P. KAMALANATHAN (tengah) diapit oleh Najib dan Muhyiddin serta pemimpin lain selepas diumumkan pemenang di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan, Kuala Kubu Baru semalam.
HULU SELANGOR - Barisan Nasional (BN) merampas kembali Parlimen Hulu Selangor apabila calon parti itu, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil semalam dengan majoriti 1,725 undi.
Jumlah itu hampir sembilan kali ganda lebih besar daripada majoriti 198 undi yang diperoleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum yang lalu.
Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala pencabarnya, Zaid yang merupakan bekas menteri memperoleh 23,272 undi.
SATU daripada gelagat petugas jentera yang cuba meraih undi daripada seorang pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Kamaruddin, Kuala Kubu Baru semalam.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Norhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.15 malam semalam di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Baru di sini.
MODEL Ekonomi Baru (MEB) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mendapat reaksi yang rencam dan pelbagai daripada akhbar-akhbar Cina. Berikut disiarkan beberapa petikan terjemahan akhbar Cina itu yang mengupas mengenai MEB dari pelbagai sudut. Seorang penulis, Lee Rang menerusi akhbar China Press terbitan 4 April 2010 mengupas mengenai isu itu di bawah artikel bertajuk 'Merobohkan lebih susah daripada membina semula'. Menurut Lee Rang, perkara pokok jika mahu membina MEB adalah perlu dihapuskan sistem lama yang menjurus kepada polisi menghapuskan golongan cerdik pandai. Perjalanan Dasar Ekonomi Baru (DEB) memperlihatkan bahawa rakyat kita terlalu senang dan kaya-raya. Pegawai kerajaan, menteri, ahli politik dan ahli perniagaan seperti tiga dalam satu. Mereka bergantung kepada kuasa politik untuk meraih keuntungan dan ada yang sanggup menggadaikan kuasa mereka. Selepas 30 tahun pelaksanaan DEB, orang-orang yang membudayakan menjual dan menggadai kuasa ini sudah seperti sel-sel kanser yang merebak dalam masyarakat. Jika mahu diberi satu harapan baru kepada negara, maka barah-barah ini perlu dibuang. Tetapi barah-barah ini juga merupakan pendukung kuasa politik negara kita. ''Selama beberapa tahun ini, polisi DEB telah mencelarukan antara pegawai kerajaan, ahli politik dan ahli perniagaan. Kerana kepentingan masing-masing, lebih-lebih lagi model ekonomi yang mengutamakan hak- hak orang Melayu, mereka cuba mengaut segala sumber yang sedia ada. "Di negara kita, sudah tidak ada tempat untuk orang-orang yang cerdik pandai tinggal. Negara kita tidak dapat maju kerana pelabur asing lari. Jika kita mahu mengubah keadaan ini, jika kita tidak benar-benar menghapuskan polisi yang ada dan jika kita hanya mahu mengubah pemikiran sahaja, bukankah ia hanya satu impian semata-mata?" tulis Lee Rang. Akhbar Sin Chew Jit Poh terbitan 31 Mac 2010 pula menyiarkan artikel yang ditulis oleh Lim See Guan bertajuk 'Kita perlu ada inspirasi'. Menurut beliau, fasa pertama MEB yang mempunyai tiga matlamat dan lapan perubahan strategik turut mendedahkan kelemahan negara. Ia termasuk lebih 80 peratus pekerja negara kita hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala lebih 40 peratus pekerja Malaysia berada di bawah golongan berpendapatan rendah. Rakyat di negara kita sudah semestinya menggunakan aspirasi untuk merobohkan dinding yang menjadi tahanan diri sendiri. Merobohkan dinding rasis, menyahut cabaran di dunia bebas yang terbentang luas, indah dan menyegarkan jiwa. Ramai juga yang takut untuk berinspirasi dan takut bertindak. Selamanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan tidak mahu melepaskan tangan mereka. Persidangan Perkasa baru-baru ini, menunjukkan wajah sebenar mereka yang takut kepada perubahan. Jika kita asyik berkisar mengenai 'angka ekonomi kaum', lambat- laun kita akan kembali kepada model ekonomi lama yang mengharapkan subsidi daripada kerajaan. Jika satu hari nanti sumber kekayaan negara mengecil dan kita asyik bergolak mengira harta orang Melayu, Cina dan India, ia tidak membawa sebarang makna. Perbalahan ini sudah hampir puluhan tahun, tidakkah ia membosankan? Ramai yang takut kepada dunia bebas di luar sana kerana kehilangan inspirasi. Kita asyik mencari pelbagai alasan untuk mengetepikan kebebasan. Kita mahu mengongkong diri sendiri dalam tembok itu. Najib perlu menghapuskan orang-orang yang berfikiran kalut ini dan kembalikan mereka kepada dunia inspirasi mereka. Akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 2 April 2010 pula menyiarkan artikel yang ditulis oleh Wong Chee bertajuk 'DEB sememangnya seronok didengari'. Menurut penulis ini, selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak menggunakan kuasa pemerintahan beliau melancarkan dasar DEB. Dasar ini sedaya upaya membantu sepenuhnya kaum bumiputera dengan meningkatkan kedudukan ekonomi dan pendidikan. Konsep dan slogan ketika itu banyak yang tahyul dan luar biasa. Seperti mahukan pembangunan ditangani dengan adil dan liberal untuk mencapai matlamat. Kerana itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan MEB fasa satu, jika dibandingkan dengan DEB, ia lebih menaikkan semangat orang ramai. Agenda berpendapatan tinggi bagi orang kebanyakan yang selamanya berpendapatan rendah, ibarat dibawa ke syurga dunia jika berjaya dicapai. Sebenarnya sejak kegawatan ekonomi 1997/1998, kebanyakan gaji pekerja langsung tidak berubah. Kenaikan gaji tahunan pula tidak melebih RM100. Pendapatan sebegini tidak mampu mengatasi keadaan inflasi ditambah kenaikan harga barang ketika ini. Di samping itu, kenaikan harga petrol juga membawa maksud sama seperti pendapatan kita dikurangkan. ''Pada penerimaan secara terbuka, dalam menikmati kemampuan mengumpul kekayaan sama ada kita telah berjasa atau sebaliknya, tiada seorang pun yang terlepas daripada apa yang disarankan oleh Perdana Menteri menerusi MEB. Menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum apabila didengari seperti lagu yang merdu dan menusuk jiwa," tulis Wong Chee.
Restoran kopitiam kini makin popular dan mendapat sambutan orang ramai. Kemunculannya begitu ketara sehingga dalam satu deretan rumah kedai, terdapat tiga restoran seperti itu. Kalau dulu kopitiam hanya dikunjungi ramai pelanggan kaum Cina kini ia menjadi tarikan semua kaum termasuk orang muda. Kopitiam sekarang tidak lagi kelihatan seperti kedai kopi yang selekeh. Fizikal premis dan hiasan dalaman jauh lebih selesa serta kelihatan moden. Menunya juga sudah pelbagai, bukan lagi setakat kopi, roti bakar dan telur separuh masak. Nasi lemak rendang masakan Melayu, mee rebus malah teh tarik menjadi antara sajian popular. Penjenamaan semula kopitiam ternyata membawa kejayaan ketika usaha penjenamaan banyak produk dan perkhidmatan lain tidak membuahkan hasil. Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha berlumba-lumba menyertai perniagaan tersebut. Nama-nama seperti Old Town White Coffee, Georgetown White Coffee, One Asia Station, Bangi Kopitiam, Kluang Station, Pak Hailam, Uncle Lim's, Ipoh Kopitiam dan berbelas-belas jenama lagi sudah tidak asing. Memang banyak yang boleh diperkatakan tentang fenomena kopitiam termasuk isu-isu dan gosip yang berkaitan. Antaranya terdapat kopitiam terkenal dimiliki oleh tokoh parti pembangkang tertentu. Menurut maklumat, perniagaan kopitiam berkenaan hanya untuk pengusaha Cina dan francaisnya tidak dibuka kepada pengusaha Melayu, India dan Sikh. Sampai begitu sekali pertimbangan rasis yang diambil. Selain itu, timbul isu banyak kopitiam tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berdasarkan laman web halal Jakim, hanya dua kopitiam iaitu Pak Halim Kopitiam dan Jonker Walk Kopitiam mempunyai logo halal Jakim sementara kebanyakan kopitiam lain menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf. Lebih mengejutkan siasatan Jakim mendapati ada pengusaha kopitiam mencampurkan arak dalam masakan dan ada juga yang menjual arak. Awang juga kurang senang dengan sebahagian kopitiam yang hanya menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris dalam menu mereka. Bahasa Kebangsaan diabaikan sama sekali sedangkan pelanggan terdiri daripada semua kaum. Ingatlah, Malaysia bukan Hong Kong atau Taiwan. Sebenarnya banyak persoalan berlegar berkaitan kopitiam termasuk apakah popularitinya akan bertahan lama? Ramai yang yakin terhadap masa depannya dan tidak kurang yang melihat fenomena kopitiam bersifat sementara. Yang pasti, restoran-restoran mamak yang menerima tamparan dengan kemunculan banyak kopitiam, tidak mahu mengalah begitu sahaja. Banyak restoran mamak dipermodenkan kepada taraf bistro lengkap dengan WiFi dan pelbagai tarikan lagi. Pada Awang, elok berlaku persaingan yang sihat dan biarlah masyarakat mempunyai banyak pilihan. Sama ada kopitiam akan menguasai pasaran atau restoran mamak akan lebih dominan, kita tunggu. Tetapi Awang ada kecenderungan sendiri. Kalau berada di kopitiam terutama jenama yang bersifat rasis dan tiada sijil halal Jakim, Awang sekadar minum. Berada di restoran mamak pula, ia lebih daripada itu.
SEREMBAN — Skuad Bolasepak Negeri Sembilan yang menjuarai Piala FA malam tadi selepas menewaskan aspukan Kedah 5-4, disambut seperti wira oleh para penyokong dan anggota keluarga pasukan itu.
Skuad yang digelar Hoben Jang Hoben itu yang pulang dengan menaiki bas ditunggu oleh kira-kira 50 penyokong berpakaian serba kuning di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di Rahang hari ini.
Ketua Skuad Bolasepak Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya sewaktu ditemui Bernama melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan kejayaan pasukan itu.
Katanya, selepas kejayaan merangkul Piala F-A ini, skuadnya akan menumpukan perhatian bagi mengukuhkan kedudukan negeri itu di dalam Liga Super serta saingan Piala Malaysia.
Para pemain dijangka berkongsi imbuhan RM400,000 melalui kejayaan mereka semalam selepas berjaya mengondol RM50,000 apabila memasuki separuh akhir.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menjanjikan RM150,000 apabila skuad itu menjejakkan kaki ke peringkat akhir dan tambahan RM200,000, jika pasukan itu membawa pulang Piala FA. - Bernama
WAN Jamak riang bersama kapten, Rezal Zambry sambil memperaga pingat juara Piala FA, malam tadi.
Ahmad tak salahkan Helmi
JURULATIH Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui dia patah semangat seketika selepas melihat sepakan penalti pertama Mohd Zaquan Abd Radzak dan selepas itu M Asyraf Al Jafri gagal menggegar gawang Kedah ketika sepakan penalti penentuan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Permainan 120 minit yang terikat pada kedudukan 1-1 itu memaksa sepakan penalti menjadi penentu untuk pasukan bergelar juara dan Kedah mempunyai kelebihan sebaik sepakan Zaquan diselamatkan penjaga gol Helmi Eliza Elias.
“Kalau anda duduk di tempat saya, anda akan merasakan seperti saya yang nak pecah kepala. Selepas Zaquan gagal, saya merasakan Negeri Sembilan akan tewas.
“Selepas itu Asyraf pula gagal tetapi nasib baik Helmi Eliza turut gagal menyempurnakan sepakan untuk membolehkan kami meraih kemenangan,” katanya sejurus tamat saingan final itu.
Meskipun menganggap Negeri Sembilan tidak memiliki kelebihan dari segi pengalaman berbanding Kedah yang sudah empat kali menjuarai trofi berprestij itu, Wan Jamak menyifatkan keserasian pasukannya kini terserlah selepas enam tahun dibentuk.
“Pasukan ini sudah enam tahun bersama, Kedah pula sudah dua tahun bersama-sama Mohd Azraai Khor Abdullah (bekas pengendali). Setiap pasukan memerlukan kerjasama untuk mencapai kejayaan,” katanya. Sementara itu, jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff menyifatkan peluang yang terhidang buat Kedah untuk merangkul Piala FA keempatnya, disia-siakan selepas penjaga gol, Helmi Eliza gagal dalam sepakannya selepas penalti M Asyraf Al Japri turut melambung tinggi di atas palang.
Ahmad mengakui Helmi Eliza memang berada dalam senarai pemain yang sepatutnya mengambil sepakan penalti dan bekas penjaga gol kebangsaan tidak dibuai keghairahan untuk menjadi wira.
“Memang Helmi Eliza berada dalam urutan untuk mengambil penalti selepas itu. Kalau sudah memasuki penentuan penalti, ia lebih bergantung kepada nasib. Saya tidak menyalahkannya.
“Kalau melihat pada separuh masa pertama, kami menguasai perlawanan. Saya tidak boleh kata apa-apa, ini bukan rezeki kami,” kata bekas pengendali Pahang yang mahu anak buahnya segera melupakan kekalahan ini dan menumpukan kepada kempen Liga Super selepas ini
N Sembilan.... 1 Kedah.... 1 (NS menang penentuan penalti 5-4)
SANI Anuar Kamsani muncul wira apabila menyelamatkan penalti Mat Sabre Abu untuk memberikan gelaran Piala FA kedua buat Negeri Sembilan selepas 2003 menerusi kejayaan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti, mengecewakan Kedah pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Ia adalah kali keenam pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan mengulangi final tahun lalu yang menyaksikan Selangor bergelar juara 4-1 selepas kedudukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.
Selepas terikat 1-1 dalam permainan 90 minit, masa tambahan 30 minit gagal memisahkan kedua-dua pasukan selepas jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-27 disamakan M Shaffik Rahman pada minit ke-38.
Sebaik sepak mula oleh pengadil R Krishnan, Negeri Sembilan bermula garang dengan V Thirumurugan dikerah menyelamatkan pasukannya di garisan gol, namun Kedah mula menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu yang dikawal Sani Anuar.
Tanpa penyerang, Azlan Ismail yang menjalani penggantungan, Kedah meletakkan tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar di tampuk serangan bergandingan dengan rakan dalam skuad kebangsaan, Faizal Abu Bakar. Langkah itu jelas membuahkan hasil apabila gerakan anak buah Ahmad Yusoff terarah kepada Baddrol dan kegagalan Negeri Sembilan merantainya membawa padah pada minit ke-27 membolehkan Baddrol menyudahkan gerakan satu dua dengan Syafiq Jamal dengan lambungan tenang menerjah jaring ketika Sani Anuar sudah keluar daripada posisinya.
Begitupun, pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila barisan Wan Jamak Wan Hassan hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang muda, M Shaffik Rahman bertindak solo melepasi kawalan pertahanan dan menolak pantas melepasi penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias yang gagal menepis kemas.
Kedah terus mengancam pada babak kedua dengan pemain veteran, Shukor Adan menyelamatkan percubaan deras Faizal yang menuju tepat ke gawang dengan menanduk keluar ketika perlawanan memasuki detik sejam.
Selang tiga minit, S Kunanlan pula gagal memanfaatkan hantaran tepat Zaquan Adha Abd Radzak apabila teragak-agak merembat sebelum diterkam Helmi Eliza.
Shukor membuktikan dirinya turut mampu menyumbang di bahagian serangan apabila mendada lambungan pemain gantian M Asyraf Al Jafri tetapi rembatannya tepat ke dakapan Helmi Eliza pada minit ke-74 untuk memaksa permainan dilanjutkan 30 minit lagi
NEGERI Sembilan muncul juara Piala FA 2010 selepas menewaskan Kedah 5-4 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Begitupun, kemenangan tersebut diraih menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani tampil sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan terakhir pemain Kedah, Mohd. Sabre Mat Abu untuk membolehkan pasukannya menjuarai Piala FA buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2003.
Ternyata semangat tidak berputus asa yang dipamerkan pemain-pemain Negeri Sembilan sepanjang perlawanan tersebut berbaloi walaupun pada suatu ketika ketinggalan 0-1 namun berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan.
Dengan kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mudah menyerap segala tekanan untuk mengekang serangan yang dilakukan oleh Kedah.
Bagaimanapun, Kedah yang dibarisi rata-rata pemain muda membuka tirai jaringan menerusi Badrol Bakhtiar yang melambung cantik bola hasil gerakan satu dua dengan Mohd. Fadly Baharum sekali gus menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan yang dikawal oleh Sani Anuar pada minit ke-27.
Negeri Sembilan yang tersentak dengan gol pendahuluan Kedah kembali memperkemaskan jentera serangan mereka dan gerakan solo Mohd. Shaffik Rahman berjaya menghadiahkan gol penyamaan buat pasukannya pada minit ke-39 untuk mengikat keputusan seri 1-1 sehingga tamat babak pertama.
Ketumpulan bahagian serangan Negeri Sembilan yang diterajui Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak agak ketara dan beberapa peluang untuk menambah jaringan dipersia-siakan.
Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan tampil lebih agresif tetapi tetap gagal untuk menggegar gawang.
Kedudukan seri 1-1 kekal sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Begitupun, aksi pada masa tambahan ternyata penuh mendebarkan dengan percubaan-percubaan berbahaya yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Namun, kekentalan barisan pertahanan baik Negeri Sembilan mahupun Kedah berjaya mengekang segala asakan dan menyaksikan jentera serangan kedua-dua pasukan masih gagal untuk memperoleh gol kemenangan.
Pada penentuan sepakan penalti, Negeri Sembilan lebih bernasib baik kerana berjaya menyempurnakannya sebaik mungkin sekali gus tampil sebagai juara Piala FA edisi ke-21 ini.
KADANG-KADANG kita terfikir, adakah orang yang kita pilih sebagai wakil rakyat kawasan kita tersalah pilih. Sistem demokrasi memberikan orang ramai peluang memilih orang yang mewakili kepentingan mereka. Malangnya kita lihat setiap hari pelbagai jenis masalah rakyat yang timbul yang wakil rakyat yang dipilih tak tahu atau tak ambil tahu. Lihat saja program Aduan Rakyat dan Expose yang mendedahkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Kadang-kadang kita terfikir apakah rakyat tahu latar belakang orang yang mereka pilih untuk mewakili mereka. Kebanyakannya orang ramai terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat oleh orang politik semasa berkempen. Selepas pilihan raya ramai wakil rakyat ini ghaib entah ke mana.
Kalau kawasan mereka di kampung, itu hanyalah untuk mendapatkan kawasan. Dia tinggal di bandar raya dan sekali sekala saja menjenguk kawasan mereka. Tetapi bila hendak pilihan raya, setiap minggu pun boleh nampak muka. Asyik tertipu sajalah orang ramai!
Ada juga wakil rakyat yang melantik wakilnya pula untuk mewakili mereka. Jadi wakil ini kadang-kadang lebih pula lagaknya daripada orang yang jadi wakil rakyat. Kata pepatah 'besar sudu daripada senduk.' Mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat memang tidak ramai. Ramai yang bertujuan berkhidmat untuk diri sendiri. Jadi tidak hairanlah tuduhan menjadi wakil rakyat untuk mendapatkan kontrak dan projek.
Kalau kita perhatikan arus perdana media kita setiap hari tidak lekang daripada cerita politik. Semakin hari semakin hangat. Akhir-akhir ini macam-macam cerita belakang tabir muncul dan lebih lakulah surat khabar. Saman menyaman di kalangan ahli politik sudah menjadi kebiasaan sekarang.
Parlimen kita hampir sama dengan Ringling Barnum Brothers. Hampir sama dengan Parlimen India. Di sana kerusi pun melayang, di sini ajak bertumbuk sudah biasa kita dengar. Saya rasa ada baiknya mereka yang bergaduh mulut ini menyelesaikan pertengkaran mereka dengan bertumbuk. Adalah peluang orang ramai untuk mempertaruhkan siapa yang boleh menang. Selalunya orang yang menyalak kuat ini, gigit mereka tidaklah sehebat salak mereka.
Kalau orang luar macam pelabur asing baca surat khabar, setiap hari mereka terhibur dengan tindak tanduk ahli politik kita. Ada yang lompat parti, ada yang berhenti lepas itu tarik balik. Ada yang berhujah beria-ia mengatakan mereka lompat parti tidak bermoral, lepas itu beria-ia pula menyokong tindakan mereka yang melompat parti kerana hendak rampas kuasa.
Rakyat harus sedar supaya jangan lagi diperbodohkan dengan janji-janji dan kata-kata manis, walaupun yang diselang-selikan dengan tafsir dan hadis. Jarang-jarang sekali mereka yang menggunakan tafsir dan hadis ini ikhlas tujuan mereka untuk menyedarkan masyarakat.
Kini apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 seolah-olah suatu kebangkitan di kalangan mereka yang merasakan diri mereka selama hari ini sudah tertindas. Hakikatnya mereka yang sebenarnya tertindas mungkin tidak sedar atau tidak mahu sedar yang mereka yang tertindas.
Dari segi ekonomi mereka ketinggalan jauh di belakang kecuali beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan pihak yang berkuasa. Jadi jurang antara yang kaya dengan yang miskin semakin jauh. Lepas itu mereka tidak sedar yang golongan peniaga yang terdiri golongan bukan sesama kaum dengan mereka, menaikkan harga barangan sesuka hati menyebabkan kos sara hidup meningkat.
Rantaian bekalan apa jua barangan pun dikuasai oleh golongan ini. Malangnya golongan yang ketinggalan ini tidak bersatu. Orang lain banyak suara minta ini, minta itu dan suruh kerajaan jangan lagi bantu mana-mana golongan supaya persekitaran sama dengan hidup di hutan, yang kuat berkuasa.
Kita pula jenis segan nak bersuara. Kepada mereka yang kita letakkan harapan untuk memperjuangkan hak kita sudah termakan cerita orang yang kononnya selama ini mereka tertindas. Jadi kepada siapa yang kita harus mengadu.
Kalau sejarah menunjukkan kita boleh bersatu atas sesuatu tujuan seperti tentangan pembentukan Malayan Union, kenapa sekarang atas desakan semasa ini kita tidak boleh bersatu. Biarkan orang politik ini bercakaran sesama mereka kerana menyangka mereka yang tahu segala-galanya, orang lain semuanya bodoh dan boleh diperbodohkan.
Politik wujud untuk membantu rakyat bukan untuk menyusahkan rakyat. Tetapi terlalu banyak contoh yang menunjukkan bagaimana politik menyusahkan rakyat. Pada waktu yang sama kita lihat negara-negara yang keadaan mereka aman damai, siapa yang memimpin negara tersebut pun tidak tahu.
Kalau tidak ada pembangkang nanti dikatakan tidak ada demokrasi dalam negara tersebut. Di Amerika Syarikat sendiri ada benda yang bagus hendak diperkenalkan oleh kerajaan pun dibantah oleh pembangkang. Sudah hancur lebur sistem kewangan apabila hendak diperkenalkan langkah-langkah yang memperketatkan undang-undang, pembangkang membantah juga.
Bila kita lihat negara-negara yang tidak ada pembangkang, negara mereka berkembang maju juga, lebih maju daripada negara yang kononnya demokrasi. Lihat saja negara China yang akan mengambil alih selaku ekonomi terbesar di dunia sebelum 2015.
Mengambil sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini, ia satu-satunya badan bukan kerajaan yang berani bersuara, yang berani menuntut apa yang sepatutnya, badan yang wajar diberikan sokongan oleh orang Melayu. Kalau nak kirakan rasis, orang putih di Amerika lagi rasis terhadap orang kulit hitam.
Orang putih di Australia lagi rasis terhadap orang Asia. Di negeri China sendiri kaum Uigher dianiaya. Itu sesama bangsa. Di United Kingdom sendiri sikap rasis begitu hidup dan segar.
Orang Melayu tidak perlu minta maaf menuntut apa yang sepatutnya hak mereka dalam negara mereka sendiri. Kalau kita diam saja, kadok akan naik junjung.
Orang muda kita yang berpelajaran tinggi menganggap semangat nasionalisme sudah berkubur kerana mereka melihat yang menerima faedah daripada kerajaan adalah mereka yang terpilih sahaja dan persaingan itu tidak adil. Semangat mereka hendak jadi usahawan misalnya dengan ilmu yang mereka ada, tidak bermakna langsung kepada institusi kewangan membuatkan pembiayaan projek mereka terhalang.
Selain daripada itu, mereka melihat rasuah bermaharajalela. Ada yang belum faham bahasa rasuah akan mendapati diri mereka ternanti-nanti seminggu jadi sebulan, sebulan jadi setahun. Kalau dapat pembiayaan pun, sikit demi sikit sahaja. Jumlah yang diberikan tidak cukup untuk berbuat apa-apa.
Jadi janganlah kita berdiam diri lagi demi masa depan anak cucu cicit kita. Fikirkan dengan rasional apa yang wajar kita lakukan sekarang. Tanpa penguasaan ekonomi, kita tidak ada kuasa kerana politik sudah boleh dibeli kalau ada kuasa ekonomi.
Melihat anak-anak muda warga asing berpidato secara petah dan fasih dalam Bahasa Melayu, membuatkan perasaan Awang terharu. Pertama kerana kebolehan mereka yang mencuri perhatian dan kedua, keyakinan yang ditunjukkan terhadap Bahasa Melayu.
Sebab itu, Awang tidak merasa jemu menyaksikan aksi 56 peserta dari 51 negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 yang berakhir kelmarin. Kebanyakan peserta adalah dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur. Awang mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan PABM. Sejak diadakan pada 2007, pidato itu menerima sambutan hebat dari tahun ke tahun. PABM diideakan oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Pidato itu antara lain bertujuan memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Najib nampak jalan bagaimana Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu sewaktu kegemilangan tamadun Melayu, boleh diangkat kembali ke persada dunia. Awang melihat komitmen Najib dalam menjaga kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan cukup tinggi walaupun beliau tidak pernah cakap berdegar-degar laksana pejuang bahasa. Banyak petunjuk lagi menampakkan kesungguhan Najib meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komersial. Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan di bawah kabinet beliau membuktikan hakikat tersebut. Dalam Najib berusaha meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing terutama Inggeris, beliau sesungguhnya telah membina landasan lebih baik untuk masa depan Bahasa Melayu.
Awang melihat usaha tersebut amat besar maknanya ketika banyak bangsa di dunia memperhebatkan survival bahasa mereka termasuk kaum-kaum lain di negara ini. Selain bahasa ibunda masing-masing, tulisan mereka juga terus diperkasakan.
Malah Awang kerap menghadiri majlis anjuran organisasi dan pihak bukan Melayu yang turut dihadiri menteri dan pemimpin serta hadirin semua kaum. Tanpa rasa teragak-agak, pihak-pihak berkenaan bercakap dalam bahasa ibunda sementara Bahasa Kebangsaan seperti tiada nilai. Untuk mengharapkan Bahasa Kebangsaan kita mendapat penghormatan tertinggi semua kaum sebagaimana yang dinikmati di Indonesia, terasa masih jauh.
Maka Awang tertarik dengan penganjuran PABM termasuk kejayaan peserta negara China, Zhang Song menjuarai kategori antarabangsa. Awang teruja dengan kebolehan dia dan peserta lain termasuk juara 2007 iaitu pelajar Rusia, Olga Vasilevskaya. Kefasihan mereka memberi harapan baru bahawa Bahasa Melayu mampu dilonjakkan.
Selepas memenangi pidato itu, Olga menyambung pengajian peringkat sarjana di negara ini. Kini penguasaan Bahasa Melayu beliau jauh lebih baik bagaikan seorang guru bahasa. Olga tidak menggunakan bahasa rojak sebagaimana dipertuturkan oleh majoriti rakyat kita termasuk orang Melayu.
Olga, Song dan para peserta PABM mengambil tempoh yang singkat untuk fasih. Sedihnya, ramai warga kita yang sehingga hari ini bukan sahaja tidak fasih dan berpelat tebal malah malu untuk bercakap dalam Bahasa Kebangsaan. Pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal misalnya mempunyai penguasaan Bahasa Kebangsaan lebih baik daripada sebahagian warganegara Malaysia. Agaknya pekerja asing peringkat bawahan lebih menghayati ungkapan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Saya minat mengkaji sejarah termasuk bagaimana tersungkurnya tamadun yang hebat. Salah satu kisah yang menarik ialah kejatuhan empayar Bani Abassiyah ketika di bawah pemerintahan Khalifah al-Mustashim Billah (640-656H). Empayar tersebut yang ketika itu berpusat di Baghdad dan digeruni musuh, akhirnya tumbang. Tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan iaitu cucu kepada Genghiz Khan berjaya menawan Baghdad.
Apa puncanya? Tercatat dalam banyak dokumen sejarah, ia adalah angkara pengkhianatan seorang pembesar bernama Umayiyudin Muhammad al-Aqami, yang bercita-cita mahu menjadi khalifah atau pemerintah agung.
Secara penuh muslihat, beliau bersubahat dengan Hulagu Khan. Tanpa disedari, Umayiyudin menjadi musuh dalam selimut kepada khalifah dan rakyat. Kemuncaknya, percaturan Umayiyudin membawa kejayaan. Baghdad akhirnya ditawan dan kota tersebut bermandi darah dengan ratusan ribu penduduk dibunuh manakala wanita dirogol.
Beribu-ribu kitab meliputi pelbagai disiplin ilmu terutama sains yang mengangkat kegemilangan tamadun Islam, telah dibakar dan sebahagiannya dijual kepada pedagang Eropah ketika itu. Masjid dan surau turut dimusnahkan. Imam dan bilal dibunuh. Tiada lagi suara azan berkumandang. Umaiyuddin akhirnya menyesal dan sedih kerana tidak menyangka tujuan beliau bersubahat yang sekadar untuk mendapat kuasa telah membawa musibah besar kepada Baghdad dan rakyatnya. Umaiyiyuddin akhirnya mati kerana tertekan tetapi semuanya sudah terlambat.
Peradaban yang dibina 500 tahun oleh empayar Bani Abasiyah dimusnahkan oleh pencerobohan Monggol. Dalam mana-mana sejarah tamadun, pengkhianatan adalah ancaman besar.
Melaka yang suatu ketika mempunyai empayar yang disegani, tumbang angkara pengkhianatan si kitul. Empayar Melayu Kedah juga jatuh kepada Siam disebabkan pengkhianatan pemimpin Melayu.
Sesungguhnya agenda pengkhianatan tidak pernah padam termasuk dalam era moden. Pada dekad ini, pengkhianatan berlaku dalam bentuk yang lebih kompleks sifatnya. Kuasa asing sentiasa mendambakan ada tokoh dalam negara yang boleh dipergunakan untuk agenda mereka. Betapa licik kuasa besar memanipulasi termasuk menerusi buku Confessions of an Economic Hitman oleh John Perkins. Itu belum menyentuh penyusupan agenda agama atas nama liberalisme, gerakan seks sejenis dan sebagainya.
Di Malaysia, bibit-bibit pengkhianatan semakin jelas sejak sedekad lalu. Daripada usaha menggugat asas kenegaraan sehinggalah mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal Malaysia. Siapa pengkhianat itu, tidak penting. Persoalan lebih penting apakah kita mahu membenarkan berlaku satu lagi kisah pengkhianatan?
APAKAH sebenarnya pendirian Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah? Persoalan ini bukan sahaja bermain di fikiran umat Islam malah di kalangan penyokong parti itu sendiri.
Kenyataan seorang demi seorang pemimpin kanan parti tersebut bukannya menunjukkan dengan jelas pendirian Pas sebaliknya hanya menambahkan lagi kekeliruan.
Pada mula umat Islam menyangkakan bahawa pendirian Pas akan sama seperti mana kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang kesemuanya mereka menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.
Tetapi apabila Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad membacakan hasil mesyuarat Lajnah Politik parti itu yang menegaskan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain, asalkan ia tidak disalahkan guna, maka wujud kekeliruan yang ketara di kalangan umat Islam dan penyokong Pas.
Mereka tidak tahu kenyataan siapakah yang harus diikuti. Ia memandangkan perbezaan pendapat tersebut menyaksikan pertembungan antara dua kelompok dalam Pas iaitu satu puak yang mungkin membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik manakala satu lagi kelompok ialah golongan ulama yang membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan Islam.
Puak politik membuat kenyataan bahawa, ‘‘Pas ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.’’
Manakala Nik Abdul Aziz pula contohnya menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Kenyataan itu diperkukuhkan pula dengan peringatan Haron Din yang menasihatkan umat Islam berhati-hati kerana sokongan mereka kepada penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh membawa kepada kekufuran.
Adalah jelas sama ada Haron Din, Harun Taib, mahupun Nik Abdul Aziz, mereka membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan Islam, ertinya soal politik diletakkan ke tepi. Sebab itulah Nasharuddin dengan tegas pada 2 Januari menyeru umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak umat Islam.
‘‘Tetapi malangnya di dalam Pas, ada kelompok yang terlalu melihat isu ini dari sudut politik, kesudahannya inilah jadinya, orang tertanya-tanya apakah sebenarnya pendirian Pas,’’ kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.
Menurut pemimpin muda tersebut, di dalam Pas sekarang sudah wujud satu kelompok yang menganggap apa juga isu yang diketengahkan oleh UMNO tidak harus diikuti oleh Pas, biarpun ia berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.
‘‘Puak-puak ini menganggap tidak boleh sama dengan UMNO. Apa yang UMNO perjuangkan Pas tidak boleh ikut. Apa pun isu yang dibangkitkan oleh UMNO akan dianggap mainan UMNO.
‘‘Kalau beginilah keadaan bagaimana kita hendak melihat UMNO dan Pas sekurang-kurangnya bersatu dalam soal kepentingan Islam.
‘‘Sepatutnya dalam isu kalimah Allah, tidak kiralah siapa pun yang memperjuangkan yang penting Pas perlu memainkan peranan kerana ia adalah parti Islah,’’ kata beliau yang ternyata kecewa dengan pendirian Pas.
Apa yang menimbul tanda tanya, apakah keputusan yang dibuat oleh Pas itu yang dilihat tidak selari dengan ulama-ulama Pas semata-mata kerana bermotifkan politik? Ia kerana Pas bukan sahaja mahu menjaga slogan ‘Pas Untuk Semua’, malah lebih daripada itu Pas juga ingin menjaga hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pendirian PKR dalam isu ini tidak harus dipedulikan kerana sampai kiamat pun, apa juga yang dilakukan oleh parti itu mereka akan meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Tetapi soalnya, adakah wajar Pas menjadi ‘pak turut’ dan demi menjaga hati dan undi, maka soal kepentingan Islam pun mahu diketepikan oleh sesetengah pemimpin dalam parti berkenaan.
Atas sebab itulah, pemimpin muda Pas yang dihubungi penulis tersebut menyatakan, oleh kerana soal kalimah Allah ini adalah isu agama dan akidah, ia sepatutnya diserahkan kepada Dewan Ulama atau Majlis Syura Pas untuk menentukan pendirian parti itu.
‘‘Tetapi malangnya, perhitungan politik seolah-olah mengatasi segala-galanya, kesudahannya Pas dilihat bercelaru dan tidak konsisten,’’ katanya.
Apa yang meresahkan di kalangan ahli Pas ialah mereka tidak tahu jika tindakan mengutamakan politik dalam isu seumpama itu akan menyebabkan wujud tafsiran bahawa ulama Pas hendak diperlekehkan.
‘‘Mereka orang berilmu, sepatutnya kita berpandu kepada mereka, apatah lagi Pas memperjuangkan Islam, kalaulah dalam isu agama pun pandangan mereka tidak mahu diambil kira, ke mana sebenarnya Pas hendak dibawa,’’ kata pemimpin muda itu lagi.
Semua kekalutan dan kekeliruan ini seharusnya ditamatkan segera oleh kepimpinan Pas. Ia kerana umat Islam amat memahami bahawa biarpun Pas berbeza fahaman politik terutamanya dengan UMNO tetapi jangan sampai ia menjadi batu penghalang ke arah bersama-sama memperjuangkan kepentingan Islam.
Isu kalimah Allah seharusnya tidak dilihat dari sudut kepentingan politik kerana sebaliknya seperti mana kata Nasharuddin ‘‘Satu pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini.’’
Justeru adalah wajar Pas perlu bijak menilai yang mana satukah isu politik dan yang mana satu isu agama, yang mana satu layak dibincangkan oleh Lajnah Politik dan yang mana satu perlu diserahkan kepada Majlis Syura.
Dalam soal kredibiliti Majlis Syura Pas, ia sudah pasti tidak akan menjadi persoalan kerana yang menganggotai terdiri daripada ulama-ulama utama dalam Pas. Kita harus mengakui mereka juga mempunyai pengaruh yang besar di kalangan ulama Islam tanpa mengira apa pun fahaman politik mereka.
Oleh itu, peranan mereka perlu dipertingkatkan dan bukan sekadar mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh jawatankuasa atau biro Pas yang lain. Kalaulah Pas sendiri tidak begitu yakin kepada Majlis Syura, bagaimanakah pihak lain hendak percaya bahawa majlis berkenaan adalah satu badan yang berwibawa?
Seperkara lagi, bagi sesetengah pemimpin Pas yang masih mahu melihat segala-galanya daripada sudut politik, mereka sepatutnya merujuk kepada Majlis Syura sebelum membuat kenyataan terutamanya yang berkaitan dengan soal akidah dan agama.
Langkah itu penting bagi mengelakkan Pas akan dilihat penuh dengan kekeliruan apabila menyatakan sesuatu pendirian atau pandangan.
Majlis Syura Pas perlu dimartabatkan kedudukannya bukan sekadar hanya menjadi hiasan dalam sebuah organisasi.