Wednesday, November 4, 2009

UMNO perlu pemikiran politik segar, terkini

SEBAIK selesai Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, pelbagai program bermatlamat untuk mengisi perubahan yang disepakati di perhimpunan itu mula dijalankan. Contohnya, semua pemimpin peringkat bahagian, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, mula mengikuti latihan kepemimpinan.

Gerakan itu dilakukan dalam kadar segera.

Menurut sarjana tersohor bidang perubahan dari Harvard Business School, John P. Kotter dalam buku A Sense of Urgency, rasa kesegeraan adalah langkah paling penting yang mesti diambil jika mahu menyaksikan perubahan menjadi kenyataan.

Dalam buku-bukunya tentang perubahan seperti Leading Change (1996), The Heart of Change (2002) dan Our Iceberg is Melting (2006), Kotter menggariskan lapan langkah jika sesebuah organisasi ingin berubah.

Menurutnya, 70 peratus daripada inisiatif perubahan menjadi gagal kerana pelaksanaannya tidak memberi perhatian kepada langkah pertama, iaitu rasa kesegeraan untuk berubah.

Tetapi, jika tidak kena caranya, rasa kesegeraan boleh sahaja menjadi “hangat-hangat tahi ayam”.

Oleh itu, UMNO perlu memahami tiga perkara yang dibariskan oleh Kotter bagi menjamin bahawa rasa kesegeraan itu berlanjutan dan berkekalan sifatnya sehingga menghasilkan kesan yang diimpikan.

Tiga perkara tersebut ialah pertama, bagaimana mengatasi elemen takut dan marah yang boleh menenggelamkan rasa kesegeraan itu. Kedua, bagaimana memastikan tindakan dan perlakuan itu bukannya sekadar dengan perkataan sahaja. Ia mesti turut mengkomunikasikan keperluan untuk perubahan.

Dan ketiga, bagaimana untuk terus menyemarakkan rasa kesegeraan setelah usaha transformasi mula meraih kejayaan awal.

Dalam hal ini, UMNO juga perlu merenung dan menentukan apakah dimensi dan pengisian bagi perubahan tersebut.

Pada saya, satu daripada dimensi utama pengisian perubahan tersebut ialah UMNO perlu mempunyai pemikiran politik yang sesuai dengan perkembangan politik kontemporari dan relevan dengan masa.

Analisis faktor mengapa sebahagian rakyat menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) mendapati wujud masalah seperti politik wang, cantas-mencantas dan sebagainya. Faktor ini benar.

Tetapi terdapat juga faktor lain melibatkan sesetengah rakyat, terutamanya golongan berpendidikan, intelektual dan orang muda yang menolak UMNO kerana melihatnya sebagai parti yang ketinggalan daripada segi pemikiran politiknya.

Memang UMNO bukan parti yang punya ideologi politik. Dan saya tidak menyarankan agar UMNO dengan tiba-tiba sahaja menggubal satu ideologi.

Tetapi, ini tidak bermakna sampai UMNO tidak mempunyai pemikiran politik tentang demokrasi, konsep penghakupayaan, maksud partisipasi, cara-cara menjadi kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.

Kita perlu menerima hakikat bahawa landskap politik telah berubah.

Perubahan ini berlaku bukan disebabkan oleh PRU12. Sebenarnya, perubahan ini telah berlaku sejak bermulanya alaf baru ini.

Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan ini banyak. Antaranya ialah globalisasi, liberalisasi, k-ekonomi, kemajuan ICT, kemunculan generasi Y, pengembangan idea tentang alam sekitar dan lain-lain lagi.

Ini menyebabkan peranan dan fungsi negara-bangsa dan kerajaan telah berubah. Ini juga menyebabkan corak, cara dan citra politik dan demokrasi turut berubah. Kerana itu, beberapa bentuk pemikiran politik yang baru telah mula muncul.

Antara pemikir politik kontemporari yang penting ialah pensyarah London School of Economics, Anthony Giddens, yang terkenal dengan bukunya, The Third Way (1998) dan The Third Way and its Critics (2000).

Giddens dianggap guru politik kepada Perdana Menteri Tony Blair dan mempunyai impak besar terhadap kelahiran New Labour di Britain. Apa yang kurang diketahui ialah bahawa Giddens juga mempengaruhi pemikiran Presiden Bill Clinton, iaitu tokoh New Democrat Amerika Syarikat.

Saya tidak menganjurkan agar UMNO menggunakan pemikiran Giddens. Tetapi, UMNO perlu cakna akan pemikiran-pemikiran politik kontemporari yang berpengaruh, tidak kiralah oleh Giddens atau oleh pemikir yang lain.

Apa yang penting, UMNO perlu membina, mengembang dan menyebarkan pemikiran politik tersendiri tentang apa-apa yang berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Kita perlu memberikan tafsiran kita tentang mengapa sesuatu itu terjadi. Kita perlu memberikan kupasan tentang mengapa sesuatu tindakan dan keputusan kita lakukan sama ada sebagai parti atau sebagai kerajaan.

Prinsip perjuangan UMNO iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah suci dan perlu diteruskan. Tetapi, dalam suasana landskap politik yang berubah ini, ia perlu disampai, diterang dan dipopularkan dengan pendekatan yang sesuai dengan suasana semasa. Prinsip perjuangan ini perlu didefinisikan semula dan diposisikan semula agar UMNO sentiasa kelihatan segar dan mekar.

Ini bertambah penting kerana Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden telah menyatakan, UMNO perlu menjadi parti yang bersifat centrist.

Sesungguhnya, ucapan beliau sarat dengan kemantapan intelektual. Centrist adalah istilah sains politik yang besar. Ia bermakna satu idea atau amalan mempromosi dasar yang sederhana di tengah-tengah politik yang ekstrem. Lazimnya, ia merujuk kedudukan politik yang tidak “kiri” atau pun “kanan”.

Centrist atau centrisme mempunyai lebih daripada satu bentuk. Revolusi Iran yang menggunakan slogan “Bukan Barat, bukan Timur, Islamiah Islamiah” bersifat centrist.

Begitu juga pemikiran Giddens. Di samping itu, terdapat pemikiran yang dianggap centrist di satu-satu tempat atau pada satu-satu masa tertentu tidak dianggap begitu di tempat atau pada masa yang lain.

Sifat centrist bukanlah baru buat UMNO. Tetapi, cara Presiden UMNO itu mengungkapkannya mengisyaratkan bahawa ia memerlukan pemikiran baru.

No comments:

Post a Comment

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...