Wednesday, July 29, 2015

Bersama waktu sukar dan senang

ROMBAKAN Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri disifatkan penganalisis politik sebagai tindakan drastik dan berani.


Kebanyakan mereka percaya tindakan itu adalah bagi memastikan Najib terus mendapat sokongan padu daripada semua jemaah menteri untuk menjayakan segala dasar yang telah dirancang, sekali gus mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

“Pada saya secara keseluruhannya Najib mahu anggota Kabinet adalah dalam kalangan mereka yang setia dan boleh bekerja bersama-sama beliau sama ada dalam situasi sukar mahu pun senang.

“Memang Najib perlu membuat tapisan semula untuk membolehkan beliau mendapat sokongan penuh daripada jemaah Kabinet khususnya dalam menghadapi pelbagai isu yang sukar pada masa ini,” kata Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd. Razali.

Dalam pengumuman senarai anggota Kabinet baharu itu portfolio Muhyiddin diambil alih oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri turut mengumumkan Ahmad Zahid akan terus memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Pengumuman rombakan Kabinet yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen itu turut menyaksikan lima orang digugurkan dan tujuh dilantik menteri baharu.

Selain Muhyiddin, mereka yang digugurkan ialah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Datuk Seri Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan); Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Dr. Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, keputusan tersebut adalah penting untuk membina negara supaya steady melangkah masuk ke arah pilihan raya seterusnya.

“Jangan pula orang rasa kecil hati. Perkara ini kita kena terima dengan nada yang positif... Nobody is bad and nobody is good,” katanya kepada Bernama.

Rombakan tersebut, katanya, dilakukan demi kebaikan semua pihak dan perlu terutamanya dalam keadaan negara yang bergolak dalam pelbagai isu.

“Kita perlu ganti dengan orang lain juga sebab mana tahu ada orang yang mungkin lebih baik daripada kita,” katanya.

Prof. Madya Mohd. Izani Mohd. Zain dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berpendapat, Perdana Menteri mempunyai alasan yang kukuh untuk melaksanakan rombakan Kabinet serta mengambil semula pemimpin lama untuk menyertai barisan jemaah menteri.

“Kabinet baharu lebih baik dengan memilih muka baharu dalam kalangan generasi muda bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Namun dalam situasi politik yang genting, pendekatan untuk meletakkan muka baharu sebanyak yang boleh mungkin bukan satu langkah yang tepat. Pengalaman orang lama boleh membantu memperkukuhkan Kabinet dan kerajaan,” katanya.

Dua pemimpin lama yang menyertai semula Kabinet ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II). Barisan Kabinet baharu itu melibatkan 25 kementerian dan 37 orang menteri berbanding 24 kementerian dan 32 menteri sebelum ini. – Bernama

MOHD. HISHAM ABDUL RAFAR
29 Julai 2015

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...