka. 
                                 

Dalam Islam penggunaan laman sosial untuk menyebarkan maklumat dan juga nasihat adalah digalakkan.
 

Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya agama itu adalah nasihat”. (Hadis riwayat Muslim).
 

Dengan penggunaan laman sosial, umat Islam digalak untuk berkongsi perkara yang baik dan tidak ditegah oleh agama.
 

Perkongsian maklumat dan juga perkara yang baik ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai suatu amalan yang soleh dan insya-Allah akan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya.
 
Di samping itu, jaringan sosial itu mampu merapatkan ukhuwah sesama manusia. Dengan penggunaan aplikasi seperti Facebook, umat Islam mampu merapatkan hubungan ukhuwah dan menjalinkan kembali hubungan persaudaraan dengan teman yang telah lama terpisah.
 

Tidak dinafikan penggunaan laman sosial mampu membawa kehidupan kepada perkara negatif dan pada masa yang sama mungkin juga boleh menjerumuskan seseorang Muslim ke lembah dosa.
 

Kesan negatif kepada pelajar
 

Penggunaan laman sosial ini boleh memberi kesan negatif kepada remaja sekolah apabila tiada kawalan dan bimbingan ibu bapa.
 

Pendek kata terdapat banyak perkara yang dilarang oleh agama dan perlu dielakkan oleh seseorang Muslim daripada melakukan perkara tersebut ketika mengaktifkan sebarang laman sosial.
 

Sewaktu melawati laman sosial, kita sering kali terbaca kata kesat yang dilemparkan oleh pengguna. Maki hamun, cacian dan kata-kata kesat ini semakin sinonim dengan jiwa sebahagian masyarakat kita dalam mengutarakan pandangan dan rasa hati.
 

Perlulah diingati bahawa walaupun seseorang itu berada pada pihak yang salah, namun sebagai seorang Muslim, kita dilarang untuk menggunakan bahasa dan istilah yang kesat dalam teguran dan kritikan kita terhadapnya.
 

Rasulullah SAW pernah menegur perbuatan isteri Baginda iaitu ‘Aisyah ra yang mempertikaikan Safiyyah ra iaitu madu beliau dengan menggelarnya si pendek. Maka Nabi SAW terus menegur ‘Aisyah dengan sabda Baginda: “Sesungguhnya kamu telah berkata suatu perkataan yang apabila ia bercampur dengan air laut nescaya ia akan mengotorinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi).
 

Perdebatan kosong
 

Di samping itu, Islam menegah sebarang perdebatan dan pertelingkahan yang sia-sia. Perkara ini dapat dilihat di laman sosial masyarakat Islam yang kadang kala dihiasi dengan perdebatan kosong.
 

Ada kalangan mereka yang masih berhujah seperti menegakkan benang basah. Dalam hal ini Allah SWT berfirman: “Dan (orang beriman) apabila mereka diajak berdebat dengan orang yang jahil maka mereka berkata kami selamat (iaitu berlindung daripadanya).” (Surah al-Furqan ayat 63).
 

Bersabar daripada membalas kata-kata yang kesat adalah suatu sifat yang mulia dan terpuji. Apabila seseorang yang dicerca itu bertindak balas maka ketahuilah bahawa syaitan akan memainkan peranan dalam melagakan sesama umat Islam.
 

Dalam hadis yang dicatat oleh Imam Abu Daud diceritakan bahawa telah datang seorang lelaki kepada Abu Bakar ra dan bersama-sama beliau Rasulullah SAW dan sahabat lain.
 

Lelaki tersebut itu mencerca Abu Bakar sebanyak tiga kali dan Abu Bakar hanya membalas cercaan tersebut pada kali ketiga.
 

Lalu Nabi SAW bangun dan beredar daripada tempat duduk Baginda. Lantas Abu Bakar bertanya kepada Nabi SAW jikalau Baginda murka dengan beliau.
 

Maka Nabi Rasulullah SAW bersabda: “Telah turun malaikat untuk menidakkan kata-kata lelaki yang mencercamu. Namun apabila kamu membalasnya maka telah hadir pada ketika itu syaitan dan sesungguhnya aku tidak akan duduk dalam sesuatu majlis yang terdapat padanya syaitan.”
 

Daripada hadis ini jelas menerangkan kepada kita bahawa sebarang perbalahan yang berlaku walaupun di laman sosial mampu membuka pintu untuk syaitan menghasut dan memecahbelahkan persaudaraan anak Adam.
 

Perkara lain yang dilarang ketika menggunakan laman sosial ialah mengumpat serta menyebarkan fitnah dan juga berita palsu kepada individu mahupun masyarakat.
 

Mengumpat ialah apabila seseorang itu memperkatakan sesuatu keburukan saudaranya kepada orang lain tanpa pengetahuan saudaranya itu. Dosa umpatan ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dengan berfirman:
 

“Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka menjamah daging saudaranya yang telah mati sedangkan kamu semua membencinya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat ayat 12).
 

Fitnah dalam bahasa Arabnya lebih dikenali sebagai al-Buhtan iaitu menceritakan sesuatu perkara yang tidak benar tentang individu, kumpulan mahupun masyarakat. Malah dosanya adalah lebih besar daripada mengumpat.
 

Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang menuduh seseorang Muslim dengan niat memburukkannya maka Allah SWT akan mengurungnya di atas titi neraka jahanam sehinggalah keluar segala perkataan dusta.” (Hadis riwayat Abu Daud).
 

Pengguna laman sosial juga dinasihatkan agar menilai setiap berita yang datang kepada mereka.
 

Pastikan kesahihan berita tersebut dan menjauhi sebarang laman yang menyebarkan fitnah dan juga berita yang tidak jelas.
 

Seorang Muslim yang beretika dilarang untuk berkongsi mahupun menyebarkan maklumat yang tidak jelas dan berbaur fitnah.
 

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman apabila datang kepada kamu orang fasik maka selidikilah (berita tersebut).” (Surah al-Hujurat ayat 6).
 

Larangan ini juga disebutkan oleh Rasulullah dalam sabdanya, “Sudah dikira seseorang itu sebagai penipu apabila dia menceritakan segala yang dia telah dengari.” (Hadis riwayat Imam Muslim).
 

Sebar maklumat palsu
 

Di samping itu, penyebaran maklumat palsu mengenai agama Islam perlulah disekat dan dihindarkan. Adalah amat menyedihkan apabila didapati begitu banyak perkhabaran palsu mengenai agama Islam ini disebarkan terutama yang berkaitan dengan hadis Nabi Muhammad SAW.
 

Walaupun makna yang didatangkan itu baik, namun ia tetap dikira sebagai pembohongan ke atas Rasulullah dan dikira sebagai dosa besar jika seseorang itu menyedari akan kepalsuannya.
 

Rasulullah bersabda “Sesiapa yang berbohong ke atas ku maka dia telah menempah tempatnya dalam api neraka.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih).
 

Pemalsuan mengenai syariat Islam ini jelas menunjukkan kebodohan umat Islam pada kaca mata bukan Muslim.
 

Perlulah diketahui bahawa Islam adalah agama yang benar dan syariatnya datang daripada sumber yang benar (al-Quran dan hadis). Maka tidak boleh ada sebarang pemalsuan dalam Islam walaupun atas niat yang baik.
 

Perkara lain yang menjadi kebimbangan dalam penggunaan laman sosial ialah keterbukaan masyarakat untuk melakukan dosa dan maksiat.
 

Amat membimbangkan apabila kita mendengar jenayah berat yang berlaku hasil daripada perhubungan sosial yang bermula daripada laman tertentu.
 

Malah, sudah beberapa kali kita mendengar kes rogol yang pada asalnya bermula daripada perkenalan di laman sosial ini.
 

Di samping itu, ada juga kes penipuan wang ringgit yang juga bermula daripada perkenalan di laman sosial.
 

Malah, lebih membimbangkan apabila masalah ini turut membabitkan remaja di bawah umur. Dalam menangani perkara ini setiap individu perlu sedar akan keterbukaannya untuk terjerumus ke lembah dosa.
 

Maka, gunakan laman sosial ini dengan meletakkan syariat sebagai garis panduan.
 

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak di bawah umur hendaklah mereka memantau aktiviti penggunaan laman sosial oleh anak mereka.
 

Kawal anak agar tidak terbabit dengan perkara yang dilarang oleh agama. Ingatlah firman Allah SWT yang berbunyi: “Wahai orang yang beriman cegahlah diri kamu semua dan juga ahli keluarga kamu daripada azab api neraka.” (Surah al-Tahrim ayat 6).
 

Petikan al-Quran
 
“Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka menjamah daging saudaranya yang telah mati sedangkan kamu semua membencinya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat ayat 12).


No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...