Tuesday, July 31, 2012

Bendera politik 'tenggelamkan' Jalur Gemilang


HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.
Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.
Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.
Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga 'menyembah' bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.
Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya nanti.
Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat....kibarkan, kalau tak dapat...tak apa, biar orang lain kibarkan.
Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

30/07/2012

Bulan olimpik ibadah atau olimpik juadah


Oleh ABDUL RAZAK IDRIS                                                                           30/07/2012
SUKAN Olimpik London 2012 sudah dirasmikan dengan gilang-gemilang di Kota London. Kira-kira 29 acara sukan dipertandingkan di kejohanan empat tahun sekali tersebut. Sasaran atlet-atlet bertanding sudah pasti pingat emas atau yang berhati jaguh kampung setakat dapat tiket bertanding secara wild card pun sudah dikira baik.
Sempena Ramadan Al-Mubarak ini umat Islam negara ini perlu menghayati semangat olimpik dengan menjadikan bulan ini sebagai bulan olimpik ibadah. Sewajarnya muslimin dan muslimat menggunakan seluruh kekuatan tulang empat kerat untuk mengumpul pahala berlipat kali ganda yang lebih mahal daripada nilai sebutir pingat emas.
Pelbagai acara telah disediakan untuk semua umat Islam meraih keberkatan bulan yang dianggap sebagai penghulu segala bulan ini. Selain solat fardu, ibadah sunat seperti sembahyang tarawih, tadarus dan qiamulail akan diganjari dengan pahala berlipat ganda berasaskan kuantiti dan kualiti ibadah yang didirikan.
Sewajarnya persoalan ummah sama ada solat sunat tarawih perlu dibuat lapan rakaat atau 21 rakaat tidak terus menjadi polemik. Jika inginkan lebih pahala sepatutnya kita laksanakan tarawih dalam jumlah terbanyak. Umat Islam perlu membuktikan mereka ialah umat Nabi Muhammad SAW yang gagah dan perkasa. Soal ibadah sepatutnya tidak terus menjadi perbalahan antara ulama.
Secara logiknya sesiapa yang berusaha lebih dia yang akan mendapat ganjaran yang lebih lumayan di atas timbangan Al-Mizan di akhirat nanti. Buktikan dalam soal ibadah kita mampu menjadi pemenang umpama juara olimpik.
Namun dalam kita membicarakan soal beribadah pelbagai acara yang mendatangkan pahala dapat dilakukan. Misalnya dalam soal wajib kita boleh membayar zakat pada awal mahupun pertengahan Ramadan. Lagipun pada 9 Ogos ini kira-kira 1.3 juta kakitangan awam akan mendapat bonus setengah bulan gaji, mungkin pada hari itu kakitangan awam beragama Islam boleh menunaikan zakat tanpa menunggu pada saat-saat akhir.
Jika acara wajib itu sudah dipenuhi, jeling-jelinglah kepada masyarakat sekeliling yang hidup dalam kesusahan serta mempunyai kediaman yang daif. Namun apa yang menyedihkan apabila tiba Ramadan bukan acara ibadah yang ditumpukan oleh umat Islam, yang dikecohkan adalah di mana hotel mahupun bazar Ramadan yang menyediakan juadah terbanyak.
Apa yang membuatkan ketua keluarga menjadi semak kepala mahupun serabut perut apabila orang rumah sibuk berkira-kira untuk makan di hotel yang mempunyai menu yang terbanyak. Apabila menu banyak fulusnya (wangnya) pun sudah pasti meringankan beban kocek.
Bayangkan ada hotel mengenakan bayaran satu kepala RM75 untuk 50 jenis hidangan dan sebuah keluarga akan datang dalam kuantiti lima orang. RM400 lebih untuk berbuka puasa, jika itu bukan membazir apa yang harus kita namakan amalan tersebut?
Sepatutnya pada bulan puasa ini, kita memperbanyakkan ibadah sebagai bekalan menghadap Ilahi dengan rasa penuh tawaduk. Mungkin tahun ini adalah bulan Ramadan kita yang terakhir. Bulan ini sepatutnya kita menggembleng tenaga untuk beribadah bukannya berlumba-lumba mengejar waktu untuk ke hotel mahupun bazar Ramadan semata-mata hendak merasa makanan yang tidak ada pada bulan-bulan biasa.
Apa yang dipersoalkan mengapa pada hari biasa peniaga tidak digalakkan menjual kuih tradisional seperti taik itik, badak berendam, kuih dokok, lopes, tepung pelita dan air katira di mana-mana pasar malam. Cuma apabila tiba Ramadan kuih-kuih dan air istimewa ini muncul dan ini jelas menunjukkan bahawa peniaga menggunakan sentimen bulan Ramadan untuk melariskan kuih-muih mereka.
Adakah wajar selera ummah dibuka berlebih-lebihan hingga menjadi pesta dan amalan wajib berbuka puasa yang hanya memerlukan nasi sepinggan, sebiji telur goreng, sayur sawi dan sebutir kurma sebagai pelengkap diet.
Justeru, kepada umat Islam perlu memilih antara ingin menyertai olimpik ibadah yang sudah pasti menjamin syurga jannah untuk mereka yang bertakwa dan memperbanyakkan amalan sunat seperti bertadarus dan berderma. Jika mereka memilih untuk menyertai olimpik juadah, sesungguhnya mereka hanya meletakkan diri mereka dalam kenikmatan dunia yang sementara. Mungkin tubuh sihat yang diinginkan sempena sebulan puasa menjadi bulan kita mengumpul kolesterol dan gula.
Pilihlah mana 'acara' yang terbaik untuk kita sesama ummah bersaing mencari keredaan Allah SWT. Jika Sukan Olimpik London 2012 menjanjikan pingat namun olimpik ibadah dan olimpik juadah menjanjikan sama ada kita menjadi muslim terbaik di sisi Allah SWT atau sebaliknya jika lebih fokus kepada mencari makanan yang setakat sedap melepasi lidah dan tekak.

Awas kesan buruk merokok sebaik berbuka

Al Ain: Berbuka puasa dengan menghisap rokok boleh membawa maut, kata seorang pakar yang menggesa orang Islam membuang tabiat merokok ketika Ramadan.

Perbuatan merokok boleh memberi bahaya kepada seseorang yang berpuasa kerana anggota badan mereka cuba untuk pulih selepas tidak minum atau makan dalam tempoh yang lama, katanya.
Pakar itu juga menekankan, perokok dikira bernasib baik sekiranya mereka tidak mempunyai masalah jantung berpunca daripada tabiat berkenaan.

Merokok adalah perkara buruk yang dilakukan seseorang terhadap badan mereka terutama selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kata seorang pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan dan Klinik Emirates di Al Ain, Dr Riaz Ahmad Minhas.

Disebabkan berpuasa, badan amat memerlukan air, glukos dan oksigen. Sebaliknya, merokok boleh menyekat saluran darah, menghalang aliran oksigen yang diperlukan. Merokok pada waktu kritikal juga boleh menyebabkan darah menjadi beku.

Ini boleh menyebabkan pembuluh darah tersekat sekali gus meningkatkan tekanan darah, spasms (kesesakan arteri) mengganggu degupan jantung dan meningkatkan kolesterol.

Ia boleh menyebabkan perokok maut. Sebab itu, perokok perlu berhati-hati dalam perkara ini, kata Dr Minhas. Agensi

Wednesday, July 25, 2012

Puasa tetapi tidak solat


Ibadah jadi adat, ikutan hanya dapat lapar dan dahaga

Amalan puasa orang yang tidak solat, rosak dan tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat. Bagaimanapun, jangan terkejut kerana ramai hari ini yang berpuasa tetapi meninggalkan kewajipan solat.

Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85 peratus mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana berasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan. Sedangkan katanya, nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaan solat mereka.
Untuk melihat ibadah lain, Allah akan lihat solat dulu. Jika tidak solat, ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka hanya dapat lapar dan dahaga saja, katanya pada majlis Ihya Ramadan di surau The New Straits Times Press (NSTP).
Katanya, soalan berkaitan berpuasa, tetapi tidak solat sering ditanyakan selain beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh membabitkan ibadah puasa seperti adakah kentut atau mengorek telinga membatalkan puasa.

Orang Islam kian jahil

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan orang Islam kian jahil perihal agama dan puncanya ialah sikap ambil mudah selain malas belajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang akan mengeluarkan diri daripada kegelapan.

Halim berkata, sepatutnya sebelum kedatangan Ramadan, umat Islam sudah bersedia menelaah bab puasa termasuk perkara membatalkan puasa dan lebih penting, perkara membatalkan pahala puasa seperti digariskan Al-Ghazali dalam kitab tasaufnya.
Disebabkan malas belajar, nilai ibadah kini dilihat lebih sebagai adat atau amalan ikut-ikutan bukan ibadah sebenarnya yang mempunyai hikmah serta matlamat menunaikannya iaitu mendapatkan keredaan Allah.

Beliau memberi contoh jemaah solat tarawih yang jumlahnya ramai pada 10 malam pertama, tetapi kian berkurangan minggu berikutnya dan keadaan bertambah menyedihkan malam-malam terakhir Ramadan.

Satu minggu pertama masjid meriah dengan jemaah, tetapi masuk minggu kedua, kita jadi hairan ke mana perginya yang ramai itu. Cuba kita renungkan kerana inilah yang dilihat apabila amalan hanya ikut-ikutan.

Lebih menyedihkan ketika akhir Ramadan bunyi mercun dan lagu raya lebih kuat hingga sudah tidak mempedulikan tarawih atau tazkirah. Apabila kita langsung tidak ambil peduli ilmu inilah yang berlaku, katanya.

Ilmu pacu umat ke depan

Beliau berkata, jika umat Islam mempelajari asas difardukan ibadat, mereka akan melakukan ibadat puasa dalam keadaan mengetahui dan tidak kira apa yang datang, ia sedikit pun tidak akan menggugat puasa mereka.

Katanya, ilmu akan memacu umat Islam ke depan dan dalam aspek ibadat mereka boleh melihat peningkatan dari sudut kualiti puasa serta sentiasa berusaha memastikan ibadat itu diterima Allah.

Halim turut berkongsi pengalaman ketika di Pusat Zakat Selangor, berdepan isu bayaran kafarah oleh suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadan kerana tidak menyangka masih berlaku perkara seperti itu.

Syor umat timba ilmu agama

Saya ingat sudah tiada kes bersetubuh pada siang Ramadan, tetapi masih berlaku. Jika orang ada ilmu mereka akan faham tetapi disebabkan tidak mempunyai ilmu dan tidak mahu belajar, itu yang hancur, katanya.

Kafarah bagi suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang Ramadan ialah memerdekakan hamba, jika tidak mampu puasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu, memberi makan kepada 60 orang miskin.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam supaya menggunakan akal, iman dan hati untuk menimba ilmu supaya mereka tahu tujuan amal ibadat yang dilakukan, bukan beramal kerana terikut-ikut atau sekadar meneruskan budaya.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...