Thursday, March 9, 2017
Tuesday, March 7, 2017
Perlu pendekatan jelas tingkat penggunaan Bahasa Melayu - Rais
KUALA LUMPUR: Penasihat Kerajaan
Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pemegang
dasar harus membuat pendekatan yang jelas supaya bahasa Melayu selaku bahasa
kebangsaan diangkat menjadi bahasa komersial dalam semua urusan. Beliau berkata
usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat
Malaysia perlu bermula daripada peringkat kanak-kanak. Menurutnya kalangan ibu
bapa masa kini lebih gemar menyajikan buku-buku dalam bahasa Inggeris
berbanding dalam bahasa Melayu kepada anak-anak, dan bahasa Inggeris dijadikan
bahasa utama dalam medan bacaan dan komunikasi mereka. "Dasar-dasar yang
berkaitan juga harus disemak semula dan perancangan baharu perlu dibuat ...
saya khuatir dalam satu dekad akan datang, bahasa Melayu akan mengalami
kejatuhan yang sangat memalukan dan tidak lagi diangkat sebagai bahasa utama di
Malaysia. "Dengan memberi galakan membaca buku-buku bahasa Melayu sejak
dari awal ia diyakini mampu menyemarakkan semangat cinta akan bahasa Melayu di
dalam diri mereka," kata bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan itu kepada Bernama baru-baru ini. Seorang guru Bahasa Melayu di
sebuah sekolah di Johor Baharu, Rafeah Badaruddin turut melahirkan kebimbangan
terhadap sikap ibu bapa yang lebih menggalakkan anak-anak membaca dan
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama kerana lambat laun ia boleh
menjejaskan kemahiran mereka untuk berbahasa Melayu. Berdasarkan pengalamannya,
beliau berkata murid-murid sedemikian sering berhadapan dengan masalah dalam
menstruktur ayat dalam bahasa Melayu. "Sebagai contoh, saya dan ibu mahu
ke 'post office' ... murid ini menggunakan perkataan bahasa Inggeris dalam
ayatnya kerana dia tidak tahu penggunaan perkataan 'pejabat pos' dalam bahasa
Melayu," katanya. Rafeah berkata bagi mengatasi masalah itu pelbagai
aktiviti dijalankan pihak sekolah bagi membantu murid-murid dalam memperkasakan
bahasa Melayu seperti program galakkan membaca, pertandingan berbalas pantun
dan pidato. Ketua Eksekutif Little Sun Sdn Bhd, Leon Ang Kok Leong, yang juga
penerbit buku kanak-kanak, berkata di kawasan bandar khususnya, buku bahasa
Inggeris mempunyai permintaan lebih tinggi berbanding buku dalam bahasa Melayu.
Buku-buku cerita klasik Inggeris seperti, 'Cinderella', 'Snow White' dan
'Rapunzel' sering menjadi permintaan kanak-kanak hari ini. "Walau
bagaimanapun, buku-buku bahasa Melayu tetap mempunyai pengikut tersendiri
terutamanya di kawasan luar bandar," katanya. Penyandang Kursi Profesor
Pengajian Melayu ke-3 di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU) China, Datuk
Dr Awang Sariyan pula mempunyai pendapat berbeza dan menganggap keadaan itu
sebagai sesuatu yang biasa kerana tiada asas kajian mengenai situasi itu setakat
ini. Beliau berkata masih ramai kanak-kanak di Malaysia yang suka membaca buku
berbahasa Melayu dan hanya segelintir sahaja yang menyukai buku-buku bahasa
Inggeris terutama dalam kalangan keluarga elit. "Pada asasnya, pendedahan
kepada buku-buku bahasa Inggeris tidak ada masalah, ia memang sesuatu yang
wajar cuma kita janganlah meminggirkan buku-buku bahasa Melayu," katanya.
Awang berkata buku-buku bahasa Inggeris sering mendapat perhatian kerana ia
ditulis menggunakan bahasa yang baik. "Sebagai contoh buku siri popular
berbahasa Inggeris seperti 'Harry Potter' ditulis menggunakan bahasa yang baik.
Ini soal kreativiti dan kemampuan pengarang," katanya. Katanya sebab itu
dua institusi penting seperti sekolah dan rumah sangat memainkan peranan dalam
soal ini bagi menjaga dan memelihara status bahasa Melayu tanpa menidakkan
kepentingan bahasa Inggeris. "Di sekolah, guru-guru haruslah memberi
arahan yang jelas supaya minat membaca dalam kedua-dua bahasa itu dapat ditanam
manakala di rumah, ibu bapa perlu menyajikan anak-anak mereka dengan bahan
bacaan berbahasa Melayu yang secukupnya di samping buku-buku bahasa
Inggeris," katanya. Tambahnya lagi, golongan kanak-kanak hari ini lebih
tertarik membaca buku-buku yang menggunakan bahasa Melayu ringkas atau dicampur
aduk dengan bahasa Inggeris yang kini terdapat banyak di pasaran. "Pihak
penerbit dan pengarang perlu ada tanggungjawab sosial yang tinggi serta mereka
tidak seharusnya hanya memikirkan pasaran sahaja. "Jika hanya memikirkan
buku mesti laris sahaja, langgar segala soal bahasa, etika dan moral ia seperti
berikan racun kepada anak-anak kita," katanya. Menyedari hal itu, Ketua
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abdul Adzis Abas berkata bagi menarik
minat kanak-kanak membaca bahan bacaan berbahasa Melayu, DBP giat menjalankan
program pembinaan bakat penulis yang digilap dalam kalangan penulis baharu yang
melibatkan penulis kanak-kanak dan remaja. "Selain itu, DBP juga melantik
pakar daripada pelbagai bidang bagi mengenal pasti judul-judul yang menarik untuk
ditulis dan menilai manuskrip yang diterima untuk peningkatan kualiti selain
mengadakan penganjuran sayembara atau peraduan menulis cerita
kanak-kanak," katanya. Abdul Adzis berkata DBP akan sentiasa memperkasakan
bahan bacaan berbahasa Melayu agar kanak-kanak akan berasa lebih dekat dan
cintakan bahasa kebangsaan itu. - BERNAMA
4 Mei 2016
KONGRES BUDAYA KOMITMEN SEMUA
MUKADIMAH
KONGRES Budaya julung kali diadakan pada 1971 dan tidak pernah lagi dibuat selepas itu. Dalam tempoh 46 tahun sejak itu, pelbagai dasar telah dilaksanakan dalam mengejar kemajuan yang telah mencorakkan kehidupan masyarakat. Tetapi sayangnya, nilai-nilai masyarakat Melayu semakin pupus dek terpengaruh dengan budaya luar.
KONGRES Budaya julung kali diadakan pada 1971 dan tidak pernah lagi dibuat selepas itu. Dalam tempoh 46 tahun sejak itu, pelbagai dasar telah dilaksanakan dalam mengejar kemajuan yang telah mencorakkan kehidupan masyarakat. Tetapi sayangnya, nilai-nilai masyarakat Melayu semakin pupus dek terpengaruh dengan budaya luar.
Bimbang budaya Melayu akan terhakis,
kerajaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DB P) akan menganjurkan
semula Kongres Budaya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April ini
untuk mencari asas-asas kehidupan bernilai tinggi bagi masyarakat Malaysia
amnya dan Melayu MUKADIMAH khususnya.
Bercakap kepada wartawan Mingguan
Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZULKARNAIN OTHMAN,
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, TAN SRI DR. RAIS YATIM memberitahu, asasasas
kehidupan atau budaya bernilai tinggi itu perlu dilihat dalam konteks cara
hidup dan tidak disempitkan dalam manifestasi seni sahaja.
"Sekarang setelah melihat keadaan
bangsa Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya menghadapi cabaran masa hadapan,
kami berpendapat jika tidak diungkai beberapa perkara ulung dalam kehidupan
kita, mungkin kita terus digelombangi cara hidup luar dan tidak lagi mempunyai
asas-asas kehidupan Melayu, warga Malaysia orang Cina, orang India dan
lain-lain," kata beliau.
MINGGUAN: Kongres Budaya pertama
dianjurkan pada 1971. Kenapa ambil masa begitu lama untuk buat kongres yang
kedua?
RAIS: Sebab peringatan kita tentang kongres pertama itu, asas-asasnya
agak berbeza. Masa itu Malaysia baru terbentuk. Kita memikirkan tentang
pentingnya ketuanan Melayu dan kemerdekaan dalam Malaysia. Dalam 46 tahun ini,
kita mempunyai banyak dasar-dasar yang dianggap penting dan berkesan. Misalnya
Wawasan 2020, Dasar Pandang ke Timur dan pelbagai lagi. Kesemuanya ada 21
dasar. Jadi, kerajaan Persekutuan dan negeri menganggap tidak perlu diadakan
kongres kerana sudah ada banyak dasar. Bila kita buat semakan balik,
rupa-rupanya kita banyak hilang keperibadian. Kita tidak soal tentang
keperibadian tetapi banyak pasal kemajuan dan ekonomi. Ada satu pendekatan
iaitu budaya berekonomi Malaysia yang akan dibincang. Misalnya Dasar Ekonomi
Baru (DEB) masih berada antara 15 peratus dan 18 peratus. Kalau setakat 18
peratus, apa kita buat? Kita kena akui kita sudah silap besar. Pakar mengatakan
tidak lebih 18 peratus tetapi kerajaan hendak mengatakan sekurang-kurangnya 23
peratus. Di situpun tidak ada satu angka yang boleh diperakukan terus. Satu
lagi sebab kenapa tidak diadakan kongres adalah kebanyakan orang apabila sebut
kongres budaya, mereka ingat kebudayaan sahaja. Sedangkan budaya bererti cara
hidup. Dalam salah faham begitulah ambil masa sampai 46 tahun.
Apakah keperluan untuk mengadakan
Kongres Budaya pada masa sekarang?
RAIS: Sebagai Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, saya terasa
semenjak saya menjadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dahulu lagi,
soal hendak mewujudkan budaya tinggi masyarakat kita sentiasa muncul setiap
musim dalam erti kata budaya dalam konteks cara hidup, bukan budaya dalam
konteks manifestasi seni sahaja. Bermakna cara berfikir, menterjemahkan
fikiran, pendidikan kita, cara kita bertindak dalam menghadapi sesuatu masalah
secara kumpulan atau individu dan kandungan-kandungan dalam pentadbiran negara.
Ini kita anggap sebagai cara hidup. Cara hidup inilah sebenarnya yang
melahirkan kebudayaan, waima budinya atau terjemahan kepada manifestasi budaya
dalam bentuk seni, kraf dan lain-lain. Kali terakhir kita mempunyai Kongres
Budaya adalah tahun 1971, bermakna sudah 46 tahun. Saya sendiri terasa
ketinggalan sebab tidak sempat semasa saya menjadi Menteri Kebudayaan dahulu
mendapatkan pandangan Perdana Menteri dan kawan-kawan dalam Kabinet, pentingnya
untuk diadakan kongres. Sekarang setelah melihat keadaan bangsa Malaysia amnya
dan orang Melayu khasnya menghadapi cabaran masa hadapan, kami berpendapat jika
tidak diungkai beberapa perkara ulung dalam kehidupan kita, mungkin kita terus
digelombangi cara hidup luar dan tidak lagi mempunyai asas-asas kehidupan
Melayu, warga Malaysia orang Cina, orang India dan lain-lain. Ini premis yang
paling utama, terasa oleh kita selepas 46 tahun. Tempoh hari setelah berbincang
dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil saya menyampaikan
surat dan pandangan saya, beliau pun bersetuju supaya kongres ini diadakan
semula. Sementelahan pula kongres pada 1971 dirasmikan oleh Tun Abdul Razak
Hussein. Jadi, sekarang anakandanya menjadi Perdana Menteri, saya terasa
terpanggil untuk meminta persetujuan kerajaan diberi hemah supaya kita
mengadakan kongres.
Apakah isu-isu pokok yang akan
dibincangkan pada Kongres Budaya kali ini?
RAIS: Saya sedar dengan mengadakan kongres ini bukan semua masalah
habis, mungkin ada tambahan yang lain. Tetapi sekurang-kurangnya boleh kita
cari nas-nas dan kesedaran-kesedaran baharu, bagaimana kelemahan asas atau
perkara yang perlu kita wujudkan semula supaya dapat kita teruskan
perjuangannya. Pertamanya, kongres ini (diadakan) untuk mencari asas-asas
kehidupan bernilai tinggi. Bukannya soal jawi atau bagaimana jualan akhbar
Melayu menurun tetapi nilai-nilai tinggi dalam kehidupan kita, saya dan
rakan-rakan dapati ia sudah menurun.
Apakah ertinya nilai-nilai tinggi
itu boleh kita senaraikan. Senarai ini nampak seperti budi sudah berkurangan
dalam kehidupan kita. Orang Melayu sudah tidak berpegang banyak kepada budi.
Nas-nas al-Quran dan hadis elok dalam sebutannya tetapi tidak ada terjemahannya
ke bawah.
Selain daripada itu, selepas merdeka
tahun 1957, kita masih dapat tandas busuk dan kotor dalam masjid dan surau. Ini
saya dapati memang menusuk pemikiran dalaman kita. Disiplin dalam sekolah pun
teruk. Masyarakat kita seolah-olah tidak ada panduan yang berkesan untuk
mengawal hal-hal seperti itu. Harus kita bincangkan perkara ini walaupun
sekarang kita masuk ke bab Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita hendak lihat
bagaimana Wawasan 2020 tempoh hari gagal atau kurang dan apa yang harus kita
masukkan dalam TN50. Jawapannya mudah, mesti ada perkiraannya tentang budaya
tinggi yang boleh membawa kita ke tahap tamadun tinggi.
Bagi menerapkan budaya tinggi, sudah
tentu aspek pendidikan amat penting. Apakah perlu dibuat perubahan terhadap
dasar pendidikan?
RAIS: Saya lihat dalam aspek tamadun tinggi, orang Thailand,
Singapura dan Indonesia sudah melumbai kita. Jadi terasa oleh saya, sekarang
mesti tengok pendidikan nasional kita. Mungkin inilah yang harus kita bincang
bersama di mana masalah timbul dalam konteks pendidikan kita di bawah. Hal-hal
ini akan menjadi topik dan bahan pemikiran penting kepada rakan-rakan di
kongres itu. Sebahagian besar universiti, badan-badan budaya bukan kerajaan,
para guru dan pemimpin masyarakat akan terlibat. Kami akan melibat seramai
mungkin pihak yang boleh menyumbangkan cadangan. Topik yang satu lagi ialah cara
kita mengolah pendidikan rendah dan prasekolah. Sekarang ini semua longgar.
Prasekolahnya longgar dan di sekolah rendah tidak ada penekanan kepada budi dan
nilai persekitaran. Sungai kita paling kotor sebab tidak diajar menghormati
alam semula jadi. Jadi pihak saya yang selalu memekik mengatakan “Pisau raut
bongkok hulu. Bentang tilam tengah halaman. Pasir di laut jadi guru. Alam
terbentang pedoman.” Itu pantun lama tetapi orang sudah tidak pakai. Tidak ada
hubungan antara pendidikan dengan persekitaran kita.
Mungkinkah Kongres Budaya ini juga
diadakan setelah melihat hubungan antara kaum di negara ini yang semakin
regang?
RAIS: Satu perkara lagi yang saya rasa penting ialah budaya
perpaduan kaum yang di tanah air kita rapuh. Kita lihat sekolah Cina membawa
budaya Tionghua dan mereka meneruskan impian mereka. Bahasa mereka jangan
sentuh, mereka tahu apa hendak buat. Budaya mereka jangan sentuh, mereka tahu
apa hendak buat. Kita tidak ada pendirian itu dalam pembelajaran kita.
Jadi, guru-guru kita tidak lagi
diajar silibus budi. Kalau guru tidak cukup asuhan di situ, sampai macam mana
kita dapat mewujudkan dalam kalangan anak-anak di bawah. Bagi saya dan
kawan-kawan dalam jawatankuasa kongres, inilah masanya untuk kita menilai
semula sebelum TN50 menjadi realiti. Dalam hal perpaduan juga kita dapati Rukun
Negara “terpijak pergi, terlanjur pulang”. Prinsip penting ini tidak menjadi
substantif. Sebaiknya Rukun Negara ini dijadikan sebagai mukadimah kepada Akta
Pendidikan. Sekarang ini mereka cap di buku latihan sahaja.
Bagaimana Tan Sri melihat peranan
raja dan kerajaan dalam mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi?
RAIS: Resolusi daripada kongres itu akan diserahkan kepada dua
pihak. Yang pertama sudah tentu Perdana Menteri sendiri dan kita akan pohon
beliau supaya secara ikhlasnya bersetuju melihat semula kandungan pendidikan
yang membawa kepada budaya tinggi. Kedua, kepada Majlis Raja-Raja. Sebab
Raja-raja di negara kita pun sudah berkesempatan menilai. Kebanyakan baginda
reaktif dan tidak proaktif dalam mengekalkan adat Melayu. Dalam Perkara 160
Perlembagaan, bahasa Melayu hendaklah ditutur lazim, beragama Islam dan
mengamalkan adat-istiadat Melayu atau budaya Melayu. Kita mempersoalkan setakat
mana Raja-Raja Melayu mengamalkan dan mempromosi adat Melayu itu sendiri. Adat
termasuk bahasa kita, menterjemahkan ajaran-ajaran penting agama, muzik dan
cara bercakap beradab tetapi kami lihat ini tidak dapat diamalkan waima di
istana dan gerak-geri para sultan kita. Sudah tentu kita dapat kecualikan
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tetapi baginda pun memerlukan
pandangan daripada pihak-pihak tertentu.
Teguran kepada institusi raja ini
mungkin agak sukar kerana ia perkara agak sensitif.
RAIS: Apakah kita derhaka jika kita beritahu? Saya kira tidak.
Sebab agama kita mengajar kita bila kelihatan dalam suasana memerlukan
keteguhan, kita perlu berani menegur waima kita terpaksa membawa kepada Majlis
Raja-Raja beberapa hal ini. Tersentuh di sini bagaimana Yang di-Pertuan Agong
melayani tuntutan hak-hak istimewa orang Melayu. Kalau di negeri, raja-raja.
Kalau kita lihat, ia adalah intipati Perlembagaan yang tidak boleh diambil
ringan. Selain itu tentang bahasa Melayu yang sudah jelas tidak lagi berbentuk
bahasa Melayu yang dapat kita fahami dalam budaya kita. Buku nahu Melayu
sekarang seperti buku nahu Inggeris dengan terma-terma sekali. Ringkas sekali
boleh kita kata adverba, adjektiva, perbuatan-perbuatan subjek dan predikat.
Jadi, tidak ada cara untuk mengolah bahasa Melayu. Ini terasa oleh kita dan
mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terpaksa merungkai beberapa hal dan
itupun jika dipersetujui dalam konteks kita berkerajaan. Jadi, perlu ada
kesungguhan daripada pihak diraja dan kerajaan dalam menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan. Kalau kedua-dua pihak ini tidak
mahu, bahasa Melayu tidak akan terpakai sebab tidak ada nilai komersial dan
dagangan. Apabila pergi ke bank, semua perjanjian dalam bahasa Inggeris.
Insurans pun begitu.
Apakah aspek budaya tinggi ini tidak
diberi penekanan dalam intipati Wawasan 2020 sebelum ini sehingga ia kembali
dibangkitkan?
RAIS: Masa Tun Dr. Mahathir Mohamad memang ada kesilapan. Sebab
nilai budi dan budaya tidak pernah menjadi utama. Ini sudah ternyata dalam 22
tahun. Cuma dalam Wawasan 2020 ada ungkapan hendak mewujudkan masyarakat
penyayang tetapi setakat itu sahaja. Tidak ada akar umbinya untuk dilaksanakan.
05 Mac 2017
-sumber utusan online-
TN50 jangan seperti Wawasan 2020
TRANSFORMASI NEGARA
sehingga tahun 2050 sudah diumumkan dan rakyat dipelawa untuk menyumbang buah
fikiran terhadap kandungan serta pelaksanaannya. Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak membayangkan proses ‘isian dari bawah’ amat penting untuk
menerapkan nilai dan isian ‘dari bawah ke atas’. Ini agak berbeza daripada
Wawasan 2020 (W2020) yang berupa dasar kenegaraan yang bersifat ‘dari atas ke
bawah’. Agar TN50 berjaya sebagai obor pertumbuhan kemanusiaan, kewibawaan dan
tamadun negara bangsa, cerdik pandai kerajaan dan golongan pemikir harus
mengingatkan pimpinan kerajaan supaya (a) rakyat dirundingi dan (b) beberapa
salah haluan W2020 tidak diulangi. Salah satu pengabaian W2020 ialah prinsip
sembilan (9) perkaranya tidak dibuat secara musyawarah. UMNO dan BN pun tidak
dilibatkan sebelum ia dihebahkan sebagai dasar negara. W2020 tiba-tiba sahaja
diumumkan di suatu majlis makan tengah hari pada tahun 1991 oleh Perdana
Menteri ke-4, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Ini terhasil sebagai W2020
yang tidak cukup dihurai dan dijelaskan demi kefahaman dan penerimaan rakyat.
Dasar kenegaraan dan negara bangsa itu juga tidak disusul satu persatu khasnya
bagaimana menterjemahkan sesuatu cabarannya untuk kesan dan faedah maksimum.
Diakui, W2020 memang
meninggalkan banyak kesan kemajuan yang membanggakan. Penghasilan W2020
semenjak 27 tahun lalu telah dikecapi bersama. Begitu juga aspek-aspek kegagalannya,
khasnya dalam bidang pendidikan yang kurang jelas memartabatkan lunas-lunas
negara bangsa seperti bahasa Melayu, budi, kebijaksanaan tempatan, cernaan
Islam dengan adat Melayu, capaian ekonomi Melayu dan bumiputera yang masih
berada di tahap 16 peratus. Deretan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri,
Timbalan Menteri dan ratusan Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan berkarier
dalam ‘sawah ladang’ Wawasan 2020. Walau bagaimanapun, rakyat tidak menidakkan
produk W2020 dalam kehidupan kita semenjak lebih 27 tahun lampau.
Kerajaan pimpinan Tun
Abdullah Ahmad Badawi (2003–2009) dan semenjak 2009, pentadbiran di bawah
teraju Najib meneruskan dasar W2020 itu. Malah amalan seperti memakai cogan
nama dilapel kot pemimpin kerajaan dan teknokrat masih diteruskan hingga ke
hari ini; slogan 'Malaysia Boleh' menyusuli falsafah kerja ikut masa yang
diperkenalkan atas panggilan punch card. Sains dan teknologi menjadi buruan
sehingga bahasa Melayu dicicirkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan.
Begitu juga himpunan
bulanan pegawai-pegawai tinggi kerajaan bersama Perdana Menteri di Putrajaya,
amalan yang juga berterusan hingga kini. Di bawah W2020 tanah air mengalami
Metropolis Putrajaya, KLIA, Menara Kembar Petronas, Lebuhraya Utara-Selatan,
hidup bertol; UMNO merentas ke Sabah; capaian purata KDNK berada sekitar 7
peratus setahun; Malaysia digelar sebagai salah satu negara Harimau Asia (Asian
Tiger) sementara di bawah dasar Selatan-Selatan, Malaysia menjadi terkenal
sebagai juarai negara-negara membangun blok ketiga dan Selatan-Selatan.
Palestin beroleh dokongan padu Malaysia sehingga arwah Yasser Arafat dan
pimpinan negara-negara Arab merakamkan penghargaan tertinggi terhadap negara
kita.
Negatifnya – muncul
beberapa peristiwa yang boleh dianggap bersikap skandal: antaranya kerugian RM9
bilion urus niaga forex Bank Negara Malaysia 1991, pertembungan Perdana
Menteri/Presiden UMNO dengan Raja-Raja 1993/1994 yang akhirnya pihak kesultanan
hilang sebahagian unsur-unsur kedaulatan mereka jika melakukan jenayah di
samping boleh juga disaman di mahkamah sivil. Dalam zaman W2020 Datuk Seri
Anwar Ibrahim kecundang di tangan Perdana Menteri. Bahasa dan budaya Melayu
menghadapi kedudukan yang muram kerana tiada pembelaan tertinggi kerajaan.
Memang sudah sampai masanyaW2020 diperhitungkan dan diganti dengan dasar negara
baharu. Salah satu sebabnya ialah Wawasan 2020 sudah hampir tamat dan
kebanyakan intisari cabarannya dianggap sudah berlalu. Cuma suatu proses
cerakinan mesti buat tentang capaian dan kegagalannya. Untuk itu rakyat
seharusnya mengetahui aspirasinya sebagai dasar induk Tun Dr. Mahathir. Setiap
kali dasar besar dibuat oleh kerajaan setiap kali pula reaksi rakyat
diperlukan. Ada yang menghargainya dan tetap ada pula yang memberi reaksi
negatif. Pokoknya kepentingan rakyat menjadi pemusatan perjuangan dan pulangan
kebajikan daripadanya dapat dikesan.
Terperangkap
Di waktu media sosial
berleluasa dan mudah diguna atau disalah guna, suatu pengukuran harus dibuat
supaya apa-apa dasar yang menggantikan W2020 tidak terperangkap dengan ulangan
kesilapan yang merugikan negara bangsa.
W2020 mengandungi Sembilan
Cabaran asas untuk membangun dan memajukan Malaysia:
1 menjadikan
Malaysia sebagai negara bersatu padu dengan Bangsa Malaysia.
2 mewujudkan
masyarakat Malaysia yang jiwa rakyatnya bebas, selamat dan maju.
3 ke arah
masyarakat yang berdemokrasi matang dan membangun.
4 membina
masyarakat yang bermoral serta beretika.
5 mewujudkan
masyarakat liberal dan matang.
6
mewujudkan masyarakat saintifik dan maju.
7
mewujudkan masyarakat yang prihatin dan penyayang.
8 mewujudkan
masyarakat yang beroleh kepentingan ekonomi yang adil melalui agihan manfaat
ekonomi yang setimpal.
9 mewujudkan
masyarakat yang saling bersaingan, dinamis dan berkeupayaan.
Kesemua sembilan cabaran
W2020 di atas didukung terus menerus oleh Kerajaan Tun Abdullah dan Najib. Cuma
tidak dinyatakan satu persatu, setakat manakah sesuatu dasar itu berjaya?
Tidak semua cabaran itu
dianggap berjaya 100 peratus kerana mekanisme susulan dan pengukurannya tidak
menurut satu-satu kaedah yang khusus, justeru Indeks Pencapaian Utama (KPI)
setiap cabaran itu tidak dapat diperakukan dengan projek atau capaian yang
diperolehi.
Wawasan 2020
mengetengahkan Bangsa Malaysia yang hendak diwujudkan secara ‘bersatu padu’.
Dari tahun 1991, iaitu sepuluh tahun selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana
Menteri, proses cadangan mewujudkan bangsa Malaysia untuk bersatu padu
dimulakan. Malangnya konsep ini tidak menjadi kenyataan kerana Akta Pelajaran
1961 tidak dilentur untuk mengandungi bab perpaduan kaum sama ada melalui
latihan mahupun padagogi pembelajaran kanak-kanak. Sistem pendidikan kita masih
menjejaki pendidikan vernakular dan berasaskan pendidikan mengikut kaum. Satu
lagi sebabnya ialah paras keyakinan Dr. Mahathir terhadap bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu dan bahasa perdagangan tidak muncul. Beliau terus-menerus meyakini
bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu seperti yang dibuktikannya melalui
pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.
Malah boleh dirumus - pentadbiran
Dr. Mahathir tidak cukup memberi peluang kepada bahasa Melayu untuk cemerlang
sebagai bahasa ilmu. Di samping itu, sistem sekolah kebangsaan tidak berjaya
menarik minat majoriti kaum Cina yang lebih mahu menumpukan perhatian kepada
jenis dan sifat-sifat asas pendidikan mereka yang berpaksikan sosiobudaya
mereka sendiri.
Satu lagi sifat W2020 yang
memundurkan ialah ketiadaan dasar dan kandungan pembudayaan atau cara hidup
yang mencernakan tamadun tinggi walaupun ada disebutkan di cabaran 7 ‘masyarakat
prihatin dan penyayang’. Sifat kata prihatin dan penyayang itu mungkin boleh
dianggap sebagai prakata kepada hidup berBUDI. Namun penekanan terhadap
‘prihatin dan penyayang’ tidak dirasai di akhir pentadbiran Dr. Mahathir .
Kejuruteraan sosial ini amat diperlukan sekarang jika TN50 mahu berkesan
sebagai pengganti W2020. Pelaksanaan prinsip pembudayaan cara hidup tinggi dan
mempaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan adalah
kunci pengukuhan dan kekitaan rakyat Malaysia masa depan.
Begitu juga mempaksikan
Rukunegara sebagai pancang kehidupan masyarakat Malaysia masa depan.
TAN SRI DR. RAIS
YATIM ialah Penasihat Khas Sosiobudaya kepada kerajaan.
26 Februari
2017
-sumber utusan online-
Subscribe to:
Posts (Atom)
PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M
“Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...
-
Keberanian Leftenan Adnan Saidi dan rakan yang bertempur bermati-matian adalah episod yang kekal dalam lipatan sejarah tanah air. “Biar...
-
PELAJAR generasi kini dilihat lebih moden, menjadikan cabaran yang perlu dihadapi mereka yang bergelar guru juga lebih ‘moden’, rumit dan...
-
PERLEMBAGAAN PENTADBIRAN ADAT LUAK JELEBU Alam Beraja Luak Berpenghulu Lingkungan Bertua Anak buah Berbuapak Orang Semenda Bertempat Semenda...