Monday, April 18, 2016

Cari formula terbaik pilih Undang Luak



PENGISYTIHARAN Undang Luak Jelebu ke-16, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pada 8 April lalu turut berhadapan dengan kontroversi apabila keputusan pelantikannya dipertikaikan


BOLEHKAH amalan Adat Pepatih kekal mengikut peredaran zaman yang pantas hari ini? Pencinta dan pengamal adat di Negeri Sembilan pernah menyebut adat itu dinamis dan sentiasa berubah-ubah, ‘sekali air gadang, sekali tepian berubah’. Namun dalam konteks mencari benih Undang Luak Jelebu ke-16 kali ini, jelas yang pemilihannya terus terpalit dengan kontroversi. Peristiwa seperti ini pernah berlaku sewaktu lantikan Undang Jelebu Ke-15, Allahyarham Datuk Musa Wahab. Pernah dibawa ke mahkamah tetapi akhirnya Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman memberi kata putus untuk merestuinya.

            Sebelum wujudnya institusi pusaka Undang Luak lebih 200 tahun lalu permuafakatan pemakaian adatnya lebih terserlah. Luaknya meliputi Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu. Dasar-dasar adat dikekalkan manakala disiplin pengamal pusaka ini adalah amat tinggi. Yang tua didahulukan, yang muda dikemudiankan. Semuanya ini diambil kira dalam semangat permuafakatan yang lebih telus dan sempurna. Hari ini semangat permuafakatan itu semakin luntur. Cerita kehangatan adat pepatih ini lebih menjurus kepada perebutan jawatan. Bermula dari peringkat pemilihan Buapak (ketua kepada anak-anak buah) dan Dato’ Lembaga (Kabinet Undang Luak) hinggalah ke peringkat memilih Dato’ Undang Luak.

            Ada yang bertanya apakah peranan dan pentingnya jawatan tertinggi sebagai Dato’ Undang Luak. Pertama kedudukannya ibarat `raja’ bagi daerah naungannya. Selain mengetuai adat, Undang Luak juga menjaga kebajikan dan merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan anak waris yang semakin berkembang. Sudah tentu jawatan Dato’ Undang kekal seumur hidup. Dato’ Undang yang empat ini juga mempunyai kuasa mutlak melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Sejak dulu lagi, susunan melantik raja memang cantik dari bawah hingga ke atas bagaikan kedudukan piramid.Cerita dulu-dulu jika Yang Dipertuan Besar berhasrat melawat daerah, baginda perlu mohon keizinan daripada raja daerah tersebut. Begitulah tingginya status Undang Luak yang mempunyai kuasa melantik Yang Dipertuan Besar. Hari ini keindahan adat itu tercemar. Banyak kelemahannya. Setiap kali untuk memilih ketua adat atau Undang Luak pasti menimbulkan krisis terutama dalam usaha memilih benih yang terbaik.
           
Dalam kes di Jelebu ini, pilihan calonnya sudah ditapis oleh tiga Dato’ Lembaga yang memegang talian adat dan pusaka. Kumpulan ini diketuai oleh Dato’ Ombi sebelum dikemukakan nama calon-calon kepada Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) yang mempunyai kuasa pemutus. Di sini pun masih ada kelonggaran kerana ada kemungkinan kata putus itu terdapat unsur-unsur memihak atau pilih kasih. Sebaik-baiknya pemilihan Undang Luak hendaklah dibuat secara pengundian. Katakanlah terdapat empat calon terakhir untuk dipilih. Tiga Dato’ Lembaga berkenaan termasuk Dato’ Menteri (pemangku Undang Luak) kemudian mengundi secara sulit. Tujuannya bagi menentukan kedudukan calon. Dua tempat terbaik akan dikekalkan. Akhirnya tiga Dato’ Lembaga itu membuat pengundian terakhir bagi memilih satu calon sahaja. Amalan ini lebih baik dan banyak dilakukan dalam pemilihan kepimpinan badan-badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini lebih telus dan terbuka. Banyak lagi formula yang boleh dipandu tanpa menimbulkan kekecohan andainya aturan adat ini menerima perubahan zaman. Berdasarkan rentetan pemilihan empat Undang Luak sebelum ini, kesemuanya dilanda krisis hingga memakan masa yang panjang. Krisis seperti ini kadang-kadang boleh menimbulkan fitnah, prasangka buruk, apatah lagi boleh memecahkan hubungan keluarga kerana merebut jawatan Undang Luak. Inilah yang perlu dikaji dan dinilai semula demi menjaga institusi Undang Luak sentiasa dipandang tinggi dan dihormati.

WARIS
Jelebu, Negeri Sembilan
18 April 2016 

sumber - utusan online

Thursday, April 14, 2016

Saya masih Undang Luak Jelebu – Tarmizi



SEREMBAN 4 April - Pemangku Undang Luak Je­lebu, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Tarmizi Selamat menegaskan kedudukannya sebagai pemangku Undang Luak berkenaan dan Dato’ Menteri masih sah di sisi adat yang diamalkan di Luak Jelebu.
Menurutnya, terdapat usaha pihak tertentu yang mahu menying­kirkannya da­ripada jawatan tersebut dan perkembangan itu telah beliau maklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Saya dilantik melalui watikah oleh Dato’ Ombi Pangkal Maharaja, Kadim Kidam pada 13 September 2014 dan ia sah sehingga kini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan tentang perkembangan yang berlaku di Luak Jelebu.
Sehubungan itu beliau berharap proses pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu dapat dilakukan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.
“Gangguan yang tidak sepatutnya boleh melam­batkan proses pelantikan tersebut sekali gus menjejaskan imej adat Luak Jelebu,” katanya.
Persoalan mengenai siapa yang bakal diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu bakal terjawab sebaik sahaja senarai nama calon-calon untuk jawatan berkenaan di­serahkan kepada Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari.
Tarmizi berkata, beliau akan membuat pengisytiharan calon bagi jawatan berkenaan pada bila-bila masa selepas itu.
Beliau berharap, nama calon-calon berkenaan akan diserahkan kepadanya oleh Dato’ Ombi yang bertanggungjawab mengenal pasti individu yang layak mengisi jawatan tersebut.
“Walaupun saya tahu nama-nama calon tersebut, secara adat, Dato’ Ombi sepatutnya menye­rahkan kepada saya bagi membolehkan saya membuat keputusan siapa yang dilantik sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu.
“Kelewatan meng­umumkan nama Undang Luak Jelebu yang baharu bukan disengajakan, tetapi ada sebab tertentu mengapa ia berlaku.
“Tetapi saya percaya, nama berkenaan akan dapat diumumkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas kemangkatan penyandangnya, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab, 77, pada 11 September 2014.



NAZARUDIN SHAHARI  |  05 April 2016 

sumber utusan online



SEREMBAN 4 April - Pemangku Undang Luak Je­lebu, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Tarmizi Selamat menegaskan kedudukannya sebagai pemangku Undang Luak berkenaan dan Dato’ Menteri masih sah di sisi adat yang diamalkan di Luak Jelebu. - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/saya-masih-undang-luak-jelebu-8211-tarmizi-1.208822#sthash.mlNtPQpj.dpuf
SEREMBAN 4 April - Pemangku Undang Luak Je­lebu, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Tarmizi Selamat menegaskan kedudukannya sebagai pemangku Undang Luak berkenaan dan Dato’ Menteri masih sah di sisi adat yang diamalkan di Luak Jelebu. - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/saya-masih-undang-luak-jelebu-8211-tarmizi-1.208822#sthash.mlNtPQpj.dpuf

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK HIJRAH MERDEKA ONLINE SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1443H/2021M

 “Bersama Menjiwai Hijrah Dan Merdeka” Assalamualaikum wrt wbt, Sukacitanya dimaklumkan bahawa Pertandingan Video Pendek Sempena Majlis Samb...