Wednesday, July 29, 2015

Hak prerogatif Perdana Menteri

ZULKIFLI JALIL

29 Julai 2015

PEMBENTUKAN Kabinet Perdana Menteri-Perdana Menteri terdahulu termasuklah Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009 dan barisan Kabinet baharu yang diumumkan beliau semalam mengikut aliran yang sama.
Ia boleh dijadikan peringatan bahawa tiada peraturan tertentu bagi menentukan siapa yang layak dan tidak layak menganggotai Kabinet kerana yang pentingnya perlu memenuhi syarat-syarat perlembagaan yang asas.
Apabila ada menteri yang digugurkan dari Kabinet, pastinya diganti dengan lain. Ini bukanlah suatu tindakan berbentuk peribadi kerana para menteri sentiasa silih berganti walaupun pelantikan berdasarkan pilihan peribadi Perdana Menteri.
Ada menteri yang berkhidmat untuk beberapa penggal dan ada yang hanya berkhidmat sebahagian dari tempoh perkhidmatan mereka.
Dan bilangan menteri di dalam Kabinet bukanlah satu perkara yang ditetapkan. Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 1959 mengandungi 12 ahli sahaja. Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn mempunyai anggota Kabinet di antara 20 hingga 24 orang manakala Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mempunyai 28 ahli Kabinet sebelum beliau bersara pada Oktober 2003.
Apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentuk kerajaan pada 27 Mac 2004, beliau mempunyai 33 anggota Kabinet. Seperti dilihat semua Perdana Menteri mempunyai bilangan anggota Kabinet yang berbeza dalam tempoh pentadbiran mereka.
Tiada penjelasan yang jelas mengapa Kabinet seseorang Perdana Menteri mempunyai anggota yang banyak, terdiri daripada menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan suatu ketika setiausaha-setiausaha Parlimen. Ini kerana ia hak keistimewaan subjektif dan pilihan bagi seorang ketua eksekutif.
Tiada siapa yang akan mempersoalkan jika beliau hendak membentuk kementerian baharu atau memberi tugas sebagai Menteri II di Kementerian Pendidikan. Demikian juga Kementerian Kewangan mendapat Menteri II semasa kepimpinan Dr. Mahathir dan Abdullah. Kebiasaannya, Perdana Menteri melantik menteri-menteri mengikut keperluan beliau. Kriteria pemilihan ini termasuklah populariti politik selain bakat dan tuah seseorang.
Di sebalik itu, pelantikan menteri boleh dibatalkan pada bila-bila masa oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi tertakluk atas nasihat Perdana Menteri. Apabila Yang di-Pertuan Agong ingin membatalkan pelantikan seseorang menteri atau mana-mana anggota pentadbiran, ‘nasihat’ Perdana Menteri diperlukan terlebih dahulu.
Tetapi jika Perdana Menteri ingin menamatkan perkhidmatan seseorang menteri, beliau hanya perlu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong dari sudut perlembagaan itu sudah memadai. Fasal 5 dalam Artikel 43 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa setiap menteri memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Perkara ini memerlukan analisis yang mungkin bercanggah dengan pemikiran konvensional. Mengikut perlembagaan, menteri berkhidmat atas perintah di-Raja, maka baginda berhak menamatkan perkhidmatan menteri pada bila-bila masa walaupun tanpa nasihat Perdana Menteri.
Tetapi kerana Artikel 40 seterusnya menyatakan bahawa semua perkara yang rasmi yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah atas nasihat Perdana Menteri atau salah seorang anggota Kabinet, maka ia memberi pengertian yang sama, iaitu pelantikannya boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri.
Apabila dilihat dari peruntukan yang amat jelas ini, amat menghairankan bagaimana pada 1998, peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir Mohamad. Mungkin ia dilakukan semata-mata atas dasar politik. Peraturan keadilan asasi bagaimanapun tidak boleh digunakan ke atas tempoh perkhidmatan menteri atau mana-mana anggota pentadbiran.
Mengikut rekod pentadbiran negara ini, parti-parti komponen utama dalam BN tetap diberi peluang untuk berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri. Buat masa ini selagi UMNO berdiri kukuh dan disokong sebahagian besar bangsa Melayu, pemimpinnya iaitu presiden akan mudah dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai “menguasai...dalam pandangan baginda akan mendapat kepercayaan majoriti Dewan...”
Apa pun, satu ciri yang penting diamalkan dalam kerajaan moden seluruh dunia adalah pemilihan para menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri menjadi hak eksklusif Perdana Menteri.
Di Malaysia, jawatan Timbalan Perdana Menteri sama seperti Ketua Setiausaha Negara dalam Perkhidmatan Awam Malaysia adalah suatu jawatan ‘ciptaan’ pentadbiran kerana tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Walau bagaimanapun, pengalaman dan amalan di Malaysia selama 58 tahun ini, Timbalan Perdana Menteri tetap dikurniakan dengan fungsi dan peranan tertentu sebagai timbalan kepada Perdana Menteri.
Proses terperinci yang penulis sebutkan tadi adalah atas andaian selagi sesebuah parti seperti UMNO mampu terus mengekalkan keunggulan dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat serta selagi kesediaan parti-parti komponen BN untuk terus mengambil Presiden UMNO sebagai ketua dalam BN. Ini kerana dalam Perlembagaan sendiri tidak menyebut seorang yang menyandang jawatan Perdana Menteri itu mesti berketurunan Melayu.
Apabila status quo ini berubah, mungkin berpunca daripada persoalan kepimpinan atau perspektif kesaksamaan dalam senario bangsa Malaysia, ia akan menjadi satu isu perlembagaan.
Setakat ini UMNO masih boleh berbangga dengan kekuatan politiknya. Politik perkauman di negara ini mungkin akan melalui proses perubahan seperti mana yang didorong oleh pengaruh global.
Ketuanan UMNO tidak boleh kekal selama-lamanya. Walaupun sekarang yang mana UMNO telah kehilangan sedikit kekuasaan politiknya, sudah kedengaran suara-suara yang cuba mempersoalkan beberapa isu mengenai kepimpinan.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...