Wednesday, April 7, 2010

Warga asing dan Bahasa Melayu

Melihat anak-anak muda warga asing berpidato secara petah dan fasih dalam Bahasa Melayu, membuatkan perasaan Awang terharu. Pertama kerana kebolehan mereka yang mencuri perhatian dan kedua, keyakinan yang ditunjukkan terhadap Bahasa Melayu.

Sebab itu, Awang tidak merasa jemu menyaksikan aksi 56 peserta dari 51 negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 yang berakhir kelmarin. Kebanyakan peserta adalah dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur. Awang mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan PABM. Sejak diadakan pada 2007, pidato itu menerima sambutan hebat dari tahun ke tahun. PABM diideakan oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pidato itu antara lain bertujuan memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Najib nampak jalan bagaimana Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu sewaktu kegemilangan tamadun Melayu, boleh diangkat kembali ke persada dunia. Awang melihat komitmen Najib dalam menjaga kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan cukup tinggi walaupun beliau tidak pernah cakap berdegar-degar laksana pejuang bahasa. Banyak petunjuk lagi menampakkan kesungguhan Najib meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komersial. Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan di bawah kabinet beliau membuktikan hakikat tersebut. Dalam Najib berusaha meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing terutama Inggeris, beliau sesungguhnya telah membina landasan lebih baik untuk masa depan Bahasa Melayu.

Awang melihat usaha tersebut amat besar maknanya ketika banyak bangsa di dunia memperhebatkan survival bahasa mereka termasuk kaum-kaum lain di negara ini. Selain bahasa ibunda masing-masing, tulisan mereka juga terus diperkasakan.

Malah Awang kerap menghadiri majlis anjuran organisasi dan pihak bukan Melayu yang turut dihadiri menteri dan pemimpin serta hadirin semua kaum. Tanpa rasa teragak-agak, pihak-pihak berkenaan bercakap dalam bahasa ibunda sementara Bahasa Kebangsaan seperti tiada nilai. Untuk mengharapkan Bahasa Kebangsaan kita mendapat penghormatan tertinggi semua kaum sebagaimana yang dinikmati di Indonesia, terasa masih jauh.

Maka Awang tertarik dengan penganjuran PABM termasuk kejayaan peserta negara China, Zhang Song menjuarai kategori antarabangsa. Awang teruja dengan kebolehan dia dan peserta lain termasuk juara 2007 iaitu pelajar Rusia, Olga Vasilevskaya. Kefasihan mereka memberi harapan baru bahawa Bahasa Melayu mampu dilonjakkan.

Selepas memenangi pidato itu, Olga menyambung pengajian peringkat sarjana di negara ini. Kini penguasaan Bahasa Melayu beliau jauh lebih baik bagaikan seorang guru bahasa. Olga tidak menggunakan bahasa rojak sebagaimana dipertuturkan oleh majoriti rakyat kita termasuk orang Melayu.

Olga, Song dan para peserta PABM mengambil tempoh yang singkat untuk fasih. Sedihnya, ramai warga kita yang sehingga hari ini bukan sahaja tidak fasih dan berpelat tebal malah malu untuk bercakap dalam Bahasa Kebangsaan. Pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal misalnya mempunyai penguasaan Bahasa Kebangsaan lebih baik daripada sebahagian warganegara Malaysia. Agaknya pekerja asing peringkat bawahan lebih menghayati ungkapan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...