Wednesday, July 29, 2015

Gandingan Najib, Ahmad Zahid ulangi sejarah

29 Julai 2015
PUTRAJAYA 28 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikannya ke jawatan baharu bagi membentuk gandingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi sejarah ketika berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pertahanan.
Ahmad Zahid, 62, yang tidak menyangka dilantik ke jawatan kedua tertinggi itu berjanji memberikan perkhidmatan terbaik bagi membantu Perdana Menteri mentadbir negara.
“Pelantikan ini mengulangi sejarah antara Perdana Menteri dan saya ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya dilantik oleh beliau sebagai Setiausaha Politik kemudian mengikut beliau yang bertindak sebagai Menteri Pertahanan.
“Ini merupakan putaran hajat politik yang tidak dijangkakan dan diharapkan tetapi Allah telah mentakdirkan berlaku begini, saya menerima qada dan qadar sebagai takdir dan saya memohon rakan-rakan dalam Kabinet, Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Sayap dalam UMNO serta kepimpinan parti dalam Barisan Nasional dapat memberikan dukungan terhadap kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akbar selepas pengumuman mengenai rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Dalam pengumuman yang dibuat pukul 1.40 petang itu, Perdana Menteri melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi rombakan Kabinet itu juga jawatan Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri kekal manakala jawatan Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan digantikan dengan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri itu bukan satu ghanimah atau habuan kepadanya tetapi tanggungjawab berat yang perlu dipikul untuk negara, Melayu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, beliau memahami keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu sangat berat, namun atas dasar kebersamaan dan sudah berkhidmat dalam tempoh yang lama, beliau sedia menggalas tanggungjawab tersebut.
Beliau turut berjanji untuk membantu Perdana Menteri memberikan perkhidmatan terbaik dengan segala keupayaan yang ada.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...