NOOR MOHAMAD
SHAKIL HAMEED | 25 Mei 2015
BEBERAPA kejadian pergaduhan dan provokasi melampau dalam kancah bola sepak tempatan baru-baru ini cukup merisaukan dan mula mencemarkan imej dan nama baik sukan popular itu.
Rusuhan penonton fanatik baru-baru ini sejurus selesai perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan Lion XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sehingga merosakkan pelbagai harta awam termasuk membakar ambulans dan merosakkan kenderaan polis menceritakan betapa budaya samseng bola sepak masih menebal dalam segelintir kalangan peminat tempatan.
Apa yang pasti pergaduhan, ketegangan dan rusuhan seperti ini bukanlah pertama kali berlaku di negara kita. Sebelum ini, beberapa kejadian seumpama ini sudah berlaku di beberapa stadium yang jalan ceritanya hampir sama di mana sama ada penyokong tidak berpuas hati kerana pasukan mereka kalah ataupun tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang digambarkan sebagai kontroversi mahupun berat sebelah.
Apapun alasan serta justifikasi yang diberikan kita sama sekali tidak boleh berkompromi dengan gelagat dan tingkah laku penonton liar seperti ini. Senario ini sebenarnya mencerminkan betapa mentaliti segelintir penyokong bola sepak tanah air yang tidak matang dan profesional.
Persoalannya, apakah ini mentaliti sebenar penyokong bola sepak tempatan dan adakah sikap sebegini boleh membantu membangunkan dan memajukan mutu dan kualiti bola sepak negara kita?
Tatkala semua pihak terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha keras untuk merangka pelan pembangunan bola sepak negara, timbul pula kekecohan seperti ini. Lebih malang, kejadian ini sudah kelihatan seperti satu trend dan virus yang mula menular dari stadium ke stadium. Asalkan tidak berpuas hati sahaja, sudah ada penonton yang berani bertindak di luar norma dan batasan seperti ini.
Walaupun kelompok samseng bola sepak ini tidaklah mewakili keseluruhan peminat bola sepak tempatan yang masih berdisiplin dan menghormati undang-undang namun gelagat segelintir individu ini jelas merencatkan keseronokan menikmati perlawanan bola sepak secara keseluruhannya.
Justeru, kita berharap agar pihak FAM, KBS, persatuan bola sepak negeri, polis dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih tegas dalam membendung gejala samseng bola sepak ini yang jelas bukan budaya kita.
Hal ini penting kerana jika dibiarkan penulis percaya budaya samseng ini akan menjadi ikutan yang cukup membahayakan semua pihak. Akhirnya, kita bimbang peminat bola sepak tempatan mengambil langkah untuk tidak lagi pergi ke stadium menonton perlawanan bola sepak secara langsung. Ini kerana mereka memikirkan keselamatan diri dan keluarga masing-masing yang pergi ke stadium.
Ironinya, menonton perlawanan bola sepak di stadium sewajarnya menjadi detik yang cukup menyeronokkan di samping membuka kesempatan kepada kita untuk menghabiskan masa dengan ahli keluarga secara bersama sambil menyokong pasukan pilihan masing-masing. Namun melihat kepada trend seperti ini yang jelas mengancam keselamatan semua pihak, sudah semestinya hasrat tersebut akan terjejas.
Ini bukan sahaja bakal merugikan persatuan bola sepak negeri dan pengurusan stadium akibat kemerosotan secara mendadak dari segi kehadiran penonton ke stadium malah dalam konteks yang lebih meluas lagi bakal merugikan proses pembangunan bola sepak negara secara keseluruhannya. Dalam hal ini, di samping menggunakan undang-undang untuk membendung budaya samseng seperti ini elok juga FAM dan KBS berfikir selangkah ke hadapan iaitu mencari jawapan kepada persoalan kenapa ada penyokong yang sanggup menggunakan kekerasan dalam bentuk provokasi dan pergaduhan dalam sesuatu perlawanan bola sepak.
Apakah ini hasil tindak balas kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan masing-masing ataupun ada faktor lain yang lebih mendorong mereka untuk bertindak seperti samseng. Misalnya, adakah ini ada kaitan dengan rungutan dan desas desus yang sering kedengaran iaitu melibatkan mutu pengadilan bola sepak tempatan. Contohnya, adakah penonton bertindak melepaskan geram kerana tidak puas hati dengan tindakan dan keputusan pengadil yang mengadili sesuatu perlawanan terbabit.
Perkara ini tidak mustahil kerana ini juga berlaku di luar negara apabila pengadil sering menjadi mangsa kutukan dan kemarahan baik jurulatih mahupun penonton yang tidak boleh terima sesuatu keputusan yang dibuat oleh pengadil. Dalam kesempatan, ini eloklah FAM menilai semula mutu pengadilan bola sepak tempatan secara menyeluruh. Hakikatnya, apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini juga dilaporkan berlaku kerana alasan yang sama iaitu penonton tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Hal ini penting kerana perkara seperti ini sering berulang dan menimbulkan tanda soal terhadap mutu dan kualiti pengadil tempatan. Kita tidak menafikan kehebatan beberapa orang pengadil kita yang pernah terbabit di beberapa kejohanan bola sepak berprestij termasuk Piala Dunia. Ini menunjukkan pihak FIFA mengiktiraf kemampuan pengadil kita namun majoritinya masih terlibat dalam perlawanan domestik di mana kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.
Maka sudah tiba masanya untuk FAM memikirkan strategi bagi membuka lebih banyak peluang pendedahan kepada pengadil tempatan agar dapat meraih pengalaman di luar supaya dapat meningkatkan mutu dan kualiti masing-masing.
Di samping itu, apakah ada kemungkinan terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru hara dengan mengupah samseng untuk mencetuskan provokasi mahupun pergaduhan? Kemungkinan ini juga wajar dipandang serius kerana bagi sesetengah individu bola sepak bukan sukan semata-mata tetapi membabitkan punca pendapatan misalnya melibatkan elemen bookie, judi dan rasuah di samping aspek maruah dan imej.
Apapun kita berharap mentaliti penyokong kita cepat berubah. Janganlah cepat melenting mahupun marah apabila pasukan kita mengalami kekalahan atau tidak menunjukkan prestasi yang kita harapkan.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
No comments:
Post a Comment