Wednesday, December 23, 2009

Hidup mati akhbar di Malaysia, di dunia

SALAM dari Hyderabad, India. Kota raya Mutiara yang asal namanya cukup bersejarah. Bandar raya yang dihuni lebih empat juta orang ini diasaskan oleh Sultan Muhammad Quli Qutb Shah kira-kira 500 tahun lalu.
Nama Hyderabad dikatakan muncul hasil perkahwinan sultan itu dengan seorang gadis tempatan. Selepas gadis itu memeluk Islam dia menukar nama kepada Hyder Mahal dan oleh itulah nama bandar raya ini dikenali sebagai Hyderabad. Tapi satu lagi teori popular (lihat wikipedia.org) mengatakan nama bandar raya ini diambil sempena nama menantu Nabi Muhammad SAW, Ali Ibn Abi Talib, yang juga dikenali sebagai Hyder.
Sejak semalam saya berada di bandar raya ini bersama-sama para editor seluruh dunia sempena Kongres Akhbar Dunia Ke-62 dan Forum Editor-Editor Dunia Ke-16. Ia diadakan bagi membincangkan hala tuju media, terutamanya masa depan akhbar yang kini semakin 'ditinggalkan' sedikit demi sedikit oleh pembaca.
Akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia pun mengalami nasib yang sama. Akhbar-akhbar perdana Melayu mulai tidak mendapat perhatian pembaca. Akhbar-akhbar Cina di Malaysia masih mendapat jumlah pembaca yang banyak. Akhbar Inggeris yang dimiliki oleh orang Cina juga turut terus meningkat, ditambah dengan sokongan iklan yang cukup hebat. Akhbar Inggeris di bawah pengaruh orang Melayu juga mengalami nasib seperti akhbar-akhbar perdana Melayu yang lain.
Dengan jumlah penduduk Malaysia kira-kira 27 juta orang, saya pernah melontar teka-teki kepada sekumpulan doktor dalam satu kursus media yang diberikan tidak lama dulu. Saya bertanya berapa agaknya edaran sehari setiap akhbar-akhbar di Malaysia? Saya juga bertanya berapa agaknya edaran akhbar Utusan Malaysia sehari? Secara yakin mereka meneka: ''kira-kira 1.5 juta naskhah'' ada yang menjawab ''2 juta naskhah'' dan paling sedikit ialah ''sekitar 600,000 naskhah''.
Ternyata tiada siapa tahu berapa sebenarnya edaran akhbar-akhbar nasional yang dijual di Malaysia setiap hari. Namun hakikatnya, jumlah akhbar-akhbar perdana Melayu semakin menurun. Malu saya mahu mendedahkannya. Tapi angkanya ialah di bawah 200,000 naskhah dan angkanya semakin menurun. (Kiraan ke atas jangkauan pembaca akhbar itu dilakukan secara mendarab senaskhah akhbar kepada empat atau lima pembaca, misalnya 300,000 naskhah x 5 pembaca).
Di masa akhbar perdana Cina meningkat dan stabil, orang Melayu ramai-ramai bertukar membaca akhbar bacaan ringan tabloid berbahasa Melayu yang semakin meningkat. Adakah mereka tidak lagi berminat membaca akhbar arus perdana atau berkualiti? Persoalan besarnya apakah kandungan berita akhbar perdana kita sudah tidak menarik minat?
Saya tidak dapat lari daripada menamakan Melayu dan bukan Melayu dalam hal ini kerana dalam konteks Malaysia ia adalah realiti. Pengkaji media juga mengambil kira faktor ini dalam kajian mereka. Kita tidak boleh lari daripada membincangkan soal ini. Kita bukan lagi 1Malaysia, kita baru mahu menjadi 1Malaysia. Masyarakat kita masih lagi berasaskan kelompok-kelompok. Pihak-pihak tertentu, termasuk para pengiklan atau orang yang menentukan akhbar mana akan diberi iklan atau tidak, tidak suka kita membincangkan soal ini. Orang yang bercakap begitu sebenarnya mereka daripada golongan orang yang telah pun berjaya. Mereka tidak disaingi oleh sesiapa.
Iklan-iklan tidak mahu masuk ke dalam kantung akhbar Melayu, tapi sebaliknya masuk ke kantung lain. Alasan mereka ialah akhbar kita bersifat perkauman, walaupun kita hanya bercakap soal untuk meningkat dan memperbaiki hidup orang Melayu. Sebaliknya akhbar-akhbar berbahasa lain tidak dilihat rasis jika mereka juga berat sebelah dalam laporan mereka.
Persoalannya sekarang apakah kita atau Utusan Malaysia, misalnya yang berusia lebih 70 tahun ini tidak boleh lagi bercakap soal asas ini lagi dalam usaha mendapatkan semula iklan? Beberapa kerajaan negeri pembangkang juga tidak membenarkan akhbar ini (Utusan Malaysia, khususnya) daripada membuat liputan mereka atas tuduhan yang macam-macam? Dan yang peliknya, para pengiklan (serta agensi mereka) pun ikut serta bersetuju?
Tapi itulah hakikatnya. Dalam konteks Malaysia ia turut dipengaruhi oleh faktor di atas. Namun media dunia dan media di negara-negara maju lain dipengaruhi oleh faktor asas ekonomi makro dan mikro. Jumlah edaran mulai jatuh kerana kekangan hidup yang memperlihatkan pembeli dan pengiklan mengalihkan perhatian kepada keperluan utama yang lain, dan pembaca mula mendapatkan sumber berita dari punca percuma melalui televisyen atau Internet.
Banyak sumber berita lain yang boleh diperoleh secara mudah dan percuma. Ini juga antara faktor edaran akhbar jatuh. iPhone dan Blackberry adalah medium yang boleh menggantikan kertas akhbar. Pembaca boleh membaca melalui telefon tangan masing-masing atau menerusi komputer bimbit.
Dijangkakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan kepesatan teknologi IT seperti sekarang, akhbar kertas akan diambil alih oleh medium-medium itu, walaupun ada di antara peserta panel di sini yang agak spektikal dengan teori itu.
Pada masa itu kertas cetak akan menjadi terlalu mahal daripada alat-alat elektronik tersebut. Pada masa itu kelajuan Internet bukan lagi menjadi isu. Dan sudah tentulah apabila tibanya masa itu kelak, berita yang kita baca melalui Internet akan perlu dibayar, seperti kita membeli akhbar sekarang (malah sekarang pun sepatutnya berita dalam talian seperti utusan.com.my perlu dibayar untuk mengeksesnya).
Akhbar pada masa itu tetap ada, tapi dalam bentuk yang lain, yang lebih interaktif - di mana Facebook dan Twitter serta rangkaian media sosial lain boleh berinteraksi terus dengan berita yang disiarkan.
Di negara-negara Barat media sosial atau kewartawanan rakyat telahpun dimulakan dalam skil yang besar bagi mendekatkan pembaca setia dengan akhbar tersebut. Berdasarkan pendekatan ini pembaca akan juga menjadi 'wartawan' dengan menghantar berita atau gambar dari kawasan masing-masing. Di negara kita, ia agak perlahan, tapi ini semua akan ditentukan oleh para editor media bagi memastikan mereka terus terapung dalam industri ini. Siapa lambat, dia akan tenggelam dan hilang dalam persaingan sengit. Oleh kerana pasaran di Malaysia kecil, persaingannya cukup sengit.
Media Malaysia harus mencari peluang daripada kecelikan IT di kalangan rakyatnya dan kadar pemilikan alatan IT yang tinggi untuk memulakan revolusi itu. Iklan digital melalui Internet akan mengambil alih iklan cetak dalam tempoh empat ke lima tahun lagi, kata CEO Persatuan Akhbar-akhbar Dunia dan Penerbit Berita (WAN-INFA), Timorty Balding.
Itulah antara yang diperbincangkan dalam forum di sini. Pelbagai cara dan kaedah dibincangkan untuk memastikan pembaca terus membeli akhbar. Secara purata semua akhbar global mengalami kejatuhan dari segi edaran kecuali China, Jepun dan India yang memperlihatkan tabiat membaca mereka amat tinggi.
Walaupun pendapat pakar dan peneraju gedung-gedung media dunia itu berbeza antara satu sama lain, tapi kebimbangan terhadap cabaran mendatang industri persuratkhabaran, tetap wujud.
Namun semua pihak bersetuju bahawa kejayaan sesebuah akhbar baik melalui cetak atau Internet bergantung kepada isi kandungannya. Hari ini di forum ini kita akan membincangkan bagaimana isi kandungan berita yang berkualiti boleh ditukar menjadi 'punca wang dan keuntungan' untuk syarikat akhbar. Salam sejahtera.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...