27 Mei 2015
Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonalds menjadi salah satu penembusan barat ke timur. Namun, kita tiada semua itu. India berjaya menembusi Amerika dan London melalui karinya. Demikian juga China dengan makanannya sentiasa ada di mana-mana tempat di dunia ini. Makanan Melayu, alahai! agak sukar bertapak. Sama ada itu keluhan, rintihan atau kekesalan, isu itu menjadi fokus utama Penasihat Sosio budaya kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim. Rais yang waktu ini mempengerusikan satu jawatankuasa bagi mengkaji kerjasama menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa. Penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui bulan lalu hasil pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muh- yiddin Yassin dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla di Jakarta. Kesepakatan yang dicapai biarpun agak terlewat itu, telah mengambil kira lebih 300 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Rata-rata penuturnya berada di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura - menjadikannya bahasa keempat kerap penggunaannya di dunia. Selaku Pengerusi Penyelaras Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, Rais dan rakan sejawatannya dari Indonesia nanti akan berusaha mencapai beberapa matlamat. Antaranya menyelaraskan terminologi dan promosi bahasa Melayu/Indonesia dalam perdagangan dan kontrak komersial selain bahasa melalui pembudayaan. Ironinya, terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu berbanding bahasa Perancis seramai 120 juta. Malangnya bahasa Melayu terus tertinggal. Usaha menggerakkan Jawatankuasa Bahasa Melayu dan Indonesia untuk tujuan sama pernah digerakkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Tetapi agak terbantut. Kini, direalisasikan kembali melalui jawatankuasa diselaraskan oleh Rais. Malaysia sendiri berada di kancah Nusantara bersama Indonesia. Tetapi kita cepat hilang budaya warisan berbanding Indonesia sebab populasi yang sedikit 28 juta berbanding 300 juta rakyat Indonesia yang lebih terserlah di mata dunia selain disebabkan persaingan masyarakat majmuk. Namun itu bukan alasan untuk lari dari tanggungjawab. Usaha membudayakan makanan Melayu misalnya tidak boleh terlepas. Hari ini, kemuncaknya Starbucks, McDonalds, KFC begitu rancak dan pesat berbanding kemunculan restoran masakan Melayu, sambal tumis dan nasi lemak. Dihubungi penulis semalam, Rais berkata: “Dulu Melayu glokal, lokalnya tak banyak. Aspek glokal dengan global ini patut begitu tetapi sekarang banyak (aspek) global, kita tertiru-tiru tanpa menggunakan kebijaksanaan tempatan. “Kalau bersungguh-sungguh, kita boleh globalkan makanan Malaysia Indonesia yang kita miliki. “Lihat bagaimana KFC popular tetapi untuk makanan Melayu, kita tidak buat promosi. Kita terheret menerima kononnya terma Indonesia tak glamour. Banyak nama taman perumahan kini memakai nama height, terrace dan garden. “Malah, presint itu juga satu lagi penjahanaman bahasa.” Ketidakseimbangan menyelaras serta kurang daya usaha mengangkat martabat bahasa Melayu/Indonesia bukan setakat berlaku dalam promosi makanan sahaja. Tetapi berlaku juga dalam aspek pendidikan. “Mereka (dari Nusantara) yang belajar di universiti-universiti di Eropah dan Arab diasuh dengan budaya di negara-negara berkenaan. Maka, kita perlu ada panduan apabila mereka kembali ke Nusantara ini (tanah air masing-masing), mereka akan menyerap kembali pembudayaan hidup Nusantara. Rais sedang merangka perkara ini untuk diperhalusi dalam jawatankuasa itu nanti.
No comments:
Post a Comment