Wednesday, July 25, 2012

Analog: Melayu keliru amalan agama, warisan moyang


Seseorang yang bersembahyang lazimnya berpuasa. Yang berpuasa pula tidak semestinya bersolat.

Prof Dr Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah - 1908-1981) menerusi dua buku yang dihasilkan pada 1939, Tasawuf Moden dan Falsafah Hidup menjelaskan sikap sebenar segelintir Melayu yang kurang memahami antara budaya dan hukum agama.
Mereka sering keliru amalan agama, lalu bercampur baur dengan hukum adat, feudalisme dan mitos. Gerakan sekular yang menyerang Nusantara sejak abad ke-19 menjadikan Melayu kian keliru antara zaman lampau dan era moden.
Ramadan hanya setahun sekali. Justeru, menurut Hamka, ramai berlapar dan menikmati juadah berbuka puasa pada Maghrib. Orang yang tidak solat pun turut berpuasa kerana amalan masyarakat persekitaran sejak ratusan tahun.

Golongan yang solat pula tentunya tidak meninggalkan ibadat puasa kerana roh agama yang kental dalam dirinya. Hamka melihat Melayu sebagai masyarakat yang sering diancam perubahan, tetapi masa sama gagal membezakan amalan agama dan adat.

Analogi amalan agama dan warisan tradisi juga menjadi polemik dalam buku The Malay Dilemma karya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1970. Segelintir Melayu bukan saja taksub kepada agama, juga cara beramal dan warisan lama. Pada masa sama mereka tidak diberi peluang melaksanakan agenda lebih besar berasaskan faktor sejarah penjajahan British.

Ada ketika agama menjadi alat memesongkan pemikiran Melayu. Mitos memburu kebendaan dan membelakangi akhirat menyebabkan ada segelintir terpesong ajaran Islam dengan menyertai kumpulan berzuhud sehingga pagi dan tidak melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mengukuhkan ekonomi ummah. Mereka memberi alasan mendekati Allah dan meninggalkan unsur keduniaan yang melampau. Dari sini lahirlah ajaran sesat yang bukan saja boleh menimbulkan keriuhan dari segi pegangan agama, malah melahirkan sekian banyak Imam Mahdi dan Rasul Melayu.

Pada hari ini budaya digital dan teknologi maklumat tidak terkecuali memberi cabaran bentuk baru. Melayu terperangkap antara amalan agama, warisan tahyul dan cabaran sekularisme. Media baru tidak terkecuali dengan jaringan tertentu.
Jika Hamka menimbulkan kontradiksi antara amalan puasa dan solat, cabaran sekarang adalah bagaimana Melayu menyesuaikan diri dengan persekitaran dunia tanpa sempadan. Cabaran globalisasi bukan sekadar isu puasa dan solat, tapi bagaimana menyesuaikan agama sebagai sumber kekuatan ummah.

Amalan agama dan tradisi ada masanya saling bercanggah. Dalam amalan Islam, majlis berbuka puasa digalakkan di masjid yang tentunya disudahi dengan solat fardu dan sunat Tarawih. Masyarakat Melayu luar bandar pula menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah untuk golongan miskin menikmati juadah.

Ia budaya Melayu yang tidak bercanggah dengan amalan Islam. Bagaimanapun ia menjadi isu apabila sambutan Aidilfitri lebih meriah daripada Ramadan, membabitkan hiburan dan pembaziran.

Pembentukan Melayu baru pada dekad 80-an menjadikan tradisi Melayu perlu dibaca dengan sifat yang baru. Mereka menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri di tempat eksklusif. Tetamu hanya yang dijemput. Pakaian juga ditentukan dalam kad jemputan; pakaian Barat atau batik.

Dalam keadaan begini ungkapan agama dan warisan tradisional memerlukan tafsiran semula. Tentunya Hamka tidak sempat mengkaji minda Melayu baru kerana Allah menjemputnya pada 24 Julai 1981, hanya lapan hari selepas pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...