Friday, June 5, 2015

Kalaulah Jumaat hari cuti mingguan

MOHD. RADZI MOHD. ZIN  |  29 Mei 2015
HARI Jumaat adalah hari paling utama sehingga digelar sayyidul ayyam atau penghulu segala hari. Ia juga adalah hari perhimpunan mingguan bagi umat Islam khususnya golongan lelaki untuk solat Jumaat dan juga membajai hati melalui khutbah yang disampaikan.
            Tentang kelebihan hari Jumaat ini Rasululah SAW ber­sabda yang bermaksud: Allah menyesatkan orang-orang sebelum kami pada hari Jumaat, Yahudi pada hari Sabtu, dan Nasrani pada hari Ahad, kemudian Allah mendatangkan kami dan memberi petunjuk pada hari Jumaat, mereka umat sebelum kami akan menjadi pengikut pada hari kiamat, kami adalah yang terakhir dari penghuni dunia ini dan yang pertama pada hari kiamat yang akan dihakimi sebelum umat yang lain. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, disebabkan keterbatasan waktu selain kesibukan bekerja, ramai dalam kalangan kita yang tidak sempat melaksanakan amalan-amalan sunat Jumaat. Apa tidaknya, bagi yang tinggal di Lembah Klang misalnya, masa amat kritikal. Bagi yang tinggal di kawasan seperti Sungai Buloh dan Rawang serta bekerja di Kuala Lumpur, ramai yang terkejar-kejar ke pejabat. Pendek kata, kalau masuk waktu Subuh pada pukul 6 pagi, lepas bagi salam maka mereka akan cabut ke pejabat.
            Jarang bagi golongan ini berpeluang solat sajadah pada subuh Jumaat. Sebab itu, imam di sesetengah masjid dan surau tidak membaca ayat sajadah bagi mengelak makmum kelam-kabut dan terganggu solat mereka. Amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah SAW yang biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. (Riwayat Bukhari) Disebabkan majoriti kita bekerja pada hari Jumaat, maka kita terlepas satu lagi amalan sunat iaitu mandi sebelum menunaikan solat Jumaat. Suruhan ini bersandarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu”. (Riwayat Ibnu Majah)
            Kita juga digalakkan datang awal ke masjid atau surau untuk solat Jumaat dengan ganjaran pahala yang berar. Dalam bab ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebutir telur.” (Riwayat Ibnu Majah) Malangnya, sebahagian besar kita yang bekerja tidak dapat datang awal ke masjid pada hari Jumaat kerana waktu rehat untuk solat adalah kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Itu belum ditolak masa perjalanan ke masjid kerana bukan semua kita berada dekat dengan lokasi solat Jumaat.
            Satu lagi sunnah pada Jumaat adalah membaca surah al-Kahfi. Ini pun tidak ramai yang mampu melakukannya. Antara alasan utama adalah kesuntukan masa. Yalah, selepas selesai solat Jumaat sudah bergegas pula masuk semula ke pejabat untuk kembali bertugas. Sebab itu, alangkah baik jika negara kita menukar cuti mingguan daripada Ahad kepada Jumaat. Selain memang Jumaat itu adalah hari kebesaran umat Islam ia juga memberi peluang yang seluas-luasnya kepada umat Islam beribadat. Ini bukan pula mahu menjadikan kita malas bekerja pada Jumaat tetapi selaras dengan suruhan Allah bersegera solat Jumaat dan bertebaran mencari rezeki di muka bumi selepas menunaikannya. (Rujuk surah Jumuah: 9)

Jangan biarkan imej bola sepak tercemar

NOOR MOHAMADSHAKIL HAMEED  |  25 Mei 2015
BEBERAPA kejadian pergaduhan dan provokasi melampau dalam kancah bola sepak tempatan baru-baru ini cukup merisaukan dan mula mencemarkan imej dan nama baik sukan popular itu.
Rusuhan penonton fanatik baru-baru ini sejurus selesai perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan Lion XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sehingga merosakkan pelbagai harta awam termasuk membakar ambulans dan merosakkan kenderaan polis menceritakan betapa budaya samseng bola sepak masih menebal dalam segelintir kalangan peminat tempatan.
Apa yang pasti pergaduhan, ketegangan dan rusuhan seperti ini bukanlah pertama kali berlaku di negara kita. Sebelum ini, beberapa kejadian seumpama ini sudah berlaku di beberapa stadium yang jalan ceritanya hampir sama di mana sama ada penyokong tidak berpuas hati kerana pasukan mereka kalah ataupun tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang digambarkan sebagai kontroversi mahupun berat sebelah.
Apapun alasan serta justifikasi yang diberikan kita sama sekali tidak boleh berkompromi dengan gelagat dan tingkah laku penonton liar seperti ini. Senario ini sebenarnya mencerminkan betapa mentaliti segelintir penyokong bola sepak tanah air yang tidak matang dan profesional.
Persoalannya, apakah ini mentaliti sebenar penyokong bola sepak tempatan dan adakah sikap sebegini boleh membantu memba­ngunkan dan memajukan mutu dan kualiti bola sepak negara kita?
Tatkala semua pihak terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha keras untuk merangka pelan pembangunan bola sepak negara, timbul pula kekecohan seperti ini. Lebih malang, kejadian ini sudah kelihatan seperti satu trend dan virus yang mula menular dari stadium ke stadium. Asalkan tidak berpuas hati sahaja, sudah ada penonton yang berani bertindak di luar norma dan batasan seperti ini.
Walaupun kelompok samseng bola sepak ini tidaklah mewakili keseluruhan peminat bola sepak tempatan yang masih berdisiplin dan menghormati undang-undang namun gelagat segelintir individu ini jelas merencatkan keseronokan menikmati perlawanan bola sepak secara keseluruhannya.
Justeru, kita berharap agar pihak FAM, KBS, persatuan bola sepak negeri, polis dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih tegas dalam membendung gejala samseng bola sepak ini yang jelas bukan budaya kita.
Hal ini penting kerana jika dibiarkan penulis percaya budaya samseng ini akan menjadi ikutan yang cukup membahayakan semua pihak. Akhirnya, kita bimbang peminat bola sepak tempatan mengambil langkah untuk tidak lagi pergi ke stadium menonton perlawanan bola sepak secara langsung. Ini kerana mereka memikirkan keselamatan diri dan keluarga masing-masing yang pergi ke stadium.
Ironinya, menonton perlawanan bola sepak di stadium sewajarnya menjadi detik yang cukup me­nyeronokkan di samping membuka kesempatan kepada kita untuk menghabiskan masa dengan ahli keluarga secara bersama sambil menyokong pasukan pilihan masing-masing. Namun melihat kepada trend seperti ini yang jelas me­ngancam keselamatan semua pihak, sudah semestinya hasrat tersebut akan terjejas.
Ini bukan sahaja bakal merugikan persatuan bola sepak negeri dan pengurusan stadium akibat kemerosotan secara mendadak dari segi kehadiran penonton ke stadium malah dalam konteks yang lebih meluas lagi bakal merugikan proses pembangunan bola sepak negara secara keseluruhannya. Dalam hal ini, di samping menggunakan undang-undang untuk membendung budaya samseng seperti ini elok juga FAM dan KBS berfikir selangkah ke hadapan iaitu mencari jawapan kepada persoalan kenapa ada penyokong yang sanggup menggunakan kekerasan dalam bentuk provokasi dan pergaduhan dalam sesuatu perlawanan bola sepak.
Apakah ini hasil tindak balas kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan masing-masing ataupun ada faktor lain yang lebih mendorong mereka untuk bertindak seperti samseng. Misalnya, adakah ini ada kaitan dengan ru­ngutan dan desas desus yang se­ring kedengaran iaitu melibatkan mutu pengadilan bola sepak tempatan. Contohnya, adakah penonton bertindak melepaskan geram kerana tidak puas hati dengan tindakan dan keputusan pengadil yang meng­adili sesuatu perlawanan terbabit.
Perkara ini tidak mustahil kerana ini juga berlaku di luar negara apabila pengadil sering menjadi mang­sa kutukan dan kemarahan baik jurulatih mahupun penonton yang tidak boleh terima sesuatu keputusan yang dibuat oleh pengadil. Dalam kesempatan, ini eloklah FAM menilai semula mutu peng­adilan bola sepak tempatan secara menyeluruh. Hakikatnya, apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini juga dilaporkan berlaku kerana alasan yang sama iaitu penonton tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Hal ini penting kerana perkara seperti ini sering berulang dan menimbulkan tanda soal terhadap mutu dan kualiti pengadil tempatan. Kita tidak menafikan kehebatan beberapa orang pengadil kita yang pernah terbabit di beberapa kejohanan bola sepak berprestij termasuk Piala Dunia. Ini menunjukkan pihak FIFA mengiktiraf kemampuan pengadil kita namun majoritinya masih terlibat dalam perlawanan domestik di mana kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.
Maka sudah tiba masanya untuk FAM memikirkan strategi bagi membuka lebih banyak peluang pendedahan kepada pe­ngadil tempatan agar dapat meraih pengalaman di luar supaya dapat meningkatkan mutu dan kualiti masing-masing.
Di samping itu, apakah ada kemungkinan terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru hara dengan mengupah samseng untuk mencetuskan provokasi mahupun pergaduhan? Kemungkinan ini juga wajar dipandang serius kerana bagi sesetengah individu bola sepak bukan sukan semata-mata tetapi membabitkan punca pendapatan misalnya melibatkan elemen bookie­, judi dan rasuah di samping aspek maruah dan imej.
Apapun kita berharap menta­liti penyokong kita cepat berubah. Janganlah cepat melenting mahupun marah apabila pasukan kita me­ngalami kekalahan atau tidak me­nunjukkan prestasi yang kita harap­kan.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Umat Islam Denmark bakal puasa 21 jam

03 Jun 2015
ABU DHABI 2 Jun – Umat Islam di Denmark bakal berdepan cabaran untuk mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan tahun ini kerana terpaksa berlapar selama 21 jam sehari, berpandukan peta terkini rakaman waktu puasa di seluruh dunia.
Selain itu, penduduk Islam di negara seperti Iceland, Sweden, dan Norway pula perlu berpuasa selama 20 jam.
Portal berita emirates247.com melaporkan, waktu berpuasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini dijangka sebagai yang terpanjang dalam sejarah seperti dilapor seorang penyelidik di Planetarium Sharjah di negara ini.
Waktu berpuasa pada tahun ini secara purata dijangkakan selama 15 jam dan 15 minit yang merupakan tempoh paling lama sejak 32 tahun suria dan 33 tahun bulan, jelas seorang Penyelidik Astrologi dan Meteorologi serta Penyelia Am Plane-tarium, Ibrahim Al-Jarwan kepada akhbar Al-Roeya.
Katanya, setiap tahun, waktu berpuasa dijangkakan meningkat dari tahun sebelumnya sehingga bulan Ramadan pada 2018 apabila tempoh berpuasa akan menurun berperingkat-peringkat.
“Kadar suhu sepanjang bulan Ra-madan kali ini dijangka mencecah antara 42 dan 44 darjah Celsius, malah mungkin bertambah sehingga 50 darjah Celsius terutama di kawasan padang pasir,” katanya lagi.
Sementara itu, penduduk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal berpuasa untuk tempoh masa secara purata selama 14 jam 51 minit dan jangka waktu berpuasa sepanjang bulan Ramadan kali ini dijangka berbeza-beza antara sesebuah negara berdasarkan kedudukan latitud dan longitud.
Berbanding Denmark, Argentina merupakan sebuah negara yang ber-puasa untuk tempoh masa yang paling singkat iaitu selama 9 jam 30 minit.

Penangan’ 300 juta penutur bahasa Melayu

27 Mei 2015
Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonalds menjadi salah satu penembusan barat ke timur. Namun, kita tiada semua itu.  India berjaya menembusi Amerika dan London melalui karinya. Demikian juga China dengan makanannya sentiasa ada di mana-mana tempat di dunia ini. Makanan Melayu, alahai! agak sukar bertapak. Sama ada itu keluhan, rintihan atau kekesalan, isu itu menjadi fokus utama Penasihat Sosio budaya kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim. Rais yang waktu ini mempengerusikan satu jawatankuasa bagi mengkaji kerjasama menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa. Penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui bulan lalu hasil pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muh- yiddin Yassin dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla di Jakarta. Kesepakatan yang dicapai biarpun agak terlewat itu, telah mengambil kira lebih 300 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Rata-rata penuturnya berada di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura - menjadikannya bahasa keempat kerap penggunaannya di dunia. Selaku Pengerusi Penyelaras Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, Rais dan rakan sejawatan­nya dari Indonesia nanti akan berusaha mencapai beberapa mat­lamat. Antaranya menyelaraskan terminologi dan promosi bahasa Melayu/Indonesia dalam perdagangan dan kontrak komersial selain bahasa melalui pembudayaan. Ironinya, terdapat le­bih 300 juta penutur bahasa Melayu berbanding bahasa Perancis seramai 120 juta. Malangnya bahasa Melayu terus tertinggal. Usaha menggerakkan Jawatankuasa Bahasa Melayu dan Indonesia untuk tujuan sama pernah digerakkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Tetapi agak terbantut. Kini, direalisasikan kembali melalui jawatankuasa diselaraskan oleh Rais. Malaysia sendiri berada di kancah Nusantara bersama Indonesia. Tetapi kita cepat hilang budaya warisan berbanding Indonesia sebab populasi yang sedikit 28 juta berbanding 300 juta rakyat Indonesia yang lebih terserlah di mata dunia selain disebabkan persaingan masyarakat majmuk. Namun itu bukan alasan untuk lari dari tanggungjawab. Usaha membudayakan makanan Melayu misalnya tidak boleh terlepas. Hari ini, kemuncaknya Starbucks, McDonalds, KFC begitu rancak dan pesat berbanding kemunculan restoran masakan Melayu, sam­bal tumis dan nasi lemak. Dihubungi penulis semalam, Rais berkata: “Dulu Melayu glokal, lokalnya tak banyak. Aspek glokal dengan global ini patut begitu tetapi sekarang banyak (aspek) global, kita tertiru-tiru tanpa meng­gunakan kebijaksanaan tempatan. “Kalau bersungguh-sungguh, kita boleh globalkan makanan Malaysia Indonesia yang kita miliki. “Lihat bagaimana KFC popular tetapi untuk makanan Melayu, kita tidak buat promosi. Kita terheret menerima kononnya terma Indonesia tak glamour. Banyak nama taman perumahan kini memakai nama height, terrace dan garden. “Malah, presint itu juga satu lagi penjahanaman bahasa.” Ketidakseimbangan menyelaras ser­ta kurang daya usaha mengangkat martabat bahasa Melayu/Indonesia bukan setakat berlaku dalam promosi makanan sahaja. Tetapi berlaku juga dalam aspek pendidikan. “Mereka (dari Nusantara) yang belajar di universiti-universiti di Eropah dan Arab diasuh dengan budaya di negara-negara berkenaan. Maka, kita perlu ada panduan apabila mereka kembali ke Nusantara ini (tanah air masing-masing), mereka akan menyerap kembali pembudayaan hidup Nusantara. Rais sedang merangka perkara ini untuk diperhalusi dalam jawatankuasa itu nanti.

Kemelut Najib-Dr. M: Yang untung siapa?

14 Mei 2015
MUKADIMAH PENASIHAT Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, 73, mengakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 90, seorang yang berpengaruh. Katakata Dr. Mahathir diikuti banyak orang.
“Cuma, kita mesti kembali kepada budaya Melayu dan Islam. Dalam mendesak seseorang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak, 62,) berundur, tidak boleh dilakukan dengan cara menjatuhkan air muka di khalayak ramai. Ia salah di sisi budaya dan agama”. “Tanpa gesaan Dr. Mahathir, keadaan tidak menjadi seperti sekarang”.  “Saya harap Dr. Mahathir tidak kecil hati, kita akan sentiasa menilai beliau. Oleh kerana beliau berterus-terang, kita juga perlu berterus-terang,”
kata Rais kepada wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL di Kuala Lumpur semalam. Rais yang berpengalaman luas dalam parti dan kerajaan, pernah bekerja dengan semua Perdana Menteri.

UTUSAN: Sebagai orang lama UMNO, bagaimana Tan Sri melihat kemelut antara Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.
DR. RAIS YATIM: Saya lihat masalah dan kemelut yang dihadapi oleh Perdana Menteri kita dicetuskan oleh orang dalam sistem kita sendiri. Ertinya, kritikan itu muncul daripada lingkungan pemimpin UMNO kebanyakannya. Dan diketuai oleh Tun Dr. Mahathir (Mohamad). Masalah tentang 1MDB dan juga membelanjakan duit Tabung Haji sudah dijawab oleh beliau dan setakat beliau sebagai Perdana Menteri, ia memadai setakat ini. Tinggal lagi, beliau dituntut untuk meletak jawatan atau berundur sebagai Perdana Menteri. Ini tidak boleh dipersetujui UMNO dan UMNO sebulat suara menyokong beliau. Cuma di belakang falsafah ini harus ditebalkan di dalam pemikiran orang Melayu amnya dan pemimpin UMNO khasnya, iaitu bukanlah suatu pendekatan Melayu untuk menjatuhkan air muka seseorang pemimpin dengan menyuruh dia berhenti di khalayak ramai dan ‘digongkan’. Dari segi budaya ini tak betul. Ia harus lebih mirip kepada budaya ‘menarik rambut dalam tepung, rambut dapat ditarik, tepung tidak tersebar’.
Jadi, kalau ada desakan supaya PM letak jawatan, itu harus ditolak?
RAIS: Ya, itu mesti kita tolak sebab lunasnya seseorang Perdana Menteri jika hendak berundur mesti mengikut fasal dalam Perlembagaan. Beliau dilantik di bawah perkara 43 dan mesti ada undi tidak percaya di Parlimen jika hendak menurunkannya. Begitupun UMNO juga memainkan peranan. Oleh kerana UMNO tidak ada membuat gesaan seperti itu dan Parlimen tidak ada juga gesaan serupa, maka apa yang digesa oleh Dr. Mahathir out of order. Jadi, di situ barangkali sahabat lama yang baharu terasa. Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) punya komen (mempertahankan Najib, minta beliau tidak letak jawatan) itu pun relevan. Kita harus berterima kasih kepada Haji Hadi kerana mengeluarkan pandangan yang ala Islam ala Melayu. Ikut mana pun kalaulah kata Datuk Seri Najib terasa kecil hati dan letak jawatan, parah juga akibatnya pada sistem dan orang Melayu ini. Orang Melayu susah juga sebab tidak pernah dalam sejarah hal itu berlaku. Jadi, dulu saya faham Dr. Mahathir menyuruh Tunku Abdul Rahman letak jawatan melalui surat terbuka. Beliau kemudian suruh Pak Lah (Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi) berhenti, kemudian Najib (diminta) berhenti. Trend ini saya fikir cukuplah. Kalau tak betul mana-mana, kita kritik. Ini bukan bermakna kita tak kasih pada Tun ya, kita sayang pada dia, tetapi kita lebih menghargai keutuhan politik Melayu itu. Ia dalam satu arena yang sudah dibina secara konvensyen dan dalam sejarah UMNO pun tidak pernah seseorang bekas Perdana Menteri menyuruh Perdana Menteri lain turun takhta. Di England pun sama tidak pernah berlaku hal ini.
Kalau gesaan ini dilayan, apa yang boleh terjadi?
RAIS: Kalau dilayan gesaan seperti ini (Najib diminta letak jawatan), maka dunia yang dibina sendiri oleh Dr. Mahathir juga akan runtuh sebab setiap pemimpin itu ada kelemahannya, ada kelebihannya. Jadi, kalau hal-hal ini berbangkit, maka warna kepimpinan dalam dunia Melayu nampak pudar, nampak jatuh sedangkan tidak semestinya begitu.
‘Dunia yang dibina Dr. Mahathir boleh runtuh’, apa maksudnya?
RAIS: Sebabnya dunia yang beliau bina selama 22 tahun (sebagai Perdana Menteri) bukan tanpa keretakan, bukan tanpa masalah. Dunia terhadap Raja Melayu, kepentingan bahasa Melayu, dunia tentang budaya Melayu, dunia tentang hal-hal berhubung dengan Perwaja, ini orang pun akan sudip, dan sebanyak sedikit akan melemparkan suatu gambaran bahawa masa beliau juga, bumi ini dihujani dan gading itu ada retak. Tetapi mungkin tidak seperti sekarang, tapi cara yang lain. Dan harus lihat juga tentang sudut BMF pada masa itu, banyak lagi isu yang mungkin pihak-pihak akan terasa nak lihat balik. Tetapi ini bukan masanya mengaibkan pemimpin begitu rupa sekarang. Yang untung ialah Facebook. Masa dulu Dr. Mahathir tak ada Facebook dan Twitter. Tidak ada hal-hal yang cepat merebak. Tetapi hari ini sudah berbeza. Kalau ada Facebook semasa era Tun, mungkin keadaan lebih teruk lagi.
Ada tanggapan bahawa senario hari ini sama seperti pada era Pak Lah?
RAIS: Lebih kurang sama dan masa zaman Pak Lah, Pak Lah ‘disengat’ dengan kata-kata kesat dan disuruh berundur juga. Sekarang berlaku balik, jadi, trend ini semenjak celaan Tun terhadap Tunku Abdul Rahman lagi. Saya lihat pada era Tun Razak, beliau tidak kenakan, mungkin itu keadaan politik. Saya memang kasih pada Dr. Mahathir. Banyak saya terhutang budi pada dia, tetapi prinsip konvensyen dan undang-undang mesti kita hormat.
Siapa yang akan dapat untung daripada kemelut ini?
RAIS: Yang akan untung adalah musuh kita yang tidak suka akan kepimpinan Islam dan Melayu. Dan kemudian muncul sebagai juara di negara ini. Tetapi setakat ini ‘mereka’ ini tidaklah seghairah orang Melayu sendiri atau seghairah Tun. Cuma peliknya, saya tidak pernah dengar pula Lim Kit Siang (Penasihat DAP) beria-ia nak menurunkan Datuk Seri Najib. Ataupun ini menjadi tanda tanya kepada saya bahawa ini tidak boleh dilakukan.
Jadi, Dr. Mahathir perlu dibawa balik bersama?
RAIS: Ya, bawa balik, bawa Dr. Mahathir dan ajak beliau minum kopi pahit.
Cuma, saya bercakap hal ini dalam konteks pembudayaan di luar. Saya menjangka kalau cerita (temu bual) ini keluar (disiarkan), Dr. Mahathir tidak akan kecil hati. Beliau barangkali akan rasa bahawa kita mesti menyumbang kepada kepimpinan negara menerusi kaca mata orang Melayu dan masyarakat majmuk.
Apa harapan Tan Sri kepada Perdana Menteri?
RAIS: Selepas ini, mungkin kita juga kena fikir cara-cara Perdana Menteri bertindak itu. Mungkin minta beliau tunjukkan bahawa kita mahu berjimat cermat. Kita perbetulkan balik kesilapan 1MDB dan menerusi alasan-alasan laporan atau menerusi lunas undang-undang. Ketiga, tentang Tabung Haji, dengarlah suara pendeposit apa yang harus kita dengar. Seterusnya, mungkin juga Perdana Menteri hendak fikirkan tentang orang rapat di sekeliling beliau yang menasihat beliau secara diam-diam, tetapi mempunyai beberapa kepentingan lain. Ini saya nak berterus terang. Sebagai Penasihat Sosio Budaya tidak ada guna kalau kita buat kerja, tidak sebut benda ini. Mesti tahu hak itu, saya percaya Datuk Seri Perdana Menteri akan buat pembaharuan ini, termasuklah apa-apa sebutan yang melibatkan keperibadian beliau dan lain-lain.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...