PARA pemain Kelantan meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
KESUNGGUHAN para pemain untuk muncul juara dianggap jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sebagai kunci utama kejayaan skuad Red Warriors itu menundukkan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi.
Kata-kata Sathianathan di bilik persalinan ketika waktu rehat separuh masa pertama nyata membuatkan para pemain tidak patah semangat biarpun mereka ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-13.
“Saya bangga dengan pemain kerana nak menang buat kali pertama bukan sesuatu yang mudah. Tapi semua pemain mahukan kemenangan pada perlawanan ini.
“Memang kami ketinggalan 0-1 tetapi gol Negeri Sembilan itu diperoleh terlalu awal dan masih ada masa untuk kami cari gol. Itu sebab kami tak berasa risau,” kata Sathianathan pada sidang media selepas perlawanan.
Biarpun berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim ini, Sathianathan menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sama ada mahu terus menggunakan khidmatnya bagi musim depan atau tidak.
Ini memandangkan dia masih berisiko untuk digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) andai rayuannya ditolak.
“Saya akan rehat dahulu dan bercuti. Terpulang kepada Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) untuk buat keputusan. Apa pun boleh jadi. Saya tak pasti lagi. Kena tunggulah dahulu keputusan FAM,” jelas Sathianathan.
Pada perlawanan akhir edisi ke-84 malam tadi, Kelantan bangkit dengan menghasilkan dua gol pada babak kedua menerusi tandukan Hairuddin Omar pada minit ke-56 dan rembatan Badhri Radzi pada minit ke-64 untuk memastikan kemenangan mutlak 2-1.
Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan pula menyifatkan ketiadaan kapten, Aidil Zafuan Radzak yang mengalami kecederaan pada awal babak kedua sebagai punca pertahanan mereka tiba-tiba rapuh.
No comments:
Post a Comment