Wednesday, February 17, 2010

Pentingnya Sijil Halal

Oleh Melati Mohd Ariff

Sijil dan logo halal bukan sahaja memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk itu halal mengikut syarak tetapi ia juga mempunyai implikasi besar kepada industri atau pengusaha yang mengeluarkannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa aspek halal menjadi satu sistem kualiti dalam dunia perniagaan hari ini termasuk di peringkat global yang dapat menarik pelanggan Muslim dan bukan Muslim.

"Halal bukan sahaja dilihat dari sudut keagamaan tetapi satu komponen penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran halal global. Negara bukan Islam juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana aspek kualiti dan keselamatan," demikian menurut Saimah Mukhtar, Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Pasaran produk halal yang besar juga, kata beliau, membuatkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menjadi rakus memanipulasi perkataan halal untuk tujuan pemasaran dan keuntungan.

SIJIL DAN LOGO HALAL

Sepanjang 2009, Jakim menerima sebanyak 1,907 permohonan sijil halal dan jumlah yang diterima daripada Bumiputera ialah 622 dan bukan Bumiputera 1,285.

Kelulusan sijil halal yang dibuat pada 2009 pula ialah 301 Bumiputera dan 886 bukan Bumiputera.

"Yang kita tarik balik sijil halal atas alasan tertentu termasuk kebersihan hanya sekitar 10 peratus sahaja," kata Saimah sambil menegaskan Jakim menjaga kepentingan kedua-dua pihak, iaitu pengguna dan juga industri.

Jakim juga, kata beliau, mendaftarkan logo dan sijil halal Malaysia dengan Perbadanan Harta Intelek.

Di samping itu, Jakim juga melantik SIRIM Berhad untuk mendaftarkan logo halal Malaysia di luar Negara.

Menurut Saimah, sebelum itu sijil halal Malaysia didaftarkan di China dan Indonesia.

Jakim juga, katanya, mengiktiraf 47 badan Islam di 23 buah negara untuk mengeluarkan sijil halal bagi produk mentah, produk siap dan rumah penyembelihan bagi tujuan pasaran di Malaysia.

HALAL DAN JAKIM

Jakim terbabit dalam memberi pengesahan status halal kepada makanan dan barang gunaan Islam di negara ini sejak 1974.

Ketika itu, Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri memberikan pengesahan halal kepada beberapa produk makanan utama yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar makanan tempatan dalam bentuk surat pengesahan halal.

Bermula pada 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan halal beserta dengan logo halal atas nama BAHEIS (Bahagian Hal Ehwal Islam) dan dikuti pengeluaran logo halal atas nama Jakim pada tahun 1997.

Berasaskan kepada keperluan semasa, mulai 30 Sept 1998, tugas pemeriksaan premis bagi tujuan halal dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang dilantik kerajaan iaitu Syarikat Ilham Daya Sdn Bhd dan Jakim mengendalikan aspek lain seperti pengeluaran sijil dan tugas pemantauan.

Bagaimanapun, pada 1 Sept 2002, kerajaan memutuskan untuk Jakim mengendalikan semua urusan pengesahan sijil halal termasuk tugas pengauditan.

Bagi memenuhi perkembangan pesat industri makanan halal di negara ini serta keperluan semasa umat Islam, Jakim mewujudkan sebuah bahagian baru pada 2002 yang diberi nama Bahagian Makanan dan Barangan Gunaan Islam.

Bahagian itu, yang menguruskan semua kegiatan berkaitan dengan pengurusan halal termasuk pengesahan sijil halal, standard halal, pemantauan, Pengiktirafan Badan Islam luar Negara dan sebagainya kemudian ditukar kepada Bahagian Hab Halal, dan logo halal Malaysia dikeluar dan didaftarkan.

Pada Januari 2008, pengeluaran logo halal diselaraskan bagi semua Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di mana hanya satu logo halal Malaysia sahaja digunakan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) tanpa kod negeri.

Pada 2 April 2008, pengeluaran sijil halal kemudian diambil alih Halal Development Corporation (HDC).

Tugas ini diserahkan semula kepada Jakim pada 8 Julai 2009 dan Jakim mula mengeluarkan sijil halal pada 1 Ogos 2009.

SATU SIJIL

Meskipun penggunaan satu logo halal dimulakan pada Januari 2008, sijil halal masih dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Bagaimanapun, Jakim sedang mengusahakan supaya sijil halal yang dikeluarkan dapat diseragamkan.

Buat masa ini juga, setiap negeri menggunakan standard masing-masing dalam pengeluaran sijil halal.

"Dengan penyeragaman ini, nama JAKIM yang tertera di atas sijil akan digugurkan dan digantikan dengan KERAJAAN MALAYSIA.

"Jika semua negeri bersetuju menggunakan sijil halal yang seragam, ini bermakna pensijilan halal di negara ini akan menggunakan standard halal Malaysia MS15000:2009 untuk produk makanan dan MS2200:2008 untuk kosmetik," kata Saimah yang menyandang jawatan Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim sejak 17 Ogos 2009.

Menurut beliau, dengan penyeragaman sijil halal, produk halal untuk pasaran domestik dan eksport akan membawa imej Malaysia.

Saimah berkata pihaknya sedang membuat kunjungan hormat ke setiap negeri untuk mendapatkan persetujuan JAIN bagi penyeragaman mekanisme itu.

Setakat ini, katanya, beberapa negeri bersetuju untuk penyeragaman sijil halal itu. Pulau Pinang, tambah beliau ialah negeri yang mempunyai banyak syarikat multi-nasional dan negeri pertama yang bersetuju dengan langkah penyeragaman sijil halal.

"Pulau Pinang dan Negeri Sembilan disusuli Melaka akan menjadi negeri perintis untuk penyeragaman sijil halal ini dan kita sedang melatih pegawai-pegawai mereka untuk mengaplikasikan sistem on-line. Buat masa ini semua negeri memproses permohonan secara manual," tambah Saimah.

Jelasnya, jikapun sijil halal diseragamkan, proses permohonan termasuk bayaran pemprosesan sehingga kepada pengeluaran sijil masih diuruskan masing-masing. JAIN dan Jakim lebih bertindak sebagai badan penyelaras.

PINDAAN AKTA

Penyeragaman sijil halal bagaimanapun akan hanya dapat dilaksanakan selepas pindaan dibuat ke atas Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 dan Saimah berkata pihaknya mensasarkan pindaan Akta berkenaan untuk dilaksanakan Jun ini.

Dengan pindaan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melantik pihak berkuasa yang kompeten untuk mengeluarkan sijil halal dan dalam hal ini, pihak berkenaan ialah Jakim DAN JAIN.

"Ini bermakna hanya Jakim dan JAIN boleh mengeluarkan sijil halal. Sekarang ini sesiapa sahaja boleh mengeluarkan sijil halal. Langkah ini juga untuk membendung penipuan penggunaan sijil halal palsu yang berlaku sekarang.

"Penyeragaman logo dan sijil juga akan memudahkan pengguna untuk membuat keputusan," jelas Saimah.

BENDUNG MANIPULASI

Saimah memberitahu bahawa negeri-negeri memberi maklum balas positif kearah penyeragaman ini atas semangat kerjasama yang terjalin selama ini.

Sekiranya ada negeri yang tidak bersetuju dengan penyeragaman ini, apa yang perlu dilakukan ialah dengan memasukkan klausa di bawah pindaan APD bahawa 'competent authority' atau pihak berkuasa yang kompeten iaitu Jakim dan JAIN kecuali negeri X (nama negeri yang tidak bersetuju).

"Jakim telah berbincang dengan pihak Peguam Negara mengenai perkara ini dan kami yakin klausa seperti ini tidak akan berlaku," katanya.

Saimah turut memberitahu beberapa risiko untuk negeri yang memilih untuk tidak menyertai penyeragaman sijil halal.

Menurut beliau, negeri yang tidak termasuk dalam APD sebagai 'competent authority' dalam pengeluaran sijil halal yang seragam memang boleh mengeluarkan sijil halal di negeri masing-masing tetapi dalam masa yang sama, pihak lain termasuk syarikat atau individu di negeri berkenaan boleh mengeluarkan sijil halal.

"Ini kerana JAIN di negeri tersebut tidak dinamakan sebagai competent authority apabila Akta Perihal Dagangan 1972 dipinda.

"Sekiranya sesebuah MAIN mengeluarkan arahan hanya JAIN boleh mengeluarkan sijil halal, arahan sedemikian hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Kalau ada syarikat bukan Islam di negeri itu mengeluarkan sijil halal, tindakan tidak boleh diambil dan kita bimbang ini akan membuka ruang untuk manipulasi. Inilah sebabnya mengapa Jakim bersungguh-sungguh mengusahakan penyeragaman dan usaha ini sebenarnya memperkukuh bidang kuasa negeri dalam pengurusan halal," jelas Saimah.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...