Tuesday, February 14, 2012

PUM sedia bantu dalam isu akidah

Dr Mohd Roslan Mohd Nor

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpandangan semua pihak khususnya umat Islam sepatutnya lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu keterlibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam.

Ini adalah kerana perkara tersebut mempunyai hubung kait dengan akidah umat Islam. Akidah adalah komponen teras dalam agama Islam.

PUM berpandangan isu berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.

Salinan Garis Panduan tersebut boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim seperti di alamat www.e-fatwa.gov.my.

Dalam garis panduan tersebut, antara keputusan yang diputuskan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah jelas menyatakan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam.

Sehubungan itu, berpandukan keputusan tersebut, pada hemat PUM, adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam.

PUM juga amat mengharapkan semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada para pemimpin di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri masing-masing dalam menangani isu ini.

Dalam pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang beragama Islam tersebut dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut. Para pemimpin dan masyakarat bukan Islam juga adalah amat diharapkan supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam. Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam.

Semua pihak termasuk para pemimpin di setiap peringkat serta masyarakat awam adalah dinasihatkan supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama Islam khususnya melibatkan akidah serta syariat Islam. Para pemimpin dan masyarakat awam juga adalah dinasihati supaya akur dengan nasihat dan pandangan para ulama dalam memelihara kedaulatan agama seperti yang diletakkan dalam prinsip maqasid syariah.

PUM berpandangan isu ini adalah mustahak untuk ditangani dengan kadar segera disebabkan umat Islam akan terus berhadapan dengan perayaan agama orang bukan Islam.

PUM ingin mencadangkan kepada Jakim agar menganjurkan majlis dialog penerangan secara aktif kepada para pemimpin dan masyarakat Islam tentang keputusan dasar ini.

Oleh yang demikian, PUM juga bersedia bekerjasama dengan Jakim, Majlis dan Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain institusi untuk memberikan kefahaman dalam isu yang berbangkit ini.


Dr Mohd Roslan Mohd Nor menyandang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Ulama

Rencana Biar putih tulang, jangan putih mata


Keberanian Leftenan Adnan Saidi dan rakan yang bertempur bermati-matian adalah episod yang kekal dalam lipatan sejarah tanah air.

“Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata”, itulah kata-kata pembakar dan menyemarakkan lagi semangat juangnya supaya tidak gentar menghadapi Jepun, demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah terakhir.

Apakah perjuangan dan pengorbanan Leftenan Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi?

Masih adakah anak bangsa pada hari ini, mahu mengikut jejak langkahnya. Pastinya, jika Leftenan Adnan dapat melihat Malaysia hari ini, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara dengan darahnya.

Keberanian Leftenan Adnan turut diakui General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan “Jika terdapat 10 Leftenan Adnan, pasti Malaya tak jatuh ke tangan Jepun”.

Iktibar dan pengajaran boleh peroleh dari kisah keberanian beliau adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau, pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan musuh. Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah demi kepentingan diri sendiri.

Rakyat Malaysia tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.

Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran dikecap.

Mereka harus menjadikan semangat Leftenan Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan dan cintakan negara.

Terima kasih kepada pahlawan dahulu yang berjuang untuk mempertahankan negara.

Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan.

Sesukar mana pun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab mempertahankan negara.

Pada hari ini tanggal 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Leftenan Adnan Saidi dan marilah kita hadiah sekalung doa bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.



Gugurnya pahlawan Melayu di Bukit Chandu

Pertempuran Bukit Chandu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang berlaku dalam sejarah Singapura semasa Perang Dunia Kedua.

Pertempuran ini merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, yang berlaku sehari sebelumnya. Bukit Chandu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.

Pada 13 Februari 1942, Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Leftenan Gen Renya Mutaguchi telah melancarkan serangan ke pesisiran selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.

Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya. Kompeni C dan Leftenan Adnan Saidi yang ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai ‘Celah’ (Gap), telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun untuk beralah dan berundur, walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.

Namun bagi Leftenan Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat pihak Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.

Leftenan Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Chandu akhirnya ditawan Jepun dan Leftenan Adnan sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung pada pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan benet oleh tentera Jepun.

Kematian Leftenan Adnan adalah episod perjuangan anak Melayu berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta.



- Adnan Saidi dilahirkan di Sungai Ramal, Kajang Selangor pada 1915
- Anak sulung dalam sebuah
keluarga berketurunan Minangkabau
- Adik-adiknya, Ahmad dan Amarullah juga merupakan anggota tentera tetapi Ahmad terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939 apabila kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan Jepun dalam pelayaran ke Australia.
- Amarullah terselamat dari peperangan dan menetap di Kajang, Selangor.
- Pendidikan awal di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris
- Memulakan karier sebagai Guru Pelatih selama 1 tahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun. Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta turut terpilih sebagai rekrut terbaik.
- 1936: Dinaikkan pangkat Sarjan dan setahun kemudian Leftenan Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Mejar dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Muda dan seterusnya dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni C.
- Berkahwin dengan seorang guru, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.

Wednesday, February 8, 2012

Sejarah keIslaman Dinasti Ming (Rahsia Islam di China)


China, negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, dengan jumlah populasi mencecah 1.3 bilion. Negara Tembok Besar ini pernah diperintah oleh maharaja dinasti sejak 5000 tahun dahulu sehingga menjadi sebuah negara republik pada 1912. Pada era pemerintahan Dinasti Tang, dakwah Islam mula bertapak di bumi China dan menambat hati sebilangan rakyatnya. Hingga kini, bilangan penganut Islam melebihi 30 juta orang. Tidak banyak fakta tentang masyarakat Islam di China yang dipaparkan oleh media. Kejayaan dan keutuhan ajaran Islam yang berkembang di bawah sistem pemerintahan komunis ini juga masih misteri.

Di sebalik lingkaran kemegahan tembok besar dan legasi dinasti maharaja China, tersembunyi lipatan sejarah kegemilangan Islam di benua Asia. Bermula daripada kedatangan delegasi Saad bin Abi Waqas yang disambut baik oleh Maharaja Yung Wei dari Dinasti Tang, Islam bertapak dan terus subur berkembang di bumi China. Walaupun empayar maharaja silih berganti hingga era pemerintahan republik komunis, sinar Islam tidak pernah pudar. Malah, sejak 618 M hingga kini, dakwah Islam yang dibawa oleh sahabat Nabi Muhammad terus kukuh di bawah acuan budaya dan nilai yang tersendiri sebilangan rakyat China.

Petikan dari:- Buku Rahsia Islam di China: Gemilang Di Sebalik Tembok Besar

Sejarah keIslaman Dinasti Ming ini amat jarang sekali disentuh oleh para orientalis yang mengkajinya mahupun dalam kalangan sejarawan-sejarawan China yang bukan Islam.

Misalnya dalam buku 'The Cambridge History of China' tidak ada langsung menyebut peranan orang Islam dalam menegakkan kerajaan itu, bahkan peristiwa kebangkitan kumpulan Islam seperti Kebangkitan Serban Merah hanya dikaitkan dengan pengikut agama Buddha sahaja.

Dalam bukunya 'Sejarah Islam di China, Jing Chee Tang telah memberikan beberapa alasan yang jelas menunjukkan bahawa Chu Yuan Chang, pengasas kerajaan Ming itu ialah seorang Islam. Ibrahim T.Y.Ma juga telah membuktikan perkara yang sama.

Yusuf Chang dalam sebuah artikelnya menyatakan bahawa Chu Yuan Chang (baginda menggunakan gelaran Maharaja Hung Wu) seorang Islam dari keturunan Semu (semitik) yang telah datang ke China dalam zaman Yuan. Seorang lagi sejarawan China seperti Muhammad Pai Shou Yi juga menyatakan bahawa selain Chu Yuan Chang, permaisurinya iaitu Ratu Ma Hou jelas beragama Islam kerana baginda berasal daripada keluarga Ma di An Hui.

Dikisahkan juga setelah menawan Nanking, Chu Yuan Chang telah mendirikan sebuah masjid jami'. Masjid ini dinamakan Masjid Chin Juieh yang bermaksud 'Pencerahan Murni'. Bahkan baginda sendiri telah menulis sebuah sajak untuk diabadikan pada dinding masjid yang dibinanya itu. (Ibrahim T.Y.Ma, 1979:126)

Ibrahim Tien Ying Ma, bekas mufti Peking (Beijing) dan salah seorang pegawai Republik China sebelum China jatuh ke tangan Komunis pada tahun 1949, telah menyatakan bahawa Dinasti Ming itu memang sebuah kerajaan Islam.

Beliau menjelaskan bahawa 'Ming' bermaksud 'gilang-gemilang atau terang-benderang'. Perkara ini mengingatkan kita kepada tindakan Rasulullah Saw ketika mula-mula sampai ke Yathrib pada tahun 622M. Baginda telah menukarkan nama kota itu kepada Madinah al-Munawarah atau 'Kota yang gilang-gemilang dan bercahaya'. Perkara ini bukanlah satu kebetulan. Ia memang disengajakan kerana pengasas kerajaan Ming adalah seorang Islam (1979:134).

Petikan daripada http://sejarah2u.blogspot.com/

Pesidangan Perwakilan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia 2 & 3.10.2011













Hari Keluarga @ Paka, Terengganu 21-23.1.2012









Sunday, February 5, 2012

Rasulullah bukan seperti ‘mamat lain

Lusa umat Islam seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul. Kelazimannya, cara memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW ialah membaca al-Quran, mengadakan forum ilmu, mendengar tazkirah di masjid dan surau, bermarhaban dan berzanji serta berselawat.

Nasaie dan Ibnu Hibban melaporkan Rasulullah SAW berpesan: “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat kepadaku.” Malah, ALLAH SWT mahu orang beriman berselawat kepada Nabi Muhammad sebagai penghormatan kepada Baginda. (Al-Ahzab:56)

Di negara kita, sambutan Maulidur Rasul diadakan di merata tempat, mungkin kecuali di Kelantan. Menteri Besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah berkata Maulidur Rasul tidak perlu disambut kerana kelahiran Rasulullah SAW bukan peristiwa istimewa. Kelahiran Muhammad bin Abdullah sama seperti “mamat-mamat atau budak kampung lain”, jadi tidak perlu disambut atau diperingati.

Kelahiran Nabi Muhammad telah dirancang ALLAH SWT yang memilih pasangan Aminah binti Wahab, seorang gadis suci yang baik, dengan seorang pemuda berkeperibadian tinggi bernama Abdullah bin Abdul Muttalib. Ramai ulama berpendapat pada masa kelahiran dan sebelum kenabiannya, Muhammad sudah diliputi banyak irhasat (petanda). Ibnu Hisyam dalam Sirah Nabawiyah menulis bagaimana Aminah bermimpi akan melahirkan seorang ‘pemimpin umat’ dan mendapat nama Muhammad (bermakna ‘Yang Terpuji’) sewaktu beliau mengandung. Aminah tidak pernah berasa letih mengandungkan Muhammad atau sakit pada saat melahirkan, seperti lazim dihadapi wanita lain.

Baginda dilahirkan pada Isnin 12 Rabiulawal daripada kalangan keluarga bangsawan Arab, Bani Hasyim, dalam keadaan sudah berkhitan. Baginda bersabda: “Di antara kemuliaan yang diberikan ALLAH SWT kepadaku adalah, aku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhitan, kerana itu tidak ada orang yang melihat aurat (kemaluan) ku.” (HR At-Thabrani, Abu Nuaym, al-Khatib dan ibn Asakir).

Datuk Baginda, Abdul Muttalib bin Hasyim berkata berhala-berhala di Kaabah jatuh dalam keadaan sujud saat kelahiran Nabi Muhammad. Dalam buku Fuad Kauma (50 Mukjizat Rasulullah, Jakarta, 2000), disebut Abdul Muttalib mendengar dinding Kaabah berbicara: “Nabi yang dipilih telah lahir, yang akan menghancurkan orang-orang kafir dan membersihkan dariku dari beberapa patung berhala ini.” Kitab Taurat dan Injil ada menyatakan dengan jelas bakal kelahiran seorang nabi dari Mekah walaupun bukan daripada keturunan Yahudi dan Nasrani.

Kisah Aminah dan Abdul Muttalib ini menunjukkan Nabi Muhammad SAW adalah anak luar biasa. Malah, banyak lagi peristiwa ajaib berlaku sewaktu kelahiran Baginda. Antara diriwayatkan ialah retaknya mahligai Raja Parsi yang kukuh, pada hal rumah penduduk biasa tidak mengalami kerosakan. Ini adalah petanda kemusnahan kerajaan Parsi.

Pada usia lima bulan, Baginda sudah pandai berjalan dan pada usia sembilan bulan, beliau boleh bercakap. Berumur dua tahun, Muhammad sudah bermain-main dengan anak-anak Halimah binti Abi Dhua’ib (ibu susuan Baginda) sambil menggembala kambing.

Diriwayatkan juga pada masa kecil, sekitar umur lima tahun, beliau didatangi dua malaikat yang membelah dadanya lalu menyiram dan mencuci hatinya dengan air zamzam kemudian menutup semula tanpa parut. Hati yang suci dan sifat jujurnya menjadikan baginda digelar al-Amin.

Rasulullah SAW juga memiliki kelebihan melihat dengan jelas walaupun gelap. Peluhnya berbau harum. Tatapan matanya mampu menggertak Ghaurats bin Haris yang pernah menghunus pedang ke arah lehernya, serta membuat Umar al-Khattab dan Abu Jahal lari lintang-pukang ketika merancang membunuh baginda pada suatu malam.

Memang ada juga pihak yang berpendapat meraikan Maulidur Rasul adalah bidaah kerana ia tidak pernah diamalkan pada masa Rasulullah dan para sahabatnya. Namun menurut kebanyakan ulama, ia tergolong sebagai bidaah hasanah. Kita menyambut kelahiran beliau sebagai kesyukuran atas kurniaan ALLAH SWT dan rahmat-NYA kepada seluruh alam semesta. Cara sambutannya menjadikan kita lebih mencintai Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya, menghayati keperibadian dan kepimpinannya, serta mengukuhkan tekad kita memperkasakan syariatnya.

Soalan saya: Adakah kita kenal sesiapa yang memiliki kehebatan sebegini pada hari lahir mereka? Andainya kelahiran baginda masih dianggap tidak istimewa, bolehkah Nik Aziz beritahu mamat mana yang masa lahirnya sama dengan Muhammad bin Abdullah ini? ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: “Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam maya ini.” (Al-Ambiya: 107). Jika diterima Rasulullah SAW rahmat kurniaan ALLAH, salahkah kita menyambut kedatangannya dengan melakukan pelbagai ibadah yang memenuhi kehendak agama?

Sindikit pengemis buta


“Derma encik”. Itulah kata-kata pengemis cacat penglihatan sambil menghulurkan tisu ataupun kalendar untuk ditukarkan dengan wang.

Menjadikan restoran sebagai tempat meminta sedekah, pastinya pelanggan yang sedang menikmati hidangan yang enak- enak tidak sampai hati melihat golongan ini meminta-minta, lalu mereka menghulurkan derma.

Bagaimanapun, niat ikhlas pemberi sumbangan ini membuatkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Itulah yang terjadi kepada golongan cacat penglihatan yang ditindas oleh golongan yang sempurna dan hanya mementingkan keuntungan.

Namun, sindiket yang menggunakan golongan cacat penglihatan ini masih belum disahihkan kerana kebanyakan yang ditemui mengakui mereka melakukannya dengan kerelaan hati, membantu golongan cacat penglihatan ini meneruskan kelangsungan hidup.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar menyelami nasib si pengemis buta yang dipercayai didalangi sindiket untuk mendapatkan keuntungan ataupun mereka ini mahukan wang dengan cara yang mudah.


Mengemis, menjual tambah pendapatan

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang cacat penglihatan dibawa oleh seorang lelaki ataupun perempuan sambil menjual barangan mereka seperti kalendar dan tisu di kawasan tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pasar malam dan sebagainya.

Salah seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, dia dan isterinya terpaksa menjual kalendar untuk menyara dua anaknya yang masih kecil.

Ali yang cacat penglihatan dibantu seorang wanita yang diperkenalkan sebagai isterinya berasal dari Indonesia. Mereka tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk keluar menjual barangan mereka.

“Kami tidak bekerja dan menjual kalendar ini untuk menyara kehidu-pan seharian dan setiap hari kami hanya memperoleh tidak lebih daripada RM100.

“Kalendar ini kami tempah khas untuk dijadikan barang jualan kepada orang ramai dan mendapat simpati daripada orang ramai untuk membeli dan menderma,” katanya.

Ali yang berusia 40-an dan isterinya berusia 30-an itu pergi selepas ditanya pelbagai soalan dan meneruskan aktiviti mereka meminta derma di salah sebuah restoran.


Boleh dikenakan tindakan

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Roslan Baba berkata, aktiviti mengemis yang menggunakan orang buta ada dilaporkan tetapi ianya merangkumi keseluruhan pengemis yang dikenalpasti.

Menurutnya, ini juga dipercayai didorong oleh sindiket yang menggunakan orang buta bagi mendapatkan wang dengan cara yang lebih mudah.

“Kaedah mendapatkan simpati orang ramai dan dibantu oleh pengiring yang sempurna sifat membantu mereka ini mendapatkan wang yang lebih.

“Antara kaedah yang digunakan bukan sahaja mengemis dengan tangan kosong tetapi ditukarkan dengan menjual tisu, kerepek, kalender ataupun ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.

Roslan berkata, sekiranya ditangkap, mereka bersama pengiring juga menerima nasib yang sama kerana pengiring seolah-olah bersubahat dengan mendapatkan wang.

Menurutnya, mereka ini dikategorikan di bawah Akta Orang Papa 1977 bagi menyelamatkan orang yang terlibat supaya tidak meneruskan aktiviti mengemis mereka.

“Berdasarkan laporan yang diterima mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan aktiviti mereka.

“Mereka akan ditemani seorang wanita atau lelaki celik yang membantu mereka bagi memastikan tidak ditipu orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, walaupun alasan mereka hanya menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut keuntungan berpuluh-puluh ribu sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka.

Menurutnya, kegiatan ini disifatkan sebagai satu manipulasi sindiket terancang yang berniat memeras kudrat OKU yang sama sebahagian besarnya adalah orang tempatan.

“Dipercayai perolehan pendapatan daripada mengemis dibahagikan diantara OKU dan orang yang menemaninya.

“Ada yang mendakwa, mereka ini memperolehi pendapatan mencecah RM20,000 sebulan dan ada kemungkinan juga, sindiket pengemis buta ini mendapat persetujuan daripada pengemis sendiri yang juga mahukan wang dengan cara dengan lebih mudah dengan menggunakan kekurangan yang ada pada mereka,” katanya.

Roslan berkata, tindakan OKU yang meminta belas orang ramai merupakan tindakan pengemis dan ianya menyalahi Akta Orang-Orang Papa 1977.

Menurutnya, turut tidak menafikan keadah mengemis menggunakan orang buta ini dipercayai diselubungi sindiket tetapi pihaknya masih belum dapat membuktikan dakwaan tesebut.

Bagi mengatasi masalah dan kegiatan mengemis ini, JKM akan mengadakan kempen ‘Berhenti Memberi, Kami Prihatin’ pada 31 Januari ini peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, jika sebelum ini operasi membersihkan pengemis sentiasa dilaksanakan tetapi kali ini memberi tumpuan kepada pemberi.

Roslan berkata, pihaknya sering mengadakan operasi melalui tiga kaedah iaitu operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi yang terlibat, operasi berjadual dan operasi berdasarkan aduan.

Beliau berkata, jumlah pengemis yang diselamatkan sehingga bulan Oktober 2011, lelaki 915 orang dan perempuan 359, jumlahnya, 1274.

Bilangan operasi pengemis dan kutu rayau, operasi bersepadu, 57 orang , operasi berjadual, 417orang, aduan orang ramai, 275 orang, rujukan agensi dan persatuan, 60 orang dan lain-lain 102 orang.


MAD sedia membantu

Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) tidak menolak dakwaan terdapat pengemis buta yang mengemis menggunakan pengiring untuk menambah pendapatan mereka ataupun untuk menyara keluarga.

Mereka ini ada diantaranya digunakan individu tertentu untuk mendapat simpati supaya orang ramai terus memberi sumbangan.

Pelbagai kaedah yang digunakan seperti menjual tisu, kalendar dan menjual kerepek sebagai kaedah mereka untuk mengemis. Ini seolah-olah mereka menjalankan perniagaan bergerak bagi mengelakkan daripada mereka dikategorikan sebagai pengemis.

Pemangku Pengarah Eksekutif MAB, Datuk S Ganesan berkata, pihaknya sebelum ini tidak menerima laporan mengenai orang buta yang dijadikan pengemis untuk satu sindiket tetapi tidak menolak dakwaan ada pengemis yang terdiri daripada orang buta.

Menurutnya, beberapa tahun lalu, pihaknya ada menerima laporan mengenai orang cacat penglihatan ini dijadikan pengemis di Perak dan ditempatkan di beberapa kawasan.

“Kita ada terima laporan tetapi tidak dapat membongkar mengenai isu ini dan pemantauan berterusan kita laksanakan kerana tidak mahu golongan ini ditindas oleh mereka yang hanya memikirkan keuntungan dengan mudah.

“Sehingga kini, MAB sering terlibat dalam operasi dengan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi mencegah kegiatan mengemis menggunakan orang cacat penglihatan kerana tidak mahu mereka ini dipandang rendah,” katanya ketika ditemui di pejabat MAB.

Ustaz Don saran sayangi Rasulullah


Hari ini, seluruh umat Islam meraikan salah satu hari penting dalam kalendar Islam iaitu sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mengangkat tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah, sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan juga dipenuhi dengan pelbagai acara perarakan, ceramah dan sebagai­nya.

Seperti yang diketahui, sesiapa yang mengadakan atau menghadiri majlis memperingati keputeraan baginda atau Maulidur Rasul, pasti akan dikurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan daripada ALLAH SWT.

Jika disoroti kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan kebenaran agama Islam, Baginda terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan liku.

Namun, ia sedikit pun tidak menjadi halangan buat kekasih ALLAH SWT itu, sebaliknya Baginda terus menyebarkan syiar Islam.

Sebagai umat nabi terakhir, kitalah yang perlu meneruskan perjuangan Rasulullah dengan menjadikan keperibadian Baginda sebagai ikutan.

Bagi personaliti TV Alhijrah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, tiada insan lain yang wajar dijadikan contoh dalam kehidupan seharian umat Islam melainkan Rasulullah SAW.

Lebih mesra disapa dengan panggilan Ustaz Don, jejaka kelahiran Pulau Pinang ini mempunyai satu misi yang ingin dicapainya.

Tidak lain tidak bukan ialah dia mahu semua orang menyayangi dan mencontohi Nabi Muhammad SAW.

Pasti ada segelintir pihak yang memandang sinis misi mulia yang ingin dilaksanakan pendakwah muda ini dengan berpandangan sang empunya diri sendiri belum sempurna.

Namun, demi rasa cinta terhadap Rasulullah SAW, Ustaz Don tidak menganggapnya sebagai batu penghalang.

“Benar, saya juga seperti insan lain yang tidak sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan dosa.

“Namun, adakah insan seperti saya tidak berpeluang untuk mengajak orang lain berbuat kebaikan? Dalam konteks ini, adalah untuk mengajak masyarakat mencontohi Rasulullah SAW,” katanya.

Menurut Ustaz Don, dalam melaksanakan matlamatnya itu, dia sentiasa berpegang kepada firman ALLAH SWT yang bermaksud; ‘Bersegeralah kamu berbuat baik’.

“Saya mengakui, saya sendiri belum mampu mengikut semua sunnah Rasulullah SAW. Namun, kalau hendak tunggu saya sempurna barulah boleh mencontohi Nabi Muhammad SAW, sehingga kiamat pun saya tidak akan sempurna.

“Biarlah apa orang kata, saya tetap akan mengajak masyarakat untuk menyayangi Baginda. Insya-ALLAH, dengan berbuat demikian, 100 kali Rasulullah SAW sayangkan kita,” katanya.


Mulakan dengan selawat

Menurut Ustaz Don, mengenali dengan lebih dekat keperibadian Rasulullah SAW ibarat pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Malah, tiada istilah terlewat untuk seseorang itu untuk menyemai perasaan sayangkan Nabi Muhammad SAW. Dengan langkah permulaan seperti berselawat, pasti perasaan itu akan terus mekar di dalam diri kita.

“Umpama sebuah pintu di sebuah rumah, ia hanya dapat dibuka dengan kunci yang betul. Begitu juga dengan pintu hati kita. Mulakanlah dengan berselawat ke atas Rasulullah SAW, kerana selawat itu merupakan kunci untuk membuka pintu hati.

“Apabila kita berjaya memupuk perasaan cintakan Rasulullah SAW melalui selawat, pasti seterusnya tidak sukar bagi kita untuk melaksanakan sunnah Baginda,” katanya.

Bagi ibu bapa, menurut Ustaz Don, mereka perlu menjadi contoh kepada anak-anak dalam usaha menerapkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW sejak kecil lagi.

“Jika ibu bapa sendiri menunjukkan keperibadian yang baik, anak-anak yang melihat setiap perlakuan ibu bapa pasti akan mengikutnya.

“Tiada gunanya jika kita asyik menyuruh anak-anak mencontohi Rasulullah SAW, sedangkan sebagai ibu bapa kita sendiri tidak mengikutinya,” katanya.

Selain contoh daripada ibu bapa, Ustaz Don berkata, cara terbaik untuk mendidik golongan remaja pula adalah melalui ilmu.

“Sekiranya penerangan kita tidak disertakan fakta, mungkin sukar bagi mereka mendapatkan gambaran.

“Apabila ada fakta, barulah mereka jelas dan lebih mudah untuk mengaplikasikan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” katanya.

Manifestasi kasih Maulidur Rasul


SABAN tahun umat Islam menyambut tarikh keramat ini. Kelahiran yang membawa berjuta rahmat untuk sekalian alam. Tanggal 12 Rabiulawal kalendar hijriah laungan selawat pasti kedengaran.

Betapa indahnya lantunan itu, namun timbul persoalan kenapa ia semakin pudar ditelan arus kemodenan? Wahai generasi baru pemangkin masyarakat kini, ayuh bangkitlah kenalilah siapakah kekasih ALLAH ini. Salamun alaika ya Rasulullah!.

‘Selagi hayat dikandung badan,’ antara ungkapan menerjah cuping telinga dan jelas membawa maksud begitu mendalam kerana roda putaran kehidupan manusia akan terus berputar selagi mana masih ada hayat atau nyawa.

Putaran itu membawa seribu satu memori, kenangan yang dikenali sebagai sejarah dan seribu satu iktibar dikenali dengan pedoman. Setiap sejarah dihasilkan dipadu pada satu tarikh diperingati umpama tugu peringatan. Justeru, Maulidur Rasul juga mempunyai sejarah dan iktibar menjadikan ia begitu signifikan. Rehal bersama Editor Syariah Telaga Biru Sdn Bhd, Amly Asenar, 32, menyingkap situasi ini.


ALLAH, RASUL DAN ISLAM

Sebagai seorang Muslim, catatan diari dalam kehidupannya sudah pasti berpaksikan kepada sejauh mana kefahamannya terhadap ALLAH, Rasul dan Islam. Tiga perkara tersebut pasti memandunya untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Amly berkata, kepincangan kehidupan Muslimin hari ini berpunca daripada kurangnya kefahaman terhadap tiga perkataan tadi. Oleh itu, ulama dalam lipatan sejarah sehingga kini tidak pernah jemu dan culas membahaskan serta menulis supaya khazanah mereka dapat memberikan cahaya panduan kepada generasi Islam yang berada dalam kabus kejahilan.

“Tidak pelik jika musuh Islam juga memusatkan serangan mereka kepada generasi Islam melalui tiga perkara itu. Lantas kelihatan di atas pentas dunia ini Muslim beraneka identiti pada perkara yang hanya memerlukan satu identiti.
“Contohnya, dalam perkara ketuhanan, identiti bagi Muslim adalah satu iaitu beriman kepada ALLAH, namun terdapat ‘individu’ Muslim yang memperjuangkan hak kebebasan dalam beragama dan bertuhan. Inilah celoreng kekeliruan yang wujud kesan daripada serangan dan gangguan musuh Islam. Apakah serangan yang paling ampuh?,” soalnya.

Menurutnya, serangan paling berkesan ialah dengan menjauhkan Muslim daripada pencipta-NYA, Rasul dan Islam. Keadaan ini menyebabkan seorang Muslim lupa akan asal-usul pegangan yang utama dan mencukupi dengan bergelar Muslim. Menjadikan Muslim melihat agamanya adalah agama yang selektif dan bebas untuk dicorakkan berdasarkan keinginan dan keperluan. Justeru apakah yang boleh kita lakukan bagi menolak serangan musuh?.


MAULUD SEBAGAI WASILAH

Wasilah bermaksud ikatan dan penghubung. Golongan bukan Islam sengaja menjadikan hari dan tarikh mereka mempunyai signifikan yang dilihat hebat sehingga menjadi ikutan seperti sambutan tahun baru.

Amly berpandangan, manusia dan sambutan tidak dapat dipisahkan lagi. Manusia terutama generasi Y sentiasa ternanti-nanti apa jua tarikh sambutan bagi mengisi kekosongan jiwa mereka. Maka setiap Muslim yang ada kesedaran akan cuba mencari suatu jalan untuk mengembalikan saudara Muslimnya kepada landasan yang sebenar. Justeru, sambutan Maulidur Rasul dilihat mampu dijadikan wasilah yang terbaik.

“Maulidur Rasul bukan ciptaan baru, namun sebenarnya suatu usaha murni boleh memberikan kesan positif jika digunakan dengan tujuan dan cara yang betul.

“Menurut Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq, ihtifal berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud perhatian, ramai dan perkumpulan. Dalam erti kata lain ia bermaksud sambutan. Beliau mengatakan lagi bahawa sambutan adalah sifat tabii manusia bagi mendapatkan kebaikan dan menjauhi perkara yang tidak baik,” katanya.

Maulid pula berasal daripada perkataan Arab bermaksud tarikh kelahiran. Maulidur Rasul bermakna tarikh kelahiran Rasulullah. Walaupun para ulama berbeza pendapat dalam penentuan tarikh kelahiran Baginda, namun penting di sini ialah dipilih satu tarikh yang boleh disambut masyarakat Islam.

Ihtifal Maulid bermaksud suatu sambutan secara besar-besaran pada satu tarikh yang dianggap penting iaitu tarikh kelahiran Rasulullah dengan bertujuan mendapatkan manfaat dan kebaikan daripada perhimpunan tersebut.

Beliau menegaskan, Maulidur Rasul sebenarnya bertujuan mengembalikan dan memugar semula perasaan mencintai Islam yang dibawa Rasulullah, seterusnya membulatkan pengabdian diri kepada TUHAN semesta alam, ALLAH.
Antara tujuan yang hendak dicapai ialah; mencintai ALLAH dan Rasul-NYA, menjadikan Islam sebagai cara hidup dan memahami peranan sebagai Khalifah.

“Apabila tujuan ini berjaya dicapai maka harapan untuk membentuk dan melahirkan remaja Islam yang menjadi penerus kepada tugas Rasulullah dapat direalisasikan.

“Kecintaan kepada ALLAH datang dalam bentuk pakej yang lengkap. Apakah pakej tersebut? Hayatilah firman-NYA yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah AKU nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu”. (Surah Ali ‘Imran ayat 31),” tambahnya.


KECINTAAN LAMBANG UTUHNYA REMAJA MUSLIM

Beliau lantas mengimbau lipatan sejarah Islam yang banyak mencatatkan kisah keberanian hasil daripada kecintaan sebenar kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Antaranya, kisah seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Said al-Khudri yang telah pergi bertemu dengan Baginda untuk meminta izin bersama-sama turun berperang dalam Perang Uhud. Beliau ketika itu baru sahaja berumur 13 tahun namun permintaannya ditolak oleh Baginda.

“Kekuatan remaja hari ini disia-siakan kepada perkara yang tidak berfaedah dan mengejar keseronokan semata-mata. Binalah kekuatan dirimu wahai remaja Islam persis remaja Palestin yang berani berhadapan dengan kezaliman Zionis dengan hanya bersenjatakan butiran batu.

“Berteraskan kepada manifestasi kecintaan tadi, maka remaja perlu menjadikan Rasulullah sebagai ikutan mereka yang terbaik. Ketahuilah wahai remaja Islam, tiada kemegahan dan keunggulan selain daripada menjadikan syariat Rasulullah sebagai kompas kehidupan,” katanya.

Menurut Amly, Saidina Umar bin Al-Khatab ada menegaskan: “Kita adalah satu kaum yang telah diberikan kemegahan dengan Islam, maka apabila kita menghendaki kemegahan selain daripada yang ALLAH telah berikan maka ALLAH akan menjadikan kita hina”.

Tarikh hanyalah angka yang tiada sebarang keistimewaan namun jika diselitkan memori dan pedoman ia mampu menjadi tarikh keramat. Rasulullah dirimu sentiasa di hati dan Maulidmu pemugar kealpaan diri.

Cabaran dakwah, tarbiah zaman IT



Dakwah Rasulullah SAW tidak sekadar kata-kata yang bersifat ajakan, nasihat, seruan dan peringatan terhadap sesuatu tetapi kepada kesabaran, kelembutan bicara, kesesuaian orang yang didakwahi, ketegasan menyatakan prinsip dan pedoman, kejelasan menyatakan yang makruf dan mungkar.

Bagaimanapun, sifat zaman kini berubah dan faktor ruangnya lebih dinamik. Dakwah di dunia Melayu adalah amat unik. Keupayaan pendakwah mendekati raja dan pengusaha berupaya mengembalikan mereka kepada fitnah.

Tetapi suasana masyarakat pada awal abad 21 sedang mengalami perubahan yang amat pesat dalam semua lapangan. Ketika itu, proses pembaratan yang berlaku diperkukuhkan lagi dengan strategi globalisasi yang menyebabkan corak komunikasi dan telekomunikasi berubah, sistem maklumat dan keilmuan menjadi sejagat dan rangkaian internet menjadi semakin dekat dengan masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Dakwah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Prof Datuk Dr Sidek Baba berkata, keadaan sebegini menyebabkan lahirnya kecenderungan baru dalam kalangan warga Malaysia untuk maju dan membangun.

“Golongan pendakwah berdepan cabaran baru yang lebih sengit apabila sesetengah masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an.

“Sebahagian generasi muda mudah terpikat dengan pengaruh budaya dan gaya hidup Barat menerusi pengaruh media elektronik dan cetak yang memancarkan gaya hidup bebas,” katanya pada Seminar Selamatkan Akidah baru-baru ini.


Pendekatan bijak

Sidek berkata, menjadi perkara penting bagi pendakwah abad ini mencari kebijaksanaan dalam mengambil pendekatan memilih kaedah yang terbaik dalam realiti yang pantas berubah.

“Pendekatan bottom-up harus diperkasa dengan memberikan strategi alternatif terhadap isu Islam.

“Ilmuwan Islam sama ada yang lahir dalam orientasi al-Azhar, Jordan, Madinah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau yang pernah belajar di Barat dan Timur seharusnya mencari jalan terbaik bagaimana cabaran keilmuan menjadi faktor utama yang bakal menentukan arah aliran perubahan dan pembangunan masa depan,” jelasnya.

Tambahnya, melakukan dakwah dan tarbiyyah mestilah dengan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan perubahan kepada diri manusia.

“Ini terungkap dalam Surah An Nahl ayat 125 yang menganjurkan dakwah berlaku secara bijaksana, contoh teladan yang baik dan disampaikan dengan hujah terbaik,” ujarnya.

Menurut Sidek, bagi saudara baru, faktor contoh dan kebajikan harus dijadikan perhatian di samping ilmu dan amalan yang harus diberi dan dididik. Pendakwah dan orang Islam seharusnya menjadi contoh kepada mereka.

“Apabila mereka menerima Islam, cabaran yang dihadapi tidak saja akidah dan ibadah tetapi cabaran yang sering terjadi ialah masalah dengan keluarga, pihak sekeliling malah sesetengah mereka dipinggirkan.

“Masyarakat Islam harus melihat mereka sebagai saudara yang perlu dibantu. Apabila menerima Islam, kehidupan mereka menjadi lebih payah, mereka terasa dipinggirkan, ini menyebabkan pemurtadan berlaku. Oleh itu, amat penting melihat mualaf ini sebagai sebahagian dari kita,” katanya.


Ibarat ikan di laut

Dalam kalangan orang yang sedia Islam, pemurtadan boleh berlaku akibat kejahilan ilmu. Kefahaman mereka terhadap Islam amat terbatas. Keteguhan iman dan takwa tidak ada. Apabila didekati oleh agen pemurtadan mereka mudah terpengaruh.

“Sebahagian daripada mereka juga terjebak kerana faktor pergaulan, perkahwinan, kebendaan dan terlajak. Akibat kejahilan dan tiadanya pendidikan agama menyebabkan kekosongan jiwa diisi oleh fahaman atau anutan lain.

“Antara lain yang terjadi pemurtadan adalah faktor kemiskinan. Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran. Agen pemurtadan sering mencari kesempatan ini dengan memberi mereka pekerjaan dan bantuan yang akhirnya terpaut dengan agama yang dibawa,” katanya yang juga Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Oleh itu, kata Sidek, pendekatan pencegahan adalah lebih baik dari langkah mengubati.

“Justeru, amat penting bagi dai dan murabbi, anggota masyarakat Islam, organisasi Islam member perhatian lebih kepada usaha dakwah dan tarbiah khususnya dalam kalangan generasi muda di samping perhatian terhadap saudara baru.

“Kepada orang Islam amat penting dibina fikrah Islami sejak awal umur lagi. Jadikan anak ibarat ikan di laut masin, semasin mana sekitarnya daging ikan tawar. Sehebat mana pengaruh sekelilingnya iman tetap teguh, akidahnya tetap kental dan tidak mudah untuk dirosakkan,” jelasnya.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...