Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
30/07/2012
SUKAN Olimpik London 2012 sudah
dirasmikan dengan gilang-gemilang di Kota London. Kira-kira 29 acara sukan
dipertandingkan di kejohanan empat tahun sekali tersebut. Sasaran atlet-atlet
bertanding sudah pasti pingat emas atau yang berhati jaguh kampung setakat
dapat tiket bertanding secara wild card pun sudah dikira baik.
Sempena Ramadan Al-Mubarak ini umat
Islam negara ini perlu menghayati semangat olimpik dengan menjadikan bulan ini
sebagai bulan olimpik ibadah. Sewajarnya muslimin dan muslimat menggunakan
seluruh kekuatan tulang empat kerat untuk mengumpul pahala berlipat kali ganda
yang lebih mahal daripada nilai sebutir pingat emas.
Pelbagai acara telah disediakan
untuk semua umat Islam meraih keberkatan bulan yang dianggap sebagai penghulu
segala bulan ini. Selain solat fardu, ibadah sunat seperti sembahyang tarawih,
tadarus dan qiamulail akan diganjari dengan pahala berlipat ganda berasaskan
kuantiti dan kualiti ibadah yang didirikan.
Sewajarnya persoalan ummah sama ada
solat sunat tarawih perlu dibuat lapan rakaat atau 21 rakaat tidak terus
menjadi polemik. Jika inginkan lebih pahala sepatutnya kita laksanakan tarawih
dalam jumlah terbanyak. Umat Islam perlu membuktikan mereka ialah umat Nabi
Muhammad SAW yang gagah dan perkasa. Soal ibadah sepatutnya tidak terus menjadi
perbalahan antara ulama.
Secara logiknya sesiapa yang
berusaha lebih dia yang akan mendapat ganjaran yang lebih lumayan di atas
timbangan Al-Mizan di akhirat nanti. Buktikan dalam soal ibadah kita mampu
menjadi pemenang umpama juara olimpik.
Namun dalam kita membicarakan soal
beribadah pelbagai acara yang mendatangkan pahala dapat dilakukan. Misalnya
dalam soal wajib kita boleh membayar zakat pada awal mahupun pertengahan
Ramadan. Lagipun pada 9 Ogos ini kira-kira 1.3 juta kakitangan awam akan
mendapat bonus setengah bulan gaji, mungkin pada hari itu kakitangan awam
beragama Islam boleh menunaikan zakat tanpa menunggu pada saat-saat akhir.
Jika acara wajib itu sudah dipenuhi,
jeling-jelinglah kepada masyarakat sekeliling yang hidup dalam kesusahan serta
mempunyai kediaman yang daif. Namun apa yang menyedihkan apabila tiba Ramadan
bukan acara ibadah yang ditumpukan oleh umat Islam, yang dikecohkan adalah di
mana hotel mahupun bazar Ramadan yang menyediakan juadah terbanyak.
Apa yang membuatkan ketua keluarga
menjadi semak kepala mahupun serabut perut apabila orang rumah sibuk
berkira-kira untuk makan di hotel yang mempunyai menu yang terbanyak. Apabila
menu banyak fulusnya (wangnya) pun sudah pasti meringankan beban kocek.
Bayangkan ada hotel mengenakan
bayaran satu kepala RM75 untuk 50 jenis hidangan dan sebuah keluarga akan
datang dalam kuantiti lima orang. RM400 lebih untuk berbuka puasa, jika itu
bukan membazir apa yang harus kita namakan amalan tersebut?
Sepatutnya pada bulan puasa ini,
kita memperbanyakkan ibadah sebagai bekalan menghadap Ilahi dengan rasa penuh
tawaduk. Mungkin tahun ini adalah bulan Ramadan kita yang terakhir. Bulan ini
sepatutnya kita menggembleng tenaga untuk beribadah bukannya berlumba-lumba
mengejar waktu untuk ke hotel mahupun bazar Ramadan semata-mata hendak merasa
makanan yang tidak ada pada bulan-bulan biasa.
Apa yang dipersoalkan mengapa pada
hari biasa peniaga tidak digalakkan menjual kuih tradisional seperti taik itik,
badak berendam, kuih dokok, lopes, tepung pelita dan air katira di mana-mana
pasar malam. Cuma apabila tiba Ramadan kuih-kuih dan air istimewa ini muncul
dan ini jelas menunjukkan bahawa peniaga menggunakan sentimen bulan Ramadan
untuk melariskan kuih-muih mereka.
Adakah wajar selera ummah dibuka
berlebih-lebihan hingga menjadi pesta dan amalan wajib berbuka puasa yang hanya
memerlukan nasi sepinggan, sebiji telur goreng, sayur sawi dan sebutir kurma
sebagai pelengkap diet.
Justeru, kepada umat Islam perlu
memilih antara ingin menyertai olimpik ibadah yang sudah pasti menjamin syurga
jannah untuk mereka yang bertakwa dan memperbanyakkan amalan sunat seperti
bertadarus dan berderma. Jika mereka memilih untuk menyertai olimpik juadah,
sesungguhnya mereka hanya meletakkan diri mereka dalam kenikmatan dunia yang
sementara. Mungkin tubuh sihat yang diinginkan sempena sebulan puasa menjadi
bulan kita mengumpul kolesterol dan gula.
Pilihlah mana 'acara' yang terbaik
untuk kita sesama ummah bersaing mencari keredaan Allah SWT. Jika Sukan Olimpik
London 2012 menjanjikan pingat namun olimpik ibadah dan olimpik juadah
menjanjikan sama ada kita menjadi muslim terbaik di sisi Allah SWT atau
sebaliknya jika lebih fokus kepada mencari makanan yang setakat sedap melepasi
lidah dan tekak.
No comments:
Post a Comment