Thursday, September 24, 2009

Raya bersama erat perpaduan

APABILA rakyat beragama Islam menyambut Aidilfitri, penduduk Malaysia daripada pelbagai keturunan dan agama lain turut mengambil kesempatan mempereratkan persahabatan dan keharmonian antara kaum dan agama.

Malaysia begitu unik kerana perayaan sesuatu agama turut disambut oleh penganut agama lain.

Memupuk kefahaman dan rasa hormat merupakan kunci kepada keamanan dan keharmonian sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Menghormati agama penganut lain telah menjadi ciri utama masyarakat kita.

Perpaduan nasional ialah faktor utama kepada kejayaan negara.

Rakyat seharusnya menggunakan setiap kesempatan untuk mengukuhkan perpaduan terutama pada musim perayaan ini.

Setiap rakyat harus komited untuk memelihara keharmonian, muhibah dan perpaduan.

Usaha berterusan mesti dilakukan oleh setiap orang untuk meningkatkan satu budaya aman, harmoni dan kesepakatan.

Perpaduan perlu dijadikan asas kepada semua aktiviti. Rakyat perlu memahami mereka berperanan untuk menyumbang kepada perpaduan negara.

Pembangunan negara tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian, tolak ansur dan kepercayaan di kalangan rakyat yang berbilang kaum.

Proses untuk membangunkan sebuah negara Malaysia adalah proses berterusan dan apa yang telah kita perolehi setakat ini hendaklah dipelihara dan dibaja supaya lebih subur.

Dalam hal ini, para pemimpin, perancang dan pelaksana dasar hendaklah komited terhadap prinsip bahawa pemikiran dan amalan mereka selalu berpandu dan ditentukan oleh tata amalan Rukun Negara dan Perlembagaan Negara.

Semua rancangan untuk pembangunan dan pelaksanaan dasar terhadap ketidakseimbangan sosial hanya akan memberi makna sekiranya ia digubal dan dirancang dengan semangat untuk mencapai perpaduan negara.

Program-program pembangunan yang dirancang untuk rakyat hendaklah terus digubal dengan tujuan untuk memupuk dan menyemai semangat perpaduan dan kecintaan serta kesetiaan kepada negara.

Sebenarnya ramai yang mengambil mudah soal perpaduan.

Usaha mewujud dan mengekalkan perpaduan nasional mesti diberi keutamaan untuk memastikan kesinambungan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, aman, progresif dan bersatu-padu.

Perpaduan adalah merupakan satu hadiah yang tidak ternilai dan merupakan simbol kita. Ia adalah ikatan yang mengikat dan mengukuhkan semangat kenegaraan kita.

Perpaduan perlu bermula daripada setiap individu. Jika ada perpaduan di dalam pemikiran emosi dan perbuatan seseorang, ia akan diluahkan di dalam perlakuannya terhadap orang lain.

Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia memperkukuhkan perpaduan ini.

Kita mesti mula bersuara dengan satu suara yang merangkumi semua rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk memastikan gagasan 1Malaysia terlaksana. Semua ini untuk kepentingan bersama.


Oleh LEE LAM THYE



TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...