Wednesday, February 17, 2010

Lebih Banyak Kajian Halal Diperlukan

Oleh Melati Mohd Ariff


Halal ialah cara hidup orang Islam yang membabitkan banyak hal. Untuk itu, lebih banyak kajian halal perlu dilakukan memandangkan terlalu banyak isu yang melibatkan produk yang digunakan oleh orang Islam.

Halal bukan sahaja mengenai makanan tetapi meliputi benda-benda bukan makanan seperti kosmetik, bahan dandanan diri, farmaseutikal dan ubat-ubatan, yang sebahagian besarnya dihasilkan oleh orang bukan Islam.

"Dalam hal biasa kita tidak ada pilihan kecuali yang halal. Menjadi kewajipan kita menyoal apakah satu-satu produk itu dihasilkan mengikut hukum syarak memandangkan orang Islam diwajibkan hanya mengambil benda-benda yang halalan dan thoyiban (baik antaranya dari segi kebersihan, berkhasiat, bebas dari toksin)," kata Prof Dr Yaakob Che Man, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau turut berpendapat, langkah memperbanyak kajian halal akan turut melonjakkan nama Malaysia sebagai hab ilmu halal.

Ia juga menepati aspirasi negara untuk menjadi hab produk halal seperti yang terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) 2006-2020.

USAHA KURANG

Prof Dr Yaakob, 56, berkata masih tidak banyak inisiatif berkaitan kajian atau analisis halal dijalankan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Menurut beliau, jika ditinjau tempoh lima tahun lepas, tidak ada pihak yang membuat kajian tentang halal.

Malah ada yang beranggapan halal ini bukan satu isu sedangkan ia menjadi topik perbincangan hangat apabila pihak media menyiarkan berita mengenai produk yang diragui kehalalannya.

"Hanya sejak akhir-akhir ini halal diberi perhatian. Keadaan itu juga mendorong IPPH sebagai pusat akademik dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) khusus kepada produk halal memperhebat usaha itu.

"Orang Islam juga wajar menerajui usaha ini dan saya sendiri, sebagai seorang saintis Islam merasa bertanggungjawab untuk menjalankan kajian halal bagi menjaga kepentingan umat Islam," kata Prof Dr Yaakob dalam wawancara dengan Bernama di pejabat IPPH di sini baru-baru ini.

Prof Dr Yaakob berkata sebelum komited dengan halal, beliau ialah profesor dalam bidang minyak dan lemak dan pakar terutamanya dalam kajian minyak kelapa sawit.

Beliau kemudian menjurus kepada halal kerana melihat lemak babi ialah isu besar untuk orang Islam.

"Ini membuatkan saya beralih pandangan, masih lagi minyak tetapi kepada lemak babi memandangkan banyak perkara melibatkan babi," jelasnya.

Prof Dr Yaakob bagaimanapun berpendapat tidak ramai yang mahu menjadikan bidang halal sebagai satu karier walhal ia semakin menjadi keperluan besar termasuk dalam dunia perniagaan global.

"Memang ramai yang bercakap tentang halal tapi tak ramai yang hendak menjadikannya satu karier. Itu juga sebab mengapa saya memilih bidang halal ini," katanya.

LATAR BELAKANG

Menurut Prof Dr Yaakob, UPM ialah institut pengajian tinggi awam pertama membabitkan diri dalam bidang penyelidikan dan pembangunan halal dengan penubuhan Institut Makanan Halal (IMH) pada Jun 2006.

IMH kemudian ditukar nama kepada IPPH pada 1 Julai 2006 untuk memperluas lagi skop kajian halal yang dijalankan.

Ia juga sebagai usaha menjadikan IPPH pusat rujukan, penyelidikan dan pembangunan yang terunggul dalam bidang yang berkaitan dengan produk halal.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) melihat IPPH sebagai ikon rujukan halal dan ingin melihat institut ini menjadi pusat rujukan halal negara dalam jangka masa terdekat," kata Prof Dr Yaakob yang memiliki Ijazah Kedoktoran Falsafah dalam bidang kimia makanan, University of Illinois, Urbana-Champaign, Amerika Syarikat.

Anak kelahiran Terengganu ini berkhidmat dengan UPM sebagai pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UPM mulai 1980 sebelum dipinjamkan sebagai pengarah pengasas IMH.

Sepanjang berkhidmat dengan IPPH, Prof Dr Yaakob menjalankan pelbagai kajian bagi menghasilkan kaedah untuk mengesan kehadiran sumber haram seperti lemak dan daging babi serta kandungan alkohol di dalam produk termasuk makanan.

Sebagai pengiktirafan kepada daya usahanya itu, beliau menerima pelbagai anugerah dan antara yang terkini ialah dinobatkan sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di 'World Halal Research Summit 2009' yang diadakan di Kuala Lumpur.

Anugerah disampaikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di peringkat IPPH pula, institut ini memenangi Anugerah Pusat Penyelidikan Halal Terbaik 2009 di Minggu Pelancongan Islam dan Halal Antarabangsa (IISTHAL) 2009.

R&D IPPH

Sejak Julai 2006, IPPH meningkatkan usaha R&D bagi menghasilkan kaedah-kaedah analisis serta ujian halal.

Sehubungan dengan itu, pelbagai kajian dibuat terhadap makanan dan produk bioteknologi yang mengandungi unsur tidak halal termasuk lemak babi, gelatin, DNA babi dan alkohol.

IPPH juga bermatlamat untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan institut ini untuk analisis produk halal di seluruh dunia.

"Selama ini tidak ada kaedah untuk ujian halal. Yang ada, berbentuk konvensional, bermakna ia digunakan untuk benda lain tetapi diguna pakai dan disesuaikan untuk ujian halal.

"Kerajaan menganggap halal satu bidang yang besar lalu mencadangkan IPPH membangunkan kaedah atau pun teknik ujian khusus untuk halal," jelas Prof Dr Yaakob.

Beliau berkata dalam membuat kajian untuk menghasilkan kaedah yang diperlukan, IPPH akan membuat analisis sampel seperti lemak babi.

Antara kaedah yang berjaya dihasilkan ialah Real-Time PCR (Polmerase Chain Reaction) bagi mengesan DNA babi. Kaedah ini berjaya meraih Anugerah Harta Intelek Negara 2009 serta Anugerah Eureka di Brussels, Belgium pada 2009.

Prof Dr Yaakob berkata Teknik Real-Time PCR ini juga telah didaftar patennya di Malaysia dan juga di 20 negara lain di dunia.

"Untuk Real-Time PCR ini, kami sedang berunding dengan beberapa pihak untuk mengkomersilkan test-kit DNA babi ini supaya ia boleh diguna pakai di makmal-makmal bukan sahaja di Malaysia tetapi negara-negara lain.

IPPH turut menghasilkan beberapa kaedah saintifik lain untuk mengesan kehadiran sumber haram termasuk 'Fourier Transform Infrared Spectroscopy', 'Electric Nose', 'Differential Scanning Colorimetry, Kromatografi dan Telemetri EEG, ECG.

Menurut Prof Dr Yaakob, fokus utama IPPH ialah untuk memastikan Malaysia dapat menghasilkan kaedah pengesanan dan pengesahan halal terbaik dan diiktiraf di peringkat dunia.

GUNA KHIDMAT

Kepakaran IPPH dalam bidang kajian halal ini turut dimanafaatkan oleh badan-badan agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai contoh, apabila Jakim menghadapi satu-satu isu teknikal yang berkaitan halal atau apabila mahu mengeluarkan sesuatu fatwa.

Jelas Prof Dr Yaakob, untuk tujuan itu pihaknya akan dipanggil membuat penjelasan saintifik yang ada hubung kait dengan status halal, sebagai contoh dengan isu alkohol, makanan haiwan, daging ayam bercampur daging babi atau isu penyembelihan haiwan.

IPPH juga membantu Jakim dalam memperkukuh persijilan halal yang dikeluarkan jabatan itu.

"Dalam hal ini kami membantu membangunkan kaedah untuk menguatkan lagi kredibiliti Sijil Halal Malaysia," jelasnya sambil menambah bahawa sijil halal yang dikeluarkan Jakim ialah yang terbaik di dunia dan perkara itu tidak boleh dipersoal.

Prof Dr Yaakob turut terbabit dalam membangunkan Standard Halal MS15000 yang digunapakai untuk pengeluaran sijil halal Jakim bagi produk makanan.

Beliau ialah pengerusi pertama Halal Standard MS1500:2000.

Standard itu telah dipertingkat dan yang diguna pakai kini untuk produk makanan ialah MS15000:2009 (Semakan Kedua) yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jakim.

Belau juga terbabit sebagai ahli jawatankuasa pembentukan MS2200:2008 yang digunakan untuk kosmetik.

MAKMAL ANALISIS

Sebagai usaha memantapkan lagi kedudukan IPPH sebagai pusat R&D halal, sebuah makmal analisis halal sedang dibangunkan di lokasi institut di sini dan dijangka siap menjelang April tahun ini.

Prof Dr Yaakob berkata EPU memperuntuk dana sebanyak RM10 juta untuk membangunkan makmal analisis halal itu.

Apabila beroperasi sepenuhnya dengan mendapat akreditasi ISO 17025 nanti, ia akan menjadi makmal analisis halal pertama di Malaysia.

Dijangka antara perkhidmatan yang disediakan oleh makmal ini ialah perkhidmatan analisis bagi pensijilan halal Jakim atau badan pensijilan lain, dalam dan luar negara dan perkhidmatan analisis produk halal kepada sektor industri dan awam.

Makmal berkenaan juga akan membantu Jakim dalam membuat persediaan modal insan dan kepakaran sebagai persiapan kepada penubuhan makmal halal Jabatan itu di Bandar Enstak, Nilai.

BANTU UBAH SIKAP

Kesedaran orang Melayu tentang halal memang rendah. Ini rumusan yang dibuat Prof Dr Yaakob.

"Dalam kehidupan orang Islam, halal bukan perkara remeh. Ia perkara amat serius tapi sesetengah orang Islam, kalau ke kedai makan, tengok orang pakai tudung, masuk makan, sedangkan kedai itu kedai bukan Islam, tak ada sijil halal tapi mereka tak kisah.

Beliau turut menyentuh tentang ketiadaan Akta Halal untuk mewajibkan pengeluar atau pengedar produk mendapat persijilan halal.

Justeru, pengguna Islam dinasihatkan supaya memberi perhatian berat kepada soal halal-haram dan hanya membeli produk yang mempunyai logo halal yang boleh dipercayai seperti logo halal JAKIM.

Sebagai menampung kekurangan program kesedaran mengenai halal, IPPH turut mengadakan ceramah kesedaran halal untuk orang awam.

Prof Dr Yaakob ialah antara penceramah yang terbabit pada Kempen 1Malaysia 1Halal pada 26-28 Feb ini di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...