Sunday, October 31, 2010

Sathianathan puas dapat julang trofi

DI sebalik kemelut yang melandanya sejak dua minggu lalu, ketua jurulatih Kelantan, B Sathianathan tampak begitu tenang ketika meraikan kejayaan anak didiknya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final Piala Malaysia, malam tadi.

Namun, jauh di lubuk hatinya tersimpan perasaan puas dapat menjulang trofi berprestij itu kali ini.

Sathia melalui tempoh memeritkan apabila digantung enam bulan yang kemudiannya ditangguhkan sebelum mengetuai pasukannya mara ke separuh akhir yang disusuli kejayaan manis, malam tadi.

“Saya yakin kami akan menang walaupun pada babak pertama kami ketinggalan 0-1. Tekanan sentiasa membelenggu saya.

“Tetapi apa yang membantu saya adalah Tan Sri Annuar Musa (Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan). Dia kata jika apa-apa berlaku kepada saya, dia tetap akan bersama saya,” kata Sathia pada sidang akhbar pasca perlawanan.

Di sebalik kejayaannya membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali ke Kelantan, Sathia bagaimanapun tidak mahu menganggap dirinya wira. “Saya bukan wira Kelantan, wira sebenar adalah Tan Sri,” katanya yang baru mengendali pasukan itu sejak 13 bulan lalu.

Menurut Sathia, Kelantan tidak akan meningkat mendadak seperti sekarang sekiranya Annuar tidak memberikan kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk mengendali pasukan.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...