Oleh MOHD. HAZLI HASSAN 29.7.2015
KUALA LUMPUR 29 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru digugurkan daripada Kabinet menegaskan beliau akan terus berusaha untuk parti, rakyat dan masa depan negara.
Menurut beliau, walaupun tidak berada dalam barisan jemaah menteri, agenda untuk meneruskan usaha menuju negara maju perlu diteruskan.
"Mungkin susahlan sikit sebab saya tak lagi berada dalam Kabinet, tetapi usaha perlu diteruskan. Ini semua untuk rakyat dan masa depan negara.
"Saya tak mahu terlibat dengan sebarang krisis atau perbalahan, sebab saya tahu keadaan parti saya. Amat lemah. Kalau kita bergaduh jawapannya kita akan kalah (dalam pilihan raya).
"Saya akan terus berusaha agar parti terus relevan termasuk membantu parti komponen yang mahukan pertolongan saya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di hadapan ratusan petugas media yang setia menunggu sejak pukul 11 pagi di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin lagi, beliau turut berterima kasih kepada kepimpinan UMNO Johor yang terus memberi peluang kepadanya untuk melaksanakan tugas-tugas parti.
Tambah beliau, kini tiba masanya untuk beliau menggerakkan program menghadapi Pilihan Raya Ke-14.
"Saya serah kepada pimpinan parti setiap negeri. Kalau masih mahukan saya (melancarkan mesyuarat), saya ucapkan terima kasih.
"Saya bukan baharu, dah lama. Saya merasakan kedudukan saya tidak tergugat. Tugas untuk parti tidak akan saya abaikan," katanya.
Menjawab mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhyuddin menegaskan dan yakin ia dapat diselesaikan.
Tambah beliau, walaupun isu itu agak besar namun siasatan sudah bermula cuma beliau berharap ia segera diumumkan kepada rakyat.
"Laporan lengkap perlu diumumkan agar segala persepsi negatif rakyat dapat diselesaikan, jika mengambil masa terlalu lama, rakyat akan mempersoalkan kewibawaan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon agar penyokongnya agar lebih pentingkan parti dan negara dan elakkan melakukan perkara-perkara yang memudaratkan.
Kata beliau, pada peringkat awal memang ada yang kecewa dan dukacita dan berharap lambat laun mereka akan faham.
"Peringkat awal ni biarlah kita memendam rasa dahulu tapi kena ingat, perjuangan perlu diteruskan," katanya.
Mengulas sama ada beliau akan berganding bahu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin berkata, perkara berkenaan tidak penting dan agenda membangunkan negara perlu didahulukan.
"Namun pandangan orang yang lama dalam parti tidak boleh kita abaikan. Dia masih cergas untuk beri sumbangan. Jangan pandang serong kepada sesiapa selagi niat dan tujuan selaras dengan sasaran negara," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment