PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan
penceramah, Dr. Zakir Naik meneruskan ceramah beliau di Melaka pada 17
April ini dengan syarat, program tersebut ditukar namanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
tindakan pihak polis membatalkan ceramah bertajuk ‘Similarities Between
Hinduism and Islam’ itu sebelum ini adalah berdasarkan aduan bukan
sahaja daripada masyarakat beragama Hindu tetapi juga daripada pemimpin
agama Islam.
“Kerajaan memutuskan ada kompromi dan berbincang dengan Ketua Menteri
Melaka untuk ceramah itu diteruskan dengan tajuk yang lain,” katanya
kepada pemberita selepas menghadiri Lab Panel Majlis Perundingan Islam
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Polis semalam tidak membenarkan penganjuran forum dengan nama
tersebut yang menampilkan Dr. Zakir di Dewan Besar Universiti Teknikal
Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 April ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, program
tersebut dikhuatiri boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan negara
kerana menyentuh sensitiviti agama.
Jelasnya, program seumpama itu juga tidak mendatangkan kebaikan
kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. –
UTUSAN

No comments:
Post a Comment