PENGISYTIHARAN Undang Luak Jelebu
ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pada 8 April lalu turut berhadapan
dengan kontroversi apabila keputusan pelantikannya dipertikaikan.
BOLEHKAH amalan Adat Pepatih kekal
mengikut peredaran zaman yang pantas hari ini? Pencinta dan pengamal adat di
Negeri Sembilan pernah menyebut adat itu dinamis dan sentiasa berubah-ubah,
‘sekali air gadang, sekali tepian berubah’. Namun dalam konteks mencari benih
Undang Luak Jelebu ke-16 kali ini, jelas yang pemilihannya terus terpalit
dengan kontroversi. Peristiwa seperti ini pernah berlaku sewaktu lantikan
Undang Jelebu Ke-15, Allahyarham Datuk Musa Wahab. Pernah dibawa ke mahkamah
tetapi akhirnya Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul
Rahman memberi kata putus untuk merestuinya.
Sebelum
wujudnya institusi pusaka Undang Luak lebih 200 tahun lalu permuafakatan
pemakaian adatnya lebih terserlah. Luaknya meliputi Sungai Ujong, Rembau, Johol
dan Jelebu. Dasar-dasar adat dikekalkan manakala disiplin pengamal pusaka ini
adalah amat tinggi. Yang tua didahulukan, yang muda dikemudiankan. Semuanya ini
diambil kira dalam semangat permuafakatan yang lebih telus dan sempurna. Hari
ini semangat permuafakatan itu semakin luntur. Cerita kehangatan adat pepatih
ini lebih menjurus kepada perebutan jawatan. Bermula dari peringkat pemilihan
Buapak (ketua kepada anak-anak buah) dan Dato’ Lembaga (Kabinet Undang Luak)
hinggalah ke peringkat memilih Dato’ Undang Luak.
Ada
yang bertanya apakah peranan dan pentingnya jawatan tertinggi sebagai Dato’
Undang Luak. Pertama kedudukannya ibarat `raja’ bagi daerah naungannya. Selain
mengetuai adat, Undang Luak juga menjaga kebajikan dan merapatkan hubungan
silaturrahim dalam kalangan anak waris yang semakin berkembang. Sudah tentu
jawatan Dato’ Undang kekal seumur hidup. Dato’ Undang yang empat ini juga
mempunyai kuasa mutlak melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Sejak
dulu lagi, susunan melantik raja memang cantik dari bawah hingga ke atas
bagaikan kedudukan piramid.Cerita dulu-dulu jika Yang Dipertuan Besar berhasrat
melawat daerah, baginda perlu mohon keizinan daripada raja daerah tersebut.
Begitulah tingginya status Undang Luak yang mempunyai kuasa melantik Yang
Dipertuan Besar. Hari ini keindahan adat itu tercemar. Banyak kelemahannya.
Setiap kali untuk memilih ketua adat atau Undang Luak pasti menimbulkan krisis
terutama dalam usaha memilih benih yang terbaik.
Dalam kes di Jelebu ini, pilihan
calonnya sudah ditapis oleh tiga Dato’ Lembaga yang memegang talian adat dan
pusaka. Kumpulan ini diketuai oleh Dato’ Ombi sebelum dikemukakan nama
calon-calon kepada Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) yang mempunyai kuasa
pemutus. Di sini pun masih ada kelonggaran kerana ada kemungkinan kata putus
itu terdapat unsur-unsur memihak atau pilih kasih. Sebaik-baiknya pemilihan
Undang Luak hendaklah dibuat secara pengundian. Katakanlah terdapat empat calon
terakhir untuk dipilih. Tiga Dato’ Lembaga berkenaan termasuk Dato’ Menteri
(pemangku Undang Luak) kemudian mengundi secara sulit. Tujuannya bagi
menentukan kedudukan calon. Dua tempat terbaik akan dikekalkan. Akhirnya tiga
Dato’ Lembaga itu membuat pengundian terakhir bagi memilih satu calon sahaja. Amalan
ini lebih baik dan banyak dilakukan dalam pemilihan kepimpinan badan-badan
antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini lebih telus
dan terbuka. Banyak lagi formula yang boleh dipandu tanpa menimbulkan kekecohan
andainya aturan adat ini menerima perubahan zaman. Berdasarkan rentetan
pemilihan empat Undang Luak sebelum ini, kesemuanya dilanda krisis hingga
memakan masa yang panjang. Krisis seperti ini kadang-kadang boleh menimbulkan
fitnah, prasangka buruk, apatah lagi boleh memecahkan hubungan keluarga kerana
merebut jawatan Undang Luak. Inilah yang perlu dikaji dan dinilai semula demi
menjaga institusi Undang Luak sentiasa dipandang tinggi dan dihormati.
WARIS
Jelebu, Negeri Sembilan
18 April 2016
sumber - utusan online
No comments:
Post a Comment