Lusa umat Islam seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul. Kelazimannya,  cara memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW ialah membaca  al-Quran, mengadakan forum ilmu, mendengar tazkirah di masjid dan surau,  bermarhaban dan berzanji serta berselawat.
 
 Nasaie dan Ibnu Hibban melaporkan Rasulullah SAW berpesan:  “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah yang  paling banyak berselawat kepadaku.” Malah, ALLAH SWT mahu orang beriman  berselawat kepada Nabi Muhammad sebagai penghormatan kepada Baginda.  (Al-Ahzab:56)
 
 Di negara kita, sambutan Maulidur Rasul diadakan di merata tempat,  mungkin kecuali di Kelantan. Menteri Besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat  pernah berkata Maulidur Rasul tidak perlu disambut kerana kelahiran  Rasulullah SAW bukan peristiwa istimewa. Kelahiran Muhammad bin Abdullah  sama seperti “mamat-mamat atau budak kampung lain”, jadi tidak perlu  disambut atau diperingati.
 
 Kelahiran Nabi Muhammad telah dirancang ALLAH SWT yang memilih pasangan  Aminah binti Wahab, seorang gadis suci yang baik, dengan seorang pemuda  berkeperibadian tinggi bernama Abdullah bin Abdul Muttalib. Ramai ulama  berpendapat pada masa kelahiran dan sebelum kenabiannya, Muhammad sudah  diliputi banyak irhasat (petanda). Ibnu Hisyam dalam Sirah Nabawiyah  menulis bagaimana Aminah bermimpi akan melahirkan seorang ‘pemimpin  umat’ dan mendapat nama Muhammad (bermakna ‘Yang Terpuji’) sewaktu  beliau mengandung. Aminah tidak pernah berasa letih mengandungkan  Muhammad atau sakit pada saat melahirkan, seperti lazim dihadapi wanita  lain.
 
 Baginda dilahirkan pada Isnin 12 Rabiulawal daripada kalangan keluarga  bangsawan Arab, Bani Hasyim, dalam keadaan sudah berkhitan. Baginda  bersabda: “Di antara kemuliaan yang diberikan ALLAH SWT kepadaku adalah,  aku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhitan, kerana itu tidak ada orang  yang melihat aurat (kemaluan) ku.” (HR At-Thabrani, Abu Nuaym,  al-Khatib dan ibn Asakir).
 
 Datuk Baginda, Abdul Muttalib bin Hasyim berkata berhala-berhala di  Kaabah jatuh dalam keadaan sujud saat kelahiran Nabi Muhammad. Dalam  buku Fuad Kauma (50 Mukjizat Rasulullah, Jakarta, 2000), disebut Abdul  Muttalib mendengar dinding Kaabah berbicara: “Nabi yang dipilih telah  lahir, yang akan menghancurkan orang-orang kafir dan membersihkan dariku  dari beberapa patung berhala ini.” Kitab Taurat dan Injil ada  menyatakan dengan jelas bakal kelahiran seorang nabi dari Mekah walaupun  bukan daripada keturunan Yahudi dan Nasrani.
 
 Kisah Aminah dan Abdul Muttalib ini menunjukkan Nabi Muhammad SAW  adalah anak luar biasa. Malah, banyak lagi peristiwa ajaib berlaku  sewaktu kelahiran Baginda. Antara diriwayatkan ialah retaknya mahligai  Raja Parsi yang kukuh, pada hal rumah penduduk biasa tidak mengalami  kerosakan. Ini adalah petanda kemusnahan kerajaan Parsi.
 
 Pada usia lima bulan, Baginda sudah pandai berjalan dan pada usia  sembilan bulan, beliau boleh bercakap. Berumur dua tahun, Muhammad sudah  bermain-main dengan anak-anak Halimah binti Abi Dhua’ib (ibu susuan  Baginda) sambil menggembala kambing.
 
 Diriwayatkan juga pada masa kecil, sekitar umur lima tahun, beliau  didatangi dua malaikat yang membelah dadanya lalu menyiram dan mencuci  hatinya dengan air zamzam kemudian menutup semula tanpa parut. Hati yang  suci dan sifat jujurnya menjadikan baginda digelar al-Amin.
 
 Rasulullah SAW juga memiliki kelebihan melihat dengan jelas walaupun  gelap. Peluhnya berbau harum. Tatapan matanya mampu menggertak Ghaurats  bin Haris yang pernah menghunus pedang ke arah lehernya, serta membuat  Umar al-Khattab dan Abu Jahal lari lintang-pukang ketika merancang  membunuh baginda pada suatu malam.
 
 Memang ada juga pihak yang berpendapat meraikan Maulidur Rasul adalah  bidaah kerana ia tidak pernah diamalkan pada masa Rasulullah dan para  sahabatnya. Namun menurut kebanyakan ulama, ia tergolong sebagai bidaah  hasanah. Kita menyambut kelahiran beliau sebagai kesyukuran atas  kurniaan ALLAH SWT dan rahmat-NYA kepada seluruh alam semesta. Cara  sambutannya menjadikan kita lebih mencintai Rasulullah, keluarga dan  para sahabatnya, menghayati keperibadian dan kepimpinannya, serta  mengukuhkan tekad kita memperkasakan syariatnya.
 
 Soalan saya: Adakah kita kenal sesiapa yang memiliki kehebatan sebegini  pada hari lahir mereka? Andainya kelahiran baginda masih dianggap tidak  istimewa, bolehkah Nik Aziz beritahu mamat mana yang masa lahirnya sama  dengan Muhammad bin Abdullah ini? ALLAH SWT berfirman yang maksudnya:  “Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat ke  seluruh alam maya ini.” (Al-Ambiya: 107). Jika diterima Rasulullah SAW  rahmat kurniaan ALLAH, salahkah kita menyambut kedatangannya dengan  melakukan pelbagai ibadah yang memenuhi kehendak agama?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M
“Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...
- 
PERLEMBAGAAN PENTADBIRAN ADAT LUAK JELEBU Alam Beraja Luak Berpenghulu Lingkungan Bertua Anak buah Berbuapak Orang Semenda Bertempat Semenda...
 - 
“Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...
 - 
PELAJAR generasi kini dilihat lebih moden, menjadikan cabaran yang perlu dihadapi mereka yang bergelar guru juga lebih ‘moden’, rumit dan...
 
No comments:
Post a Comment