Tuesday, March 7, 2017

TN50 jangan seperti Wawasan 2020



TRANSFORMASI NEGARA sehingga tahun 2050 sudah diumumkan dan rakyat dipelawa untuk menyumbang buah fikiran terhadap kandungan serta pelaksanaannya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan proses ‘isian dari bawah’ amat penting untuk menerapkan nilai dan isian ‘dari bawah ke atas’. Ini agak berbeza daripada Wawasan 2020 (W2020) yang berupa dasar kenegaraan yang bersifat ‘dari atas ke bawah’. Agar TN50 berjaya sebagai obor pertumbuhan kemanusiaan, kewibawaan dan tamadun negara bangsa, cerdik pandai kerajaan dan golongan pemikir harus mengingatkan pimpinan kerajaan supaya (a) rakyat dirundingi dan (b) beberapa salah haluan W2020 tidak diulangi. Salah satu pengabaian W2020 ialah prinsip sembilan (9) perkaranya tidak dibuat secara musyawarah. UMNO dan BN pun tidak dilibatkan sebelum ia dihebahkan sebagai dasar negara. W2020 tiba-tiba sahaja diumumkan di suatu majlis makan tengah hari pada tahun 1991 oleh Perdana Menteri ke-4, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ini terhasil sebagai W2020 yang tidak cukup dihurai dan dijelaskan demi kefahaman dan penerimaan rakyat. Dasar kenegaraan dan negara bangsa itu juga tidak disusul satu persatu khasnya bagaimana menterjemahkan sesuatu cabarannya untuk kesan dan faedah maksimum.
Diakui, W2020 memang meninggalkan banyak kesan kemajuan yang membanggakan. Penghasilan W2020 semenjak 27 tahun lalu telah dikecapi bersama. Begitu juga aspek-aspek kegagalannya, khasnya dalam bidang pendidikan yang kurang jelas memartabatkan lunas-lunas negara bangsa seperti bahasa Melayu, budi, kebijaksanaan tempatan, cernaan Islam dengan adat Melayu, capaian ekonomi Melayu dan bumiputera yang masih berada di tahap 16 peratus. Deretan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Timbalan Menteri dan ratusan Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan berkarier dalam ‘sawah ladang’ Wawasan 2020. Walau bagaimanapun, rakyat tidak menidakkan produk W2020 dalam kehidupan kita semenjak lebih 27 tahun lampau.
Kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003–2009) dan semenjak 2009, pentadbiran di bawah teraju Najib meneruskan dasar W2020 itu. Malah amalan seperti memakai cogan nama dilapel kot pemimpin kerajaan dan teknokrat masih diteruskan hingga ke hari ini; slogan 'Malaysia Boleh' menyusuli falsafah kerja ikut masa yang diperkenalkan atas panggilan punch card. Sains dan teknologi menjadi buruan sehingga bahasa Melayu dicicirkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan.

Begitu juga himpunan bulanan pegawai-pegawai tinggi kerajaan bersama Perdana Menteri di Putrajaya, amalan yang juga berterusan hingga kini. Di bawah W2020 tanah air mengalami Metropolis Putrajaya, KLIA, Menara Kembar Petronas, Lebuhraya Utara-Selatan, hidup bertol; UMNO merentas ke Sabah; capaian purata KDNK berada sekitar 7 peratus setahun; Malaysia digelar sebagai salah satu negara Harimau Asia (Asian Tiger) sementara di bawah dasar Selatan-Selatan, Malaysia menjadi terkenal sebagai juarai negara-negara membangun blok ketiga dan Selatan-Selatan. Palestin beroleh dokongan padu Malaysia sehingga arwah Yasser Arafat dan pimpinan negara-negara Arab merakamkan penghargaan tertinggi terhadap negara kita.
Negatifnya – muncul beberapa peristiwa yang boleh dianggap bersikap skandal: antaranya kerugian RM9 bilion urus niaga forex Bank Negara Malaysia 1991, pertembungan Perdana Menteri/Presiden UMNO dengan Raja-Raja 1993/1994 yang akhirnya pihak kesultanan hilang sebahagian unsur-unsur kedaulatan mereka jika melakukan jenayah di samping boleh juga disaman di mahkamah sivil. Dalam zaman W2020 Datuk Seri Anwar Ibrahim kecundang di tangan Perdana Menteri. Bahasa dan budaya Melayu menghadapi kedudukan yang muram kerana tiada pembelaan tertinggi kerajaan. Memang sudah sampai masanyaW2020 diperhitungkan dan diganti dengan dasar negara baharu. Salah satu sebabnya ialah Wawasan 2020 sudah hampir tamat dan kebanyakan intisari cabarannya dianggap sudah berlalu. Cuma suatu proses cerakinan mesti buat tentang capaian dan kegagalannya. Untuk itu rakyat seharusnya mengetahui aspirasinya sebagai dasar induk Tun Dr. Mahathir. Setiap kali dasar besar dibuat oleh kerajaan setiap kali pula reaksi rakyat diperlukan. Ada yang menghargainya dan tetap ada pula yang memberi reaksi negatif. Pokoknya kepentingan rakyat menjadi pemusatan perjuangan dan pulangan kebajikan daripadanya dapat dikesan.

Terperangkap

Di waktu media sosial berleluasa dan mudah diguna atau disalah guna, suatu pengukuran harus dibuat supaya apa-apa dasar yang menggantikan W2020 tidak terperangkap dengan ulangan kesilapan yang merugikan negara bangsa.

W2020 mengandungi Sembilan Cabaran asas untuk membangun dan memajukan Malaysia:

1 menjadikan Malaysia sebagai negara bersatu padu dengan Bangsa Malaysia.

2 mewujudkan masyarakat Malaysia yang jiwa rakyatnya bebas, selamat dan maju.
3 ke arah masyarakat yang berdemokrasi matang dan membangun.

4 membina masyarakat yang bermoral serta beretika.

5 mewujudkan masyarakat liberal dan matang.

6 mewujudkan masyarakat saintifik dan maju.

7 mewujudkan masyarakat yang prihatin dan penyayang.

8 mewujudkan masyarakat yang beroleh kepentingan ekonomi yang adil melalui agihan manfaat ekonomi yang setimpal.

9 mewujudkan masyarakat yang saling bersaingan, dinamis dan berkeupayaan.

Kesemua sembilan cabaran W2020 di atas didukung terus menerus oleh Kerajaan Tun Abdullah dan Najib. Cuma tidak dinyatakan satu persatu, setakat manakah sesuatu dasar itu berjaya?
Tidak semua cabaran itu dianggap berjaya 100 peratus kerana mekanisme susulan dan pengukurannya tidak menurut satu-satu kaedah yang khusus, justeru Indeks Pencapaian Utama (KPI) setiap cabaran itu tidak dapat diperakukan dengan projek atau capaian yang diperolehi.
Wawasan 2020 mengetengahkan Bangsa Malaysia yang hendak diwujudkan secara ‘bersatu padu’. Dari tahun 1991, iaitu sepuluh tahun selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, proses cadangan mewujudkan bangsa Malaysia untuk bersatu padu dimulakan. Malangnya konsep ini tidak menjadi kenyataan kerana Akta Pelajaran 1961 tidak dilentur untuk mengandungi bab perpaduan kaum sama ada melalui latihan mahupun padagogi pembelajaran kanak-kanak. Sistem pendidikan kita masih menjejaki pendidikan vernakular dan berasaskan pendidikan mengikut kaum. Satu lagi sebabnya ialah paras keyakinan Dr. Mahathir terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan tidak muncul. Beliau terus-menerus meyakini bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu seperti yang dibuktikannya melalui pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.

Malah boleh dirumus - pentadbiran Dr. Mahathir tidak cukup memberi peluang kepada bahasa Melayu untuk cemerlang sebagai bahasa ilmu. Di samping itu, sistem sekolah kebangsaan tidak berjaya menarik minat majoriti kaum Cina yang lebih mahu menumpukan perhatian kepada jenis dan sifat-sifat asas pendidikan mereka yang berpaksikan sosiobudaya mereka sendiri.
Satu lagi sifat W2020 yang memundurkan ialah ketiadaan dasar dan kandungan pembudayaan atau cara hidup yang mencernakan tamadun tinggi walaupun ada disebutkan di cabaran 7 ‘masyarakat prihatin dan penyayang’. Sifat kata prihatin dan penyayang itu mungkin boleh dianggap sebagai prakata kepada hidup berBUDI. Namun penekanan terhadap ‘prihatin dan penyayang’ tidak dirasai di akhir pentadbiran Dr. Mahathir . Kejuruteraan sosial ini amat diperlukan sekarang jika TN50 mahu berkesan sebagai pengganti W2020. Pelaksanaan prinsip pembudayaan cara hidup tinggi dan mempaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan adalah kunci pengukuhan dan kekitaan rakyat Malaysia masa depan.
Begitu juga mempaksikan Rukunegara sebagai pancang kehidupan masyarakat Malaysia masa depan.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Penasihat Khas Sosiobudaya kepada kerajaan.
-sumber utusan online-

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...