HARI ini genap 10 hari umat Islam di
Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat
menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta
dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika
dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani
ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti
diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana
perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di
negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam.
Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus
raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk beraya, peneroka Felda juga dapat
duit raya, malahan mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat pelbagai
bantuan. Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak
yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel
bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk
berhari raya.
Semuanya ini tidak mungkin dinikmati
sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai
umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini.
Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa
yang sedang dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki
bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan
untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan
depan.
Bagi meraikan ulang tahun
kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan
program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak
tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur
Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka
sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal
kerana sambutan sebenarnya masih jauh.
Jalur Gemilang tenggelam di
tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur
Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti
sehingga 'menyembah' bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti
politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi
Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perang bendera politik lebih rancak.
Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah
tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.
Mungkin ada yang berkata, apa ada
pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera
parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan
tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat
hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah
sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma.
Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama
ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin
dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan
unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan
melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka
dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah
mereka menjelang hari raya nanti.
Suasana tentunya lebih ceria dengan
rumah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan
pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan
swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah
pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau
dapat....kibarkan, kalau tak dapat...tak apa, biar orang lain kibarkan.
Diharapkan menjelang pertengahan
bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik,
apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun
kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal
pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti
pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
30/07/2012
No comments:
Post a Comment