Sunday, February 5, 2012

Manifestasi kasih Maulidur Rasul


SABAN tahun umat Islam menyambut tarikh keramat ini. Kelahiran yang membawa berjuta rahmat untuk sekalian alam. Tanggal 12 Rabiulawal kalendar hijriah laungan selawat pasti kedengaran.

Betapa indahnya lantunan itu, namun timbul persoalan kenapa ia semakin pudar ditelan arus kemodenan? Wahai generasi baru pemangkin masyarakat kini, ayuh bangkitlah kenalilah siapakah kekasih ALLAH ini. Salamun alaika ya Rasulullah!.

‘Selagi hayat dikandung badan,’ antara ungkapan menerjah cuping telinga dan jelas membawa maksud begitu mendalam kerana roda putaran kehidupan manusia akan terus berputar selagi mana masih ada hayat atau nyawa.

Putaran itu membawa seribu satu memori, kenangan yang dikenali sebagai sejarah dan seribu satu iktibar dikenali dengan pedoman. Setiap sejarah dihasilkan dipadu pada satu tarikh diperingati umpama tugu peringatan. Justeru, Maulidur Rasul juga mempunyai sejarah dan iktibar menjadikan ia begitu signifikan. Rehal bersama Editor Syariah Telaga Biru Sdn Bhd, Amly Asenar, 32, menyingkap situasi ini.


ALLAH, RASUL DAN ISLAM

Sebagai seorang Muslim, catatan diari dalam kehidupannya sudah pasti berpaksikan kepada sejauh mana kefahamannya terhadap ALLAH, Rasul dan Islam. Tiga perkara tersebut pasti memandunya untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Amly berkata, kepincangan kehidupan Muslimin hari ini berpunca daripada kurangnya kefahaman terhadap tiga perkataan tadi. Oleh itu, ulama dalam lipatan sejarah sehingga kini tidak pernah jemu dan culas membahaskan serta menulis supaya khazanah mereka dapat memberikan cahaya panduan kepada generasi Islam yang berada dalam kabus kejahilan.

“Tidak pelik jika musuh Islam juga memusatkan serangan mereka kepada generasi Islam melalui tiga perkara itu. Lantas kelihatan di atas pentas dunia ini Muslim beraneka identiti pada perkara yang hanya memerlukan satu identiti.
“Contohnya, dalam perkara ketuhanan, identiti bagi Muslim adalah satu iaitu beriman kepada ALLAH, namun terdapat ‘individu’ Muslim yang memperjuangkan hak kebebasan dalam beragama dan bertuhan. Inilah celoreng kekeliruan yang wujud kesan daripada serangan dan gangguan musuh Islam. Apakah serangan yang paling ampuh?,” soalnya.

Menurutnya, serangan paling berkesan ialah dengan menjauhkan Muslim daripada pencipta-NYA, Rasul dan Islam. Keadaan ini menyebabkan seorang Muslim lupa akan asal-usul pegangan yang utama dan mencukupi dengan bergelar Muslim. Menjadikan Muslim melihat agamanya adalah agama yang selektif dan bebas untuk dicorakkan berdasarkan keinginan dan keperluan. Justeru apakah yang boleh kita lakukan bagi menolak serangan musuh?.


MAULUD SEBAGAI WASILAH

Wasilah bermaksud ikatan dan penghubung. Golongan bukan Islam sengaja menjadikan hari dan tarikh mereka mempunyai signifikan yang dilihat hebat sehingga menjadi ikutan seperti sambutan tahun baru.

Amly berpandangan, manusia dan sambutan tidak dapat dipisahkan lagi. Manusia terutama generasi Y sentiasa ternanti-nanti apa jua tarikh sambutan bagi mengisi kekosongan jiwa mereka. Maka setiap Muslim yang ada kesedaran akan cuba mencari suatu jalan untuk mengembalikan saudara Muslimnya kepada landasan yang sebenar. Justeru, sambutan Maulidur Rasul dilihat mampu dijadikan wasilah yang terbaik.

“Maulidur Rasul bukan ciptaan baru, namun sebenarnya suatu usaha murni boleh memberikan kesan positif jika digunakan dengan tujuan dan cara yang betul.

“Menurut Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq, ihtifal berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud perhatian, ramai dan perkumpulan. Dalam erti kata lain ia bermaksud sambutan. Beliau mengatakan lagi bahawa sambutan adalah sifat tabii manusia bagi mendapatkan kebaikan dan menjauhi perkara yang tidak baik,” katanya.

Maulid pula berasal daripada perkataan Arab bermaksud tarikh kelahiran. Maulidur Rasul bermakna tarikh kelahiran Rasulullah. Walaupun para ulama berbeza pendapat dalam penentuan tarikh kelahiran Baginda, namun penting di sini ialah dipilih satu tarikh yang boleh disambut masyarakat Islam.

Ihtifal Maulid bermaksud suatu sambutan secara besar-besaran pada satu tarikh yang dianggap penting iaitu tarikh kelahiran Rasulullah dengan bertujuan mendapatkan manfaat dan kebaikan daripada perhimpunan tersebut.

Beliau menegaskan, Maulidur Rasul sebenarnya bertujuan mengembalikan dan memugar semula perasaan mencintai Islam yang dibawa Rasulullah, seterusnya membulatkan pengabdian diri kepada TUHAN semesta alam, ALLAH.
Antara tujuan yang hendak dicapai ialah; mencintai ALLAH dan Rasul-NYA, menjadikan Islam sebagai cara hidup dan memahami peranan sebagai Khalifah.

“Apabila tujuan ini berjaya dicapai maka harapan untuk membentuk dan melahirkan remaja Islam yang menjadi penerus kepada tugas Rasulullah dapat direalisasikan.

“Kecintaan kepada ALLAH datang dalam bentuk pakej yang lengkap. Apakah pakej tersebut? Hayatilah firman-NYA yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah AKU nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu”. (Surah Ali ‘Imran ayat 31),” tambahnya.


KECINTAAN LAMBANG UTUHNYA REMAJA MUSLIM

Beliau lantas mengimbau lipatan sejarah Islam yang banyak mencatatkan kisah keberanian hasil daripada kecintaan sebenar kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Antaranya, kisah seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Said al-Khudri yang telah pergi bertemu dengan Baginda untuk meminta izin bersama-sama turun berperang dalam Perang Uhud. Beliau ketika itu baru sahaja berumur 13 tahun namun permintaannya ditolak oleh Baginda.

“Kekuatan remaja hari ini disia-siakan kepada perkara yang tidak berfaedah dan mengejar keseronokan semata-mata. Binalah kekuatan dirimu wahai remaja Islam persis remaja Palestin yang berani berhadapan dengan kezaliman Zionis dengan hanya bersenjatakan butiran batu.

“Berteraskan kepada manifestasi kecintaan tadi, maka remaja perlu menjadikan Rasulullah sebagai ikutan mereka yang terbaik. Ketahuilah wahai remaja Islam, tiada kemegahan dan keunggulan selain daripada menjadikan syariat Rasulullah sebagai kompas kehidupan,” katanya.

Menurut Amly, Saidina Umar bin Al-Khatab ada menegaskan: “Kita adalah satu kaum yang telah diberikan kemegahan dengan Islam, maka apabila kita menghendaki kemegahan selain daripada yang ALLAH telah berikan maka ALLAH akan menjadikan kita hina”.

Tarikh hanyalah angka yang tiada sebarang keistimewaan namun jika diselitkan memori dan pedoman ia mampu menjadi tarikh keramat. Rasulullah dirimu sentiasa di hati dan Maulidmu pemugar kealpaan diri.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...