Sunday, November 8, 2009

Faktor Kemenangan Negeri Sembilan Dalam Kempen Piala Malaysia 2009

'Tiada tekanan jadi faktor'



WAN JAMAK dijulang pegawai pasukan selepas final, malam tadi.

KEPUASAN peribadi dinikmati pengendali Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang memenangi pertembungan peribadi di antara dua bekas jurulatih kebangsaan dalam final Piala Malaysia, malam tadi.

Wan Jamak yang mengundur diri daripada skuad Malaysia selepas kempen mengaibkan Sukan Sea 1997 yang menampilkan kenangan pahit kekalahan 1-0 kepada Laos, bangkit daripada titik rendah itu mengenepikan B Sathianathan yang dipecat, awal tahun ini ekoran komen yang mengguris perasaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tetapi ia bukan gaya pengendali skuad Rusa itu untuk meninggi diri, dengan dirinya memberi nasihat kepada Sathia yang mengemudi Kelantan pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

“Setiap jurulatih ada kepuasan dirinya, Sathia masih baru lagi, dia ada banyak masa untuk belajar daripada kesilapan. Antara faktor kemenangan kami adalah tiada tekanan untuk pemain,” katanya, malam tadi.

'Dah tua masih laku'

Shukor terkejut dijulang pemain terbaik final

"SAYA ingatkan dah tua-tua macam ini, tak laku lagi untuk terima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir. Anugerah pemain terbaik ini adalah untuk seluruh pemain dalam pasukan Negeri Sembilan."

Shukor Adan mengakui betapa pada usia 30 tahun, pengiktirafan itu amat bermakna buatnya, tambahan pula memenanginya hasil daripada keberanian menyahut cabaran jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang mengubah posisinya ke tengah-tengah benteng pertahanan.


“Jurulatih jumpa saya selepas perlawanan terakhir Liga Super dan tanya apakah saya sanggup bermain di pertahanan. Saya kata akan cuba dan jika tak menjadi, dia boleh tukarkan saya. Kalau ok, kekalkan saya.

“Alhamdulillah, semuanya berhasil. Kemenangan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua dalam pasukan. Saya gembira dapat memenuhi matlamat membantu Negeri Sembilan menang sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” katanya.

Shukor juga mengakui betapa peralihan posisi itu sesuatu yang agak besar buatnya - yang memulakan kerjaya selaku penyerang sebelum beralih ke posisi selaku perencana gerak di tengah dan kini cemerlang di posisi baru selaku benteng harapan.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan Negeri Sembilan yang memberi peluang ini kepada saya,” katanya yang digugurkan daripada skuad Selangor, penghujung musim lalu.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...